ATTENTION !!!

Showing posts with label mentor. Show all posts
Showing posts with label mentor. Show all posts

Thursday, January 21, 2010

Tempahan Jahitan Butik Ita De Fashion

(Post: Bahasa Melayu)
" Semangat cekal jiwa berani, sekali genggam menjadi bara, perubahan sikap harus diuji, kelak sampai ke puncak jaya. Pantun empat kerat itu sering diungkapkan Siti Zakiah @ Ita Amiruddin sebagai perangsang dalam perniagaannya. "

Katanya, ungkapan azimat itu dipinjam daripada pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Syed Ahmad Alsagoff, semasa Ita mengikuti kelas pidatonya.

Menjengah ke premisnya, Butik Ita De Fashion di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, jelas ternampak kelainan beliau berbanding usahawan wanita yang lain. Kata-kata azimat terpampang di setiap sudut butik, begitu juga dengan sijil dan pencapaian yang pernah diperoleh beliau.

"Semua ini saya jadikan semangat untuk terus gigih berusaha. Andainya berhadapan dengan masalah, saya akan merenung semula kata-kata perangsang ini," ujarnya.

Selain menjahit, Ita juga aktif dalam bidang kesusasteraan. Ketika menuntut di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak dahulu, beliau pernah mewakili institusi pengajian tinggi itu dalam pertandingan pidato.

Malah beliau juga pernah mewakili daerah Hulu Langat dalam pertandingan pidato peringkat negeri di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.

"Rasa bangga jugalah sebab kebanyakan peserta yang bertanding merupakan pelajar universiti tetapi saya cuma belajar di IKBN. Walaupun begitu, saya tetap dapat tempat kelima daripada berbelas-belas peserta," ujarnya bangga.

Sebenarnya, wanita yang baru mencecah usia 33 tahun ini bukan calang-calang orangnya. Memulakan perniagaan sendiri seawal usia 20 tahun, ibu kepada sepasang cahaya mata ini cukup matang berbanding usianya.

Mendapat pendidikan dalam bidang jahitan di Institut Kemahiran Baitulmal dan IKBN Peretak, Ita membuka perniagaan jahitan dengan menyewa sebuah kedai kecil di Pasar Besar Cheras berbekalkan modal sebanyak RM10,000 yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapanya.

"Pada awalnya saya bermula secara kecil-kecilan dari rumah," ujar Ita ramah.

Lapan tahun di situ, Ita sudah masak sangat dengan selok-belok perniagaan.

Selain keupayaannya menerima tempahan pakaian lelaki dan wanita merangkumi semua jenis fesyen, beliau juga memberanikan diri dengan mendapatkan kontrak daripada sektor awam dan syarikat korporat.

Pelbagai kontrak berjaya diperolehnya, antaranya menyediakan uniform dan juga menjahit langsir pejabat.

Dengan berkembangnya perniagaan tersebut, barulah beliau berani membuka Butik Ita De Fashion yang lebih luas dan selesa sejak lebih tiga tahun lalu.

Selain rajin berusaha, Ita juga seorang yang bijak mencuri peluang. Mengakui beliau tidak memiliki kelulusan yang tinggi dalam akademik, Ita yakin dirinya mempunyai kelebihan tersendiri.

"Bapa saya memang menentang apabila mengetahui saya memilih bidang ini. Dia mahu saya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti adik-adik saya. Tapi saya sendiri yang tak mahu," katanya.

Dengan ilmu jahitan dan perniagaan yang dimilikinya selama 12 tahun itu, Ita tidak lokek untuk berkongsi dengan orang lain. Baginya, tidak salah berkongsi asalkan ia memberi manfaat kepada semua.

Pernah dilantik sebagai mentor kursus jahitan dalam program anjuran bersama Mara dan Puteri UMNO sejak 2006, beliau juga telah berjaya melahirkan beberapa usahawan wanita yang ingin menjadi sepertinya.

"Saya tahu bagaimana rasanya mempunyai kemahiran tetapi tidak mempunyai modal yang cukup dan tidak tahu bagaimana mahu bermula," ujarnya.

Kerana itu beliau sehingga kini masih melatih sesiapa sahaja yang ingin belajar menjahit dengan bayaran yang berpatutan dan kelas yang fleksibel.

Tidak cukup dengan butik, Ita mengembangkan pula sayap perniagaannya dengan menyertai syarikat jualan langsung. Baginya, setiap masa yang ada harus digunakan sebaik mungkin.

Menyertai syarikat jualan langsung yang menjual produk kelengkapan rumah, pakaian dan kesihatan, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Terbaru, Ita membuka sebuah premis di Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur khusus untuk memasarkan dua produk syarikat itu.

Dengan menyertai syarikat itu, beliau juga terlibat dengan kursus kepimpinan dan pelbagai program yang sangat memberi impak kepada tahap keyakinan dirinya.

Kebolehan itu jugalah yang dimanfaatkannya untuk mendapatkan tender daripada beberapa syarikat korporat dan juga sektor awam.

Bercakap mengenai keluarga, Ita merupakan anak sulung daripada lima beradik. Beliau berkahwin dengan Shaiful Bahri Ahmadi, 34.

"Keluarga saya sangat unik. Dua daripada kami memiliki kemahiran. Dua lagi berjaya dalam akademik," katanya yang tetap merancang masa depan kedua-dua orang anaknya walau sesibuk mana pun beliau.

Dua anak Ita ialah Muhammad Haziq, 8, dan Nur Haziqah Najwa, kini berusia tujuh tahun.

"Saya hantar Najwa ke sekolah aliran Cina. Sejak umur empat tahun lagi dia sudah belajar di situ," katanya.

Tambah Ita: "Saya harap suatu hari nanti dia dapat menjadi pembaca berita bahasa Cina di televisyen yang belum pernah diceburi kaum Melayu."

Mengenai pencapaian yang diperoleh sepanjang bergiat dalam perniagaan itu, Ita baru-baru ini telah menerima Anugerah Usahawan Berjaya (Wanita) daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Selain itu, Ita juga bangga dengan anugerah yang buat julung kali diperkenalkan Institut Baitumal kepada bekas pelatihnya iaitu Anugerah Usahawan Baitumal 2009 yang diraih Ita, Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, seorang rakan niaga yang dahulu merupakan pelajar kelas menjahit beliau mengakui keunggulan personaliti wanita itu.

"Saya hanya seorang suri rumah semasa belajar menjahit dengan Ita. Selepas beberapa bulan, saya semakin mahir dan sekarang menjadi rakan niaga pula," kata Rozita Sahar, 41.

Katanya, Ita seorang yang tegas tetapi ada kelembutan di dalam dirinya.

"Dia seorang wanita cekal yang berani menghadapi pelbagai risiko. Dalam keluarga, dia seorang ibu yang sangat mengambil berat terhadap anak-anak."

"Dengan kawan-kawan pula dia seorang yang sangat setia dan seronok untuk berkawan," ujar Rozita.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 21, 2009

Ladang Agro-Tourism SYAMILLE AGRO FARM

(Post: Bahasa Melayu)
"Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan."

"Mulanya di kawasan ini saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok," kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus.

Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.

Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.

Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.

Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.

Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.

Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.

Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.

Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.

Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.

Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.

Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.

"Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik."

"Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus," katanya.

Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.

Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.

Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.

Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.

Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.

Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, May 13, 2009

Makanan Keli PRO ASLI

(Post: Bahasa Melayu)
"Produk ini juga dapat menghasilkan ikan super organik kualiti tinggi dan sedap, selain memperkenalkan sistem ternakan yang mudah dan mesra sebagai aktiviti sekeluarga dan sara diri."

"Saya menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu kerana minat yang mendalam," kata Mohammad Hifdzi Hamzah, seorang pengamal perubatan yang mempunyai firma guamannya sendiri, semasa ditemui di tempat ternakan ikan keli di Batu Caves, Selangor.

Justeru beliau menubuhkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan yang dinamakan Perintis Agrotech Centre.

Selama bergiat dalam bidang pertanian, beliau telah menjadi mentor atau pakar rujuk bagi mereka yang berminat dalam pertanian.

Pemerhatian dan kajian yang dilakukan selama tiga tahun ke atas dalam ternakan ikan keli membawa kepada makanan ikan keli yang dinamakan Pro Asli.

Mohammad Hifdzi menambah, makanan ikan keli atau Pro Asli lebih dikenali sebagai magic grow dalam kalangan pengguna memandangkan ikan mendapat makanan setiap masa dengan penjimatan kos.

Beliau mendapat idea menghasilkan magic grow bagi mengurangkan kos makanan dan operasi antara 80 hingga 90 peratus. Justeru beliau menggabungkan teknologi dua negara iaitu Jepun dan Thailand.

Teknologi probiotik dari Jepun dapat mempercepatkan tumbesaran dan tempoh tuaian ikan selain mengawal kualiti air.

Manakala kaedah asli diadaptasi dari Thailand bagi menjimatkan kos melalui makanan semula jadi di dalam air seperti mineral, lumut, plankton, alga, dan protein bagi menghasilkan kualiti dan rasa seperti ikan sungai.

"Kit lengkap Pro Asli terdiri daripada tiga produk iaitu permulaan Bio-Mineral, Bio-Vita digunakan seminggu sekali dan Bio-Aqua diletakkan dua minggu sekali," katanya.

Bio-Mineral yang digunakan pada permulaan akan mengaktifkan perkembangan makanan asli untuk ikan seperti zooplankton, fitoplankton, protin dan alga.

Makanan tambahan seperti vitamin diberikan bersama-sama makanan lain seperti roti, lebihan nasi atau hampas kelapa seminggu sekali bagi mempercepatkan tumbesaran dan tuaian.

"Ini bagi memastikan tumbesaran sesuai untuk tujuan komersial iaitu 75 hingga 100 hari," katanya.

Bagi mengawal bau, kualiti air dan paling penting menukarkan najis ikan kepada lumut bagi makanan ikan, Bio-Aqua digunakan dua hingga tiga minggu sekali.

Hifdzi berkata, penggunaan magic grow amat sesuai bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan ternakannya.

"Ia amat sesuai digunakan bagi semua kolam ternakan seperti kolam tanah, simen, kanvas, gentian kaca, tangki poli dan HDPE," katanya.

"Saya juga berharap dalam melahirkan lebih ramai pengusaha atau penternak secara kecil-kecilan atau komersial melalui kaedah ternakan mudah dan menjimatkan."

Beliau menjelaskan dengan kos yang rendah, semua orang berpeluang menternak ikan keli sebagai aktiviti sekeluarga.

Bagi mengiktirafkan produk magic grow, Mohammad Hifdzi senang memohon Sijil Amalan Organik dan mendapatkan status bioteknologi.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, April 15, 2009

Usahawan Komputer I-Tech Technology

(Post: Bahasa Melayu)
"Beliau pernah dicerca dan diketepikan dalam 11 temu duga kerja hanya kerana kekurangan dirinya yang dilahirkan sebagai insan kerdil."

Namun, ia terbukti tidak pernah mematahkan semangat Firdaus Mohamad @ Kamal yang biarpun baru berusia 20 tahun tetapi sudah mampu meraih pendapatan empat angka iaitu sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.

Ini hasil usahanya sebagai usahawan syarikat I Tech Technology yang menyediakan perkhidmatan baik pulih dan aksesori komputer miliknya di Segambut.

Biarpun ketinggiannya cuma 115 sentimeter, namun jiwa, hati, tekad dan semangatnya jauh lebih besar daripada insan normal lain dan sanggup menempuh dugaan yang melanda hasil persepsi negatif segelintir masyarakat yang meragui kemampuannya.

"Biarlah apa orang nak kata. Apa lebih penting adalah impian dan semangat untuk menjadikan apa yang kita inginkan itu satu kenyataan. Memang orang boleh kata apa pun, tetapi pokok pangkalnya, terletak pada diri sendiri. Alhamdulillah, setakat ini, Allah permudahkan usaha saya," katanya.

"Tahun lalu, saya menemui Pengurus Pusat Giat Mara Segambut, Nurul Azimah Mohd Ani. Akhirnya pada Julai 2008, saya dapat membuka I-Tech Technology yang buat sementara ini ditempatkan di lot kedai di Pusat Teknopreneurs Giat Mara di Taman Sri Sinar, juga di Segambut."

Hasil bantuan Pusat Giat Mara yang memberinya elaun sara hidup RM200 sebulan, membayarkan sewa tapak kedai, menyediakan peralatan untuk beroperasi serta wang RM1,000 dipinjam daripada abangnya, Firdaus akhirnya membuka I-Tech Technology.

"Biarpun penat kerana waktu kerja yang tidak menentu, apa yang penting, kita harus jujur, ikhlas dan berusaha selagi terdaya," katanya yang turut menjadi mentor kepada sekumpulan bekas pelatih Pusat Giat Mara berkenaan.

INFO:
Perkhidmatan disediakan termasuk membaikpulih komputer, aksesori komputer dan 'networking' komputer.

Lokasi: Pusat Teknopreneurs, No 20, Jalan 6/38D, Taman Sri Sinar, Segambut, 51200, Kuala Lumpur

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, April 7, 2009

Usahawan Itik Telur

(Post: Bahasa Melayu)
"Segala-galanya bermula pertengahan tahun 2008, selepas kira-kira tiga bulan menamatkan kursus, beliau mendapati ternakan itik telur berpotensi dikembangkan di negeri Kelantan, walaupun pada awalnya mempelajari bidang ternakan lembu dan kambing."

Sejak mula menceburi ternakan itik telur spesies Khaki Campbell mulai pertengahan Ogos 2008, lulusan Institut Veterinar Kluang, Johor, Mohd Asyrafuddin Mohd Ghazali, 24, kini mampu berbangga apabila lebih 600 itik telur peliharaannya, memberi pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan telur segar dan masin.

Ketika anak muda sebayanya yang lain masih tercari-cari pekerjaan sesuai dan sesetengahnya dilanda musibah akibat kehilangan pekerjaan kerana kegawatan ekonomi, Mohd Asyrafuddin sedang melangkah jauh dalam usahanya menternak itik telur apabila turut dipilih oleh kerajaan untuk membantu penduduk miskin negeri ini mengubah kehidupan mereka dengan ternakan itik.

"Saya belajar ternakan lembu dan kambing, tetapi selepas belajar, saya dapati ternakan itik lebih berpotensi untuk dikembangkan sebagai perniagaan kerana mudah dan murah."

"Selepas berbincang dengan keluarga, saya mencari sendiri bekalan itik di Perak dengan membeli kira-kira 500 itik dewasa dan 100 anak itik untuk memulakan perusahaan ini atas tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang disewa."

"Selepas kira-kira tiga bulan, itik yang diternak ini mula mengeluarkan hasil, membolehkan saya mengutip kira-kira 400 biji telur sehari yang dijual sebagai telur segar dan diproses sebagai telur masin menerusi peniaga pasar sekitar Wakaf Bharu, Kota Bharu dan Tumpat,"

Telur itik segar dijual borong pada harga 40 sen sebiji, manakala 58 sen sebiji bagi telur masin yang dihasilkannya sendiri di pusat ternakan itik miliknya itu, membolehkan beliau memperoleh pendapatan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Selepas lapan bulan berlalu, permintaan terhadap telur itik yang diusahakannya semakin meningkat dan keadaan itu mendorongnya kini menambah bilangan ternakan itik yang diternaknya itu sebanyak 4,400 ekor lagi yang akan diterimanya dalam tempoh terdekat.

"Semua itik ini mampu menghasilkan telur sehingga usia tiga tahun sebelum disembelih untuk jualan daging segar. Semua itik ini saya beri makan dua kali sehari bermula jam 6 pagi sambil mengutip telurnya dengan kira-kira 100 butir diproses sebagai telur masin."

Anak muda berjiwa besar itu kini dijadikan contoh usahawan muda dan dilantik oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan sebagai Mentor Program e-Kasih anjuran Kerajaan Pusat bagi membantu keluarga penduduk miskin negeri ini yang berminat menceburi ternakan itik telur itu.

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
Khaki Campbell

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, December 4, 2008

Ikan Kolam Air Laut

(Post: Bahasa Melayu)
"Ketika timbul idea ini, ramai yang anggap saya gila, namun berkat kesungguhan diri dan rakan-rakan lain, segalanya berjaya diharungi."

Selain menjadi usahawan feri, Pengerusi Eksekutif KMDB, Mohd. Nasir Mohd. Rashid, turut mengusahakan projek perintis ternakan ikan laut dalam kolam yang menggunakan teknologi dari Taiwan.

Projek berkonsepkan agro-pelancongan membabitkan kawasan seluas 20 hektar di Teluk Dalam.

Kaedah bioteknologi yang diperkenalkan Global Hi-Q, nelayan tidak perlu lagi turun ke laut, sebaliknya hanya perlu menternak ikan di kolam.

Buat masa ini pusat ternakan yang dibangunkannya itu mempunyai 100 buah kolam. Keluasan setiap kolam ialah 4X4 meter persegi dan 6X6 meter persegi.

Pada masa ini projek tersebut memberi fokus pada penternakan ikan kerapu kerana mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran dalam dan luar negara.

"Ikan kerapu yang diternak di sini mengambil masa selama 10 bulan untuk mencapai berat antara 600 gram hingga 800 gram seekor sebelum dieksport ke China dan Hong Kong pada harga AS$16 (RM58) sekilogram."

Menurut Mohd. Nasir, sekumpulan 15 usahawan perintis yang terdiri daripada masyarakat tempatan akan memulakan projek ternakan ikan mereka di bawah program Mentor-Mentee melalui pembiayaan pinjaman oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::