ATTENTION !!!

Friday, January 15, 2010

Usaha Mengurangkan Import Daging

(Post: Bahasa Melayu)
"Potensi sektor penternakan sememangnya amat luas. Malah, masih banyak lagi ruang yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan lagi sektor tersebut."

Seorang usahawan, Mahathir Talib, 35, terlibat dalam bidang ternakan kambing secara komersial di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka. Dia yakin bahawa sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

"Melihat kepada potensi ini, saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, biri-biri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Mahathir memberitahu, pada permulaan operasi dia mempunyai 60 ekor kambing betina dan lima ekor kambing jantan daripada pelbagai baka seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean selain biri-biri Barbados, Lonte dan Malin.

Syarikatnya kini menjalin usaha sama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar. Kambing yang diternak Mahathir sekarang berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800 kilogram (kg) daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang bagus. Saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung kepada berat dan bakanya," katanya yang kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang dan 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

Sementara itu, bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, dia tidak pernah berputus asa kerana yakin ia mampu menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung. Pada pertengahan tahun, dia membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000. Setahun kemudian, Othman mula membeli lembu pula.

Jelas Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit. Jika ia berlaku pastinya kerugian besar terpaksa ditanggung apabila ternakan mati dalam jumlah yang banyak.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu dan 170 ekor kambing," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia.

Yang pastinya, usaha penternakan kambing dan lembu yang dijalankan ini bukan sahaja menjana pendapatan buat penternak serta menjana ekonomi tempatan tetapi juga mampu membantu mengurangkan pengimportan daging.

INFO:
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim, berkata, pada 2008 Malaysia terpaksa mengimport daging lembu sebanyak 103,000 tan bernilai RM883.9 juta dan 18,000 tan daging kambing bernilai RM188 juta.

Menurutnya, Sarawak dan Sabah berpotensi untuk dijadikan pusat ternakan lembu serta kambing secara komersial kerana Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia mengiktiraf Pulau Borneo sebagai pulau bebas penyakit kuku dan mulut haiwan.

"Setakat ini, Malaysia hanya mampu mengeluarkan 25 peratus bekalan daging walaupun kita mempunyai kemampuan untuk mengeluar lebih banyak daging bagi keperluan tempatan," katanya.

Sementara itu, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan secara serius pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan Batang Lupar, Sarawak.

Jelasnya, industri asas tani memang berpotensi besar untuk meningkatkan ekonomi masyarakat desa. Diharapkan penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian dapat merangsang sektor tersebut di negara ini.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::