ATTENTION !!!

Showing posts with label itik. Show all posts
Showing posts with label itik. Show all posts

Thursday, January 6, 2011

Dunia Baru Ashraf Muslim

(Post: Bahasa Melayu)
" Sisipan XY - Ikon Lelaki mendekati aktor dan pengacara popular, Ashraf Muslim bersama bisnes ternakannya di Alor Gajah, Melaka. Bak si gembala kambing moden, jom dekati inspirasi dan erti hijrah dalam hidup si bujang ini... "

Istilah korban paling tepat dalam menterjemah kehidupan yang dilalui selebriti ini sekarang. Fasa baru dalam hidup pelakon dan pengacara, Ashraf Muslim menyaksikan bintang muda ini melakukan pengorbanan terbesar demi mencari keseimbangan hidup.

Enggan leka di sebalik populariti dunia hiburan, figura muda ini pantas memilih jalan yang lebih menjamin masa depan - menjadi tauke ternakan kambing di kampung halaman di Melaka.

Tidak cukup itu, personaliti berusia 29 tahun ini kini berjinak-jinak pula dalam bidang rawatan alternatif menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Melihat prospek bidang ternakan yang diusahakan Ashraf sejak beberapa tahun lalu termasuk bidang rawatan alternatif, tidak mustahil si bujang ini mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan seperti yang dilafazkan sendiri Ashraf pada pertemuan bersama XY - Ikon Lelaki.

Ketika penulis berkunjung ke ladang ternakan kambing milik Ashraf di Alor Gajah, baru-baru, terbayang betapa tinggi cita-cita anak muda ini untuk meluaskan kegiatan ternakan yang diceburinya. Bukan hangat-hangat tahi ayam, sebaliknya gah tersergam ladang ternakan seluas kira-kira sehektar yang diusahakan bersama bapanya.

"Perniagaan ternakan kambing ini adalah perancangan masa depan saya. Walaupun sudah dikenali dalam dunia hiburan, kita perlu sentiasa beringat-ingat untuk merencanakan sesuatu yang lebih menjamin masa depan."

"Semua itu tidak datang tanpa pengorbanan dan minat. Pengalaman dalam urus niaga jual beli lembu sebelum berkecimpung dalam dunia hiburan memberi kelebihan untuk mengusahakan ternakan kambing ini secara komersial," kata Ashraf.

Selain menternak kambing daripada spesies boer, janapari, dorpher dan kampung, usahawan muda ini turut menternak ayam kampung, itik daging, telur itik, ikan keli dan ikan talapia sebagai sumber pendapatan sampingan.

Malah, ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, Ashraf tidak menang tangan memenuhi permintaan untuk korban kambing dan lembu.

"Sebenarnya sebelum aktif dalam dunia hiburan, saya sudah berjinak-jinak dalam jual beli lembu di Melaka. Memang minat saya berniaga, jadi bukanlah sesuatu yang asing apabila saya memilih untuk menternak kambing."

"Selepas beberapa tahun mengusahakan ternakan ini, prospek perniagaan ini cukup cerah dan sambutannya cukup menggalakkan terutama pada musim-musim perayaan seperti Aidiladha," kata Ashraf Muslim lagi.

Jom kenali isi hati jejaka kelahiran Petaling Jaya ini, serta selami lebih banyak detik penghijrahan hidup Ashraf...

Dalam banyak prospek perniagaan lain, bagaimana anda boleh memilih ternakan kambing sebagai model perniagaan?

Bidang ternakan bukanlah asing dalam diri saya. Sejak 2006 lagi saya sudah berkecimpung dalam perniagaan jual beli lembu. Dalam perniagaan itu, saya menjadi perantaraan kepada mereka yang hendak membeli lembu.

Saya selalu terfikir, mengapa tidak mengusahakan ladang ternakan sendiri walaupun sudah bergelar artis.

Bagaimana anda membahagikan masa pada perniagaan ternakan ini dan dunia lakonan?

Saya gembira kerana dibantu bersama ayah yang kebetulan sudah bersara. Kebiasaannya, pada hujung minggu saya akan pulang ke Melaka untuk melihat perkembangan perniagaan ini.

Biarpun sibuk, saya cukup seronok berkecimpung dalam dunia perniagaan. Ini kerana kita berinteraksi dengan pelbagai jenis orang dan ragam. Malah sambutan Aidiladha lalu, saya menjadi orang tengah untuk proses pembekalan 50 ekor lembu korban.

Tidakkah kekok melakukan kerja-kerja kotor dan kasar berbeza dengan dunia selebriti?

Tiada sebab untuk saya berasa janggal melakukan tugasan di ladang ternakan. Ini kerana memang minat saya ke arah ini (perniagaan ternakan). Saya pula memang sukakan alam semula jadi, lantas bukan sesuatu yang pelik untuk menyatukan diri dalam tugasan sebegini.

Bagaimana pula anda membahagikan masa dengan kerjaya lakonan?

Saya bersyukur dengan tawaran lakonan yang konsisten. Saya baru saja selesai berlakon drama bersiri Ustaz Amirul sebanyak 13 episod untuk slot Zehra di TV3 selain pengalaman pertama menjadi pengacara Gadis Melayu.

Jujur saya katakan, jadual harian saya cukup sibuk di mana perlu berlakon, mengacara hinggalah urusan perniagaan di kampung. Namun, saya gembira dengan apa dilakukan sekarang.

Ceritakan senario anda setiap kali sambutan Hari Raya Aidiadha?

Menjadi kebiasaan saya dan ahli keluarga untuk melakukan korban. Pada masa yang sama, kami sibuk bergotong-royong melapah daging lembu yang sudah menjadi kelaziman anggota keluarga.

Selain menziarah keluarga lain, tidak lupa, saya akan melawat kubur ibu yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu akibat kanser payudara.

Erti hijrah dalam diri anda?

Bagi saya, hijrah itu suatu pengorbanan hidup. Ia perlu dilakukan secara ikhlas untuk kita benar-benar menghayati kelebihannya. Diibaratkan sesuatu yang cukup sukar ditinggalkan, tetapi perlu dilakukan untuk pengorbanan, begitulah yang harus kita lakukan ke arah kebaikan.

Adakah anda melalui proses hijrah dalam hidup?

Suka saya katakan seperti transformasi hijrah diri, di mana saya bersyukur dengan hijrah diri saya sekarang. Alhamdulillah, saya gembira dengan perubahan diri serta nikmat yang diberi.

Tiada lagi Ashraf Muslim yang dulu, sebaliknya saya melihat ke depan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Apakah perubahan ketara anda selepas transformasi diri?

Jujur saya katakan prinsip saya turut berubah di mana batas-batas pergaulan termasuk watak lakonan juga saya ambil perhatian. Malah, saya juga tidak mahu bergambar atau diganding bersama artis wanita. Ini kerana status saya yang sudah berjinak-jinak dalam dunia perubatan Islam.

Dengan perubahan saya ini, jika hendak tahu, semakin kerap saya ditawarkan watak ustaz dan orang alim. (tersenyum).

Adakah anda seorang yang merancang dalam hidup?

Dulu tidaklah berfikiran seperti sekarang. Tetapi bersyukur kerana saya tidak alpa untuk merencanakan masa depan. Sampai bila hendak berlakon dan untuk apa kita berlakon? Andai lakonan kita itu mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik, maka berbaloilah tugas saya.

Namun, tiba ketika transformasi diri itu berlaku, maka tidak mustahil saya meninggalkan dunia lakonan.

Sisi Berbeza Pengamal Perubatan

Dalam sibuk mengatur jadual dalam dunia lakonan selain meluaskan perniagaan ternakan, siapa sangka Ashraf berkebolehan mengubati pelbagai jenis penyakit menggunakan surah al-Quran.

Kata Ashraf, sudah lebih setahun beliau memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bersama beberapa ustaz lain di Syifa Al-Hidayah di Gombak, Selangor. Lazimnya, Ashraf berkunjung ke pusat itu pada malam hari selepas selesai penggambaran drama atau urusan lain.

"Ramai pesakit datang ke Syifa Al-Hidayah merangkumi kes biasa hinggalah sakit merbahaya seperti kanser, HIV/AIDS, sawan dan penyakit misteri lain."

"Setakat ini, sambutan cukup menggalakkan hingga lewat malam kami dikunjungi. Saya gembira kerana dapat berkhidmat kepada mereka yang memerlukan bantuan," kata Ashraf yang sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang dianugerahkan kepadanya.

Ditanya mengapa memilih haluan itu, Ashraf dalam tenang menganggap perlu ada keseimbangan dalam hidup seseorang Muslim. Sambil menyifatkan pilihan itu sebagai kehendak diri sendiri, Ashraf mengakui beliau cukup gembira dengan apa yang dilakukannya sekarang.

Biarpun aktiviti hariannya cukup padat pada sebelah siang, Ashraf berkata, tumpuannya tetap kepada program penawar di Syifa Al-Hidayah selagi beliau termampu.

"Jika hendak dikira letih dan penat, memanglah ada perasaan itu. Ini kerana jumlah yang hadir mencapai 500 orang setiap hari. Tetapi, apa yang menggembirakan saya ialah apabila pesakit semakin pulih dengan rawatan yang diberi."

"Apabila melihat perubahan dalam diri pesakit itulah harga cukup besar diterima selama ini," kata Ashraf penuh bermakna.

Sambil berkongsi perkembangan lain, Ashraf berkata, pihaknya sedang menunggu lampu hijau untuk bekerjasama dengan sebuah hospital swasta berpangkalan di Kuala Lumpur bagi memberikan khidmat rawatan alternatif kepada pesakit hospital menggunakan surah al-Quran.

Andai pada hari biasa si bujang ini sibuk di Syifa Al-Hidayah, tiba hujung minggu, beliau menawarkan kebolehan sama di rumahnya di Taman Teluk Mas, Melaka.

"Begitulah aktiviti saya sejak berjinak-jinak dalam dunia rawatan alternatif. Malah, sambutannya cukup menggalakkan hingga ada pesakit dari negeri lain termasuk Singapura datang mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, November 12, 2009

Khaki Campbell Bella Projek

(Post: Bahasa Melayu)
"Jika diberi pilihan untuk bekerja di bilik berhawa dingin atau berpanas terik di bawah mentari, tentu ramai yang lebih rela bekerja di bilik berhawa dingin. Namun begitu, masih terdapat segelintir siswazah menolak keselesaan di pejabat dengan menceburi bidang ternakan itik."

Elly Yuza Mahmud, 24, pemegang ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, percaya aktiviti ternakan itik mempunyai masa depan yang cerah dan menjanjikan pulangan lumayan bagi pasaran dalam dan luar negara.

Beliau bertekad untuk berdikari selepas menyaksikan kejayaan usahawan yang menternak itik secara komersial di negara ini.

"Saya pernah menjalani latihan menternak itik selama seminggu di ladang ternakan itik di Taiping, Perak yang mempunyai ternakan kira-kira 320,000 ekor."

"Saya belajar teknik memelihara itik mulai anak yang baru menetas sehingga itik bertelur," katanya ketika ditemui di ladang ternakan itiknya di Kesang Pajak, Jasin, Melaka.

Beliau memilih untuk menternak itik kerana haiwan itu tahan serangan penyakit dan tidak banyak kerenah.

"Saya memilih ternakan itik kerana hasilnya (telur) boleh dipungut setiap hari, berbanding ternakan lain seperti lembu, kambing, ayam daging dan ikan yang memerlukan tempoh tertentu," katanya.

Ternakan itik juga tidak memerlukan pembinaan reban seperti ternakan ayam.

Cuma, katanya, sesebuah ladang itu harus mempunyai kawasan daratan dan kawasan berair untuk itik bermain.

Elly Yuza memulakan ternakan itik spesies Khaki Campbell di kawasan seluas 3.2 hektar berhampiran bekas lombong pada April lalu.

Beliau memulakan usaha dengan jumlah ternakan 6,000 ekor dan kini bertambah 32,000 ekor. Kini, ternakannya menghasilkan 15,000 biji telur sehari dan jumlah itu terus meningkat apabila kesemua itiknya mencapai umur matang untuk bertelur.

Beliau dibantu 12 orang pekerja bagi mengendalikan ladang berkenaan yang terletak agak jauh dari penempatan awam dan dikelilingi kebun getah serta hutan.

Sebanyak RM150,000 dibelanjakan bagi makanan itik pada setiap bulan dan bagi memastikan itik peliharaannya membesar dengan baik dan mengeluarkan telur berkualiti, ladang itu memproses sendiri makanan itik dengan bahan campuran seperti jagung, kacang soya dan beras hancur.

Elly Yuza berkata, kaedah Efektif Mikro Organisme (EM) digunakan dalam pengurusan ladangnya bagi mengelakkan lalat dan pencemaran lain.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut memberi khidmat nasihat dan melawat ladangnya dua kali seminggu.

Apabila matahari beransur menerangi kawasan ladangnya pada setiap hari dan dengan bunyi suara riuh rendah itik-itik itu, pekerja Elly Yuza akan memasuki ladang untuk mengutip telur yang berselerak.

Mereka perlu melakukan kerja mengutip dengan berhati-hati agar tiada telur yang pecah dan mereka juga perlu melihat di kawasan berair kerana terdapat juga itik bertelur di situ.

Telur yang dikutip itu kemudiannya dikumpul di dalam sebuah bangsal untuk dibersihkan secara manual dan juga menggunakan mesin.

Telur yang telah dibersihkan tanpa menggunakan air itu, kemudiannya akan disusun di dalam rak telur.

Elly Yuza berkata, melalui syarikatnya, Bella Projek Sdn Bhd, telur berkenaan dijual di seluruh negara.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, September 1, 2009

Lembu, Kambing, Itik, Keli - Zamzuree

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukan mudah bagi Zamzuree untuk mengumpul aset sebesar itu. Anak kepada seorang guru sekolah kampung yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh ini mengambil risiko besar meninggalkan pekerjaan kolar putih untuk menceburi bidang perniagaan."

Memang ramai sebenarnya di dunia ini yang boleh bercerita bagaimana mereka tidak akan berjaya jika tidak menemui kegagalan terlebih dahulu.

Zamzuree Zakaria, 43, ialah seorang daripadanya yang menjadikan pengalaman kecundang sebagai pengajaran amat berguna untuk bangkit semula dan muncul sebagai antara pengimport dan pengeksport lembu secara komersial terbesar di negara ini.

Dengan berbekalkan modal hanya RM40,000 pada tahun 2000, yang sekadar mampu mengimport 28 ekor lembu dari Australia, kini pengusaha lembu yang juga Pengarah Syarikat Mahaderas Sdn. Bhd. ini sudah memiliki aset semasa lebih RM4.9 juta.

"Ini termasuk kandang dan peralatan yang membabitkan kawasan seluas 8.7 hektar di Kampung Jelor, Pasir Puteh," katanya kepada ketika ditemui di ladangnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Zamzuree pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 mengambil alih pengurusan perniagaan daripada bapanya Zakaria Awang pada tahun 2003.

Sebelum itu, beliau pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk Renong Berhad, Kuala Lumpur dan sebuah bank di Kelantan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan penternakan.

Setahun selepas mengambil alih perniagaan bapanya, beliau menghadapi ujian perniagaannya hampir lumpuh berikutan harga import lembu dari Australia meningkat mendadak kerana nilai mata wang negara menurun.

"Ia halangan terbesar dan perniagaan saya hampir lumpuh sama sekali."

"Saya pernah menerima pelbagai kritikan dan cacian daripada masyarakat di atas kegagalan itu dan saya jadikan ia sebagai tiupan semangat untuk bangkit semula."

"Doa dan harapan saya mendapat keredaan Allah apabila diselamatkan oleh Agro Bank yang meluluskan pinjaman segera berjumlah RM1.4 juta sebagai modal pusingan," katanya.

Dengan wang pinjaman itu, Zamzuree mula mengalih tumpuan ke arah mengimport lembu dari Selatan Thailand terutama spesies Brahman Cross India.

Kini beliau mengimport kira-kira 12,000 ekor setahun untuk dipasarkan di Semenanjung terutama Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Pahang, selain Kelantan.

Terbaharu, lebih 1,200 ekor lembu bernilai RM2 juta sudah ditempah bermula akhir bulan ini bagi keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri.

"Sebahagian besar daripada jumlah itu sudah tiba dan ditempatkan di ladang syarikat untuk dikuarantinkan selama 10 hari dan diberi suntikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh agar ia selamat dan bebas daripada pelbagai jangkitan penyakit sebelum diedarkan kepada pengguna," katanya.

Lembu berkenaan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 seekor dan sehingga kini ia mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah bagi kenduri kahwin.

Zamzuree berkata, berasaskan kejayaan itu beliau mempelbagaikan kegiatan dengan menyertai projek hiliran seperti ternakan 1,300 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk memproses dijadikan telur masin.

Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 900 biji telur sehari untuk pasaran domestik dan merancang untuk menghasilkan 10,000 biji untuk dieksport ke luar Kelantan.

Zamzuree juga mengimport dan menternak 200 ekor kambing daging spesies luar negara dan sehingga kini dapat memasarkan 100 ekor sebulan untuk keperluan tempatan.

Bagi keperluan harian, beliau turut menternak 300,000 ekor ikan keli dan mengeluarkan hasil antara 800kg dan 1,000 tan sebulan.

Beliau juga ialah pengeluar terbesar baja organik hasil buangan bahan terbiar seperti najis lembu, kambing dan itik selain campuran bahan kimia bagi penyuburan tanaman jangka pendek dan panjang.

Antara 10 hingga 20 tan sehari mampu dikeluarkan bagi memenuhi keperluan domestik termasuk beberapa buah syarikat di Terengganu.

Di samping itu, Zamzuree juga mempunyai sebuah kolam memancing pelbagai spesies ikan yang membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar dan sebuah restoran.

Kolam berkenaan disediakan untuk memberi peluang kepada remaja melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat dengan mengenakan bayaran RM7 sejam.

Setiap bulan beliau mengadakan karnival memancing dengan tawaran hadiah menarik termasuk wang tunai.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, April 7, 2009

Usahawan Itik Telur

(Post: Bahasa Melayu)
"Segala-galanya bermula pertengahan tahun 2008, selepas kira-kira tiga bulan menamatkan kursus, beliau mendapati ternakan itik telur berpotensi dikembangkan di negeri Kelantan, walaupun pada awalnya mempelajari bidang ternakan lembu dan kambing."

Sejak mula menceburi ternakan itik telur spesies Khaki Campbell mulai pertengahan Ogos 2008, lulusan Institut Veterinar Kluang, Johor, Mohd Asyrafuddin Mohd Ghazali, 24, kini mampu berbangga apabila lebih 600 itik telur peliharaannya, memberi pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan telur segar dan masin.

Ketika anak muda sebayanya yang lain masih tercari-cari pekerjaan sesuai dan sesetengahnya dilanda musibah akibat kehilangan pekerjaan kerana kegawatan ekonomi, Mohd Asyrafuddin sedang melangkah jauh dalam usahanya menternak itik telur apabila turut dipilih oleh kerajaan untuk membantu penduduk miskin negeri ini mengubah kehidupan mereka dengan ternakan itik.

"Saya belajar ternakan lembu dan kambing, tetapi selepas belajar, saya dapati ternakan itik lebih berpotensi untuk dikembangkan sebagai perniagaan kerana mudah dan murah."

"Selepas berbincang dengan keluarga, saya mencari sendiri bekalan itik di Perak dengan membeli kira-kira 500 itik dewasa dan 100 anak itik untuk memulakan perusahaan ini atas tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang disewa."

"Selepas kira-kira tiga bulan, itik yang diternak ini mula mengeluarkan hasil, membolehkan saya mengutip kira-kira 400 biji telur sehari yang dijual sebagai telur segar dan diproses sebagai telur masin menerusi peniaga pasar sekitar Wakaf Bharu, Kota Bharu dan Tumpat,"

Telur itik segar dijual borong pada harga 40 sen sebiji, manakala 58 sen sebiji bagi telur masin yang dihasilkannya sendiri di pusat ternakan itik miliknya itu, membolehkan beliau memperoleh pendapatan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Selepas lapan bulan berlalu, permintaan terhadap telur itik yang diusahakannya semakin meningkat dan keadaan itu mendorongnya kini menambah bilangan ternakan itik yang diternaknya itu sebanyak 4,400 ekor lagi yang akan diterimanya dalam tempoh terdekat.

"Semua itik ini mampu menghasilkan telur sehingga usia tiga tahun sebelum disembelih untuk jualan daging segar. Semua itik ini saya beri makan dua kali sehari bermula jam 6 pagi sambil mengutip telurnya dengan kira-kira 100 butir diproses sebagai telur masin."

Anak muda berjiwa besar itu kini dijadikan contoh usahawan muda dan dilantik oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan sebagai Mentor Program e-Kasih anjuran Kerajaan Pusat bagi membantu keluarga penduduk miskin negeri ini yang berminat menceburi ternakan itik telur itu.

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
Khaki Campbell

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::