ATTENTION !!!

Showing posts with label nurseri. Show all posts
Showing posts with label nurseri. Show all posts

Friday, September 4, 2009

Projek Keli Azmi Morad

(Post: Bahasa Melayu)
"Graduan sains kepujian dalam bidang botani dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas tutor di universiti tersebut pada mulanya ingin mencuba. Namun rasa seronok itu membawanya lebih serius untuk mengusahakan projek pertanian."

Kawasan ladang tersebut boleh dianggap sempit dengan keluasan kira-kira tiga ekar atau 12 hektar sahaja dan kebetulannya terletaknya di tepi Sungai Langat, Bangi, Selangor.

Pada masa sama, ia merupakan kawasan yang agak kering dan dan menganjur di sepanjang sungai serta berstatus tanah lesen pendudukan sementara (TOL).

Namun itu semua tidak menghalang Azmi Morad, 46, bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melayan rasa seronok menceburi bidang pertanian.

Tambahan pula pengalaman dalam kerja-kerja awam seperti dan kontraktor kecil banyak membantunya bergerak lebih mudah dan memahami bagaimana memulakan projek.

"Memang saya mulanya ingin berseronok-seronok tetapi pengalaman dalam kerja-kerja awam banyak membantu," katanya ketika ditemui di ladangnya di Bangi, baru-baru ini.

Projek tersebut katanya dimulakan tahun lepas dengan modal permulaan RM200, 000 tanpa meminjam daripada mana-mana institusi kewangan.

Beliau mendakwa antara masalah utama beliau sukar mendapat pinjaman kerana proses permohonan yang rumit yang memerlukan dokumen seperti geran.

Azmi memberitahu dia terlibat dalam projek nurseri bunga-bungaan di kawasan tersebut yang terletak di Seksyen 4 /10F Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi.

Beliau juga menternak kira-kira 1,000 ekor ayam kampung di kawasan tersebut yang bakanya dibeli daripada pihak swasta.

Namun, projek utamanya yang kian berkembang ialah penternakan ikan keli yang menggunakan sistem dan formula daripada sebuah syarikat bumiputera.

Ternakan kelinya diletakkan dalam tangki konkrit yang membiarkan keladi bunting tumbuh manakala pelet diberi sebagai makanan rumusan khas.

Dia bermula dengan empat buah kolam dengan kapasiti 10,000 ekor dan menggerakkan usaha tersebut secara cuba.

Air sungai pula dipam sebagai sumber utama projek tersebut tetapi penentu kejayaan ialah menggunakan rumusan pelet sebagai makanan ternakan ikan keli.

Perkara paling penting dalam ternakan ikan keli ialah makanannya mesti bagus. Pelet yang digunakan sesuai kerana ia organik atau tanpa bahan kimia, tekstur daging lebih bagus dan tidak busuk.

Justeru katanya, amalan memberi makan ikan keli dengan perut ayam sebagai contoh bukan sesuatu yang elok untuk ternakan dan ini boleh disahkan dengan memeriksa perut ikan yang berwarna kekuningan.

Katanya, pada masa ini, beliau mempunyai pelbagai jenis tangki konkrit mengikut saiz berbeza iaitu 10 kaki x lapan kaki yang dengan kapasiti 10,000 ekor keli, 10 kaki x 16 kaki (15,000 ekor) dan lapan kali 20 kaki (100,00 ekor) dan jumlah tangki kini meningkat kepada 50 buah dan jumlah ternakan mencecah 400,000 ekor.

Ikan keli dapat dituai untuk jualan selepas kira-kira dua bulan setengah pada harga RM4.50 sekilogram yang kebanyakannya dibeli orang individu selain dijual di pasar malam atau pasar borong.

Meskipun demikian, beliau masih mampu menjual antara 10 dan 15 kilogram sehari.

Selain keli sebagai ternakan utama, Azmi juga menternak beberapa spesies ikan lain termasuk tilapia.

Dia juga menternak kira-kira 200 ekor biri-biri sebagai satu produk sampingan selain mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.

Tidak cukup dengan itu, Azmi juga bercadang meluaskan projek pertaniannya dengan mengeluarkan ikan keli salai di kawasan sekarang.

Beliau kini sedang menyiapkan kertas cadangan projek tersebut, manakala projek ternakan kelinya sering dilawati pegawai dari Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, ikan keli salai mempunyai pasaran yang luas, selain mempelbagaikan produk syarikatnya selain yang segar.

Azmi juga bercadang memohon tanah di kawasan lain untuk memajukan projek pertanian berasaskan pelancongan bagi memudahkan pengunjung menikmati persekitaran sebenar projek pertanian.

Untuk jangka masa panjang, beliau akan menganjurkan kursus pembenihan ikan dan usaha tersebut akan dimasukkan dalam agenda penting syarikat.

Seramai 18 pekerja membantu beliau menggerakkan projek pertanian tersebut termasuk beberapa orang kepercayaannya yang dihantar berkursus di Pusat Komuniti Selayang bagi mendalami ilmu berkaitan.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun mengusahakan bidang ini pelbagai cabaran ditempuhinya dengan sabar sehingga dapat menyempurnakan infrastruktur ladang ini.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-89262481 (Azmi Morad)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, August 6, 2009

Tanaman Hiasan SEGAR MERIMBUN

(Post: Bahasa Melayu)
"Minat antara pendorong kejayaan selepas satu-satu usaha dilakukan. Kepada seorang suri rumah kerana minat pada tumbuhan hiasan jugalah dia dapat menjana pendapatan keluarganya."

Malah dengan terus memupuk minatnya itu, Ruzita Ahmad, 40, berjaya mengekalkan perniagaan tanaman hiasan yang dikenali sebagai Segar Merimbun sejak ditubuhkan pada tahun 2000 lalu.

Selain tanaman, Segar Merimbun yang terletak di Jerlun, Kedah itu turut menyediakan pelbagai barangan hiasan lain untuk menyerikan rumah.

Menurut Ruzita, sebelum memulakan perniagaan berkenaan dia hanya seorang suri rumah sepenuh masa yang meminati tumbuhan hiasan.

Jelasnya, dia juga tidak sangka minatnya itu menarik perhatian rakan-rakannya datang ke rumah dan membeli beberapa jenis tanaman hiasan itu yang ketika itu hanya untuk hiasan rumah sahaja.

"Sejak itu saya mendapat idea untuk menjalankan perniagaan menjual pokok hiasan."

"Bagi merealisasikan hasrat itu, saya mencari modal dan memikirkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.

Menurut Ruzita, modal permulaan yang diperoleh hasil bantuan keluarga sebanyak RM20,000 digunakan untuk membeli pokok-pokok dan keperluan lain.

Dengan lebihan modal itu juga, dia mendapatkan barangan hiasan untuk melengkapkan landskap taman pelanggannya.

"Saya tidak hanya menjual pokok yang biasa untuk orang ramai malah, terdapat juga tumbuhan unik seperti Pandan Bukit selain pelbagai jenis pokok renek dan bonsai.

"Saya juga menjual pasu bunga, tempat pancuran air, bangku batu yang selalu digunakan sebagai hiasan di taman-taman mini dan sebagainya," katanya.

Jelas Ruzita, selain menjual pokok dan barangan hiasan laman di kedainya, dia menawarkan khidmat runding untuk mereka yang memerlukan nasihat menghias laman.

Menurutnya, bagi memastikan tanaman yang dibeli kekal cantik dan tahan lama pembeli perlu mengambil berat mengenai pokok-pokok tersebut.

"Saya menganggap diri saya dan keluarga bertuah kerana mampu bertahan lama dalam bidang yang banyak dimonopoli oleh golongan bukan bumiputera."

"Saya bercadang untuk membuka sebuah lagi cawangan di Kuala Nerang kerana sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan," ujarnya.

Bagi pelanggan yang berada di luar Kedah mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai pokok hiasan menerusi laman web Segar Merimbun.

Ruzita memberitahu, dia amat bersyukur kerana perniagaan yang dijalankan selama ini turut mendapat bantuan daripada suaminya, Hasnul Adib Abidin, 42 yang bertindak sebagai penasihat.

"Hasil daripada perniagaan ini, kami telah membuka sebuah Inap Desa yang diberi nama Merimbun Homestay sebagai langkah untuk memajukan lagi perniagaan kami," katanya lagi.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-5521278

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 11, 2009

Tanah Gambut Peatgro

(Post: Bahasa Melayu)
"Tanah yang subur yang mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi seperti tanah gambut atau Peat Moss pastinya menjanjikan pokok hidup dengan sempurna serta dapat menghasilkan buah atau bunga yang menyerikan lagi laman kediaman."

Di Malaysia, kebanyakan tanah gambut mengandungi 90 peratus bahan organik di dalamnya seperti sisa pereputan kayu, daun, akar dan batang pokok, selain mengandungi mineral yang biasa dijumpai dalam tanah lain.

Tanah gambut juga dikatakan mampu menyerap, menapis air dan ia dikatakan menjadi takungan karbon yang amat besar kuantitinya serta mempunyai kepentingan ekonomi untuk sektor pertanian dan penanaman pokok hiasan.

Dalam keadaan semula jadi, tanah gambut di negara ini mengandungi bahan perebutan kayu, daripada akar, daun hingga ranting pokok. Ini menyebabkan air sentiasa bertakung di permukaan tanah dan melambatkan perebutan.

Bagi memudahkan peminat seni laman menanam pokok kini sudah ada tanah gambut diproses yang dijual di nurseri dan kebun bunga.

Antara pengeluar utama tanah gambut proses ialah Peat Organic Sdn Bhd (Peatgro) di Bandar Baru Selayang yang mengeluarkan tanah berkenaan untuk pengedaran di sekitar Lembah Klang.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Peatgro, Khairul Amin Mohd Jamri, berkata tanah gambut siap diproses dapat memperbaiki keupayaan menyimpan air bagi tanah yang mengandungi banyak garam galian terutama tanah berpasir yang mudah kehilangan air.

"Liang udara tanah gambut juga besar dan sesuai untuk memperbaiki pengudaraan tanah terutama tanah liat. Tanah liat yang ada liang udara kecil dapat menyimpan air tetapi lemah dalam daya penembusan air dan pengudaraan. Liang udara yang besar dalam tanah gambut juga dapat membaiki pengairan tanah," katanya.

Ciri yang ada dalam tanah gambut proses juga menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan akar yang akan meningkatkan penyerapan zat makanan kepada pokok.

Tanah gambut proses juga menggalakkan aktiviti biologi dalam tanah kerana ia menjadi rumah kepada mikro organisme tanah yang akan menghadamkan bahan dalam tanah dengan menggunakan zat gula dan karbon sebagai sumber tenaga.

Tanah ini juga jika dibandingkan dengan penyubur tanah yang lain, ia mengandungi bahan organik yang tinggi dan mampu kekal beberapa tahun dalam tanah.

Proses pereputan yang perlahan dapat memberi kesan organik lebih lama yang boleh mengurangkan kos kepada pengguna.

Kandungan tanah Peatgro juga mempunyai kadar dijangkiti penyakit mikro organisme yang rendah berbanding tanah garam galian. Tambahan pula kebanyakan kuman penyakit tanah tidak dapat hidup dalam keadaan terlalu berasid.

Tanah gambut proses juga bebas daripada rumput rumpai kerana air sentiasa bertakung dan mempunyai pH yang rendah. Ia membolehkan tanaman tumbuh dalam keadaan bebas persaingan rumput rumpai.

Secara tidak langsung, Peatgro menjimatkan kos penyelenggaraan dan merumput. Masa berkebun juga dapat dikurangkan untuk kerja membersihkan tanaman dan ia juga amat sesuai bagi penanaman rapi di kawasan padang seperti padang golf dan taman awam.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 16, 2009

Rumpun Damai Nursery

(Post: Bahasa Melayu)
"Menyingkap rahsia kejayaannya itu, Md Rejab berkata, pada mulanya beliau tidak nampak bagaimana tapak semaian boleh memberikan pendapatan tambahan kepada keluarganya."

Kira-kira 37 tahun lalu beliau tidak pernah terfikir bahawa bidang semaian tanaman yang diceburi boleh mengubah hidupnya sekeluarga sehingga mampu meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Itulah yang berlaku kepada Md Rejab Hasanudin, 66, seorang bekas pengawal keselamatan sekolah di Kampung Melayu, Sungai Buloh yang kini mengusahakan syarikat landskap, Rumpun Damai Nursery.

Md Rejab yang lebih dikenali sebagai Pak Jab adalah antara perintis landskap di kampung berkenaan sehingga menjadikan kawasan sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara dikenali sebagai bandar nurseri, tempat kunjungan peminat seni hias laman.

"Saya hanya 'jaga' atau 'guard' di sekolah rendah ketika mula-mula menceburi bidang semaian. Saya berguru dengan Isa Bulat, orang pertama yang membuka nurseri di Sungai Buloh."

"Pada awalnya, saya hanya bekerja dengan Isa secara sambilan pada siang hari untuk menambah pendapatan manakala pada malam saya bertugas menjadi jaga di sekolah," katanya yang kini mempunyai tiga tapak semaian, dua di Sungai Buloh dan satu di Sungai Petani, Kedah.

"Mula-mula dulu, saya tanya Isa, mengapa dia menanam pokok yang tidak mendatangkan hasil seperti buah-buahan. Saya tidak nampak pokok yang berbunga dan berdaun ini boleh memberi duit."

"Selepas diterangkan Isa bahawa pokok bunga turut membuka rezeki kerana dibeli pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk landskap bandar baru dan kilang perusahaan, baru saya faham. Selepas itu, saya mengambil kursus semaian Jabatan Perhutanan yang dibuka kepada kakitangan kerajaan pada masa itu," katanya.

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dikutip selama sembilan tahun bekerja sambilan di Nurseri Sungai Buloh milik Mohd Isa, Md Rejab akhirnya mengambil keputusan membuka tapak semaian sendiri pada 1980.

Bermula dari situ, beliau terus mengembangkan perniagaannya dan kini menjadi kontraktor landskap untuk projek besar milik kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), swasta dan orang perseorangan.

Antara projek besar yang diusahakan syarikatnya ialah landskap untuk projek di bawah Arkib Negara dan Institut Perundangan dan Kehakiman Malaysia di Bangi.

Terkini, syarikatnya yang mempunyai 10 pekerja tetap itu melakukan kerja landskap untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Projek Mengindahkan Sungai Gombak dengan kontrak jutaan ringgit bagi tempoh tiga tahun.

Selain menjadi kontraktor landskap, syarikatnya juga menjadi pembekal pokok untuk landskap di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi cawangan syarikatnya di Kedah.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, pada peringkat awal, agak sukar untuk menjual hasil tapak semaian tetapi dengan bantuan Isa, beliau banyak mendapat kontrak kerajaan dan swasta.

"Pernah satu ketika, projek landskap yang dilaksanakan musnah akibat banjir. Saya menanggung rugi kerana selain pokok musnah, saya terpaksa menanam pokok baru yang kosnya ditanggung saya sendiri."

"Dalam projek besar, kita biasanya ada perjanjian dan risiko akibat bencana alam adalah ditanggung pihak syarikat, maka mahu atau tidak, kerja mesti diteruskan. Oleh itu, walaupun pendapatan sedikit, saya lebih berminat melaksanakan projek jangka pendek dan kecil-kecilan."

"Pendapatan yang sikit ini sebenarnya yang membawa kepada keuntungan lebih besar dan segera," katanya.

Selain menjual semaian dan membuat projek landskap untuk orang perseorangan, syarikatnya mula dikenali dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk menjual aksesori taman, membuat kolam, wakaf dan pegola.

Menganggap perniagaan yang diusahakan sebagai ibadah selain tempat mencari rezeki, beliau mengakui tidak pernah menjadikan syarikat lain yang ada di Kampung Melayu itu sebagai saingan tetapi rakan kongsi untuk bekerjasama dan mencari pendapatan bersama.

"Di kampung ini ada 18 kontraktor landskap dan nurseri tetapi kami semua bekerjasama bukannya bersaing. Jika syarikat saya terlalu banyak kontrak dan merasakan tidak mampu melaksanakannya, saya akan minta bantuan rakan lain, begitu juga sebaliknya."

Kini, selain menjadi kontraktor landskap, Pak Jab juga menjadi rujukan mereka yang ingin membuka tapak semaian serta menceburi bidang landskap. Malah, nurseri miliknya juga menjadi tempat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membuat latihan praktikal industri.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::