ATTENTION !!!

Showing posts with label penyelidikan. Show all posts
Showing posts with label penyelidikan. Show all posts

Sunday, June 26, 2011

Motosikal Elektrik Modenas CTric

(Post: Bahasa Melayu)
" Pengenalan motosikal menggunakan sumber elektrik dikatakan bermula sejak tahun 1860-an. Ketika itu, sudah ada paten motosikal berasaskan sumber alternatif. Namun begitu, tiada rekod rasmi mengenainya. "

Hanya pada tahun 1941, ada rekod mendakwa Earle Williams dari Amerika Syarikat (AS) melakukan pengubahsuaian sebuah motosikal dengan enjin konvensional menjadi motosikal elektrik.

Setahun selepas itu, firma Australia iaitu Socovel mengeluarkan kira-kira 400 unit motosikal elektrik buatan sendiri. Pendorong penciptaan motosikal hijau pada waktu itu dikaitkan dengan senario kenaikan harga minyak global.

Peugeot Motocycles menjadi syarikat pertama melaksanakan pengeluaran skuter elektrik berskala besar-besaran pada tahun 1996.

Dikenali sebagai Scoot'elec, ia berjaya mencatat jualan sebanyak 3,500 unit sebelum pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006. Model pengganti Scoot'elec dikatakan bakal dilancarkan pada tahun ini.

Tanggal 16 Jun lalu, landskap industri motosikal tempatan mengalami pembaharuan apabila Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) melancarkan model motosikal elektriknya, CTric.

Jentera beroda dua elektrik pertama negara itu berjaya memenuhi standard piawaian motosikal elektrik SIRIM iaitu MS2413. Harus tahu bahawa CTric diuji berdasarkan piawaian ujian Japan Industrial Standard (JIS).

MS2413 yang diperkenalkan pada 7 April lalu merupakan piawaian khusus untuk motosikal elektrik dan tidak membabitkan basikal elektrik. Terdapat tiga bahagian utama terkandung di dalamnya iaitu spesifikasi umum, keselamatan dan ujian prestasi.

Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah CTric perlu memiliki prestasi sama dengan motosikal enjin pembakaran dalaman (combustion engine) dengan kelajuan melebihi 50 kilometer/sejam (km/j). Ia juga perlu berupaya menaiki cerun pada sudut 20 darjah.

Selain itu, harga motosikal elektrik perlu 2.5 sehingga tiga kali ganda harga motosikal berenjin biasa. Faktor itu, akan menyebabkan harga motosikal hijau lebih mahal berbanding motosikal menggunakan petrol sebagai sumber tenaga.

Jadi Modenas memerlukan formula agar motosikal itu lebih mampu dimiliki. Jawapannya terletak pada penggunaan bateri asid plumbum 12V/20AH berasaskan teknologi Nano Gel, berbanding mengguna pakai bateri lithium ion polimer.

Ini dapat mengurangkan harga motosikal kerana pemilihan bateri asid plumbum 12V/20AH jauh lebih murah berbanding bateri lithium ion polimer. Murah bukannya tidak berkualiti. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya.

Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Modenas, Ahmad Sabandi Othman berkata, walaupun bateri lithium ion polimer memiliki jangka hayat lebih lama dan berprestasi tinggi, ia juga mudah meletup apabila terlebih cas atau sewaktu nyah cas bateri dilakukan.

"Kelemahan kedua-dua jenis bateri ini dan kenderaan elektrik adalah ia tidak dapat bergerak jauh (secara berterusan) berbanding enjin pembakaran dalaman. Motosikal elektrik juga memerlukan masa mengecas yang lama. Paling minimum ialah tiga jam," katanya dalam satu taklimat CTric.

Motosikal CTric dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha di Shah Alam baru-baru ini. Beliau menyatakan ada tiga lagi pembuat tempatan termasuk pengimport motosikal berada dalam proses mendapat kelulusan memasarkan motosikal elektrik mereka.

Berdasarkan model CT

CTric dibina berdasarkan model motosikal petrol Modenas iaitu CT. Malah nama CTric merupakan gabungan model CT dan elektrik. Enjin petrol pada model CT ditukar kepada motor yang digerak menggunakan kuasa elektrik.

Sumber penggerak motosikal seberat 114 kilogram (kg) itu diperoleh menerusi lima unit bateri dengan kapasiti 1,200Wh. Tenaga disalurkan kepada Motor Arus Terus Tanpa Sesentuh berkuasa 3.60kW @ 80km/j. CTric menggunakan transmisi automatik.

Pemilihan model CT sememangnya tepat. Model tersebut merupakan produk paling laris Modenas buat masa ini. Sejak model CT110 dan CT100 diperkenalkan pada November 2009 dan Januari 2010, jualan terkumpul kedua-model itu sudah melebihi 40,000 unit sehingga Mac 2011.

Jumlah pendaftaran semua model motosikal Modenas sejak tahun 1996 sehingga April lalu sudah melebihi 1.1 juta unit.

Ahmad Sabandi berkata, bateri CTric boleh dicas menerusi soket tiga pin seperti yang digunakan di rumah. Apabila bateri sudah dicas penuh, sumber elektrik akan diputuskan secara automatik. Ini membolehkan bateri tersebut memiliki jangka hayat lebih lama.

Dua mode mengecas disediakan. Mode pantas selama 3.5 jam dan lapan jam untuk pengecasan normal.

Jarak tunggangan setiap kali caj penuh ialah 60 kilometer (km) dengan tunggangan pada kelajuan purata 30km/j. Had laju CTric mampu mencapai 70km/j.

Kos untuk setiap km ialah satu sen berbanding petrol sebanyak lima sen satu km. Setiap unit bateri memiliki jangka hayat kira-kira dua tahun atau jarak perbatuan 32,000km (mana-mana yang tiba dahulu).

Modenas CTric turut diuji apabila ditenggelami air pada paras ketinggian 25 sentimeter (sm) iaitu lebih 15 sm berbanding standard yang ditetapkan. Jentera itu kemudiannya diuji dalam saluran air sepanjang 500 meter.

Hasilnya, keseluruhan rangkaian kuasa adalah kalis air.

Ketua Eksekutif Modenas, Abd. Halim Ismail memberitahu, model tersebut disasarkan kepada para pengguna di bandar. Pada peringkat awal, pengeluaran sebanyak 700 unit sebulan akan dibuat.

"Sebanyak 500 unit untuk pasaran domestik dan selebihnya untuk tujuan eksport. Eksport pertama sebanyak 100 unit ke Iran akan dilaksanakan menjelang akhir bulan ini," katanya yang memberitahu CTric turut menarik minat beberapa negara lain termasuklah Eropah dan Korea.

Sistem operasi CTric

Untuk menghidupkan CTric, kunci harus dimasukkan terlebih dahulu, sebelum tongkat motosikal dinaikkan. Tongkat tersebut dilengkapi alat pengesan (sensor) keselamatan untuk mengelakkan berlaku pergerakan secara tidak sengaja.

Tiga mod disediakan iaitu D untuk tunggangan, N (neutral) dan R bagi mengundur. Pulas pendikit dan jentera akan bergerak. Perbezaannya terletak pada mod R. Jika ingin mengundurkan motosikal, pilih mod R dan anda perlu menekan butang REV sewaktu memulas pendikit.

CTric ditawarkan pada harga RM4,888 seunit, termasuk cukai jalan dan insurans. Menarik bukan? Harganya hampir menyamai beberapa jenama motosikal enjin konvensional yang ada di pasaran sekarang.

Usaha Modenas dalam merealisasi motosikal berasaskan teknologi hijau membuktikan kemampuannya untuk mencetuskan kelainan dalam industri, selain menonjolkan produk negara di persada antarabangsa.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, June 25, 2011

Jering Rawat Sisa Kumbahan Tekstil

(Post: Bahasa Melayu)
" Warna-warna menawan fabrik batik Malaysia kini menghiasi tubuh para supermodel di kota-kota fesyen seperti di Milan, Paris dan New York. Malah, ramai yang terpikat dengan keunikan batik keluaran Malaysia. "

Namun, tanpa disedari sisa kumbahan memproses batik mengandungi bahan pewarna dan kimia berbahaya.

Sehubungan itu, seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Habsah Alwi dan ahli kumpulan penyelidikannya mencari kaedah terbaik dan mesra alam bagi mengatasi masalah tersebut.

Lebih menarik, kumpulan penyelidik itu menggunakan jering untuk membersihkan sisa kumbahan yang terhasil daripada proses membatik.

Jering atau nama saintifiknya pithecellobium jirnga cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai salah satu ulam-ulaman pembuka selera. Namun, jering juga kurang digemari kerana baunya yang kurang menyenangkan.

Bagaimanapun, orang ramai mempunyai sebab mengapa mereka harus menyukai jering kerana ia membantu membersihkan sisa kumbahan memproses batik.

"Berdasarkan penyelidikan yang kami jalankan, jering mempunyai keupayaan untuk mengurangkan warna dalam sisa-sisa cecair kumbahan dari kilang batik."

"Tergolong dalam kelompok sayur-sayuran, jering juga mempunyai nilai-nilai perubatan yang tinggi. Bukti saintifik menunjukkan ia mampu mencegah penyakit diabetes dan hipertensi," ujar Habsah ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam.

Menurut Habsah, disebabkan semakin ramai yang kurang menggemari menikmati jering sebagai ulan-ulaman, beliau dan penyelidik lain mengambil inisiatif mengkaji kegunaan lain buah itu.

Buah dan polong jering yang mengandungi bahan aktif dan tinggi bahan biodegradasi dipercayai boleh merawat air kumbahan yang dihasilkan oleh kilang tekstil.

Justeru, ia sesuai digunakan oleh pengusaha tekstil terutama pengeluar batik kerana kilang-kilang ini menghasilkan sisa kimia yang banyak.

Perubahan sampel

"Hasil penyelidikan yang dijalankan, biji dan sabut jering dibersih dan diasingkan. Kemudian ia dilumat dan disaring untuk mendapatkan saiz homogen."

"Biji dan sabut jering dimasukkan di dalam ketuhar pada suhu antara 50 hingga 100 darjah Celcius selama 24 jam untuk proses pengeringan. Selepas itu, beberapa sampel sisa kumbahan batik dimasukkan ke dalam gelas dan ciri-ciri sampel direkodkan."

"Kemudian, biji dan sabut jering yang telah diproses turut dimasukkan ke dalam gelas-gelas tersebut," terang Habsah. Perubahan air di dalam gelas diperhatikan dari semasa ke semasa dan dibandingkan dengan sampel yang tidak dirawat.

Keputusannya mendapati sisa batik yang berwarna biru semakin pudar selepas diletakkan jering yang telah dikeringkan.

"Keadaan ini berlaku kerana bahan aktif yang terdapat dalam jering iaitu asid djenkolik dan alkoloid dipercayai memerangkap pigmen warna biru melalui mekanisma serapan."

"Elemen ferum dan kalsium juga membantu mengumpulan pigmen dan menguraikannya dengan cara pengendapan graviti."

"Pemendapan pigmen yang telah ditapis menjadikan sampel tersebut berwarna biru muda yang kemudian dirawat dengan cara mengalirkannya melalui karbon aktif untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar," jelas rakan penyelidik Habsah, Radziah Wahid.

Penemuan itu bagaimanapun memerlukan kajian lebih lanjut terhadap bahan aktif yang dapat menghilangkan warna. Namun, kajian itu juga memberi manfaat kepada komuniti desa dan Orang Asli yang mencari rezeki dengan menjual jering.

Penemuan itu turut memberi idea-idea baru dalam mencari sumber hijau lain untuk mengubati air sisa kumbahan tekstil.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 1, 2011

Termoplastik Bulu Ayam

(Post: Bahasa Melayu)
" Jurnal yang dikeluarkan oleh Persatuan Bahan Kimia Amerika Syarikat dari Anaheim, California mendedahkan penyelidik menemui langkah terbaru mencipta plastik mudah urai daripada buangan bulu ayam. "

Ujar wakil penyelidik, Yiqi Yang, pihaknya sedang giat menjalankan uji kaji keberkesanan penciptaan termoplastik daripada bulu pelepah spesies burung terutama ayam.

"Namun, tidak ada satu pun yang berjaya kekal dalam bentuk asal apabila basah namun teknik ini adalah yang pertama kali digunakan oleh kami dalam usaha menghasilkan kualiti terbaik menentang kebasahan kesan air," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya sedang mencuba untuk membangunkan plastik daripada sumber asli yang boleh dikitar semula untuk menggantikan bahan asas petroleum dalam penciptaan sebelum ini.

Pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan bahan biologikal dan biofiber Institut Pertanian dan Sumber Semula Jadi Universiti Nebraska-Lincoln menegaskan, pendekatan pihaknya bersifat mesra alam dan berfungsi melestarikan keseimbangan alam sekitar.

"Bulu ayam adalah prospek terbaik kerana ia mudah dan biasanya terabai."

"Selalunya lebih 1.3 bilion kilogram bulu ayam terbuang begitu sahaja di Amerika Syarikat setiap tahun. Ada baiknya jika ia dimanfaatkan untuk diproses menjadi makanan haiwan," cadangnya selain diproses untuk bahan plastik.

Bulu ayam terbina daripada keratin iaitu sejenis protein yang ditemui daripada struktur rambut, tanduk, kuku dan bulu yang boleh menambah kekuatan dan ketahanan plastik.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, May 30, 2011

Gula Ringkas Habuk Kayu

(Post: Bahasa Melayu)
" Selama ini kita hanya mengetahui gula dihasilkan daripada tebu. Kemudian beberapa tahun lalu, penemuan daun stevia sebagai alternatif gula turut menarik perhatian ramai. "

Bagaimanapun, apabila seorang penyelidik muda dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim berjaya menghasilkan gula ringkas daripada habuk kayu, penemuan itu bukan sahaja melonjakkan namanya, bahkan membolehkan beliau bakal membuka sebuah kilang tidak lama lagi.

Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) itu berkata, melalui penemuan itu beliau telah menerima geran daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) sebanyak RM500,000 bagi membina sebuah kilang.

"Saya telah menerima geran daripada MTDC bagi membina sebuah kilang dan lokasi kilang tersebut bagaimanapun, masih dalam perbincangan," kata pensyarah berusia 34 tahun itu kepada pemberita pada Malam Cendekia Bitara UMP 2010 di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Penyelidikan tersebut membawa tuah buat beliau apabila berjaya menerima anugerah Best Women Inventor daripada World Intelectual Property Organisation (WIP0) hasil projek penyelidikan yang bertajuk Sustainable Production of Sorbitol From Biomass Using Green Technology Approach pada tahun lalu.

Pengiktirafan tersebut merupakan yang tertinggi dianugerahkan oleh badan antarabangsa kepada penyelidik yang menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada negara.

Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 50 kertas kerja persidangan, 15 buah artikel yang diterbitkan dalam jurnal berwasit, satu fail yang telah dipatenkan di Malaysia dan dua fail dipatenkan di Amerika Syarikat.

Pada Malam Cendekia Bitara UMP itu Mimi Sakinah dinobatkan sebagai Tokoh Cendekia Bitara dan Anugerah Projek Penyelidikan yang membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil penghargaan setelah hasil penyelidikannya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Syukur Alhamdulillah, saya berjaya menerima hadiah bagi kedua-dua kategori tersebut walaupun tidak menyangka ia sangat berhasil."

"Walaupun terpaksa menjalankan tanggungjawab sebagai penyelidik, pensyarah dan ibu secara serentak, namun Alhamdulillah ia sangat berbaloi," katanya sambil tersenyum.

Mengulas mengenai penyelidikannya, ujar Mimi Sakinah habuk kayu sesuai digunakan sebagai bahan mentah kerana ia mengandungi selulosa yang boleh diproses menjadi gula ringkas.

Dengan teknologi hijau farmentasi katanya, ia dimanfaat bagi mengurangkan kos pengeluaran berbanding kaedah hidrogen yang digunakan secara meluas dalam penghasilan gula itu ketika ini.

"Gula yang dihasilkan menerusi projek ini bukan saja boleh digunakan sebagai pemanis makanan bahkan, untuk pelbagai industri lain seperti kosmetik."

"Penggunaan habuk kayu sebagai sumber penghasilan gula ini sekali gus mengatasi masalah pembuangan sisa industri itu yang mencapai 15 juta tan setahun di seluruh dunia."

Penyelidikan tersebut turut dibantu Dr. Zularisam Ab. Wahid serta Rusmawarni Ramli.

Pencapaian dibanggakan

Sementara itu, UMP kini giat mengkomersialkan hasil ciptaan penyelidiknya sebagai permulaan untuk menjadi sebuah universiti teknikal bertaraf dunia.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, bagi tujuan itu UMP kini sedang memperbanyakkan bilangan penyelidikan serta membangunkan pelbagai projek.

"Alhamdulillah UMP telah berjaya melalui dua fasa penting iaitu meletakkan asas universiti teknikal (2002-2007) dan memperkukuhkan asas serta menjana kecemerlangan (2008-2010)."

"Kini era pelan strategik (2011-2015) dan warga UMP sedang giat berusaha merealisasikan UMP ke arah universiti pilihan utama," katanya.

Universiti tersebut kini melindungi harta inteleknya sejak tahun 2008 dengan mempatenkan empat fail dan ia bertambah kepada 49 fail setahun selepas itu.

Ia sekali gus menjadikan universiti berkenaan antara institusi yang memfailkan paten terbanyak pada peringkat nasional."

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, May 3, 2011

GreenKit MARDI

(Post: Bahasa Melayu)
" Bercucuk tanam dalam bekas air? Pelik bukan, tetapi inilah keistimewaan GreenKit atau sistem penanaman dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri. "

Menariknya, produk rekaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) yang sesuai digunakan pemilik laman terhad seperti pangsapuri dan kondominium ini, turut mengharumkan negara apabila meraih pingat emas dalam pertandingan reka cipta di Korea Selatan.

Aktiviti berkebun kini bukan hanya menjadi minat mereka yang tinggal di kampung dan desa, malah mereka ramai yang di bandar besar serta tinggal di rumah pangsa, apartmen dan kondominium juga minat dengan aktiviti berkenaan.

Namun, beberapa kekangan seperti kekurangan kawasan tanah, kemahiran dan tiada waktu bagi tumpuan menjaga tanaman menyebabkan hasrat untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam dilupakan.

Menyedari hakikat itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) memperkenalkan satu sistem mudah dan murah dinamakan GreenKit iaitu sistem penanaman pokok di dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri tanpa perlu penyiraman yang kerap.

GreenKit terdiri daripada takungan plastik yang terbahagi kepada dua ruang yang terpisah iaitu takungan air di bahagian bawah dan takungan penanaman mengandungi medium tanaman (tanah) di bahagian atas.

Menariknya, produk yang dibangunkan Mardi ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dalam pertandingan rekacipta/inovasi di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2010 di Korea pada 2 hingga 5 Disember 2010.

Penyelidik MARDI yang membangunkan teknologi ini, Ab Kahar Sandrang berkata, prinsip dan kaedah GreenKit adalah menyerupai penanaman di kawasan tanah semula jadi, iaitu air di dalam tanah naik ke zon pengakaran dengan tindakan kapilari (saluran halus).

Katanya, lazimnya medium tanaman yang digunakan untuk GreenKit ialah peatmoss, vermiculite dan perlite, namun penggunaan tanah atau sabut kelapa bersama campuran berkenaan juga sesuai digunakan.

"Tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran berdaun dan tanaman hiasan semusim boleh ditanam terus menggunakan biji benih manakala tanaman jangka panjang seperti sayuran berbuah dan ulaman serta pokok hiasan kekal perlu menggunakan benih anak pokok."

"GreenKit boleh diletakkan di kawasan terlindung atau teduhan atau kawasan terbuka. Satu keistimewaannya, seperti tanaman dalam pasu, GreenKit mudah dipindahkan mengikut kesesuaian dan kehendak pemilik kediaman," katanya.


Green Kit juga boleh disesuaikan untuk tanaman laman ramuan atau edible garden yang mana komposisi tanaman makanan dan hiasan nisbahnya 70:30. Pengguna juga boleh menyusun GreenKit bertingkat mengikut kreativiti masing-masing.

Kapasiti air di dalam takungan berbeza mengikut saiz GreenKit. Umpamanya GreenKit bersaiz 70 sentimeter (cm) x 24 cm x 20 cm untuk penanaman sayur dan ulaman, kapasiti airnya adalah lapan liter yang mampu membekalkan air selama lima hari hingga seminggu. Bermakna setiap lima hari paras air perlu diperiksa.

Menariknya penyiraman dilakukan melalui tiub yang terletak di bahagian tepi GreenKit manakala baja diberikan sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal.

Baja cecair dicampur dalam air kerana mudah larut manakala baja tabur dalam bentuk biji ditabur di atas medium atau digaul dan dimasukkan dalam takungan air.

Kebersihan GreenKit adalah langkah utama dalam pengurusan penyakit. Keadaan persekitaran yang terlalu lembap dan kotor boleh meningkatkan kejadian serangan penyakit. Jika terdapat tanda penyakit, bahagian yang dijangkiti perlu dibuang.

Penggunaan racun kimia perlulah dielakkan, namun racun biologi atau organik sangat digalakkan penggunaannya.

Dalam pada itu, perosak utama tanaman GreenKit ialah serangga pemakan daun. Cara paling berkesan mengurangkan masalah berkenaan adalah dengan menggunakan penghalang fizikal seperti net atau kelambu tanaman. Jika berlaku serangan perosak yang amat serius, penggunaan racun organik sangat digalakkan.

Penanaman dengan GreenKit boleh menggabungkan beberapa jenis tanaman, namun disyorkan kombinasi perlukan keperluan air dan cahaya matahari yang sama. Jumlah jenis tanaman mestilah cukup untuk satu hidangan mengikut saiz bekas GreenKit yang digunakan.

Selain digunakan oleh suri rumah sesuai dengan kempen hijau yang dijalankan kerajaan, GreenKit juga sesuai dijadikan model pembelajaran untuk pelajar sekolah kerana kotak tanaman ini mudah, murah dan bebas daripada bahaya pembiakan Aedes, malah boleh ditinggalkan tanpa pengurusan yang rapi, serta sesuai untuk mereka yang sibuk serta tiada masa menyiram pokok setiap hari.

Bagi mereka yang berminat boleh hubungi MARDI di Peti Surat 12301, Pejabat Pos Utama, 50774 Kuala Lumpur atau emel kepada skahar@mardi.gov.my.

INFO Tanaman GreenKit:
~ Ulaman dan Sayur Berkayu
Pokok Gajus, Tenggek Burung, Beluntas, Peria Pantai, Limau Purut, Cekur Manis dan Daun Kari

~ Ulaman dan Sayuran Tidak Berkayu
Ulam Raja, Pudina, Pegaga, Kaduk, Kucai, Kesum, Selom, Cekur, Pandan Wangi, Kunyit dan Serai.

~ Buah-buahan
Betik, Jambu, Belimbing, Mangga, Limau Kasturi, Ciku, Kedondong dan Delima.

~ Tumbuhan Hiasan
Ati-ati, Resam Batu, Keladi, Crytandra, Globba, Homalomena dan Humilis.

Kelebihan dan Kebaikan GreenKit:
~ Mengatasi masalah penyiraman yang perlu dilakukan setiap hari

~ Biasanya GreenKit digunakan untuk pokok renek dan kini boleh digunakan untuk sederhana besar dalam bekas tanaman yang lebih besar.

~ Pokok seperti limau purut, tenggek burung, bebeuas, peria pantai, jambu batu dan kedondong juga boleh ditanam dalam Green Kit. Pertumbuhan akar dalam Greenkit terbatas menyebabkan pokok berkenaan menjadi renek namun hasil atau buah tetap sama.

~ Bagi pokok berkayu seperti tenggek burung dan gajus, pemotongan pucuk untuk ulaman dapat mengawal pembentukan saiz kanopi yang terlalu besar sebaliknya pokok menjadi renek atau saiz lebih kecil.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, March 15, 2011

Traktor Penabur Baris Padi

(Post: Bahasa Melayu)
" Setakat ini sebanyak 741 teknologi telah dihasilkan oleh MARDI sejak tahun 1972 sehingga 2010. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 110 teknologi telah berjaya dikomersialkan melalui perlesenan, perundingan, inkubator, TechnoFund dan public goods. "

Jumlah teknologi produk makanan yang telah diguna pakai oleh usahawan IKS adalah sebanyak 240 jenis daripada pelbagai kluster produk makanan. Ia merangkumi lebih kurang 21 peratus daripada teknologi produk yang ada di MARDI.

Jumlah setiap kluster produk adalah berbeza. Contohnya hasilan ikan ialah 12.5 peratus dan makanan ringan atau snek 28 peratus.

Sebanyak 76 teknologi dijana dalam setahun (tahun 2010) dan tidak kurang 14 peratus dikomersialkan.

Selain inovasi-inovasi terbaru MARDI, satu lagi teknologi yang tidak kurang pentingnya ialah Mesin Penabur Baris Padi Jenis Traktor Untuk Bendang.

Kaedah menanam padi terus berkembang daripada menggunakan kuku kambing bagi mengubah anak benih padi kepada kaedah tabur serak dan terkini mesin tabur dalam baris.

Bagaimanapun teknik tanaman dalam baris yang dahulunya menggunakan tenaga manusia yang mana mesin tersebut perlu dipikul.

Perekanya - Pegawai Penyelidik Prinsipal, Sistem Elektronik dan Bangunan Persekitaran, Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, MARDI, Dr. Chan Chee Wan telah menaiktaraf mesin berkenaan.

Membandingkan tiga kaedah yang digunakan, Dr. Chan Chee Wan berkata, tabur serak walaupun murah tetapi mempunyai banyak masalah.

Dr. Chan berkata, kaedah tanam secara terus dalam baris banyak digunakan tetapi tidak menggunakan mesin.

"Teknik konvensional memerlukan kos yang tinggi kerana penggunaan tenaga buruh yang banyak."

"Misalnya mencerung memerlukan kos yang tinggi sekitar RM1,000 sehektar manakala tabur serak hanya RM350 sehektar, sementara tabur baris pula memakan belanja RM350 hingga RM400 sehektar," katanya.

Teknik tabur baris menggunakan traktor kecil yang diubahsuai dengan berat antara 350 hingga 500 kg dan ia tidak mudah terbenam di sawah.

Teknik tabur baris menggunakan traktor boleh menanam sehingga enam hektar sehari dengan seorang pekerja.

Manakala teknik mencerung hanya boleh menanam 1.2 hingga 1.5 hektar sehari dengan seorang pekerja.

"Teknik tabur baris juga lebih cepat dan menepati jadual penanaman padi sekarang yang lebih cepat," katanya.

Beliau menjangka penggunaan mesin tabur baris menggunakan traktor yang lebih cepat dengan kos yang rendah membolehkan pesawah mendapat keuntungan yang lebih besar.

Anggaran kos bagi teknik mencerung termasuk pusat semaian seluas 10.11 hektar bagi kawasan sawah 1,600 hektar dengan kapasiti semai tikar sebanyak 500,000 setahun dengan 20 unit mesin memerlukan kos RM8.1 juta.

Jika dibandingkan dengan teknik tabur baris menggunakan traktor bagi kawasan sawah padi seluas 1,600 hektar menggunakan tujuh buah mesin dengan 40 hari bekerja semusim. Ia hanya memerlukan kos antara RM 280,000 dan RM 400,000.

"Ini bergantung kepada kos mesin sekitar RM35,000 hingga RM55,000 seunit oleh syarikat Oryza Mechanique Sdn. Bhd. yang dilesenkan untuk mengkomersialkan mesin tabur baris menggunakan traktor," katanya.

Mesin yang telah diguna pakai di sawah padi di Simpang Empat, Alor Setar, Kedah pada musim yang lalu mendapat sambutan menggalakkan di kalangan petani.

Chee Wan berkata, penggunaan mesin tersebut dapat mengurangkan penggunaan biji benih sehingga 40 hingga 50 peratus.

Selain itu, kaedah tersebut dapat mengurangkan masalah pokok rebah sehingga 80 peratus berbanding tabur serak.

"Keistimewaan kaedah ini dapat dilihat dengan dua petak bersebelahan di mana satu petak ditanam secara tabur serak dan sebelah lagi secara tabur baris menggunakan traktor."

"Padi yang ditanam dengan teknik tabur baris menggunakan traktor hanya lima peratus dijangkiti bena perang berbanding 40 peratus pada petak tabur serak," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, March 8, 2011

FRIM Memacu Penyelidikan Industri Herba

(Post: Bahasa Melayu)
" Hutan menyimpan segala macam jenis herba - tumbuh-tumbuhan yang kini diterokai khasiatnya untuk manfaat manusia sebagai makanan dan juga ubat-ubatan. "

Sebab itu, kesungguhan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) membangunkan industri herba sangat tepat pada masanya.

Agensi itu menubuhkan Bahagian Tumbuhan Ubatan yang kemudian dikenali sebagai Bahagian Hasilan Semulajadi pada Februari 2011 untuk memberi fokus kepada kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam bidang tumbuhan ubatan dan herba.

Bahagian tersebut menggunakan pendekatan pelbagai disiplin dalam melaksanakan penyelidikan untuk membangunkan ekstrak piawai dan produk prototaip daripada tumbuhan ubatan dan beraroma seperti kosmetik, nutraseutikal, makanan berfungsi dan fitoperubatan (phytomedicine).

Pengarah Kanan, Bahagian Hasilan Semulajadi FRIM, Dr. Rasadah Mat Ali berkata, FRIM di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mula terlibat dengan penyelidikan tumbuhan herba pada tahun 1995 selepas Kabinet mengarahkan penubuhan Bahagian Tumbuhan Ubatan di FRIM pada April 1994.

"Malah kita merupakan pelopor kepada penyelidikan antioksidan selepas bahagian tersebut ditubuhkan di FRIM pada 1995."

"Sekarang, terdapat sembilan ujian antioksidan yang telah dijalankan."

"Malah, satu ujian baru iaitu Oxygen Radical Antioxidant Capacity (ORAC) telah ditambah ke dalam ujian antioksidan yang sedia ada dalam tahun 2011."

"ORAC adalah ujian antioksidan yang telah diterima pakai seluruh dunia sebagai ujian piawai untuk mengukur aktiviti antioksidan dalam produk nutraseutikal, farmaseutikal dan industri pemakanan," ujarnya.

Sejak itu kata beliau, FRIM telah mengorak langkah memberi suntikan baru kepada industi herba khususnya yang diperoleh dari hutan.

Ini kerana FRIM mempunyai kepakaran dalam pengenalpastian tumbuhan-tumbuhan herba, mencirikannya dan menghasilkan penanda bagi setiap sebatian aktif atau sebatian kimia berguna dalam tumbuh-tumbuhan berkenaan.

Malah berdasarkan pencapaian terkini, FRIM telah berjaya mengumpul 1,078 fitoekstrak dan 35 ekstrak piawai, 100 minyak pati, 85 sebatian fitokimia dan 10,000 kultur actinobacteria dalam perpustakaan hasilan semula jadinya.

Bagi Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, kejayaan tersebut sangat penting bagi program pembangunan dalam penemuan sebatian bioaktif dengan nilai teraputik.

FRIM kata beliau, telah berjaya mengenal pasti tumbuhan ubatan yang tulen menerusi usaha pencirian kimia dan morfologi.

Usaha lain ialah menjalankan kajian pemprofailan kimia dan mengenal pasti penanda kimia untuk piawaian ekstrak herba, dan menawarkan 30 ekstrak seumpamanya untuk kegunaan industri.

Pada masa sama, FRIM juga menjalankan penilaian bioefikasi dan potensi bio dan mewujudkan 25 bioasei berkaitan dengan bioteraputik, kegagalan metabolik dan sistem pengenalpastian mikrobial.

FRIM juga mempunyai pangkalan data 564 spesies negatif bakteria aerobik, 480 spesies bakteria anerobik, 619 spesies filamen kulat dan 267 spesies yis serta 19 Methiclin superbug Staphylococcus aureus untuk penyelidikan.

Setakat ini institut berkenaan juga berjaya mengumpul spesimen rujukan untuk 1,147 spesies tumbuhan ubatan dan beraroma.

Kejayaan terbaru ialah mewujudkan konservasi ex-situ tumbuhan dan beraroma dengan lebih daripada 200 spesies di Taman Etnobotani di Kepong dan Stesen Penyelidikan di Maran, Pahang.

Tanaman tersebut termasuk tongkat ali, misai kucing, mengkudu, kacip fatimah, pudina, tutup bumi, kunyit, limau nipis, serai wangi, legundi, kalampayan, asam gelugor, karas, petai dan patawali.

Kejayaan FRIM dalam tempoh yang singkat iaitu sejak 1995 dengan kepakaran 50 penyelidik mengenai herba dan tumbuhan ubatan banyak dibantu oleh kemudahan makmal berteknologi canggih yang dimilikinya.

Sebagai contoh, makmal Pusat Teknologi Herba (HTC) yang dimiliki FRIM dilengkapi peralatan yang sejajar dengan matlamat dan peranannya dalam industri herba.

Peralatan seperti Gas Chromatography Mass Spectrometer (GCMS) untuk pengasingan sebatian, Nuclear Magnetic Resonans (NMR), Thin Layer Chromatography (TLC), High Performance Liquid Chromatography, Fourier transform infrared spectrometer (FTIR) dan Liquid Chromatography Mass Spectrometer (LCMS) antara kelengkapan makmal yang perlu dalam bidang penyelidikan hasilan semulajadi.

HTC pula telah menerima pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) untuk pemerosesan ubatan berbentuk kapsul dan tablet daripada Kementerian Kesihatan pada tahun 2007.

Setiap tahun, pusat berkenaan telah membantu 226 pengusaha herba dan pemakanan dari segi khidmat nasihat dan pemindahan teknologi serta menawarkan antara 100 dan 150 perkhidmatan pemprosesan herba.

Ia juga menjadi penghubung penting antara agensi-agensi kerajaan termasuk agensi penyelidikan dan penguatkuasaan dengan pengusaha herba dalam penghasilan produk yang berkualiti tinggi.

Sumber: Utusan Malaysia Online , FRIM

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, February 25, 2011

Waiz-K Bio-Organics

(Post: Bahasa Melayu)
" Sedarkah anda sembilan persepuluh cabang rezeki adalah datangnya daripada bidang perniagaan. Ia termasuk juga bidang pertanian yang sememangnya amat terkenal dengan masyarakat negara ini terutamanya yang berada di luar bandar. "

Namun, tidak ramai di antara kita yang berminat untuk menceburinya kerana berpendapat bidang tersebut memerlukan modal yang tinggi di samping ilmu pengetahuan yang mencukupi dan serba lengkap.

Jika di kawasan luar bandar, rata-rata penduduknya memiliki tanah yang luas di samping sinaran matahari yang terik sepanjang tahun.

Justeru, tiada masalah bagi mereka untuk menanam apa jua jenis tanaman untuk dijual di pasaran.

Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang berada di tengah-tengah kota metropolitan di mana keluasan tanah pertanian amat terhad.

Malah boleh dikatakan, di kawasan bandar mustahil untuk mendapatkan tanah pertanian yang sesuai.

Itu belum lagi di tambah dengan masalah pencemaran akibat bahan buangan industri serta sampah sarap, namun segala permasalahan pasti ada penyelesaiannya.

Sehubungan itu seorang usahawan pertanian tempatan Waiz Kashifi, berusaha mengoptimumkan keperluan projek pertanian bagi mengurangkan pembaziran.

Menurut pemilik Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. itu, sistem perladangan konvensional telah lama wujud, akan tetapi kaedah tersebut dilihat agak tidak cekap dan banyak membazirkan sumber-sumber keperluan dan tenaga kerja.

Menurutnya, apa yang lebih mendukacitakan situasi tersebut banyak mengecewakan petani kerana usaha mereka gagal dan akhirnya kehilangan banyak sumber kewangan.

"Persoalannya mengapa ia (situasi kerugian) berlaku?"

"Apakah yang tidak kena dengan sistem pertanian yang diamalkan oleh petani kita sejak dulu?"

"Justeru, saya tampil disini bagi menjelaskan antara sistem pertanian yang patut diolah semula bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pertanian Agro-Bio WaizK di Shah Alam.

Menurut Waiz, beliau bukan seorang petani yang berjaya atau yang telah lama menempah nama dalam bidang tersebut.

Namun setelah melihat peluang yang tersedia di hadapan mata maka beliau kini beralih arah.

"Saya dahulu bekerja dalam sektor automobil, malah pertanian tiada langsung dalam kamus kerjaya saya dahulu."

"Ketika mengikuti pelbagai kursus automobil di luar negara saya berkesempatan melihat perkembangan pertanian yang diamalkan oleh rakyat negara luar."

"Lama-kelamaan saya jadi tertarik dan akhirnya mengambil keputusan untuk beralih angin ke bidang pertanian," jelasnya.

Bukanlah merupakan sesuatu yang mudah untuk mencuba sesuatu pekara yang baru, apatah lagi ia langsung tiada kena mengena dengan kerjaya beliau sebelum itu.

Namun atas usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya beliau berjaya menemui formula berkesan yang dapat diguna pakai dalam sektor pertanian moden.

Jelas Waiz, teknologi yang digunakan di pusat penyelidikan dan pembangunan beliau adalah merupakan keperluan asas paling utama untuk meningkatkan kualiti dan kadar tumbesaran tanaman pertanian.

Malah, katanya, melalui pengurusan dan amalan pertanian yang terbaik, kepelbagaian biologi yang selamat, amalan pertanian yang bijak dan 'kaizen' yang disebut dalam bahasa Jepun akan dapat membentuk suatu kitaran sistem ekologi (sistem-Eco) yang sempurna untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Bagi Waiz, syarikatnya lebih menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian berasaskan teknologi fertigasi atau pengairan baja, hidroponik dan kompos bio-organik.

Namun, buat masa kini, teknik yang diberi tumpuan ialah teknologi fertigasi.

Tambah Waiz, teknik fertigasi atau pengairan baja telah diketahui secara meluas di negara ini malah ia semakin popular.

Pasti terdapat sebab untuknya berikutan semakin ramai petani atau pengusaha telah bertukar menggunakan kaedah tersebut.

Justeru apakah fungsi sebenar Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. di sebalik teknik tersebut?

Di sini Waiz menjelaskan rahsia serta kelebihan sebenar teknik fertigasi yang rata-rata tidak diketahui ramai.

Menurut beliau, perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation.

Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan digunakan serentak kepada tanaman pertanian.

Fertigasi juga tergolong dalam teknik hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah.

Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya cili, tomato, timun, terung, strawberi dan rock melon.

Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar dan serangan bakteria kebanyakannya dibawa oleh tanah.

Selain itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak poli beg yang mengandungi media bagi menggantikan tanah.

Manakala kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi berupaya untuk membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran.

Manakala air dan larutan baja diberikan secara berkala dan tetap pada setiap hari justeru larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar pokok.

Teknologi sistem fertigasi ini paling berkesan jika dilakukan di bawah struktur pelindung hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam dari diserang oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan yang bertoksik.

Selain melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan merencatkan pembesaran pokok seterusnya menjejas pengeluaran hasil.

Justeru, syarikat beliau kini ditubuhkan khusus bagi membantu petani dengan memberikan latihan serta pengembangan ilmu berkenaan pertanian terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Bagi yang berminat untuk mengikuti latihan serta kursus yang bersesuaian, anda boleh menghubungi beliau di talian 03-51914604 atau layari laman web Waiz-K untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 7, 2011

Ketam Ternak Unggul

(Post: Bahasa Melayu)
" Ketam ataupun nama saintifiknya Krustasia decapod adalah haiwan laut yang memang sedap dimakan. "

Namun, menikmati ketam memang agak sukar kerana cengkerang yang keras. Jika mahu memakan ketam kita perlu mematahkan atau memecahkan bahagian yang keras itu untuk menikmati isinya.

Jika tersilap makan sudah pasti akan tertelan kulitnya malah boleh melukakan bibir jika terkena cengkerangnya yang agak tajam itu.

Namun bagi seorang usahawan di Kuantan, Dr. Syed Badaruddin Syed Ali, beliau telah memikirkan cara yang mudah dan senang untuk menghidangkan ketam.

Caranya dengan mengambil ketam selepas ia mengalami proses persalinan cengkerang.

Ketam perlu menjalani proses penyalinan kulit untuk pembesaran.

Syed Badaruddin yang juga pemilik Ternak Unggul Sdn. Bhd. memberitahu, kajian mengenai ketam cengkerang lembut dijalankan selama tiga tahun sejak 2007 sebelum mengkomersialkannya.

Menurutnya, ketam tersebut agak asing di negara ini. Tetapi di Thailand dan Vietnam, ia menjadi hidangan popular di restoran-restoran dan diternak secara tradisional.

"Teknik pembiakan dan penjagaan ketam ini dipelajari daripada kaedah tradisional."

"Daripada itu, saya gabungkan dengan kaedah moden untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kualiti air dan daya pengeluaran," katanya ketika ditemui di kolam ternakan ketamnya di Balok Kuantan.

Dalam tempoh tiga tahun melakukan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu juga, beliau banyak belajar membangunkan sistem kitaran air dan penyesuaian kadar tahap pH air.

Ia bagi mencari penyesuaian mengenai ketam-ketam yang kebiasaannya hidup dalam air payau masin.

Katanya, ketam dari spesies Scylla olivacea (ketam nipah) dan Scylla serrata (ketam laut) akan dikumpul untuk dipasarkan ketika ia berkulit lembut selepas proses bersalin cengkerang.

"Ramai tidak tahu bahawa ketam juga melalui proses bersalin kulit cengkerang. Ketam yang dipasarkan Ternak Unggul Sdn. Bhd. ini dikumpulkan selepas proses itu selesai."

"Ini merupakan projek pertama seumpama di Malaysia yang memasarkan ketam tanpa cengkerang," ujarnya lagi.

Tambah beliau, ketam berkenaan sangat unik kerana boleh dimakan keseluruhan isinya tanpa perlu membuang kulit.

Untuk memastikan ketam yang ternak kekal sihat katanya, kitaran air di jaga.

Air segar dipam bagi memastikan oksigen berada pada tahap optimum untuk membolehkan ketam terus hidup.

Proses menternak juga dilakukan secara tradisional. Namun ia sedikit berbeza kerana ketam-ketam itu diternak dalam gelung perigi bagi memperlahankan proses kulitnya mengeras semula.

"Kalau mengikut kaedah tradisional, ketam diternak di dalam kolam air payau yang digali supaya sesuai dengan habitat asal. Namun, ia berbeza dalam kolam konkrit dan air tawar."

"Teknik menternak dalam gelung perigi juga menjadi faktor ketam-ketam itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan habitat asal dalam air masin dan payau."

"Bagaimanapun, proses cengkerang mengeras semula selepas bersalin menjadi perlahan ketika ketam-ketam itu berada dalam air tawar," jelasnya.

Menurut beliau, kebiasaannya, kulit cengkerang akan mengeras semula dalam tempoh 12 jam jika berada dalam air masin.

Tetapi proses itu menjadi perlahan dan mengambil masa sehingga tiga hari jika berada di air tawar.

Ketam-ketam tersebut juga katanya, memerlukan penjagaan rapi dalam memastikan proses bersalin kulit berjalan dengan sempurna.

Malah, ia lebih sensitif dalam persekitaran air berbanding ikan.

Penjagaan lebih rapi juga diperlukan ketika ketam-ketam itu melalui proses bersalin cengkerang yang biasanya antara pukul 11 malam hingga pukul 3 pagi.

Bagi menjamin ketam-ketam itu tidak mati ketika sebelum, semasa dan selepas proses tersebut, para pekerja diperlukan untuk memantau bermula waktu tengah malam hingga awal pagi secara lebih teliti.

"Selepas bersalin kulit, ketam-ketam perlu diasingkan daripada kulit cengkerang keras yang sudah terpisah daripada badannya bagi menjaga kualiti air supaya ia terus hidup sebelum dikutip untuk dijual," katanya yang kini memasarkan satu tan ketam tersebut setiap bulan.

Kata beliau lagi, ketam-ketam tersebut dijual pada harga RM25 setiap kilogram kepada pengusaha restoran makanan Cina, Jepun dan Korea di sekitar ibu negara.

"Ketam-ketam ini digemari kerana tidak perlu mengupas cengkerang sebelum dimakan dan boleh dinikmati keseluruhan isinya kerana perutnya bersih."

"Ia juga boleh dinikmati dengan pelbagai jenis resipi seperti ketam bercangkerang yang biasa," jelas beliau.

Ujar Syed Badaruddin lagi, beliau kini cuba meneroka pasaran antarabangsa memandangkan ketam tanpa cengkerang semakin popular.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, January 12, 2011

Semburan Haruan Rawat Luka

(Post: Bahasa Melayu)
" Ikan haruan secara turun temurun telah digunakan bagi mengubati luka-luka dalaman terutama di kalangan ibu-ibu selepas bersalin. Justeru Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan kajian bagi meluaskan penggunaan ikan haruan. "

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Sekolah Sains Farmaseutikal, Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus mengandungi asid amino yang berfaedah dan asid lemak yang dibuktikan berupaya menyembuhkan luka.

"Haruan Channa striatus digunakan kerana mudah ditemui di sungai di sini," katanya ketika ditemui semasa Pameran BioMalaysia 2010 di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Saringat telah menformulasikan ekstrak haruan yang sama sebagai krim dan tablet dan produk berkenaan telah pun dikomersialkan.

"Kini kajian yang dijalankan menjurus kepada filem nipis bagi membalut dan merawat luka terutama luka kebakaran dan pesakit diabetes," katanya.

Saringat berkata, semburan haruan menggunakan semua ciri-ciri ekstrak haruan dan diformulasikan dalam bentuk tulen untuk mengubati luka serta lecur terbakar.

Semburan berkenaan mengandungi ekstrak haruan yang boleh meningkatkan proses penyembuhan.

Tujuannya adalah untuk menghasilkan semburan aerosol sebagai bahan aktif yang boleh menghasilkan filem sintetik bagi rawatan luka dan melecur.

"Masalahnya filem penjagaan luka biasanya terdapat dalam saiz yang tertentu dan dibungkus secara berasingan," katanya.

Malah ia juga tidak boleh menutupi saiz luka yang pelbagai selain ia juga mudah dijangkiti apabila dikeluarkan daripada bungkusan.

Penyelesaiannya beliau adalah polimer biocompatible dalam produk sedia ada dengan pekatan aerosol dan boleh menghasilkan satu lapisan filem apabila disemburkan pada kawasan yang cedera dan boleh menutupi apa saja saiz luka.

"Apa yang menarik produk aerosol akan terus berada dalam keadaan steril kerana tiada bahan asing boleh memasuki bekas berkenaan," katanya.

Kajian menunjukkan luka dan lecur boleh diubati lebih cepat menggunakan semburan ekstrak haruan.

Malah semburan filem nipis ekstrak haruan telah diuji pada pesakit yang mengalami luka yang sukar sembuh akibat diabetes.

"Produk ini sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, January 10, 2011

Transparent Cement by Italcementi Group

(Post: English)
" Italcementi Group developed a new transparent cement used to build the Italian Pavilion for the Shanghai World Expo 2010. "

This is an innovative material from Italcementi Group Research, which is daily committed to making an innovative contribution to building systems, technologies and products.

A dedicated team of Italcementi Group researchers has worked over 3,000 hours since June 2008 to finalize the new 'transparent cement' development project.

The new i.light® transparent cement, by bonding special resins into a newly conceived mix, allows manufacturing solid and insulated yet light-transmitting construction panels.

Italcementi Group researchers have identified the right formulation of a dry ready-mixed product that allows inserting these plastic resins in the cementitious material, which is naturally opaque, without creating cracks and jeopardizing the structure.

The challenge of transparency confirms the innovative and creative dimension of Made in Italy and has allowed Italcementi Group to provide the Italian Pavilion for Expo 2010 in Shanghai with know-how and solid business experience.

Italcementi Group wanted to take up the challenge posed by the Italian Commissionership and architect Giampaolo Imbrighi to co-operate on an ambitious project: to build the Pavilion with cement walls, but at the same time able to filter the light.

The goal was met thanks to an innovative material, an example of the made-in-Italy ability to find creative, efficient solutions.

3,774 transparent panels (including the "semi-transparent" ones, i.e. with a 50% lower transparency level due to architectural requirements) have been produced and will be used to cover a total surface area of 1,887 m², approximately 40% of the total envelope of the Pavilion, creating in the building in Shanghai a sequence of lights and shadows in constant evolution during the day.

The transparent effect is more evident when it is dark and, seen from the outside, the building will allow the interior lights to filter through while, from inside, during the day, it will show the changes in the levels of daylight.

Used for the first time in Shanghai, future applications of this material may encompass its use as an architectural component with diversified, integrable functions, such as, for example, internal lighting (shading/light diffusion techniques).

Source: Italcementi Group

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 1, 2010

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (MAHA) 2010

(Post: Bahasa Melayu)
" Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (MAHA) 2010 yang berlangsung hingga 5 Disember ini mesti dilihat sebagai medan ilmu, maklumat serta peluang perniagaan yang harus direbut orang ramai. "

Tidak semua negara berkemampuan menganjurkan acara yang begitu banyak mempamerkan pelbagai produk serta teknologi pertanian yang dihasilkan menerusi inovasi terbaru.

Adalah merugikan sekiranya orang ramai sekadar datang menyaksikan apa yang dipamerkan tanpa memanfaatkan maklumat serta mengambil tahu mengenai teknologi dan inovasi pertanian yang ada di sebahagian daripada 2,500 gerai pada pameran itu.

MAHA mempamerkan hasil kejayaan teknologi dan inovasi pertanian yang boleh dimanfaatkan individu atau syarikat yang sudah terbabit, dalam proses menceburi atau mahu mengembangkan bidang masing-masing.

Setiap kaunter menampilkan produk atau peluang berbeza. Banyak produk, benih, baka dan pelbagai maklumat lain boleh dimanfaatkan untuk memajukan kegiatan ekonomi dalam bidang berasaskan pertanian.

Memang tepat apabila kerajaan menggunakan slogan 'Pertanian Adalah Perniagaan' kerana majoriti penduduk perlu membeli keperluan dan bekalan makanan mereka.

Industri kecil berasaskan hasil pertanian adalah bidang yang kian berkembang dan perlu diterokai petani. Jika mereka selama ini menjual terus hasil tanaman atau ternakan, kini sudah tiba masanya mereka memberi nilai tambah atau memproses hasil menjadi produk baru.

Hasil tanaman mentah lazimnya dijual dengan harga jauh lebih murah. Tetapi jika petani membuat sedikit inovasi dan pelaburan untuk memproses, membungkus dan memasarkan sendiri, mereka akan memperoleh pulangan lebih lumayan.

Petani mesti kreatif dan berani meneroka satu lagi bidang, iaitu memproses hasil menjadi pelbagai produk hiliran kerana langkah itu menjamin mereka menikmati pendapatan berganda.

Oleh itu, apabila matlamat sebenar MAHA difahami dan dipraktikkan, kita yakin petani hari ini mampu keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi mampu hidup senang seperti petani di beberapa negara maju.

Dengan penyertaan 22 negara dalam pameran MAHA kali ini, petani dan pemain sektor dalam bidang ini di Malaysia boleh mendapat pelbagai faedah untuk memperkukuhkan industri pertanian negara.

Selain itu, inilah peluang kita menjalin hubungan dengan syarikat asing yang mungkin boleh mengembangkan ruang untuk produk kita memasuki pasaran di luar negara. Mereka juga berpotensi menjadi rakan kongsi untuk kegiatan berskala besar dalam negara.

MAHA mungkin boleh dikembangkan sebagai wadah untuk mengumpulkan kalangan ahli ilmiah dan strategik, pemain industri serta penyelidik bagi mencerna kepakaran untuk memajukan sektor pertanian negara.

Memandangkan hasil pertanian adalah keperluan dalam kehidupan manusia, menceburi sektor itu tetap memberi pulangan lumayan. Tamadun manusia di serata dunia bermula dengan pertanian dan ia kekal relevan sehingga kini, walaupun dunia semakin maju sehingga manusia mampu meneroka angkasa lepas.

Sebagai komponen strategi dalam membina kekuatan dan survival negara, sektor pertanian kita perlu dimajukan seiring dengan kepesatan industri dan tidak boleh diabaikan sama sekali.

Justeru, penting bagi petani menggerakkan sektor itu menggunakan inovasi serta teknologi terkini bagi menghasilkan produk secara optimum dan berkualiti.

Institusi berkaitan pertanian juga harus memperhebatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar bidang ini menjadi lebih berdaya saing.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: MAHA Expo 2010

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, September 30, 2010

Teknologi Formulasi Sabun Lutsinar

(Post: Bahasa Melayu)
" Menyedari kepentingan sabun sebagai alat pembersih kulit dan muka, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi penyelidiknya, Norashikin Ahmad, berjaya mencipta formulasi sabun lutsinar yang digunakan khusus untuk membersihkan kulit dan wajah yang dihasilkan daripada ekstrak sawit, sesuai untuk semua jenis kulit wanita Asia. "

Ketika ini, tiga jenis sabun ada dalam pasaran ialah jenis legap (apaque), kurang lutsinar (translucent) dan lutsinar (transparent).

Antara ketiga-tiga jenis sabun itu, yang paling digemari dalam pasaran ialah jenis lutsinar. Lazimnya sabun lutsinar diperbuat daripada petroleum atau berasaskan haiwan.

Bagaimanapun, menurut Norashikin formula sabun lutsinar wangi yang dihasilkannya selain diyakini halal kerana menggunakan bahan berasaskan sawit, juga memiliki tahap lutsinar yang lebih baik setanding produk berjenama dan yang diimport.

Sabun lutsinar separa siap selalunya diimport dari Taiwan dan China sebelum diproses dan ditambah nilai dengan bahan lain di negara ini dan dipasarkan.

Bagaimanapun, kita tidak tahu status sumber sabun lutsinar separa siap itu diperoleh dan ini tentunya menyukarkan terutama bagi pengguna Islam.

Justeru, dengan adanya sabun lutsinar ini yang berasaskan tumbuhan sepenuhnya ia mematuhi tuntutan khususnya kepada pengguna Islam.

Selain itu, sabun lutsinar berasaskan sawit lebih jernih daripada yang ada di pasaran. Jika dicampur dengan herba lain, sabun lutsinar ini mempunyai kelebihan bergantung kepada jenis herba yang dicampur, katanya.

"Formulasi sabun pembersih wajah lutsinar wangi ini mengandungi 74 peratus bahan berasaskan sawit di dalam kandungan sabunnya. Malah, ia dapat menghilangkan kotoran dengan lebih efektif manakala pelbagai pewangi yang dicampur boleh menjadi terapi minda yang baik, katanya.

Katanya, formula sabun lutsinar wangi menggunakan sawit memiliki tahap lutsinar lebih baik dan bermutu tinggi kerana pembuatannya menggabungkan bahan asid dihidrosistearik (DHSA) berbanding tahap lutsinar produk komersial di pasaran yang kebanyakannya adalah dalam bentuk translucent.

Bahan yang digunakan dalam pembuatan sabun formulasi Norashikin ialah gliserin yang berfungsi mengekalkan kelembapan kulit, bahan asas membuat sabun iaitu asid lemak dan DHSA yang semuanya adalah berasaskan sawit.

Hasil kejayaan formulasi sabun lutsinar ini, beliau memenangi Anugerah Produk Inovatif Malaysia dalam ITEX 2009 bagi produk sabun lutsinar dengan DHSA.

Lebih istimewa, teknologi formulasi sabun lutsinar turut dikomersilkan beberapa syarikat iaitu:
* Syarikat HR Marketing Sdn Bhd - tahun 2007 - bagi produk sabun lutsinar separa siap

* Sirius Excel Sdn Bhd - tahun 2008 - bagi produk sabun lutisnar berpewangi berasas sawit

* Muslimah Skin Care and Cosmetics Manufacturing Sdn Bhd (MSCM) - tahun 2009 - bagi produk sabun lutsinar sawit dengan ekstrak herba seperti pegaga, puraria, pinang muda dan tanah liat.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: MSCM

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, September 4, 2010

Putrajaya Cell City Car

(Post: Bahasa Melayu)
" Barangkali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini. Tempat-tempat parkir di Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara sejak tahun 1999 makin sesak hingga tidak berkeupayaan menampung tetamu kerajaan lagi. "

Bahkan, tempias kepada dilema itu turut terkena kepada pekerja agensi kerajaan yang bekerja di sana.

Timbul juga suara-suara nakal yang mengatakan kesesakan parkir di Putrajaya itu menyamai dengan hiruk-pikuk dan kepadatan bandar raya Kuala Lumpur.

Idea kepada sistem Park & Ride yang diwujudkan Perbadanan Putrajaya (PPj) pula dipandang sepi dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Usaha selanjutnya, PPj memutuskan tiada lagi tempat letak kereta percuma di Kompleks A, B, C, D dan E. Biarpun dua langkah itu belum berjaya secara menyeluruh, usaha itu sangat dihargai.

Namun, bagi sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), senario kepayahan mendapat tempat letak kereta tersebut menyuntik inspirasi dalam penciptaan kenderaan baru yang bakal mengubah wajah Putrajaya.

Enam pereka anak tempatan menghasilkan sebuah model kereta kompak elektrik berteknologi tinggi untuk membantu mengurangkan masalah kekurangan parkir di Putrajaya. Dengan saiz kereta yang lebih kecil, jumlah tapak parkir dapat digandakan.

Ketua Penyelidiknya, Sazrinee Zainal Abidin, 33, berkata, pembikinan kereta dengan mengetengahkan konsep futuristik yang dikenali sebagai Putrajaya Cell City Car (PCCC) bertujuan untuk mengurangkan masalah parkir yang semakin kritikal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

"Sebagai contoh, ruang parkir untuk 500 buah model kereta biasa pada hari ini, boleh menampung sehingga 1,000 buah PCCC," ujar Sazrinee yang membayangkan kemungkinan itu jika warga Putrajaya memiliki model ciptaannya.

PCCC mempunyai tiga tayar iaitu dua di hadapan manakala satu lagi di bahagian belakang kereta. Ia direka sedemikian rupa untuk memberi momentum perjalanan yang sekata dan memastikan pengendalian dengan lebih stabil sepanjang masa.

"Dalam pada itu, reka bentuk PCCC yang bersifat futuristik dijangka mampu memenuhi permintaan pengguna yang sentiasa dahagakan sesuatu yang terkini dan canggih."

"Dari segi saiz pula, kereta kompak mesra alam ini mempunyai persamaan dengan jentera antarabangsa Smart keluaran Mercedes Benz dan kereta tempatan Perodua Kancil," kata Sazrinee.

Meskipun bersaiz kecil, kenderaan elektrik itu dianggarkan mampu memecut sehingga mencecah kelajuan 150 kilometer (km) sejam.

"Melalui penyelidikan yang dibuat, ia mencetuskan idea untuk mencipta kenderaan serba moden. Selain isu parkir, kereta ini mudah dikendalikan dan selesa dipandu di kawasan urban seperti Putrajaya."

"Kereta elektrik ini juga mampu menakluk kawasan berbukit-bukau dan bersimpang-siur sekali gus menjadikannya sebuah kenderaan yang unik," beritahu penyelidik wanita ini.

Kereta mesra alam

Kehebatan kereta kompak itu bereksprimentalkan mesra alam kerana tidak bergantung kepada sumber petrol mahupun diesel.

Penekanan terhadap mesra alam merupakan antara kriteria penting dalam pembikinan kereta kompak itu jika dibandingkan dengan kereta kompak yang lain.

Selain Sazrinie, pereka-pereka lain yang turut menggembleng tenaga dan idea termasuklah penuntut di Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk, Mohd. Amil Faesal Fauzi, 27; dan kumpulan pensyarah dari fakulti terebut iaitu Mohd. Shahrizal Dolah, 38; Shahrul Azman Shahbudin, 43; Muhamad Faizal Che Leh, 37 serta Dr. Zulkifli Muslim, 49.

Dalam mengartikulasikan ilham reka cipta kereta serba canggih dan mesra alam itu, anak-anak tempatan tersebut mengambil masa kira-kira lebih kurang setahun.

Seperti penghasilan produk-produk baru yang lain, mereka juga tidak terkecuali dalam berdepan dengan cabaran dan dugaan.

Cabaran utama adalah bagi memastikan keselesaan dan kesesuaiannya reka bentuknya kepada pengguna kelak.

Mereka perlu mengutamakan penggunaan teknologi hijau dalam pembikinan kereta kompak berkenaan agar ia bersesuaian dengan keperluan tenaga masa hadapan.

"Menyedari kereta elektrik dilihat bakal menjadi teknologi kenderaan pada masa hadapan, penggunaan sumber elektrik ditekankan dalam pembikinan kereta ini."

"Penggunaan sumber bateri pada kereta kompak ini juga mampu bertahan selama 48 jam. Jadi pengguna boleh menggunakan jentera berkenaan selama dua hari tanpa perlu mengecasnya semula," ujarnya.

Kata Sazrinie, pengeluar kenderaan turut memberi perhatian dalam memulihara alam sekitar dan secara tidak langsung mereka mengeluarkan kenderaan kos efektif kepada pengguna.

Dalam pada itu, Sazrinee menegaskan aspek keselamatan merupakan perkara yang dititikberatkan.

Kos efektif

Ujarnya, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan dalam pembangunan dan penyelidikan jentera seperti kereta kompak ini supaya ia selamat digunakan.

"Kita tidak melupakan aspek penyelenggaraan yang kos efektif kerana tidak mahu membebankan orang ramai yang ingin menggunakan jentera itu kelak," katanya.

Adakah kenderaan elektrik itu dihasilkan untuk kegunaan penduduk atau mereka yang bekerja di Putrajaya sahaja?

Sazrinie menjawab, buat masa ini sasaran mereka hanya tertumpu di bandar itu tetapi ia akan berubah sekiranya ada permintaan daripada pengguna.

"Kita tidak boleh meramal masa hadapan tetapi jika ada permintaan tidak mustahil ia digunakan di tempat lain selain di Putrajaya," ujarnya.

Menyentuh mengenai bahan-bahan yang akan digunakan dalam pembikinan PCCC, Sazrinee memberitahu, ia masih dalam peringkat konsep mereka bentuk.

Sehubungan itu, aspek reka bentuk masih ditekankan untuk memenuhi kriteria keperluan dan profil bandar Putrajaya pada masa hadapan.

Bahan-bahan yang bakal digunakan masih di peringkat kajian untuk memastikan kesesuaian tersebut. Secara keseluruhannya, kenderaan itu masih belum dihasilkan tetapi hanya model mini telah disiapkan.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, June 20, 2010

Kit Pembelajaran Sains USM

(Post: Bahasa Melayu)
" Kesukaran guru-guru di pedalaman untuk mengajar mata pelajaran sains kini dipermudahkan dengan adanya kit pembelajaran khas ciptaan sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM). "

Kit berkenaan menumpukan aspek pembelajaran sains dengan cara lebih praktikal terutama kepada pelajar yang lemah.

"Modul kit pembelajaran sains sekolah rendah itu adalah hasil kajian yang dilakukan selama setahun terhadap corak pembelajaran murid-murid di beberapa sekolah di kawasan pedalaman Sabah," kata Ketua penyelidik, Dr. Hashimah Mohd. Yunus.

Beliau turut dibantu oleh Dr. Nooraida Yacoob, Dr. Norizan Esa dan Dr. Nordin Abdul Razak melalui geran serta peruntukan daripada Yayasan Sabah (YS) sebanyak RM2.7 juta serta kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS).

Hashimah yang juga pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) berkata, kajian itu meliputi pelajar luar bandar di kawasan pulau, persisir pantai, kaki bukit dan pedalaman negeri itu untuk dijadikan kajian dengan kerjasama JPNS.

"Tahap pencapaian dan kebolehan murid di kawasan-kawasan ini amat berbeza, kebanyakannya tidak mampu mengikuti sukatan pelajaran sains yang dibuat oleh kementerian."

"Sehubungan itu, kita cipta satu kit mudah alih yang berupaya menarik minat mereka untuk mengikuti subjek berkenaan menggunakan barang-barang yang biasa dilihat dan dekat dengan diri serta persekitaran mereka," katanya.

Kit tersebut direka untuk disesuaikan mengikut kebolehan murid-murid tersebut dengan memasukkan unsur-unsur persekitaran mereka sebagai elemen pembelajaran.

Kit pembelajaran tersebut juga telah dipertandingkan pada Ekspo Sains Malaysia 2010 di Kuala Lumpur dan mendapat pingat gangsa bagi kategori Inovasi Penyelidikan.

"Berpandukan sukatan sains sekolah rendah, kita hasilkan kit yang di dalamnya mengandungi empat komponen iaitu Panduan Guru, Aktiviti Murid, Penilaian Murid dan Kit Sains."

"Kit sains ini mengandungi pelbagai bahan mengajar untuk guru dan murid-murid misalnya termometer, anak patung, tin kosong dan klip kertas mengikut tema subjek sains yang dipilih," jelasnya.

Jjelas Hashimah, murid-murid akan diuji tahap kebolehan mereka terhadap mata pelajaran itu sebelum menggunakan kit tersebut.

Sementara itu, Dekan PPIP, Prof. Abdul Rashid Mohamed pula menjelaskan, barisan penyelidik terlibat mula mendemonstrasikan kit tersebut di sekolah-sekolah pedalaman Sabah bermula Jun sebelum ia dikormesialkan.

Kit yang dianggarkan bernilai RM696 setiap satu itu dibangunkan dengan kerjasama penuh Yayasan Sabah dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah.

"Perkembangan masa depan bergantung kepada pihak berkenaan (Yayasan Sabah dan JPN). Namun sehingga kini kedua-dua pihak berbesar hati untuk tidak mengehadkan penggunaan kit tersebut kerana ia bersifat universal dan boleh digunapakai oleh semua," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 18, 2010

Pen Membaca Pintar AJV

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika dilihat kaedah konvensional, lidi atau bilah buluh bersaiz kecil sering digunakan untuk tujuan menunjukkan huruf-huruf atau ayat yang dibaca dalam kitab al-Quran. Namun, kebijaksanaan inovasi telah berjaya menerapkan unsur teknologi bagi tujuan tersebut. "

Pen Membaca Pintar jenama AJV bukan sahaja berfungsi sebagai penunjuk ayat-ayat al-Quran. Apabila ia disentuh pada ayat, surah atau muka surat yang telah dikodkan, ia akan membacakan ayat-ayat serta terjemahan tanpa tersilap.

Pembacaan bukan sahaja menjadi lebih menarik, bahkan penggunanya dapat memperbaiki mutu bacaan melalui kaedah mendengar. Apatah lagi kalau audio itu adalah rakaman bacaan daripada imam Masjidil Haram iaitu Sheikh Ali Abdur-Rahman al Hudaify.

Menurut Pengarah Urusan AJV Electronic Devices (M) Sdn. Bhd., Amran Ahmed, aplikasi utama produk tersebut ialah membaca teks al-Quran yang dikodkan. Suara akan dikeluarkan apabila pen disentuh pada ayat yang ingin didengar.

"Semakan ke atas bacaan dan terjemahan al-Quran adalah diambil daripada Tafsir Pimpinan Al-Rahman itu dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)."

"Surah-surah ini akan lebih dihayati apabila diperdengarkan dengan cara yang efektif dan mesra pengguna. Aplikasi ini sudah tentu dapat memberi ruang dan cara pembelajaran yang lebih mudah," katanya.

Selain itu katanya, keupayaan pen itu untuk membaca apa juga teks yang telah dikodkan sudah tentu memberi impak besar dalam usaha penyelidikan dan pembelajaran.

"Keberhasilan ini jika digunakan dengan kaedah dan matlamat yang betul, akan seiring dengan hasrat negara iaitu hendak mewujudkan golongan cerdik pandai. Ini langkah awal menjadikan negara ini sebagai negara penyelidikan."

"Justeru, kita tidak lagi sekadar mengharapkan penyelidikan dari negara-negara Barat," tambahnya.

Dalam pada itu katanya, keupayaan Pen Membaca Pintar juga dapat dipertingkatkan melalui tambahan kad memori khas yang mengandungi pilihan qari-qari lain serta tambahan bahasa-bahasa terjemahan.

"Antara ciri istimewa peranti ini ialah ruang kad memorinya yang boleh menampung kapasiti sehingga 16 gigabit yang membolehkan simpanan data-data tanpa mengganggu fungsi utamanya sebagai pembaca imej berkod."

"Ia boleh digunakan sebagai perakam suara, pemain MP3 dan mempunyai sambungan kepada fon telinga dan pot USB," katanya.

Jelas Amran, Pen Membaca Pintar berkenaan dijual secara pakej bersama sebuah al-Quran yang sudah dikodkan. Pengguna akan mendapati Quran berkenaan sama seperti Quran biasa yang lain.

"Ia mempunyai halaman-halaman yang dikodkan secara halus tanpa meninggalkan kesan. Selain itu, kod-kod itu juga tidak mudah hilang biarpun berlaku kerosakan kepada ayat-ayat. Penjagaan al-Quran ini sama seperti al-Quran biasa."

"Bagaimanapun, pen mestilah dijaga dengan baik dengan tidak mendedahkannya kepada air," katanya.

Menurut Amran, Pen Membaca Pintar dijual dengan harga RM499 hingga RM699, bergantung kepada kapasiti memori. Pengguna juga akan dibekalkan dengan fon telinga, kabel USB, kompas kiblat, kad jaminan dan manual pengguna.

"Setakat ini, AJV sudah mempunyai kira-kira 500 tempahan dan menganggarkan lebih banyak pengguna akan memilih produk ini bagi tujuan pembelajaran berkesan."

"Ia menjadi gajet yang harus dimiliki oleh semua Muslim," katanya mengenai produk yang melalui proses pembangunan selama lapan bulan dan menelan kos sebanyak RM2.5 juta.

Tambahnya, pembangunan produk berkenaan adalah untuk manfaat komuniti. Amran juga berharap produk itu menjadi pemangkin kepada usaha penyelidikan berterusan yang mampu menghasilkan produk-produk lain. Semua itu bakal mengubah kaedah pembelajaran menyeluruh bermula daripada pendidikan pra sehingga ke peringkat tertinggi.

"Ia juga mampu dikembangkan dan diserap ke semua industri termasuk pelancongan. Bayangkan, pelancong dapat menggunakannya bagi membaca buku panduan pelancong dengan terjemahan ke bahasa masing-masing," katanya.

Sementara itu, pembangunan Pen Membaca pintar ini mendapat sokongan penuh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai penyuntik dana dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, June 14, 2010

Produk Rawatan Luka ChytoSRT

(Post: Bahasa Melayu)
" Universiti Sains Malaysia (USM) melangkah setapak lagi dalam bidang perubatan apabila memeterai memorandum perjanjian dengan SIRIM bagi mengkomersialkan ChytoSRT, sejenis produk rawatan luka berasaskan kulit udang. "

Perjanjian yang turut melibatkan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu membabitkan projek bernilai RM2.94 juta bagi penghasilan produk itu mengikut prosedur Amalan Makmal Baik (GLP).

Pengkomersialan produk tersebut adalah susulan daripada Projek Pembangunan Produk Penyembuhan Luka Berasaskan Kitosan di bawah program Skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) pada 2004.

Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Prof. Lim Koon Ong berkata, projek itu turut membabitkan pembangunan makmal yang mempunyai pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi mengeluarkan produk berkenaan.

Katanya, SIRIM akan memfokuskan kepada pengeluaran produk mengikut prosedur GMP manakala USM pula menjurus kepada kajian praklinikal dan ujian klinikal terhad yang mempunyai pensijilan GLP.

"Fabrikasi bagi salah satu reaktor projek ini diserahkan kepada UPSI sebagai perunding dan pakar dalam bidang ini," katanya selepas majlis pertukaran dokumen memorandum perjanjian itu di sini hari ini.

USM diwakili oleh Koon Lim manakala SIRIM oleh Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Teknologinya, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof manakala UPSI diwakili Timbalan Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Mustamam Abd. Karim.

Turut hadir Timbalan Dekan Fakulti Sains Perubatan USM, Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim dan Penyelidik Kanan Program Bahan Hayat SIRIM, Dr. Kartini Noorsal.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, segmen pengurusan luka amat berpotensi kerana pasarannya di peringkat global menjana AS$5.2 bilion (RM16.64 bilion) pada 2008 dan dijangka mencecah AS$16 bilion (RM51.2 bilion) menjelang 2017.

"Apa yang pasti, penggunaan produk pengurusan luka amat tinggi di Malaysia berikutan angka kemalangan jalan raya yang tinggi serta kecederaan kebakaran yang parah," katanya.

Menurut Zainal Abidin lagi, kebanyakan produk rawatan luka yang diimport bernilai jutaan ringgit sehingga kerajaan dan pesakit perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan rawatan tersebut.

Justeru kata beliau, dengan adanya produk hasil penyelidikan tempatan, kebergantungan terhadap produk perawatan luka dari luar negara dapat dikurangkan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, June 6, 2010

Basikal Elektrik Bumi Cycle Enterprise

(Post: Bahasa Melayu)
" Antara gerai yang mendapat tumpuan ramai semasa Ekspo Mega Kempen Beli Barangan Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ialah gerai yang mempamerkan basikal elektrik dan beberapa produk mobiliti lain seperti kereta "buggy", kerusi roda dan beca yang menggunakan kuasa bateri. "

Tinjauan lanjut membawa wartawan BERNAMA kepada pemiliknya, Rosmawati Abdul Kadir, 46, dan rakan kongsi Fauziah Yahaya, 51.

BERNAMA sempat menemu bual Rosmawati sementara Fauziah sibuk melayani pengunjung yang bertumpu ke gerai itu.

Menurut Rosmawati, beliau menceburi bidang ini atas dorongan sahabat lamanya, James Prebagar, seorang jurutera.

"James yang mula menggalakkan saya untuk berkecimpung dalam dunia pengeluaran produk seperti ini kerana beliau yakin saya mampu memperkenal produk ini kepada masyarakat Malaysia dan juga luar negara," kata Rosmawati.

Dari situ Rosmawati, yang mempunyai pengalaman selama lebih 17 tahun dalam bidang perkhidmatan perundingan industri lif dan eskalator pelbagai jenama, bertekad menyahut cabaran sahabatnya itu untuk menjadi pengedar basikal elektrik buatan Malaysia.

Pada 30 Mei 2007, syarikat Bumi Cycle Enterprise (BCE) ditubuhkan, sekali gus membulatkan azam Rosmawati dan Fauziah untuk memperkenal "sistem pengangkutan baru buat generasi alaf baru".

Rosmawati dan Fauziah terlibat secara langsung dalam mempromosi produk basikal elektrik kepada badan-badan seperti perbadanan kemajuan negeri, unit polis ronda, pertubuhan bukan kerajaan dan beberapa sektor lain.

Kerana keistimewaan tersendiri basikal elektrik ini, BCE menerima tawaran daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk mempromosinya ke peringkat antarabangsa.

BCE juga mempunyai ruang pameran di Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEEC) di ibu pejabat Matrade, di sini.

Pengangkutan Yang Menjimatkan

Basikal pelbagai model dan beberapa produk mobiliti lain yang dikeluarkan BCE kesemuanya menggunakan kuasa bateri yang boleh dicas semula.

Menurut Rosmawati, produknya yang paling mendapat perhatian ramai ialah siri basikal elektrik, yang baru siap dihasilkan kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya Ekspo Mega ini.

"Basikal elektrik kami memang direkabentuk selari dengan cita rasa generasi kini yang ranggi dan lasak," katanya.

Diberikan nama-nama menarik berunsur ketimuran seperti Mutiara, Marhanna, Mahsuri, dan Saladin, setiap model basikal mempunyai tarikan tersendiri dan direkabentuk khas untuk golongan sasar tertentu.

Kesemua model ini diperbuat daripada besi tahan karat kecuali Mutiara yang diperbuat daripada aluminium.

Kelajuan maksimum bagi setiap model basikal ialah 20 kilometer sejam, dengan berat muatan yang boleh dibawa melebihi 100 kilogram. Kesemua model basikal ini juga berupaya mendaki kecerunan sehingga 15 darjah.

Bateri yang dicas penuh iaitu selama dua hingga lapan jam membolehkan sesebuah basikal bergerak sehingga 80 kilometer. Bateri yang digunakan mempunyai kuasa motor 180 watt dan tidak perlu diselenggara.

Rosmawati berkata harga runcit bagi basikal elektrik keluaran syarikatnya amat berpatutan iaitu antara RM2,200 sehingga RM2,950 sebuah.

Dengan slogan 'Hanya 30 sen untuk 80 km', basikal elektrik ini dijangka mampu menarik ramai pembeli kerana sangat menjimatkan, apatah lagi semasa keadaan ekonomi meleset, jelas Rosmawati penuh semangat.

Rangkaian produk BCE disertakan dengan jaminan selama tiga hingga 12 bulan, bergantung kepada produk. Syarikatnya juga memperkenal perkhidmatan selepas jualan untuk menjamin kepuasan pengguna.

Produk Mesra Alam, Sesuai Untuk Semua

Menjelaskan ciri-ciri produk keluaran syarikatnya, Rosmawati memberitahu bahawa teknologi yang digunakan adalah teknologi baru yang dipanggil Revolution.

Selain berprestasi tinggi, teknologi ini menawarkan kepada pengguna kelebihan dari segi keselamatan, dan yang paling menarik, penjimatan kos.

Teknologi ini juga mesra alam, iaitu tidak mengakibatkan sebarang bentuk pencemaran.

Rosmawati berkata basikal elektrik merupakan kenderaan yang sesuai untuk semua golongan dan peringkat masyarakat termasuk suri rumah, golongan pekerja, warga emas dan pelajar.

Sama ada digunakan untuk ke tempat kerja, sekolah, pasar, masjid atau bergerak dari satu bangunan ke bangunan yang lain di dalam kampus, pergerakan menjadi lebih mudah dan lancar tanpa perlu menggunakan tenaga yang banyak.

Meskipun begitu, apabila ingin bersenam, mengeluarkan peluh dan menjimatkan tenaga bateri, pengguna boleh mematikan motor elektrik dan beralih kepada kayuhan seperti mengayuh basikal biasa.

Penyelidikan dan Pembangunan

Dalam usaha mengeluarkan basikal elektrik ini, BCE membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan mempelajari teknologi dari Korea, Jerman, dan China.

Hanya setelah menjalani fasa R&D yang terperinci barulah syarikat itu dapat menghasilkan reka bentuk basikal buatan Malaysia yang sesuai untuk kegunaan masyarakat Malaysia khususnya, di samping berpotensi untuk dieksport.

Rosmawati mendedahkan bahawa BCE juga melantik seorang profesor kejuruteraan elektrik dari Universiti Malaya sebagai penasihat produknya.

Rosmawati seterusnya memberitahu kilang pengeluaran BCE menerima pengiktirafan standard ISO 9001 dan ISO14001, di mana semua produk yang dihasilkan mematuhi kawalan kualiti yang ketat.

Pemasaran Antarabangsa

Penyertaan dalam Ekspo Mega ini merupakan kemunculan sulung basikal elektrik BCE di pasaran.

Paling menggembirakan Rosmawati, beberapa pihak termasuk dari luar negara menunjukkan minat untuk menjadi pengedar bagi produk keluaran syarikat ini.

Rosmawati berkata penglibatan BCE dalam aktiviti promosi Matrade setakat ini membuka jalan untuk produknya dipasarkan ke negara seperti China, Vietnam, Indonesia, Mesir, Brunei, Sudan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dan beberapa negara Afrika serta Caribbean.

Harapan

Rosmawati menaruh harapan tinggi agar barang buatan tempatan mendapat lebih pendedahan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sebagai usahawan, Rosmawati melahirkan penghargaan di atas bantuan dan sokongan yang diterima daripada agensi-agensi kerajaan dalam mengembangkan perniagaan syarikatnya, yang juga mengusahakan kiosk cetakan foto digital selain masih menjadi perunding dalam industri lif dan eskalator.

Beliau membayangkan, jika basikal boleh menjadi cara pengangkutan utama di banyak bandar raya ternama dunia, tidak mustahil keadaan yang sama menjadi realiti di negara ini.

Juga, jika rakyat tidak mampu memiliki kereta kerana sukar mendapat pinjaman bank, motosikal pula membawa imej rempit dan berbahaya, manakala pengangkutan awam sentiasa terlalu sesak atau tidak efisien; basikal elektrik kini menawarkan penyelesaian yang ideal -- sama ada di kota besar, bandar atau desa.

CONTACT INFO:
Telefon: Fauziah (019-2121446) atau Rosmawati (017-3607699)

Lokasi kilang: No 4 Jalan 39/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Selangor

Sumber: Bernama.com

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::