Ikan Air Tawar Negeri Perak
(Post: Bahasa Melayu)
"Negeri Perak sememangnya cukup terkenal dengan pelbagai jenis ikan air tawar. Bagi ramai penggemarnya, ikan yang didapati dari sungai, tasik dan bekas lombong di negeri ini mempunyai kelainan daripada segi rasa jika dibandingkan ikan air tawar di tempat lain."
Ikan air tawar seperti kelah, temoleh, baung, kelabau, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai merupakan sebahagian daripada spesies yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.
Untuk mendapatkan bekalan ikan air tawar tidaklah sesukar mana memandangkan ia banyak dijual di pasar-pasar serata negeri terutama di Hulu Perak iaitu pengeluar utama ikan pekasam.
Begitu juga dengan udang galah yang mendiami lubuk-lubuk di beberapa sungai seperti Sungai Perak, Sungai Kinta dan Sungai Kampung Dew di Kamunting, Taiping, Perak.
Keenakan ikan air tawar serta udang galah sungai ini menyebabkan permintaannya semakin meningkat walaupun sumbernya semakin berkurangan.
Permintaan yang tinggi terhadap ikan air tawar turut mendorong peningkatan harga sehinggakan boleh mencecah ratusan ringgit bagi setiap kilogram.
Namun sejak kebelakangan ini, ikan air tawar mulai diancam kepupusan malahan ada di antara jenis ikan berkenaan hanya boleh diperoleh di kawasan tertentu, itupun dengan bilangan yang sangat sedikit.
Berdasarkan kajian yang dijalankan penyelidik beberapa universiti tempatan, kini terdapat kurang daripada separuh jumlah ikan air tawar di semua sungai, tasik dan bekas lombong di Perak berbanding lima tahun dulu.
Hasil kajian berkenaan turut mendapati hanya beberapa kawasan di negeri ini yang masih menyimpan spesies seperti tengas, loma, tengalan dan sebarau.
Faktor pencemaran, pembuangan sisa toksik, penyeludupan dan penggunaan bahan kimia serta bom ikan dilihat antara punca pengurangan ikan air tawar.
Penurunan ketara populasi ikan jenis ini diakui sendiri beberapa orang nelayan. Masing-masing mendakwa usaha mereka kebelakangan ini langsung tidak memberi pulangan setimpal.
Abdul Razali Hashim, 42, berkata nelayan kini amat sukar untuk mendapat ikan air tawar seperti sebarau, kelah dan jelawat.
Jarang sekali nelayan sepertinya dapat menangkap ikan yang beratnya melebihi dua kilogram kerana ikan berkenaan semakin berkurangan.
"Biasanya saya mendapat ikan sebarau, kelah dan jelawat yang beratnya dalam dua kilogram sahaja."
"Dulu, mengail seharian sangat memuaskan tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ikan yang diperoleh hanya cukup makan sahaja," katanya.
Seorang lagi nelayan, Zainuddin Abu, 45, berkata kebanyakan nelayan di Tasik Temenggor, Gerik, kini terpaksa mendapatkan pekerjaan lain kerana ikan yang ditangkap tidak lagi mendatangkan pulangan lumayan.
Pihak berkuasa khususnya Jabatan Perikanan perlu memainkan peranan dalam mengelakkan ancaman kepupusan ikan air tawar namun bagi Zainuddin, sikap tamak manusia turut menjadi punca.
"Sejak dulu saya sekali pun tidak pernah mengambil anak-anak ikan atau ikan bersaiz kecil dari tasik. Namun saya percaya tidak ramai yang sanggup melepaskan semula tangkapan mereka itu."
"Apa yang saya tahu, konsep tangkap dan lepas ikan-ikan air tawar yang kecil atau masih anak tidak dipraktikkan. Atas sebab itulah anak-anak ikan terancam dan tidak sempat membesar," katanya.
Bagi Abdullah Arbaini, 45, beliau terpaksa memastikan bekalan ikan tawar untuk restoran ikan bakarnya di Ipoh sentiasa mencukupi namun mengakui sejak setahun lalu, ia bukanlah satu tugas yang mudah.
"Sebagai sebuah restoran yang menghidangkan ikan bakar, saya perlu pastikan bekalan ikan seperti tilapia dan sebagainya mencukupi."
Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd Isa, ketika ditanya tentang isu ini mengakui kepupusan pelbagai spesies ikan air tawar di negeri ini memerlukan perhatian serius semua pihak sama ada kerajaan mahu pun orang awam.
"Pengurangan spesies ikan air tawar berpunca daripada pelbagai faktor tetapi kita tidak harus lupa permintaan yang tinggi terhadap hidupan itu turut mendorong pengurangan mendadak jumlahnya ketika ini."
"Kita juga bimbang jika ada spesies ikan yang pupus sebelum pihak berwajib berjaya menyelamatkannya," katanya kepada.
Biarpun belum dianggap kritikal namun usaha berterusan mengatasi kepupusan ikan air tawar di Perak sedang dilaksanakan.
Selain mewartakan beberapa peraturan menangkap ikan di kawasan tertentu, Jabatan Perikanan Perak secara aktif menggiatkan usaha membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih ikan air tawar melalui Pusat Perikanan Darat (PPD) di Banding.
PPD Banding yang dibina pada 1997 itu kini menjadi sebahagian daripada inisiatif dan komitmen berterusan kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini.
"Banding dipilih kerana ia cukup istimewa. Tasik Temenggor yang mengelilingi kawasan ini kaya dengan lebih 30 spesies ikan air tawar yang sudah tidak ditemui di tempat lain di negara ini."
"Ia kini menjadi pusat membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih pelbagai spesies ikan air tawar seperti kelah, temoleh, baung, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai," kata Sani.
PPD Banding yang beroperasi sepenuhnya pada 1 Nov 2006 juga berperanan sebagai pusat pengembangan yang memberi khidmat nasihat teknikal, pusat sumber maklumat dan rujukan.
Ia juga menggiatkan usaha memindahkan teknologi dalam pembenihan ikan selaras dengan pembangunan industri akuakultur negara.
Menurut Sani, proses pembenihan ikan di pusat ini dijalankan secara saintifik menerusi pembiakan aruhan iaitu proses yang melibatkan induk ikan yang belum matang sepenuhnya akan disuntik dengan hormon tertentu.
Jelas beliau, kaedah pembiakan aruhan biasanya digunakan untuk membiakkan ikan-ikan yang tidak dapat membiak di dalam sangkar.
"Ia bertujuan mempercepat proses kematangan dan ovulasi telur, meninggikan kemandirian (kadar hidup) anak-anak ikan, meningkat dan mempercepat pengeluaran benih ikan secara besar-besaran atau komersial serta memperoleh baka ikan berkualiti tinggi," jelasnya.
Melalui teknik ini, Sani berkeyakinan kepupusan spesies ikan air tawar yang dihadapi ketika ini mampu dikawal bahkan beliau percaya, PPD Banding akan menjadi pemangkin pengeluaran ikan-ikan air tawar dalam beberapa tahun akan datang.
Apa pun, komitmen Jabatan Perikanan Perak diteruskan dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Tasik Temenggor yang bertindak memulihara sumber perikanan selain mengelak kepupusan ikan air tawar di tasik itu.
Tasik Temenggor yang berkeluasan 152 kilometer persegi mempunyai keistimewaan tersendiri kerana beberapa spesies ikan air tawar yang terdapat di tasik ini sudah tidak ditemui di tempat lain.
"Melihat kepada kelebihan tasik ini, maka Jabatan Perikanan mewujudkan Pelan Pengurusan Tasik Temenggor kerana khuatir aktiviti penangkapan ikan menggunakan jaring dan pancing sekiranya tidak dikawal akan mengancam spesies ikan air tawar di sini," katanya.
Di bawah pelan ini, Jabatan Perikanan telah memperkenal Zon Pemuliharaan, Zon Perikanan Rekreasi dan Zon Komersil.
Kata Sani, pihaknya sudah mula mengguna pakai Zon Pemuliharaan merangkumi bahagian utara Tasik Temenggor meliputi kawasan seperti Sungai Kejar, Sungai Tiang dan Sungai Gadong.
Pihak swasta turut memainkan peranan dalam memulihara spesies yang semakin pupus bahkan ada yang sanggup membuat pelaburan berskala besar semata-mata untuk memastikan ekosistem ikan air tawar Perak terus terpelihara.
Turut membantu usaha pemuliharaan ikan air tawar ialah konglomerat pembinaan dan hartanah terkemuka, MK Land Berhad yang sejak dua tahun lalu telah mewujudkan kawasan perlindungan bagi ikan itu.
Ini berkonsepkan penglibatan penduduk setempat, merangkumi masyarakat Orang Asli, yang akan mengawasi keseluruhan kawasan yang dikenal pasti itu.
"Dengan pertambahan jumlah spesies ikan air tawar yang kini semakin merosot populasinya, ia secara tidak langsung akan memberikan pulangan lumayan kepada penduduk setempat kerana harga pasaran ikan air tawar yang tinggi," kata pengerusi MK Land Berhad Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar pada majlis pelancaran projek berkenaan baru-baru ini.
Di samping itu, usaha mengkomersialkan spesies ikan air tawar khususnya tilapia seperti yang dilakukan sebuah syarikat usahasama Malaysia-Norway, Trapia Malaysia Sdn Bhd di Tasik Banding, wajar dijadikan contoh kerana usaha itu secara langsung meningkatkan kapasiti pembiakan ikan berkenaan.
Satu keadaan agak ironi ialah walaupun menghadapi ancaman kepupusan, Perak ialah pengeluar utama negara dalam sektor akuakultur terutama ternakan ikan dalam sangkar bagi tilapia hitam dan merah, patin dan keli.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim baru-baru ini berkata, Jabatan Perikanan mensasarkan pengeluaran hasil akuakultur negara sebanyak 507,558 tan metrik menjelang tahun 2010 dan daripada jumlah itu, sebanyak 137,400 tan metrik pengeluaran dari Perak.
Kawasan ternakan perairan Tasik Temengor sahaja dijangka akan menghasilkan pengeluaran sebanyak 40,000 tan metrik setahun daripada aktiviti ternakan ikan dalam sangkar menjelang 2013, katanya.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment