ATTENTION !!!

Thursday, January 6, 2011

Dunia Baru Ashraf Muslim

(Post: Bahasa Melayu)
" Sisipan XY - Ikon Lelaki mendekati aktor dan pengacara popular, Ashraf Muslim bersama bisnes ternakannya di Alor Gajah, Melaka. Bak si gembala kambing moden, jom dekati inspirasi dan erti hijrah dalam hidup si bujang ini... "

Istilah korban paling tepat dalam menterjemah kehidupan yang dilalui selebriti ini sekarang. Fasa baru dalam hidup pelakon dan pengacara, Ashraf Muslim menyaksikan bintang muda ini melakukan pengorbanan terbesar demi mencari keseimbangan hidup.

Enggan leka di sebalik populariti dunia hiburan, figura muda ini pantas memilih jalan yang lebih menjamin masa depan - menjadi tauke ternakan kambing di kampung halaman di Melaka.

Tidak cukup itu, personaliti berusia 29 tahun ini kini berjinak-jinak pula dalam bidang rawatan alternatif menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Melihat prospek bidang ternakan yang diusahakan Ashraf sejak beberapa tahun lalu termasuk bidang rawatan alternatif, tidak mustahil si bujang ini mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan seperti yang dilafazkan sendiri Ashraf pada pertemuan bersama XY - Ikon Lelaki.

Ketika penulis berkunjung ke ladang ternakan kambing milik Ashraf di Alor Gajah, baru-baru, terbayang betapa tinggi cita-cita anak muda ini untuk meluaskan kegiatan ternakan yang diceburinya. Bukan hangat-hangat tahi ayam, sebaliknya gah tersergam ladang ternakan seluas kira-kira sehektar yang diusahakan bersama bapanya.

"Perniagaan ternakan kambing ini adalah perancangan masa depan saya. Walaupun sudah dikenali dalam dunia hiburan, kita perlu sentiasa beringat-ingat untuk merencanakan sesuatu yang lebih menjamin masa depan."

"Semua itu tidak datang tanpa pengorbanan dan minat. Pengalaman dalam urus niaga jual beli lembu sebelum berkecimpung dalam dunia hiburan memberi kelebihan untuk mengusahakan ternakan kambing ini secara komersial," kata Ashraf.

Selain menternak kambing daripada spesies boer, janapari, dorpher dan kampung, usahawan muda ini turut menternak ayam kampung, itik daging, telur itik, ikan keli dan ikan talapia sebagai sumber pendapatan sampingan.

Malah, ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, Ashraf tidak menang tangan memenuhi permintaan untuk korban kambing dan lembu.

"Sebenarnya sebelum aktif dalam dunia hiburan, saya sudah berjinak-jinak dalam jual beli lembu di Melaka. Memang minat saya berniaga, jadi bukanlah sesuatu yang asing apabila saya memilih untuk menternak kambing."

"Selepas beberapa tahun mengusahakan ternakan ini, prospek perniagaan ini cukup cerah dan sambutannya cukup menggalakkan terutama pada musim-musim perayaan seperti Aidiladha," kata Ashraf Muslim lagi.

Jom kenali isi hati jejaka kelahiran Petaling Jaya ini, serta selami lebih banyak detik penghijrahan hidup Ashraf...

Dalam banyak prospek perniagaan lain, bagaimana anda boleh memilih ternakan kambing sebagai model perniagaan?

Bidang ternakan bukanlah asing dalam diri saya. Sejak 2006 lagi saya sudah berkecimpung dalam perniagaan jual beli lembu. Dalam perniagaan itu, saya menjadi perantaraan kepada mereka yang hendak membeli lembu.

Saya selalu terfikir, mengapa tidak mengusahakan ladang ternakan sendiri walaupun sudah bergelar artis.

Bagaimana anda membahagikan masa pada perniagaan ternakan ini dan dunia lakonan?

Saya gembira kerana dibantu bersama ayah yang kebetulan sudah bersara. Kebiasaannya, pada hujung minggu saya akan pulang ke Melaka untuk melihat perkembangan perniagaan ini.

Biarpun sibuk, saya cukup seronok berkecimpung dalam dunia perniagaan. Ini kerana kita berinteraksi dengan pelbagai jenis orang dan ragam. Malah sambutan Aidiladha lalu, saya menjadi orang tengah untuk proses pembekalan 50 ekor lembu korban.

Tidakkah kekok melakukan kerja-kerja kotor dan kasar berbeza dengan dunia selebriti?

Tiada sebab untuk saya berasa janggal melakukan tugasan di ladang ternakan. Ini kerana memang minat saya ke arah ini (perniagaan ternakan). Saya pula memang sukakan alam semula jadi, lantas bukan sesuatu yang pelik untuk menyatukan diri dalam tugasan sebegini.

Bagaimana pula anda membahagikan masa dengan kerjaya lakonan?

Saya bersyukur dengan tawaran lakonan yang konsisten. Saya baru saja selesai berlakon drama bersiri Ustaz Amirul sebanyak 13 episod untuk slot Zehra di TV3 selain pengalaman pertama menjadi pengacara Gadis Melayu.

Jujur saya katakan, jadual harian saya cukup sibuk di mana perlu berlakon, mengacara hinggalah urusan perniagaan di kampung. Namun, saya gembira dengan apa dilakukan sekarang.

Ceritakan senario anda setiap kali sambutan Hari Raya Aidiadha?

Menjadi kebiasaan saya dan ahli keluarga untuk melakukan korban. Pada masa yang sama, kami sibuk bergotong-royong melapah daging lembu yang sudah menjadi kelaziman anggota keluarga.

Selain menziarah keluarga lain, tidak lupa, saya akan melawat kubur ibu yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu akibat kanser payudara.

Erti hijrah dalam diri anda?

Bagi saya, hijrah itu suatu pengorbanan hidup. Ia perlu dilakukan secara ikhlas untuk kita benar-benar menghayati kelebihannya. Diibaratkan sesuatu yang cukup sukar ditinggalkan, tetapi perlu dilakukan untuk pengorbanan, begitulah yang harus kita lakukan ke arah kebaikan.

Adakah anda melalui proses hijrah dalam hidup?

Suka saya katakan seperti transformasi hijrah diri, di mana saya bersyukur dengan hijrah diri saya sekarang. Alhamdulillah, saya gembira dengan perubahan diri serta nikmat yang diberi.

Tiada lagi Ashraf Muslim yang dulu, sebaliknya saya melihat ke depan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Apakah perubahan ketara anda selepas transformasi diri?

Jujur saya katakan prinsip saya turut berubah di mana batas-batas pergaulan termasuk watak lakonan juga saya ambil perhatian. Malah, saya juga tidak mahu bergambar atau diganding bersama artis wanita. Ini kerana status saya yang sudah berjinak-jinak dalam dunia perubatan Islam.

Dengan perubahan saya ini, jika hendak tahu, semakin kerap saya ditawarkan watak ustaz dan orang alim. (tersenyum).

Adakah anda seorang yang merancang dalam hidup?

Dulu tidaklah berfikiran seperti sekarang. Tetapi bersyukur kerana saya tidak alpa untuk merencanakan masa depan. Sampai bila hendak berlakon dan untuk apa kita berlakon? Andai lakonan kita itu mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik, maka berbaloilah tugas saya.

Namun, tiba ketika transformasi diri itu berlaku, maka tidak mustahil saya meninggalkan dunia lakonan.

Sisi Berbeza Pengamal Perubatan

Dalam sibuk mengatur jadual dalam dunia lakonan selain meluaskan perniagaan ternakan, siapa sangka Ashraf berkebolehan mengubati pelbagai jenis penyakit menggunakan surah al-Quran.

Kata Ashraf, sudah lebih setahun beliau memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bersama beberapa ustaz lain di Syifa Al-Hidayah di Gombak, Selangor. Lazimnya, Ashraf berkunjung ke pusat itu pada malam hari selepas selesai penggambaran drama atau urusan lain.

"Ramai pesakit datang ke Syifa Al-Hidayah merangkumi kes biasa hinggalah sakit merbahaya seperti kanser, HIV/AIDS, sawan dan penyakit misteri lain."

"Setakat ini, sambutan cukup menggalakkan hingga lewat malam kami dikunjungi. Saya gembira kerana dapat berkhidmat kepada mereka yang memerlukan bantuan," kata Ashraf yang sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang dianugerahkan kepadanya.

Ditanya mengapa memilih haluan itu, Ashraf dalam tenang menganggap perlu ada keseimbangan dalam hidup seseorang Muslim. Sambil menyifatkan pilihan itu sebagai kehendak diri sendiri, Ashraf mengakui beliau cukup gembira dengan apa yang dilakukannya sekarang.

Biarpun aktiviti hariannya cukup padat pada sebelah siang, Ashraf berkata, tumpuannya tetap kepada program penawar di Syifa Al-Hidayah selagi beliau termampu.

"Jika hendak dikira letih dan penat, memanglah ada perasaan itu. Ini kerana jumlah yang hadir mencapai 500 orang setiap hari. Tetapi, apa yang menggembirakan saya ialah apabila pesakit semakin pulih dengan rawatan yang diberi."

"Apabila melihat perubahan dalam diri pesakit itulah harga cukup besar diterima selama ini," kata Ashraf penuh bermakna.

Sambil berkongsi perkembangan lain, Ashraf berkata, pihaknya sedang menunggu lampu hijau untuk bekerjasama dengan sebuah hospital swasta berpangkalan di Kuala Lumpur bagi memberikan khidmat rawatan alternatif kepada pesakit hospital menggunakan surah al-Quran.

Andai pada hari biasa si bujang ini sibuk di Syifa Al-Hidayah, tiba hujung minggu, beliau menawarkan kebolehan sama di rumahnya di Taman Teluk Mas, Melaka.

"Begitulah aktiviti saya sejak berjinak-jinak dalam dunia rawatan alternatif. Malah, sambutannya cukup menggalakkan hingga ada pesakit dari negeri lain termasuk Singapura datang mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::