ATTENTION !!!

Showing posts with label kolam memancing. Show all posts
Showing posts with label kolam memancing. Show all posts

Thursday, November 11, 2010

Restoran Tasik Idaman

(Post: Bahasa Melayu)
" Dulu ia kawasan lombong terbiar dengan kedudukan tersorok di pinggir kampung. Selepas dimajukan, kawasan seluas 2.5 hektar di Jalan Jenderam, Dengkil, itu berubah wajah menjadi lokasi menjamu selera mendamaikan serta pusat riadah popular, terutama di kalangan kaki pancing. "

Berlatarbelakangkan kehijauan tropika dan tasik buatan sendiri, Restoran Tasik Idaman yang diusahakan sejak enam tahun lalu menjanjikan kelainan.

Berkonsep terbuka, pengunjung mempunyai pilihan sama ada mahu menjamu selera di ruang berbumbung iaitu Teratak VIP, Teratak Terapung (dibina di atas tasik), Taman Cahaya Idaman yang menyediakan skrin besar untuk menonton televisyen atau dataran.

Menyajikan menu ala Thai dan Barat, Tasik Idaman mampu menampung 1,000 orang dalam satu masa. Lebih menarik, pelbagai kemudahan disediakan seperti tempat meletak kenderaan yang luas dan percuma, ruang solat dan tandas.

Ini menjadi daya tarikan untuk pelbagai acara diadakan di situ seperti hari keluarga, majlis perkahwinan atau sambutan hari jadi.

Pengurusnya, Nur Fateha Osman berkata, kawasan tasik itu dinamakan sempena nama ibu dan bapanya, iaitu gabungan 'Ida' dan 'Man'.

"Pada mulanya ayah ingin membangunkan rumah rehat untuk keluarga di sini, tetapi rakannya mencadangkan supaya membangunkan restoran. Alhamdulillah, kawasan ini dan sekitarnya semakin membangun, sekali gus menarik pengunjung ke sini," katanya.

Restoran Tasik Idaman terletak berdepan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia, lapan kilometer dari Lebuhraya Bangi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lima km dari Lebuhraya Dengkil/Putrajaya.

Ikan antara menu popular dan digemari di Restoran Tasik Idaman. Tilapia merah bakar yang diperap ramuan tersendiri misalnya, antara yang digemari pelanggan kerana isinya yang manis selain pilihan cicah air asam atau sambal.

Siakap stim limau iaitu dikukus dengan perahan limau nipis sesuai untuk mereka yang suka pedas selain tidak berminyak. Untuk yang inginkan hidangan lebih pedas, kerapu cili Idaman menu sesuai kerana rasa yang pedas menyengat.

Kerapu goreng dilumur dengan ramuan cili pasti membangkit selera. Masih dengan menu ikan, pari bakar yang dilumur dengan ramuan cili tidak kurang enaknya.

Inginkan menu berkuah, cuba tom yam Idaman yang berkuah pekat dan berbeza daripada tom yam biasa. Rupanya seakan-akan asam pedas, tetapi ia sebenarnya tom yam makanan laut atau tom yam Pok Tek dengan pes buatan sendiri, mengandungi lala, sotong, udang galah dan isi ikan siakap.

Tidak lengkap tanpa sayuran, anda boleh memesan sayuran lain daripada kebiasaan seperti kangkung atau kailan. Di sini, asparagus udang sos tiram menjanjikan kelainan dengan asparagus dipotong nipis, udang dan sos tiram.

Tasik Idaman turut menyajikan mi, kuetiau, bihun dan mi segera goreng, hailam, ladna, sup, bandung, Hong Kong, kung fu atau tom yam. Telur dan bistik, tom yam udang, sotong, campur, ayam, daging, sayur dan tom yam putih.

"Menu ikan di sini memenuhi cita rasa pelanggan. Ia dijual mengikut harga pasaran dan seekor ikan tidak sampai sekilogram," katanya.

Jenis ikan ditawarkan ialah siakap, talapia, kembung, cencaru selain ketam, udang galah dan sotong. Pelanggan boleh menempah sama ada untuk dimasak tiga rasa, masam manis, kukus halia, kukus limau, masak merah, pedas, kicap, goreng atau sambal cili.

Pengunjung turut dihiburkan persembahan 'live band' daripada artis residen Tasik Idaman secara percuma. Pemancing pula boleh mencuba nasib di kolam pancing 24 jam seluas 1.2 hektar yang menjadi habitat ikan talapia merah atau bunga, sembilang, patin, tongsan dan rohu.

Sumber: myMetro
Foto: Restoran Tasik Idaman

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, September 1, 2009

Lembu, Kambing, Itik, Keli - Zamzuree

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukan mudah bagi Zamzuree untuk mengumpul aset sebesar itu. Anak kepada seorang guru sekolah kampung yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh ini mengambil risiko besar meninggalkan pekerjaan kolar putih untuk menceburi bidang perniagaan."

Memang ramai sebenarnya di dunia ini yang boleh bercerita bagaimana mereka tidak akan berjaya jika tidak menemui kegagalan terlebih dahulu.

Zamzuree Zakaria, 43, ialah seorang daripadanya yang menjadikan pengalaman kecundang sebagai pengajaran amat berguna untuk bangkit semula dan muncul sebagai antara pengimport dan pengeksport lembu secara komersial terbesar di negara ini.

Dengan berbekalkan modal hanya RM40,000 pada tahun 2000, yang sekadar mampu mengimport 28 ekor lembu dari Australia, kini pengusaha lembu yang juga Pengarah Syarikat Mahaderas Sdn. Bhd. ini sudah memiliki aset semasa lebih RM4.9 juta.

"Ini termasuk kandang dan peralatan yang membabitkan kawasan seluas 8.7 hektar di Kampung Jelor, Pasir Puteh," katanya kepada ketika ditemui di ladangnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Zamzuree pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 mengambil alih pengurusan perniagaan daripada bapanya Zakaria Awang pada tahun 2003.

Sebelum itu, beliau pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk Renong Berhad, Kuala Lumpur dan sebuah bank di Kelantan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan penternakan.

Setahun selepas mengambil alih perniagaan bapanya, beliau menghadapi ujian perniagaannya hampir lumpuh berikutan harga import lembu dari Australia meningkat mendadak kerana nilai mata wang negara menurun.

"Ia halangan terbesar dan perniagaan saya hampir lumpuh sama sekali."

"Saya pernah menerima pelbagai kritikan dan cacian daripada masyarakat di atas kegagalan itu dan saya jadikan ia sebagai tiupan semangat untuk bangkit semula."

"Doa dan harapan saya mendapat keredaan Allah apabila diselamatkan oleh Agro Bank yang meluluskan pinjaman segera berjumlah RM1.4 juta sebagai modal pusingan," katanya.

Dengan wang pinjaman itu, Zamzuree mula mengalih tumpuan ke arah mengimport lembu dari Selatan Thailand terutama spesies Brahman Cross India.

Kini beliau mengimport kira-kira 12,000 ekor setahun untuk dipasarkan di Semenanjung terutama Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Pahang, selain Kelantan.

Terbaharu, lebih 1,200 ekor lembu bernilai RM2 juta sudah ditempah bermula akhir bulan ini bagi keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri.

"Sebahagian besar daripada jumlah itu sudah tiba dan ditempatkan di ladang syarikat untuk dikuarantinkan selama 10 hari dan diberi suntikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh agar ia selamat dan bebas daripada pelbagai jangkitan penyakit sebelum diedarkan kepada pengguna," katanya.

Lembu berkenaan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 seekor dan sehingga kini ia mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah bagi kenduri kahwin.

Zamzuree berkata, berasaskan kejayaan itu beliau mempelbagaikan kegiatan dengan menyertai projek hiliran seperti ternakan 1,300 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk memproses dijadikan telur masin.

Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 900 biji telur sehari untuk pasaran domestik dan merancang untuk menghasilkan 10,000 biji untuk dieksport ke luar Kelantan.

Zamzuree juga mengimport dan menternak 200 ekor kambing daging spesies luar negara dan sehingga kini dapat memasarkan 100 ekor sebulan untuk keperluan tempatan.

Bagi keperluan harian, beliau turut menternak 300,000 ekor ikan keli dan mengeluarkan hasil antara 800kg dan 1,000 tan sebulan.

Beliau juga ialah pengeluar terbesar baja organik hasil buangan bahan terbiar seperti najis lembu, kambing dan itik selain campuran bahan kimia bagi penyuburan tanaman jangka pendek dan panjang.

Antara 10 hingga 20 tan sehari mampu dikeluarkan bagi memenuhi keperluan domestik termasuk beberapa buah syarikat di Terengganu.

Di samping itu, Zamzuree juga mempunyai sebuah kolam memancing pelbagai spesies ikan yang membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar dan sebuah restoran.

Kolam berkenaan disediakan untuk memberi peluang kepada remaja melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat dengan mengenakan bayaran RM7 sejam.

Setiap bulan beliau mengadakan karnival memancing dengan tawaran hadiah menarik termasuk wang tunai.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::