ATTENTION !!!

Showing posts with label arnab. Show all posts
Showing posts with label arnab. Show all posts

Wednesday, November 3, 2010

Hotel Haiwan di Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra

(Post: Bahasa Melayu)
" Saat melangkah masuk ke dalam Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra, kelihatan Gugu, Linux, Pipi, Lalita, Chelsea, Dina, Hana, Fiona, Oga, Bob, Beany, Finas dan Yona sedang berehat di dalam sangkar masing-masing. "

Ada yang bergurau senda, tidur, menjamu selera dan tidak kurang juga yang sedang bermalas-malas membersihkan diri sementara menunggu tuan masing-masing menjemput mereka pulang ke rumah.

Kesemua kucing tersebut didaftar masuk di situ kerana pemiliknya mempunyai urusan kerja atau bercuti panjang.

Menariknya, semua haiwan di klinik berkenaan akan mendapat kemudahan serta layanan yang sangat istimewa.

Malah, melengkapkan layanan kelas pertama tersebut, haiwan di situ diberikan khidmat rawatan kesihatan kerana doktor bertugas akan memantau tahap kesihatan dari semasa ke semasa.

Seorang pengaturcara komputer di sebuah syarikat swasta, Nuraini Ibrahim, 23, mula menghantar kucing kesayangannya Ricky Bobo ke klinik haiwan yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor itu, sejak Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

"Saya akan menghantar Ricky Bobo yang berusia setahun setengah apabila ada tugasan luar dan ketika balik ke kampung beraya. Biasanya paling singkat Bobo menginap di sini selama dua hari dan paling lama dua minggu."

"Sebelum ini saya menghantar Bobo di tempat lain tetapi memandangkan pelbagai perkhidmatan ditawarkan di sini selain dikenakan caj yang berpatutan, saya lebih selesa di sini," katanya sambil mendukung Bobo seberat 5.2 kilogram (kg) itu.

Tambahnya, klinik tersebut bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penginapan tetapi turut menyediakan perkhidmatan rawatan, grooming dan barang-barang keperluan haiwan. Pendek kata, segala-galanya ada di situ.

"Kos penginapan di sini RM12 sehari lengkap dengan penyediaan makanan selain ia dijaga oleh veterinar yang bertauliah," ujarnya.

Sementara itu, pemilik kucing jantan jenis Mancoon Mix, Mohd. Azhar Abdul Aziz, 29, sependapat mengenai caj yang dikenakan terhadap setiap pelanggan.

Pegawai Eksekutif yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran itu akan menghantar kucingnya bernama Ronaldo 'bercuti' ke situ apabila dia mempunyai tugasan di luar daerah mahupun bercuti.

"Paling lama pernah saya tinggalkan Ronaldo selama lima hari. Keadaan di sini selesa, jadi saya tidak risau jika tinggalkan Ronaldo lama di sini."

"Selain menggunakan perkhidmatan 'hotel haiwan'. saya juga membawa kucing ke sini untuk menjalankan rawatan rutin, suntikan vaksin, mendapatkan ubat cacing dan sebagainya," katanya.

Mohd. Azhar berpendapat pemilik kucing dulu dan kini sangat berbeza.

"Kini, mereka lebih mampu membawa haiwan peliharaan mereka ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan memandangkan klinik-klinik haiwan sudah banyak dibuka," ujarnya.

Empat cawangan hotel kucing

Pemilik Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra, Dr. Wan Ahmad Kusairy Wan Sulaiman, 45, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang veterinar memberitahu, sebelum haiwan didaftar masuk, keadaan mereka diperiksa dan diberikan suntikan vaksin terlebih dahulu sebelum diberikan lampu hijau untuk menginap di 'hotel'nya.

"Pemeriksaan awal perlu bagi mengelakkan penyakit berjangkit dengan kucing-kucing lain yang menginap di tempat yang sama. Jika didapati kucing itu tidak sihat, ia akan dikuarantin di bilik khas."

"Jika kucing tersebut sakit selepas pulang dari tempat ini, pemilik mereka boleh mendapatkan rawatan tanpa dikenakan sebarang caj," katanya yang sebelum ini berkhidmat dengan Institut Haiwan Kluang, Johor.

Wan Ahmad merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran Perubatan Veterinar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan kliniknya sendiri pada tahun 2008 di Bangi turut menyediakan asrama untuk haiwan lain seperti arnab, hamster, iguana dan kura-kura.

Caj yang dikenakan ialah RM12 untuk sangkar standard dan RM15 untuk sangkar yang lebih besar. Caj tersebut merangkumi kos penginapan dan makanan sahaja.

Permintaan tambahan daripada pemilik kucing untuk mandi dan grooming akan dikenakan caj tambahan.

Menurutnya, kebiasaannya 'bilik' kucing di kliniknya habis ditempah pada musim perayaan terutamanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Baru-baru ini, kliniknya menjaga lebih kurang 500 ekor kucing di empat buah cawangan kliniknya iaitu di Seksyen 7, Bangi; Presint 15, Putrajaya; Saujana Impian, Kajang dan Taman Seri Serdang, Seri Kembangan.

Angka tersebut meningkat sebanyak 100 ekor berbanding 400 ekor tahun lalu dan setiap kali raya, Wan Ahmad menghabiskan hampir RM15,000 untuk membeli sangkar-sangkar baru untuk keselesaan 'tetamunya', malah sangkar-sangkar lama pula akan dijual pada harga istimewa.

"Paling singkat pemilik haiwan menghantar haiwan kesayangan mereka ke sini adalah empat hari dan paling lama pula lebih dua minggu. Sambutan yang menggalakkan menyebabkan saya tidak hanya membuka perkhidmatan penginapan pada musim perayaan sahaja, malah turut membukanya untuk musim haji dan cuti sekolah yang panjang."

"Bagi mereka yang bakal menunaikan umrah atau haji, kami akan memberikan diskaun sebanyak 30 hingga 50 peratus," ujarnya yang mempunyai pelanggan daripada segenap golongan.

Semua di bawah satu bumbung

Para pemilik haiwan yang meninggalkan haiwan kesayangan mereka di klinik tersebut tidak perlu gusar kerana haiwan dijaga dan dipantau oleh kakitangan bertugas yang terdiri daripada tiga orang doktor veterinar dan 10 orang pembantu 24 jam sehari, tujuh hari seminggu di semua cawangan klinik.

Selain menawarkan khidmat penginapan, klinik haiwan milik Wan Ahmad juga menjalankan perkhidmatan pembiakan baka kucing.

"Pelanggan hanya dikenakan caj sebanyak RM200 sekali masuk dan andai kata proses tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil, kami akan memberikan peluang kedua kepada kucing mereka secara percuma."

"Kami juga membuat program khidmat masyarakat istimewa buat pemilik-pemilik haiwan. Pada bulan April lalu kami mengadakan program ultra bunyi percuma untuk kucing dan arnab," katanya yang merancang untuk membuka cawangan di Temerloh, Pahang tahun depan.

Wan Ahmad memberitahu, bermula 8 November ini, dia bercadang untuk memberikan suntikan vaksin penyakit kurap bagi kucing dan arnab secara percuma sehingga 30 November.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga mahu memberi peluang kepada pelajar veterinar lepasan universiti untuk membuat latihan praktikal sekali gus menyediakan peluang pekerjaan buat mereka.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, January 1, 2010

One Stop Rabbit Farm and Trading

(Post: Bahasa Melayu)
"Asalnya bidang ternakan bukan minatnya, namun disebabkan bosan duduk di rumah selepas bersara daripada sebuah syarikat swasta, bidang yang dulunya bukan pilihan kini menjadi perniagaan yang digemarinya."

Namun bak pepatah 'belum cuba, belum tahu... sudah cuba, baru tahu', bidang penternakan yang disertai bagi mengisi masa terluang itu bertukar menjadi bidang perniagaan apabila syarikatnya kini aktif membiakkan pelbagai baka arnab bagi bekalan daging secara komersial selain haiwan peliharaan.

Dengan bermodalkan 40 arnab, Mohd Ismail Padzil, 56, yang memulakan ternakan arnab pada Mac lalu, kini memiliki 1,500 induk arnab pelbagai jenis dengan keupayaan membekalkan 1,000 setiap bulan.

Mengimbas semula pembabitannya, Pengarah Urusan One Stop Rabbit Farm & Trading (1SRFT), Mohd Ismail Padzil, berkata penternakan arnab diceburinya bermula apabila tidak senang duduk di rumah tanpa melakukan pekerjaan selama enam bulan.

Dalam mencari-cari aktiviti sesuai untuk dilakukan, dia memutuskan untuk meninjau bidang penternakan, termasuk ayam, kambing dan lembu sebelum akhirnya meninjau bidang penternakan arnab.

"Sebenarnya penternakan bukan bidang yang saya minati, dan saya tidak pernah merancang atau terfikir untuk mengusahakannya ketika bekerja dulu."

"Namun disebabkan tidak betah duduk di rumah lepas bersara, saya tinjau sebarang aktiviti bagi memenuhi masa terluang sebelum memilih bidang penternakan dan menyertai beberapa bengkel serta kursus mengenainya," katanya.

Melalui kursus serta bengkel disertainya, Mohd Ismail memilih untuk membabitkan diri dalam penternakan arnab selepas mendapati haiwan itu lebih mudah diternak berbanding haiwan lain selain tempoh pembiakannya cepat.

Bagaimanapun, baru lima bulan membiakkan baka terbabit, beliau mendapati bidang penternakan arnab ada potensi untuk dikembangkan secara komersial sama ada bagi daging atau haiwan peliharaan.

Ini kerana tidak ramai penternak membiakkan arnab secara komersial selain wujud permintaan tinggi terhadap daging haiwan itu sendiri.

"Waktu lima bulan pertama terbabit dengan penternakan arnab, saya dapati wujud permintaan tinggi bagi memasarkan dagingnya di negara ini, lebih-lebih lagi kurangnya penternak bergiat secara serius dalam menternak haiwan ini dan jika adapun, kebanyakannya bukan Bumiputera."

"Bila ternakan saya berjaya menghasilkan 400 arnab dalam tempoh lima bulan pertama, saya terus bercadang menambah lagi baka baru, termasuk baka arnab daging dan baka arnab peliharaan," katanya.

Ketika mula-mula mengusahakannya ternakan itu beliau hanya memiliki empat jenis baka arnab, tetapi kini baka arnab dimilikinya mencecah 11 jenis iaitu enam jenis baka arnab daging manakala lima lagi baka arnab peliharaan selain beberapa baka campuran yang disilangkan antara baka yang ada.

Baka arnab terbabit dari jenis New Zealand White, Flemish Giant, California White, Chinchilla, Dutch dan Lion Head bagi jenis baka arnab daging, sementara bagi baka arnab peliharaan pula daripada Angora, Lion Head, Holland Lop, French Lop, Jersey Wobley dan Hotot.

Bukan senang hendak senang. Ketika mula-mula terbabit dalam bidang berkenaan, Mohd Ismail mengakui menghadapi beberapa masalah berikutan arnab dibiakkan menghidap penyakit, termasuk berkudis di badan.

Bagi mengatasi masalah itu, dia mengeluarkan kos tambahan bagi merawat arnab diternak selain menambah beberapa sangkar peliharaan khas untuk mengasingkan arnab yang sakit daripada menjangkiti arnab lain.

"Arnab ini sensitif, jadi bila ada seekor yang sakit kita terpaksa kuarantin yang sakit itu di tempat khas untuk mengelak jangkitan penyakit kepada yang lain."

"Setiap arnab yang lain pula terpaksa diberi rawatan awal bagi mengelak turut terkena jangkitan," katanya.

Mohd Ismail berkata, selepas enam bulan menceburi bidang penternakan arnab, dia mampu menyelesaikan beberapa masalah, terutama kesihatan ternakannya, malah jumlah arnab dibiakkan turut berkembang sehingga 900 ekor.

Disebabkan perkembangan positif daripada 'aktiviti' barunya, dia mengambil keputusan mewujudkan sebuah syarikat yang menghasilkan arnab secara komersial di bawah nama One Stop Rabbit Farm & Trading, yang didaftarkan pada 9 September lalu.

Sehingga kini, iaitu dalam tempoh 10 bulan terbabit dalam bidang ternakan arnab, jumlah ternakannya meningkat kepada 1,500 ekor dan memperoleh pulangan sehingga RM20,000 bagi setiap arnab dijual sama ada bagi membekalkan daging atau dijual sebagai haiwan peliharaan.

Setiap arnab dihasilkannya dijual mengikut kadar harga berbeza bergantung kepada jenis baka arnab berkenaan. Bagi arnab yang dijual sebagai haiwan peliharaan, harganya boleh didapati daripada serendah RM100 manakala bagi arnab daging pula, ia dijual sebanyak RM38 bagi setiap kilogram.

"Di sini kami turut menjalankan proses penyembelihan arnab mengikut hukum syarak dan ia dijamin halal bagi memudahkan pembekalan daging haiwan berkenaan."

"Namun jika ada pelanggan mahukan hidup-hidup tanpa disembelih, harganya pula berbeza," katanya.

Mohd Ismail berkata, tempoh membiakkan arnab yang lebih cepat berbanding haiwan ternakan lain menjadi faktor ternakan terbabit mudah dibiakkan.

Selain itu saiz arnab yang lebih kecil menyebabkan ia boleh dibiakkan dalam sangkar tanpa memerlukan kawasan pembiakan besar, sekali gus memudahkan pengurusan ternakan berkenaan.

Sumber: myMetro
Foto:
CariGold

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::