ATTENTION !!!

Showing posts with label daging. Show all posts
Showing posts with label daging. Show all posts

Wednesday, June 22, 2011

Ternak Puyuh Smart Farming Venture Program

(Post: Bahasa Melayu)
" Bekalan daging puyuh untuk dijadikan pelbagai hidangan sering mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna dan pengusaha restoran. "

Bagaimanapun, pengeluaran daging puyuh secara besar-besaran di negara ini didapati masih terhad berbanding ternakan lain meskipun sambutannya begitu menggalakkan.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, pihak OZ Biofarm Sdn. Bhd. bersama para peneroka Felda Lepar Hilir di Kuantan, Pahang baru-baru ini mengambil inisiatif memulakan program perintis ternakan puyuh daging secara komersial.

OZ Biofarm yang merupakan sebuah syarikat milik penuh Bumiputera di bawah subsidiari OZ Seventy Five Holdings Berhad merupakan pencetus idea kepada projek tersebut.

Melalui pengalaman selama enam tahun menjadi penternak tunggal di Kuantan, Norhan Mohd. Nor, 36, turut terlibat bekerjasama dengan OZ Biofarm untuk meneraju usaha membangunkan industri ternakan puyuh.

Menerusi skim SFVP (Smart Farming Venture Program), projek itu dilihat menampakkan hasil lebih baik dari segi disiplin perniagaan dan pengkhususan penternak sebagai usahawan berdaya maju dan berdaya saing.

"Projek ternakan puyuh daging ini dilihat sebagai salah satu program perintis yang diusahakan bersama peneroka-peneroka Gugusan Felda dalam merintis salah satu Program Sumber Makanan Negara."

"Para peneroka yang terlibat dalam projek ini menggunakan inisiatif modal sendiri sebagai peringkat permulaan dalam pembinaan reban puyuh, makanan, ubat-ubatan dan anak-anak puyuh," kata Norhan.

Sebagai permulaan kepada projek perintis yang tertumpu di Felda, kata Norhan, sebanyak 100,000 ekor puyuh dibekalkan kepada 10 peneroka di Felda Lepar Hilir 1 dan 4 di sini untuk diternak.

"Kita akan menambah bilangan puyuh daging itu secara berperingkat bagi memenuhi permintaan pasaran."

"Di samping itu, penyertaan peserta dalam kalangan peneroka juga akan ditambah dari semasa ke semasa bagi meningkatkan pengeluaran daging puyuh," katanya.

Tambah Norhan, dari segi teknikal dan penjagaan, peneroka tidak akan menghadapi masalah kerana OZ Biofarm menyediakan khidmat nasihat secara percuma kepada peserta bermula sejak hari pertama ternakan dibela, sehingga tempoh matang 30 hari.

Puyuh dieksport

Seterusnya, beliau berkata, daging-daging puyuh proses ini akan diedar di pasaran tempatan atau eksport ke Singapura, China dan negara Timur Tengah kerana permintaan yang menggalakkan.

"Bekalan puyuh di negara ini amat terhad kerana hanya segelintir pengusaha yang menjalankan ternakan ini."

"Untuk pasaran luar negara seperti Singapura pula, negara jiran itu sebenarnya memerlukan bekalan daging puyuh sehingga tujuh tan seminggu walaupun buat masa ini kita hanya berupaya mengeksport dua tan," katanya.

Beliau menyatakan sekiranya projek perintis di Felda Lepar Hilir itu berjaya, pihaknya menyasarkan untuk meluaskan program tersebut ke Felda lain di seluruh negara bagi memenuhi permintaan besar itu.

Sementara itu, seorang peserta program, Hawari Bachik, 59, yang juga peneroka Felda Lepar Hilir 1 mengakui projek berkenaan amat berbaloi untuk diusahakan kerana ia tidak begitu sukar.

"Saya memberi lebih tumpuan pada dua minggu pertama sahaja terhadap 5,500 burung puyuh yang diternak ini terutama dari aspek suhu badannya kerana haiwan ini masih tidak memiliki bulu."

"Selepas itu, penjagaannya agak ringkas iaitu saya hanya perlu menjaga pemakanan dan minumannya sebagaimana kaedah yang ditunjukkan oleh wakil syarikat OZ Biofarm," ujarnya.

Seorang lagi penternak, Sarijan Ali, 59, yang mengusahakan ternakan itu bersama keluarganya berkata, ternakan puyuh didapati berjaya meningkatkan pendapatan mereka dalam tempoh singkat.

"Sebanyak 5,500 ekor anak puyuh dibekalkan kepada saya untuk diternak pada 29 April lalu dan kini sebahagian daripadanya sudah boleh diproses untuk dijual."

"Saya berpuas hati dapat menternak puyuh ini kerana pusingan jualannya cepat dan saya menjangkakan mampu mendapat keuntungan kira-kira RM5,000 daripada jumlah ternakan itu," katanya.

Sebelum mengecapi hasil lumayan itu, Sarijan memberitahu, beliau terlebih dahulu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM20,000 bagi penyediaan rumah puyuh, ternakan dan makanan.

Dalam pada itu, Wakil Pengurusan Felda Lepar Hilir 1, Tirmizi Ruslan berkata, pihaknya menyambut baik program seperti ini berikutan ia menjana pendapatan peneroka terutama ketika proses penanaman semula kelapa sawit dijalankan.

"Program ternakan puyuh adalah salah satu program Gudang Makanan Negara. Selain menghasilkan makanan kepada negara, ia bertujuan untuk menambah pendapatan para peneroka."

"Sehingga kini program berkenaan membuahkan sesuatu yang positif dan difahamkan ia akan diperluas ke felda-felda lain," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, June 8, 2010

Projek Ladang Ayam Windflex

(Post: Bahasa Melayu)
" Reban ayam sering dikaitkan dengan persekitaran kotor dan bau yang kurang menyenangkan. Malah ia juga menjadi tempat lalat membiak hingga boleh mengganggu ketentaraman awam. "

Tetapi dengan perkembangan teknologi, masalah itu dapat diatasi melalui konsep reban tertutup atau windflex.

Dalam siri lawatan Agrochallange Putrajaya-Pekan, Pahang, para peserta telah didedahkan dengan teknologi penternakan ayam yang berasal dari Itali itu.

Menurut Pengurus Projek Ladang Ayam Windflex, Habibunnajar Yusof, konsep windflex bermaksud, reban ayam yang boleh diselaras suhu, masa makan boleh ditentukan dan keadaannya tertutup yang boleh mengawal penyakit daripada merebak.

Berkongsi cerita mengenai kaedah ternakan ayam, Habibunajar berkata, ia mula dibangunkan pada tahun 2004 dan mula menempatkan anak-anak ayam dua tahun kemudian.

"Pada mulanya kami mendirikan dua buah reban dengan kapasiti 40,000 ekor ayam pada satu-satu masa," katanya semasa menyampaikan taklimat kepada peserta."

Bagaimanapun, jelas Habibunnajar, apabila permintaan dan tempahan semakin bertambah, pihak pengurusan membuat keputusan untuk membina dua buah bangunan lagi.

Selain itu, bangunan sedia ada juga diubahsuai bagi menjadikannya reban ayam dua tingkat tertutup.

"Walaupun reban ayam windflex bertutup, ia tidak mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan seperti reban ayam lain," katanya.

Bermula dengan kapasiti 40,000 ekor ayam kemudian ditambah kepada 80,000 ekor, kini reban berkenaan boleh menampung sehingga 160,000 ekor ayam pada satu-satu masa.

Habibunnajar berkata, beliau menggunakan konsep ternakan ayam Windflex kerana teknik konvensional menghadapi pelbagai masalah penyakit.

Pada masa sama, permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan menyebabkan pihak pengurusan mengambil keputusan membangunkan sebuah ladang ternakan ayam berkonsepkan windflex itu.

"Dalam masa dua tahun, kami mengeluarkan modal sebanyak RM220,000 bagi membangunkan sebuah tapak lagi," katanya.

Windflex merupakan teknologi terkini bagi menternak ayam daging.

"Bagaimanapun teknologi berkenaan memerlukan kos yang tinggi dan kami sentiasa berusaha bagi mendapatkan hasil yang terbaik," katanya.

Ketika ini, Ladang Ayam Windflex menjalinkan kerjasama dengan salah sebuah syarikat makanan berasaskan ayam dan mendapatkan bekalan anak-anak ayam dari Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Ayam yang diternak menggunakan teknologi windflex juga boleh dituai dalam tempoh 34 hari.

Ini dapat mengurangkan kos makanan kerana ayam yang diternak dapat dijual dalam masa yang singkat.

"Menggunakan teknologi berkenaan kadar kematian adalah rendah hanya dua hingga tiga peratus saja berbanding kaedah konvensional," katanya.

Habibunnajar berkata, setiap reban juga memerlukan tenaga kerja minimum kerana pekerja hanya diperlukan untuk memantau ayam di reban.

Menerusi sistem itu juga, ternakan diberi makanan secara automatik mengikut masa yang ditetapkan bagi mengurangkan pembaziran.

"Pekerja tambahan hanya diperlukan semasa menangkap ayam dan membersihkan reban sebelum anak ayam yang baru tiba di ladang."

"Kaedah ini berjaya mengurangkan kadar kematian anak ayam dua hingga tiga peratus semusim berbanding dengan kaedah sebelum ini," katanya.

Selain itu teknologi windflex yang digunakan boleh meningkatkan berat ayam yang dipelihara dengan cepat.

Anak-anak ayam diberikan makanan secara berperingkat bermula dengan makanan permualaan, medium dan pembesaran mengikut peringkat umur.

Sistem reban ayam windflex mempunyai banyak kelebihan kerana ayam yang dipelihara susah mendapat penyakit, cuaca dan suhu boleh dikawal dan makanan yang diberikan tidak berlebihan atau membazir.

Manakala saiz reban dua tingkat menjimatkan ruang serta lebih banyak ayam dapat dipelihara pada satu-satu masa.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, April 12, 2010

Pelancongan dan Ladang Lembu Prestige

(Post: Bahasa Melayu)
" Baru berusia 32 tahun, tetapi pencapaian dan kemampuannya boleh diumpamakan satu dalam 1,000. Betapa tidak, pada usia semuda itu beliau memiliki lebih daripada satu syarikat, bangunan sendiri yang nilainya melebihi RM1 juta dan bergelar bos kepada lebih 100 kakitangan. "

Tanyalah hal berkaitan lembu, terutama lembu susu, insya-Allah beliau boleh menjawabnya.

Malah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini, beliau memberi gambaran betapa 'ilmunya' berkaitan haiwan berkenaan kadangkala tidak terjangkau dek fikiran.

"Kalau awak nak tahu, lembu susu adalah haiwan yang sensitif dan tidak boleh tertekan. Kita perlu tunjukkan kasih sayang kepada haiwan itu kerana ia kaedah berkesan untuk lembu terbabit menghasilkan susu yang lebih banyak."

"Lebih elok jika wanita menjaga haiwan itu. Di ladang saya, setakat ini dua wanita ditugaskan menjaga lembu dan ia ternyata berkesan dalam menghasilkan susu lebih banyak," katanya selamba.

Siapa sangka, di sebalik usia dan penampilan yang tampak lemah lembut, wanita bernama Norazean Abdul Aziz itu agresif dalam dunia perniagaan.

Sebelum 'menguruskan' lembu, beliau terlebih dulu meraih kecemerlangan dalam bidang pelancongan.

Hanya dalam tempoh tiga tahun (2002 hingga 2005) menjalankan perniagaan pelancongan menerusi syarikat Prestige Platinum Vacation (PPV) (M) Sdn Bhd, beliau berupaya membeli bangunan sendiri yang dinamakan Wisma PPV di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada usia 27 tahun.

Daripada hanya menguruskan pakej pelancongan dalam negara, kini nama PPV bukan lagi asing sebagai sebuah syarikat pelancongan yang lengkap serba serbinya.

Ada bas persiaran sendiri dan sebut apa saja khidmat berkaitan pelancongan tidak kira dalam atau luar negara, semuanya ada di PPV.

Selepas enam tahun meletakkan PPV pada kedudukan terbaik dan mempunyai prestij tersendiri, Norazean menubuhkan pula syarikat Prestige Dairy Farm (PDF) (M) Sdn Bhd yang mengkhusus kepada perniagaan memelihara lembu untuk menghasilkan produk tenusu dan daging.

Bagi Norazean atau lebih mesra dengan panggilan Azean, usahanya meneroka bidang berkenaan yang semestinya dianggap janggal bagi wanita, dijadikannya cabaran.

Beliau sanggup mengetepikan rasa kurang selesa terhadap haiwan berkenaan kerana yakin dengan masa depan perniagaan dalam bidang itu.

"Dulu nak dekat dengan lembu susah juga sebab saya tak tahan baunya. Sekarang tiada masalah untuk saya berbuat demikian, malah saya sifatkan lembu juga seperti haiwan peliharaan lain yang perlu diberi kasih sayang dan dijaga dengan sempurna."

"Dalam perniagaan ini suami banyak membantu, malah dialah pencetus kepada penubuhan syarikat ini. Kami bersama-sama merealisasikannya," katanya.

Kesungguhan Azean terhadap perniagaan itu terbukti dengan visi dan misinya. Beliau menyifatkan susu lembu umpama gula yang diperlukan dalam kehidupan setiap hari.

"Susu sama saja macam gula. Daripada bayi hinggalah orang tua, semua minum susu dan terbukti susu mendapat permintaan yang sangat tinggi."

"Bukan setakat susu, macam-macam boleh dibuat dengan susu lembu, antaranya minyak sapi. Justeru, saya ambil peluang ini untuk memberi tumpuan dalam perniagaan berkenaan," katanya.

Bermula dari 2008, PDF kini mempunyai lebih 500 ekor lembu susu jenis Friesian-Jersey diimport dari Australia, selain lembu daging yang ditempatkan di ladang Alifah, Kluang, Johor.

Dengan lebih 30 kakitangan dan peralatan pemprosesan susu canggih, PDF kini tersenarai sebagai pengeluar susu lembu kedua terbesar di negara ini.

PDF turut membuka peluang kepada orang ramai bersama-sama menikmati faedah daripada permintaan tinggi susu lembu menerusi pakej diperkenalkan PDF.

Beli lembu daripada PDF dan terima hasil sehingga RM1,000 sebulan, bergantung kepada jumlah pengeluaran susu lembu yang dibeli.

Tidak perlu bersusah payah menguruskan lembu dimiliki kerana PDF akan menguruskan semua hal berkaitan, daripada menjaga, memberi makan, memerah susu hinggalah hal pemasarannya.

Setiap lembu dibeli akan diberi sijil dan Azean mengalu-alukan pemilik lembu hadir ke ladang PDF di Kulai Johor untuk melihat lembu mereka.

Bagaikan terlalu mudah, dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, Azean mampu mengecap kejayaan dan memang lumrah, kejayaan diperoleh mengundang pelbagai persepsi.

Bagi Azean, beliau sedia maklum, barangkali ada yang beranggapan beliau 'orang senang' menyebabkan mudah untuknya meraih kejayaan sesingkat itu.

Namun hakikatnya Azean bukan dilahirkan di dalam 'mangkuk emas' yang memungkinkan beliau lebat dengan wang ringgit sehingga mampu melakukan apa saja. Ibu bapanya juga bukan orang berpengaruh sehingga mampu membantu memudahkan perjalanan perniagaannya.

"Bapa saya bekerja sebagai pemandu limosin dan ibu suri rumah. Mereka tidak mampu memberi kekayaan, tetapi yang masih terngiang-ngiang, ayah selalu kata dia hanya mampu memberi kasih sayang dan pendidikan terbaik untuk anaknya."

"Didikan, kasih sayang dan kesungguhan ibu dan ayah memberi saya pendidikan terbaik dijadikan dorongan serta semangat untuk saya merubah nasib keluarga pada masa depan," katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, perjalanan untuk beliau mengecapi kejayaan seperti hari ini bukan mudah.

"Ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, saya melakukan kerja sampingan untuk mencari wang perbelanjaan dan pada masa sama menimba pengalaman."

"Nak minta wang daripada orang tua, saya tak sanggup kerana tidak mahu menyusahkan mereka."

"Saya bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran di sebuah syarikat pada sebelah petang dari jam 5 petang hingga 9 malam, manakala pada Sabtu dan Ahad saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 7 malam."

"Bohonglah saya katakan tidak penat dan tertekan... bila nak mengulangkaji, menyiapkan tugasan diberi pensyarah dan memberi tumpuan kepada pekerjaan. Apapun, saya kuatkan semangat dan teruskan sehingga tamat pengajian," katanya.

Kesungguhan Azean berbaloi apabila terus diberi kepercayaan bekerja sepenuh masa selepas tamat pengajian hinggalah dilantik ke jawatan ketua bahagian pemasaran.

Bagaimanapun, kejayaan diperoleh menimbulkan iri hati pihak tertentu, menyebabkan beliau ditukarkan ke bahagian sumber manusia.

"Kepakaran saya adalah bidang pemasaran. Apabila ditukarkan ke bahagian sumber manusia, untuk apa lagi saya bekerja di situ. Saya ambil keputusan berhenti kerja dan ketidakadilan itu membuatkan saya nekad untuk bekerja sendiri," katanya.

Azean memanfaatkan kepakarannya dalam bidang jualan dan pemasaran untuk menceburi bidang saham amanah. Tidak dilayan, terpaksa tebalkan muka dan dimarahi antara pengalaman yang lama kelamaan menjadi kebiasaan buatnya.

Berbekalkan pengalaman berkenaan, Azean mencuba pula bidang pelancongan dengan membuka syarikat pelancongan kecil-kecilan dinamakan PPV. Buat permulaan, tumpuan diberi kepada pakej pelancongan dalam negara terlebih dulu.

"Ketika berhenti kerja dan buat saham amanah, adalah sedikit modal. Saya sewa kedai kecil dan mencari pelanggan sendiri. Memandangkan sudah biasa 'tebal muka', saya telefon hotel sendiri, jumpa pengurus hotel sendiri dan cari pelanggan sendiri."

"Alhamdulillah, berkat pengalaman, dapatlah pelanggan dan tambah dua hingga tiga kakitangan untuk melicinkan urusan perniagaan," katanya.

Setahun kemudian, PPV mendapat lesen untuk menyediakan pakej pelancongan luar negara dan pencapaian PPV terus cemerlang dengan beroperasi di bangunan sendiri dan pertambahan pelanggan dari semasa ke semasa, dari individu hinggalah sektor korporat dan kerajaan.

Bertemu jodoh dengan Mohd Helmi Ali pada usia 27 tahun, PPV terus megah dan perjalanan Azean terus ke puncak dengan penubuhan PDF.

Liku perjalanan Azean dalam menguruskan dua syarikat berkenaan turut dicemari episod duka ditipu kenalan sendiri.

"Saya pernah beberapa kali ditipu sehingga rugi lebih RM200,000. Kenalan sendiri sanggup berbuat demikian selepas melihat kesungguhan saya untuk mencuba cabang perniagaan saya. Tidak perlu saya mengulas lanjut kerana insiden itu mengecewakan saya. Ia pengalaman berharga untuk saya lebih berhati-hati," katanya.

Reda dengan apa yang berlaku, Azean tidak mahu pengalaman pahit itu melemahkan semangatnya.

"Saya dan kakitangan umpama keluarga. Jika saya putus asa dan perniagaan tergugat gara-gara masalah tertentu, bagaimana nasib lebih 100 kakitangan saya."

"Sampai ke tahap ini saya tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Nasib kakitangan juga perlu diambil berat," katanya yang kini bahagia dengan tiga cahaya mata.

Di akhir pertemuan, Azean memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi di atas kejayaan yang diperolehnya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya selama ini.

"Selain keluarga, suami banyak menyumbang kepada kejayaan saya. Dia selalu memberi semangat dan berpesan supaya jangan terlalu berasa selesa dan leka," katanya.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, January 15, 2010

Usaha Mengurangkan Import Daging

(Post: Bahasa Melayu)
"Potensi sektor penternakan sememangnya amat luas. Malah, masih banyak lagi ruang yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan lagi sektor tersebut."

Seorang usahawan, Mahathir Talib, 35, terlibat dalam bidang ternakan kambing secara komersial di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka. Dia yakin bahawa sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

"Melihat kepada potensi ini, saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, biri-biri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Mahathir memberitahu, pada permulaan operasi dia mempunyai 60 ekor kambing betina dan lima ekor kambing jantan daripada pelbagai baka seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean selain biri-biri Barbados, Lonte dan Malin.

Syarikatnya kini menjalin usaha sama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar. Kambing yang diternak Mahathir sekarang berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800 kilogram (kg) daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang bagus. Saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung kepada berat dan bakanya," katanya yang kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang dan 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

Sementara itu, bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, dia tidak pernah berputus asa kerana yakin ia mampu menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung. Pada pertengahan tahun, dia membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000. Setahun kemudian, Othman mula membeli lembu pula.

Jelas Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit. Jika ia berlaku pastinya kerugian besar terpaksa ditanggung apabila ternakan mati dalam jumlah yang banyak.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu dan 170 ekor kambing," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia.

Yang pastinya, usaha penternakan kambing dan lembu yang dijalankan ini bukan sahaja menjana pendapatan buat penternak serta menjana ekonomi tempatan tetapi juga mampu membantu mengurangkan pengimportan daging.

INFO:
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim, berkata, pada 2008 Malaysia terpaksa mengimport daging lembu sebanyak 103,000 tan bernilai RM883.9 juta dan 18,000 tan daging kambing bernilai RM188 juta.

Menurutnya, Sarawak dan Sabah berpotensi untuk dijadikan pusat ternakan lembu serta kambing secara komersial kerana Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia mengiktiraf Pulau Borneo sebagai pulau bebas penyakit kuku dan mulut haiwan.

"Setakat ini, Malaysia hanya mampu mengeluarkan 25 peratus bekalan daging walaupun kita mempunyai kemampuan untuk mengeluar lebih banyak daging bagi keperluan tempatan," katanya.

Sementara itu, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan secara serius pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan Batang Lupar, Sarawak.

Jelasnya, industri asas tani memang berpotensi besar untuk meningkatkan ekonomi masyarakat desa. Diharapkan penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian dapat merangsang sektor tersebut di negara ini.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, January 7, 2010

Classical Music to Calm Poultry

(Post: English)
"Do you want to improve the quality of your poultry flocks? Just play them some Chinese classical music. An increasing number of Chinese poultry producers are serenading their hens, with impressive results."

Mr. Wu is a poultry farmer in Jiangsu Province. His farm has been using an innovative way to produce the best quality meat from his birds. He plays music every day to his 5,000 chickens. He believes it not only relaxes the animals, but also boosts production.

Mr. Wu, one poultry farmer said "We turn on the stereo at 10 a.m. every day. If we don't turn it on, the birds refuse to eat."

Mr. Wu says Chinese classical works are the best for his chickens. He usually plays Chinese GuZheng Or SuoNa Music before feeding them. He says those two instruments are good for the chicken's spleens and lungs.

By raising healthier chickens, he says he is able to improve the quality of the meat he produces.

Mr. Wu said "We begin playing them music when they are just a few days old."

Mr. Wu says that his chickens are genuinely fond of the music. And they even show a preference for different types of rhythms on different days. To accommodate their musical tastes, Mr. Wu keeps a list of the music played, along with the daily feeding record.

Mr. Wu said "The chickens eat everything in the forest, like all the bugs and vegetables. Sometimes they climb the trees when they get outside. But once the music starts playing at 10 a.m., they immediately return to be fed."

Mr. Wu says that his musically inclined chickens have become his best-selling product. He has sold over 3,000 this year. Mr. Wu says that the music drowns out other noise in the shed, making the birds more peaceful and healthy.

But the technique is not entirely new. Earlier research has shown that playing music to other animals can also improve their mood.

Some dairy farmers have already been playing relaxing music in their cow sheds. The method could help many other farmers boost the quality and quantity of their products.

Source: CCTV
Photo:
SkaneatelesSuites

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, January 1, 2010

One Stop Rabbit Farm and Trading

(Post: Bahasa Melayu)
"Asalnya bidang ternakan bukan minatnya, namun disebabkan bosan duduk di rumah selepas bersara daripada sebuah syarikat swasta, bidang yang dulunya bukan pilihan kini menjadi perniagaan yang digemarinya."

Namun bak pepatah 'belum cuba, belum tahu... sudah cuba, baru tahu', bidang penternakan yang disertai bagi mengisi masa terluang itu bertukar menjadi bidang perniagaan apabila syarikatnya kini aktif membiakkan pelbagai baka arnab bagi bekalan daging secara komersial selain haiwan peliharaan.

Dengan bermodalkan 40 arnab, Mohd Ismail Padzil, 56, yang memulakan ternakan arnab pada Mac lalu, kini memiliki 1,500 induk arnab pelbagai jenis dengan keupayaan membekalkan 1,000 setiap bulan.

Mengimbas semula pembabitannya, Pengarah Urusan One Stop Rabbit Farm & Trading (1SRFT), Mohd Ismail Padzil, berkata penternakan arnab diceburinya bermula apabila tidak senang duduk di rumah tanpa melakukan pekerjaan selama enam bulan.

Dalam mencari-cari aktiviti sesuai untuk dilakukan, dia memutuskan untuk meninjau bidang penternakan, termasuk ayam, kambing dan lembu sebelum akhirnya meninjau bidang penternakan arnab.

"Sebenarnya penternakan bukan bidang yang saya minati, dan saya tidak pernah merancang atau terfikir untuk mengusahakannya ketika bekerja dulu."

"Namun disebabkan tidak betah duduk di rumah lepas bersara, saya tinjau sebarang aktiviti bagi memenuhi masa terluang sebelum memilih bidang penternakan dan menyertai beberapa bengkel serta kursus mengenainya," katanya.

Melalui kursus serta bengkel disertainya, Mohd Ismail memilih untuk membabitkan diri dalam penternakan arnab selepas mendapati haiwan itu lebih mudah diternak berbanding haiwan lain selain tempoh pembiakannya cepat.

Bagaimanapun, baru lima bulan membiakkan baka terbabit, beliau mendapati bidang penternakan arnab ada potensi untuk dikembangkan secara komersial sama ada bagi daging atau haiwan peliharaan.

Ini kerana tidak ramai penternak membiakkan arnab secara komersial selain wujud permintaan tinggi terhadap daging haiwan itu sendiri.

"Waktu lima bulan pertama terbabit dengan penternakan arnab, saya dapati wujud permintaan tinggi bagi memasarkan dagingnya di negara ini, lebih-lebih lagi kurangnya penternak bergiat secara serius dalam menternak haiwan ini dan jika adapun, kebanyakannya bukan Bumiputera."

"Bila ternakan saya berjaya menghasilkan 400 arnab dalam tempoh lima bulan pertama, saya terus bercadang menambah lagi baka baru, termasuk baka arnab daging dan baka arnab peliharaan," katanya.

Ketika mula-mula mengusahakannya ternakan itu beliau hanya memiliki empat jenis baka arnab, tetapi kini baka arnab dimilikinya mencecah 11 jenis iaitu enam jenis baka arnab daging manakala lima lagi baka arnab peliharaan selain beberapa baka campuran yang disilangkan antara baka yang ada.

Baka arnab terbabit dari jenis New Zealand White, Flemish Giant, California White, Chinchilla, Dutch dan Lion Head bagi jenis baka arnab daging, sementara bagi baka arnab peliharaan pula daripada Angora, Lion Head, Holland Lop, French Lop, Jersey Wobley dan Hotot.

Bukan senang hendak senang. Ketika mula-mula terbabit dalam bidang berkenaan, Mohd Ismail mengakui menghadapi beberapa masalah berikutan arnab dibiakkan menghidap penyakit, termasuk berkudis di badan.

Bagi mengatasi masalah itu, dia mengeluarkan kos tambahan bagi merawat arnab diternak selain menambah beberapa sangkar peliharaan khas untuk mengasingkan arnab yang sakit daripada menjangkiti arnab lain.

"Arnab ini sensitif, jadi bila ada seekor yang sakit kita terpaksa kuarantin yang sakit itu di tempat khas untuk mengelak jangkitan penyakit kepada yang lain."

"Setiap arnab yang lain pula terpaksa diberi rawatan awal bagi mengelak turut terkena jangkitan," katanya.

Mohd Ismail berkata, selepas enam bulan menceburi bidang penternakan arnab, dia mampu menyelesaikan beberapa masalah, terutama kesihatan ternakannya, malah jumlah arnab dibiakkan turut berkembang sehingga 900 ekor.

Disebabkan perkembangan positif daripada 'aktiviti' barunya, dia mengambil keputusan mewujudkan sebuah syarikat yang menghasilkan arnab secara komersial di bawah nama One Stop Rabbit Farm & Trading, yang didaftarkan pada 9 September lalu.

Sehingga kini, iaitu dalam tempoh 10 bulan terbabit dalam bidang ternakan arnab, jumlah ternakannya meningkat kepada 1,500 ekor dan memperoleh pulangan sehingga RM20,000 bagi setiap arnab dijual sama ada bagi membekalkan daging atau dijual sebagai haiwan peliharaan.

Setiap arnab dihasilkannya dijual mengikut kadar harga berbeza bergantung kepada jenis baka arnab berkenaan. Bagi arnab yang dijual sebagai haiwan peliharaan, harganya boleh didapati daripada serendah RM100 manakala bagi arnab daging pula, ia dijual sebanyak RM38 bagi setiap kilogram.

"Di sini kami turut menjalankan proses penyembelihan arnab mengikut hukum syarak dan ia dijamin halal bagi memudahkan pembekalan daging haiwan berkenaan."

"Namun jika ada pelanggan mahukan hidup-hidup tanpa disembelih, harganya pula berbeza," katanya.

Mohd Ismail berkata, tempoh membiakkan arnab yang lebih cepat berbanding haiwan ternakan lain menjadi faktor ternakan terbabit mudah dibiakkan.

Selain itu saiz arnab yang lebih kecil menyebabkan ia boleh dibiakkan dalam sangkar tanpa memerlukan kawasan pembiakan besar, sekali gus memudahkan pengurusan ternakan berkenaan.

Sumber: myMetro
Foto:
CariGold

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 25, 2009

Ternak Landak Secara Komersil

(Post: Bahasa Melayu)
"Bagi yang pernah merasai keenakan daging haiwan yang semakin diancam kepupusan itu, usaha penternakan komersial landak raya atau Hystrix Brachyura pastinya memberi khabar gembira kepada mereka."

Dagingnya lembut, tidak mengandungi lemak dan tidak berserat serta khasiatnya dikatakan mampu menyembuhkan penyakit kronik menyebabkan landak menjadi antara makanan pilihan.

Malah, keenakan daging landak sering menjadi bualan kelompok penggemar daging buruan sehingga ia dikatakan lebih lazat daripada daging kijang.

Bagaimanapun kesukaran mendapatkan bekalan daging landak disebabkan populasinya yang hampir pupus dan ditambah tergolong dalam spesies haiwan buruan yang dilindungi.

Berikutan itu, projek penternakan komersial landak raya secara usaha sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan orang awam sejak 2005 menggunakan teknologi moden dijangka dapat membantu meningkatkan bekalan daging landak.

Usaha dilakukan pihak terbabit mampu memberi impak besar pada bilangan populasi hidupan liar dalam kurungan melalui sistem pembiakan teratur dan aplikasi bioteknologi pembiakan terkini.

Penternak landak raya di Banting, Selangor yang mempelopori penternakan landak raya secara komersial bersama Perhilitan, Tukiran Dalimi, 45, berkata landak raya mempunyai pasaran dan nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Tukiran mendapat kebenaran Perhilitan untuk memburu serta membiak haiwan yang dilindungi sepenuhnya Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 1972 (Akta 76/72).

Menceritakan idea untuk menternak landak raya, Tukiran berkata, usaha itu bertitik tolak daripada kekecewaannya terhadap penternakan lembu dan kambing.

"Ketika itu saya membela lembu dan kambing tapi binatang itu memberi banyak masalah malah menjaganya juga sedikit leceh. Sudah diberi makan yang cukup pun masih masuk ke kawasan orang membuat kacau.

"Lama memikirkan apa boleh menggantikan lembu dan kambing, saya terfikir mengenai daging landak yang turut mendapat permintaan tinggi lalu idea itu saya usulkan pada Perhilitan," katanya yang kini mampu berbangga dengan tiga generasi landak yang diternaknya.

Ladang landak raya milik Tukiran di Kampung Labuhan Dagang, Banting, Selangor dipagar tinggi bagi mengelakkan diceroboh pihak luar. Manakala landak pula ditempatkan di dalam kandang berjeriji besi.

Kata Tukiran, melalui program usaha sama Pembiakan Komersial Landak Raya bersama Perhilitan, setiap penternak yang berminat perlu mendapatkan kebenaran Perhilitan.

Jabatan berkenaan akan bertanggungjawab memberi sokongan dari segi khidmat nasihat mengenai pemakanan, sifat dan kawasan kandang yang sesuai untuk landak peliharaan.

Tukiran berkata, penternakan landak mempunyai potensi untuk dikembangkan iaitu sebagai alternatif untuk daging lembu atau kambing. Tapi beliau lebih selesa menjadi pembiak dan pembekal baka landak raya untuk pengusaha yang berminat.

Tukiran mensasarkan untuk mewujudkan lima francais penternak landak raya sebelum memasarkan daging landak di pasaran dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Sumber: web JPH Perak

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, June 8, 2009

Bisnes Menternak Buaya

(Post: Bahasa Melayu)
"Dengan harga daging buaya melebihi RM80 sekilogram, seekor buaya dewasa yang boleh mencapai berat hingga 300 kilogram mampu menghasilkan pendapatan yang mencecah RM1,500 untuk setiap buaya."

Ladang buaya milik keluarga Ng yang terletak di Kampung Belanding, kira-kira 20 minit pemanduan daripada Kota Tinggi telah menternak buaya spesies Crocodilus porosus sejak tahun 1979 lagi.

Ia kini diuruskan oleh Ng Cheng Chiew, 50, anak sulung dari 10 beradik bersama isterinya, Ng Siew Eng.

Cheng Chiew mewarisi ladang buaya seluas lapan ekar yang dikatakan tertua di negara ini daripada bapa dan datuknya, Ng Chin Chew yang juga pengasas penternakan buaya tersebut.

Sebelum kewujudan ladang buaya itu, keluarga Ng asalnya adalah nelayan keturunan Teochow dan memiliki seekor buaya yang diturunkan dari generasi ke generasi sebagai haiwan peliharaan.

Kini, buaya di situ telah pun berusia lebih 130 tahun dan masih sihat serta ditempatkan di sebuah petak individu khas.

Nyata buaya yang telah kehilangan semua giginya itu masih menjadi tarikan utama Ladang Ng dan masih mampu memberi aksi menarik apabila diacah dengan makanan oleh 'penjinak buaya'.

Atas dasar minat dan kasih sayang datuk Cheng Chiew terhadap reptilia itu, dia telah mengumpul buaya yang ditemui nelayan-nelayan dan seterusnya melebarkan perniagaan keluarga daripada nelayan biasa menjadi pembiak buaya.

Siapa sangka ladang yang telah diusahakan selama tiga generasi itu meskipun kelihatan amat ringkas telah berkembang dan menempatkan kira-kira 1,400 ekor buaya serta pada waktu-waktu tertentu mampu menghasilkan sumber pendapatan yang lumayan kepada keluarga Ng.

Selain menjual kepada beberapa restoren makanan Cina di Johor Bahru, beliau juga membuka tempahan dan memasakkan sup tradisional Cina kepada pengunjung ladang.

Bagaimanapun, mereka menghadapi masalah menjual kulit-kulit buaya yang masih disimpan meskipun mereka mempunyai permit untuk menjualnya.

Ketiadaan pelanggan adalah masalah utama memandangkan beliau tiada orang tengah atau pengilang bagi memproses kulit-kulit tersebut.

Bagi mengekalkan kesihatan dan memelihara kualiti, sangkar-sangkar buayanya perlu kerap dibersihkan secara berkala, jadi beliau menggunakan sekitar 20 orang tenaga pekerja untuk melakukannya.

Kos makanan juga, ujarnya, sangat tinggi. Dia perlu memberi makan kepada seribu ekor buaya yang berusia dua tahun ke atas yang mana setiap seekor memerlukan sebanyak enam atau tujuh ekor ayam atau daging lembu beku setiap kali makan.

Lain pula kisahnya dengan anak-anak buaya yang berusia kurang dua tahun. Sekitar 400 ekor buaya kecil diberi lebih perhatian di sangkar khusus di kediaman Ng dengan kumpulan buaya paling muda berusia kira-kira tujuh bulan. Anak-anak buaya ini diberi makan udang tanpa kulit setiap hari.

Keluarga Ng tidak mempunyai banyak masalah memelihara 1,400 buaya mereka. Malah semasa banjir besar yang menjejaskan seluruh Johor hampir dua tahun lepas, kawasan ladang Ng sama sekali tidak terjejas ekoran dibina di lokasi yang amat strategik.

Jelas Cheng Chiew lagi, buaya-buayanya amat sihat dan bilangannya pasti meningkat setiap tahun. Seekor ibu buaya di ladang boleh bertelur sehingga 1,000 biji telur setahun. Tetapi bukan semua berjaya ditetaskan ekoran ancaman pemangsa seperti biawak dan ular.

Juga banyak daripada telur yang rosak sehingga menyebabkan kadar kemandirian telur yang berjaya ditetaskan hanya sekitar 20 hingga 40 biji sahaja.

INFO:
Lokasi ladang: No. 58, Jalan Belanak, Kampung Belanding Teluk Sengat

Telefon: 07-8955220

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, April 7, 2009

Usahawan Itik Telur

(Post: Bahasa Melayu)
"Segala-galanya bermula pertengahan tahun 2008, selepas kira-kira tiga bulan menamatkan kursus, beliau mendapati ternakan itik telur berpotensi dikembangkan di negeri Kelantan, walaupun pada awalnya mempelajari bidang ternakan lembu dan kambing."

Sejak mula menceburi ternakan itik telur spesies Khaki Campbell mulai pertengahan Ogos 2008, lulusan Institut Veterinar Kluang, Johor, Mohd Asyrafuddin Mohd Ghazali, 24, kini mampu berbangga apabila lebih 600 itik telur peliharaannya, memberi pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan telur segar dan masin.

Ketika anak muda sebayanya yang lain masih tercari-cari pekerjaan sesuai dan sesetengahnya dilanda musibah akibat kehilangan pekerjaan kerana kegawatan ekonomi, Mohd Asyrafuddin sedang melangkah jauh dalam usahanya menternak itik telur apabila turut dipilih oleh kerajaan untuk membantu penduduk miskin negeri ini mengubah kehidupan mereka dengan ternakan itik.

"Saya belajar ternakan lembu dan kambing, tetapi selepas belajar, saya dapati ternakan itik lebih berpotensi untuk dikembangkan sebagai perniagaan kerana mudah dan murah."

"Selepas berbincang dengan keluarga, saya mencari sendiri bekalan itik di Perak dengan membeli kira-kira 500 itik dewasa dan 100 anak itik untuk memulakan perusahaan ini atas tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang disewa."

"Selepas kira-kira tiga bulan, itik yang diternak ini mula mengeluarkan hasil, membolehkan saya mengutip kira-kira 400 biji telur sehari yang dijual sebagai telur segar dan diproses sebagai telur masin menerusi peniaga pasar sekitar Wakaf Bharu, Kota Bharu dan Tumpat,"

Telur itik segar dijual borong pada harga 40 sen sebiji, manakala 58 sen sebiji bagi telur masin yang dihasilkannya sendiri di pusat ternakan itik miliknya itu, membolehkan beliau memperoleh pendapatan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Selepas lapan bulan berlalu, permintaan terhadap telur itik yang diusahakannya semakin meningkat dan keadaan itu mendorongnya kini menambah bilangan ternakan itik yang diternaknya itu sebanyak 4,400 ekor lagi yang akan diterimanya dalam tempoh terdekat.

"Semua itik ini mampu menghasilkan telur sehingga usia tiga tahun sebelum disembelih untuk jualan daging segar. Semua itik ini saya beri makan dua kali sehari bermula jam 6 pagi sambil mengutip telurnya dengan kira-kira 100 butir diproses sebagai telur masin."

Anak muda berjiwa besar itu kini dijadikan contoh usahawan muda dan dilantik oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan sebagai Mentor Program e-Kasih anjuran Kerajaan Pusat bagi membantu keluarga penduduk miskin negeri ini yang berminat menceburi ternakan itik telur itu.

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
Khaki Campbell

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, February 15, 2009

Sajian Puyuh Bentara

(Post: Bahasa Melayu)
"Salah satu keistimewaan kita ialah hampir kesemua menu makanan dilengkapi dengan puyuh. Burung puyuh dijadikan masakan utama, malah boleh dikatakan kita tidak mencampur daging lain seperti lembu atau ayam di dalam hidangan. Daging puyuh yang disediakan pula diperoleh secara segar dari ladang sendiri."

Kesegaran aroma nasi puyuh panas mungkin menjadi faktor Restoran Puyuh Bentara terus dapat bertahan lama.

Walaupun telah beroperasi sejak empat tahun lalu, ia terus diburu pelanggan tetap kerana 'trademark' hidangan pelbagai masakan puyuh dan nasi panasnya.

Pengusahanya, Zakaria Haron, 52, memberitahu, restoran mereka agak sinonim di kalangan masyarakat sekitar Kedah selatan dan Pulau Pinang.

Menurut Zakaria, antara menu popular yang disajikannya ialah nasi puyuh, sup herba puyuh, nasi goreng puyuh, kari puyuh dan mi puyuh.

"Namun, sajian yang paling popular di kalangan pelanggan ialah puyuh goreng ala-ala restoran makanan segera," katanya.

Menceritakan penglibatannya dalam bidang tersebut, bekas Sarjan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, beliau memulakan ternakan berkenaan secara sambilan di kawasan belakang rumahnya seluas 0.75 hektar di Kampung Batu 8 1/2 sejak tahun 1994.

"Setelah bersara pada 1996, dengan menggunakan sebahagian wang ganjaran berjumlah hampir RM30,000, saya membesarkan lagi reban ternakan dan menambah jumlah ternakan," katanya.

Kata Zakaria, kini ternakan berkenaan diswastakan kepada kenalannya manakala beliau sendiri mengambil alih tugas membekalkan daging puyuh segar dan mengusahakan Restoran Puyuh Bentara.

"Ia kini dibantu oleh isteri Siti Zauyah Darus dan anak-anak serta sanak-saudara saya," jelasnya.

Berkenaan dengan waktu operasi restoran tersebut, katanya, "Saya memilih berniaga pada waktu malam kerana ia merupakan masa sesuai bagi pelanggan yang berumah tangga membawa ahli keluarga mereka makan di sini."

Katanya, para pelanggannya terdiri daripada pelbagai kaum dan setiap hari kira-kira 300 hingga 500 ekor puyuh berjaya dijual.

"Di samping urus restoran, saya membekal antara 1,000 hingga 2,000 ekor puyuh kepada pengusaha restoran nasi kandar sekitar Kedah dan Pulau Pinang setiap hari."

"Selain itu, saya juga menyediakan perkhidmatan katering makanan berasaskan puyuh hampir setiap minggu," katanya.

INFO:
Restoran Puyuh Bentara
Lokasi: Batu 8 1/2, Jalan Padang Serai-Lunas, Kedah

Waktu operasi: 5 petang hingga 11 malam

Telefon: 019-5629340 (Zakaria) atau 017-5588462 (Siti Zauyah)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, November 23, 2008

Siswazah Penternak Landak

(Post: Bahasa Melayu)
"Semangkuk sup daging landak mampu mencecah RM10 dan pasaran daging segar mencecah RM60 sekilogram."

Landak merupakan haiwan eksotik dan dilindungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Menangkap, memelihara dan menjual daging landak memerlukan lesen dan permit khas.

Syarikat perkongsian tujuh siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM), Bahtera Ternak, sudah memulakan ternakan landak awal tahun 2008. Mereka bertekad mempopularkan ternakan landak sebagai industri baru dan hidangan berkhasiat pada masa akan datang.

Dengan modal awal sebanyak RM120,000, mereka yang berkelulusan dalam pelbagai bidang termasuk arkitek dan pertanian menaruh azam yang kuat untuk menjayakan projek tersebut. Mereka membuka kawasan ternakan seluas 0.8 hektar (dua ekar) di Kampung Kapal, Lenggeng, Negeri Sembilan.

"Berdasarkan kajian kami dan bantuan Perhilitan, daging landak mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi."

Harga daging landak menjadi tinggi kerana ia dikatakan mendapat tempat di pasaran Hong Kong, China, Singapura dan Thailand. Berdasarkan faktor-faktor tersebut, pihaknya yakin ia mempunyai prospek cerah untuk dimajukan.

Pengurusan ternakan landak tidak terlalu rumit. Landak diberi makan pisang, ubi kayu, buah kelapa sawit, sayur, rumput serta hampas kacang soya serta makan pelet sekali sekala. Ternakan landak ini diberi makan dua kali sehari.

Menurut Pengarah Bahtera Ternak, Nurul Azam Haron, mereka yakin jika industri ternakan landak berjaya dilaksanakan, maka daging landak akan lebih popular.

Kami akan memasarkan daging landak ini sekiranya ternakan mencapai lebih 100 ekor dan menyasarkan jumlah sehingga 1,000 ekor dalam jangka panjang," ujarnya.

INFO Landak:
- Rasa daging landak manis dan lembut, kadangkala rasanya seperti daging arnab.

- Ternakan landak adalah dibolehkan dan daging landak juga tidak diharamkan oleh agama Islam.

- Lesen khas daripada Perhilitan diperlukan untuk menangkap landak pada kadar yang ditetapkan.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-2132401

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, November 13, 2008

Usahawan Daging Segar Farm Fresh

(Post: Bahasa Melayu)
"Kesedaran betapa pentingnya konsep halal selain mengusulkan makanan terbaik sebagai asas kepada pembentukan diri membuatkan Herni Azura, 31, berasa terpanggil untuk menjana kelainan."

Jarang wanita mahu terjun di bidang perniagaan berasaskan daging segar kerana menganggap ia bukan suatu bidang menarik.

"Apabila negara dimomokkan isu penyembelihan yang tidak betul, daging yang tidak diketahui dari mana asal serta puncanya, dikendalikan golongan yang identitinya sukar diramal status Islamnya, daging bercampur khinzir dan pelbagai isu yang sensitif, membuatkan saya beriltizam melakukan sesuatu untuk ummah."

"Apabila wujudnya francais Daging Segar Farm Fresh yang diambil terus daripada pembekal iaitu Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Sembilan, saya rasa keputusan ini tidak silap."

"Selain daging lembu, francais ini turut menjual daging ayam organik iaitu ayam yang tahan lama menerusi penyelenggaraan terkawal."

"Menariknya mengenai bekalan ayam organik ini, ia hanya diberi makan sayuran soya serta diperdengarkan azan dan ayat al-Quran."

Suntikan semangat yang diberikan suami selain inisiatif sendiri yang mahukan sesuatu kelainan membuatkan dia memacu perniagaan ini bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

"Saya seronok melakukan semua ini kerana menyediakan stok daging segar setiap hari, penghantaran dari rumah ke rumah, mengutamakan konsep moden dan aspek bersih serta berhawa dingin, memberikan kepuasan tersendiri."

Daging Segar Farm Fresh sudah mempunyai hampir 50 rangkaian dan syarikat miliknya adalah yang kedua lahir sebaik saja syarikat itu mula beroperasi.

INFO:
Nama: Herni Azura Ghazali
Jawatan: Pengarah Urusan Daging Segar Farm Fresh

Lokasi pejabat: Kota Damansara, Selangor

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Hawaii Pacific, Amerika Syarikat

Sumber: myMetro
Foto:
blog DagingSegarDelivery

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::