ATTENTION !!!

Showing posts with label restoran makanan arab. Show all posts
Showing posts with label restoran makanan arab. Show all posts

Tuesday, December 7, 2010

Kafe Baghdad di Bandar Seri Putra

(Post: Bahasa Melayu)
" Aroma nespreso yang menyelubungi ruang kafe segera membangkitkan mood santai serta membawa jauh segala kepenatan tubuh. Diiringi muzik gemalai Asia Barat termasuk lagu terkini daripada penyanyi Maher Zain, para tetamu terasa seolah-olah berada di rantau itu. "

Kedudukan Kafe Baghdad yang agak strategik di kawasan perumahan dan institusi pengajian tinggi, nyata memberi kelebihan kepada kafe dua tingkat ini memancing pelanggan terutamanya dari sekitar Bandar Seri Putra, Kajang serta Putrajaya.

Idea kafe santai ini tercetus berikutan kesukaran untuk mendapatkan roti yang berkualiti seperti di negara Arab, jelas pemiliknya yang berasal dari Iraq.

"Di kafe ini, saya bukan sahaja menonjolkan keistimewaan roti buatan negara saya, bahkan aspek dekorasi juga," kata Ekhlas Tawfik, 60, yang pernah menetap di Switzerland.

Mengambil cara hidup masyarakat Swiss yang gemar minum kopi dan teh di kafe, pasangannya, Sharifah Noor Akma Syed Jamaludin terus menongkah arus dalam menjelmakan kafe idamannya.

Lari daripada konsep tipikal restoran atau kafe biasa, garis utama tatariasnya berlandaskan keselesaan, ringkas dan tenang.

Justeru, susun atur yang dijelmakan, ditambah dengan lukisan abstrak bersaiz dinding sambil disesuaikan dengan gabungan dua negara secara harmoni.

"Bagi tempat duduk, kami menyediakan beberapa jenis sofa mengikut keselesaan pengunjung seperti daripada kulit, baldu serta kayu," sampuk Noor Akma sambil menuangkan teh citarasa Arab.

Lebih menarik, tiada meja makan yang diletakkan. Sebaliknya, sofa yang lembut menjadi pengganti meja hidangan.

Ruang di tingkat atas pula begitu menarik perhatian pengunjung terutama bagi individu yang gemar berkumpul dalam kumpulan.

Dengan tilam yang dibalut dengan kain tenunan khas dari Syiria dan beberapa bantal empuk, tetamu pasti ralit berbual kerana diselubungi keselesaan seumpama di rumah.

Bersila sambil menikmati hidangan istimewa Arab seperti nasi mandi biri-biri serta keenakan roti yang berintikan nasi.

Teh Arab

"Sengaja saya gabungkan warna merah, hitam dan putih di ruang ini. Ia bukan saja untuk menaikkan mood pengunjung malah ia merupakan antara warna pilihan masyarakat di Asia Barat," jelas Ekhlas.

Makanan istimewa kafe ini tidak lengkap tanpa teh Arab yang keras rasanya dan baunya tetapi ia cukup menyenangkan.

Dihidangkan dalam cawan yang cukup unik, teknik menyediakan teh tersebut turut disediakan di tingkat atas bagi kemudahan pelanggan.

Bercerita lanjut, Ekhlas memberitahu, ruang berdinding kuning cair tersebut mempunyai beberapa fungsi lain selain menjadi tumpuan sebagai ruang santai berkumpulan.

Menurutnya, agenda lain seperti seminar, majlis khas atau perjumpaan keluarga sering mendapat tempat di ruang tersebut.

Bagi pengunjung yang baru pertama kali mengunjunginya, miniatur unta, pokok inai gergasi dan minuman soda yang menjadi tradisi masyarakat Asia Barat pasti menggoda.

Bukan itu saja, elemen tembaga yang dipantulkan menerusi artifak seni seperti teko teh klasik dan mangkuk hiasan melengkapkan unsur Arab dan Swiss di Kafe Baghdad.

Kafe berkeluasan keluasan kafe 24 x 7 meter itu dilimpahi cahaya daripada lampu bermanik dengan pelbagai kombinasi warna.

"Lampu memang menjadi tarikan utama dalam hiasan berkonsep Asia Barat. Aspek reka bentuk, warna dan saiz memberi impak pada ruang sederhana besar ini," ungkap Ekhlas.

Dalam pada itu, pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang merasa teh yang ditanam di Sri Lanka namun ia hanya dijual di Switzerland.

Dengan adunan tradisi menggunakan rempah khas, tetapi aroma yang terbit dari teko khas yang diletakkan di kaunter minuman dapat dihidu dari jauh.

Tidak dinafikan, teko pembuat teh tradisi yang dibawa khas dari negara teluk berkenaan mempunyai peminat tersendiri.

Dalam ketawa, Ekhlas menjelaskan ia menjadi barangan kesayangan dan signatur kafe tersebut. Lantaran itu, ia diletakkan berhadapan dengan pintu masuk, seolah-olah bertugas menjadi penyambut tetamu.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, October 23, 2010

Restoran AlRawsha

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika anda melalui Bulatan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, menuju ke Kampung Pandan, anda pasti akan tertoleh melihat sebuah bangunan batu dengan reka bentuk istana lama Arab yang tersergam indah. "

Siapa menyangka bangunan milik El-Ozeir Sdn. Bhd., ini merupakan sebuah restoran milik orang Islam.

Terpampang tanda Restoran AlRawsha, sebuah restoran Arab yang menghidangkan makanan Lebanon dan Arab Yaman.

Restoran milik bersama Pengarahnya, Sharifah Zainab Syed Ahmad dan suaminya, Toufic Muhammad El-Ozeir ini merupakan cawangan kedua Restoran AlRawsha di mana cawangan pertama terletak di Jalan Damai, Kuala Lumpur yang dibuka pada 2004.

Selain merupakan restoran Arab yang terbesar, AlRawsah juga restoran makanan Arab pertama yang berkonsep pandu lalu dan dibuka 24 jam.

Menurut Sharifah Zainab, beliau dan suami memilih lokasi sekarang kerana mahukan sebuah kawasan yang besar dan di Kuala Lumpur memang sukar mendapatkan tanah yang luas.

Restoran dua tingkat yang terletak di kawasan seluas satu ekar dengan keluasan lantai 3,000 kaki persegi ini boleh memuatkan seramai 2,000 orang pada satu masa.

"Di sini disediakan lebih 200 jenis masakan Arab yang amat digemari baik oleh golongan VIP, golongan istana mahupun orang kebanyakan."

"Bukan sahaja orang Melayu atau pelancong Arab malah orang Perancis, Rusia dan bangsa-bangsa lain di Malaysia juga menggemari makanan Arab kerana cara masakan yang menyihatkan di mana nasi, kambing dan ayam dimasak dengan cara ditanam di bawah tanah (mova)."

"Nasi mandy (sesetengah orang memanggil nasi mandil) kami dimasak menggunakan minyak zaitun dan minyak jagung manakala kebanyakan makanan lain dimasak dengan cara dipanggang."

"Di antara menu istimewa kami ialah nasi mandi kambing, nasi mandi ayam, makanan Lebanon seperti humus (kacang kuda kisar yang dimakan bersama roti, makanan yang dipanggang, tebulah dan pelbagai jenis manisan)."

"Selain pelanggan yang datang terus ke restoran, kami juga menerima tempahan daripada mereka yang hendak mengadakan sebarang majlis di sini."

"Banyak kemudahan yang disediakan di sini bagi keselesaan pelanggan seperti surau yang boleh memuatkan seramai 150 orang jemaah, bilik bermain untuk kanak-kanak, butik pakaian muslimah, sudut minyak wangi Arab, bakeri roti Arab dan pasar mini yang menjual bahan-bahan masakan makanan Arab," ujar ibu kepada tiga orang anak ini.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 1, 2009

Makanan Arab di Restoran Al-Jazeerah

(Post: Bahasa Melayu)
"Dari pandangan luar, Restoran Al-Jazeerah saling tidak ubah seperti kedai makan biasa malah menurut pemiliknya, Wadhah Haitham Ali Thabet yang berasal dari Yaman, lokasi restoran yang menyajikan hidangan dari Asia Barat itu agak tersorok menyebabkan ramai tidak menyedari kewujudannya."

Bagaimanapun, bagi mereka yang gemar mencuba dan pernah berkunjung ke Restoran Al-Jazeerah, cubaan kali pertama pastinya tidak akan berakhir tanpa kunjungan seterusnya.

Kata Wadhah, kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke restorannya adalah mereka yang pernah ke Tanah Suci Makkah dan merindui masakan Arab antaranya mendi, iaitu sejenis makanan tradisional Yaman berasaskan nasi dan daging ayam atau kambing yang dimasak di dalam tanah.

Tetapi, atas faktor keselamatan dan kesukaran untuk mendapatkan sebuah premis tersedia dengan dapur di dalam tanah, pemilik Al-Jazeerah menggantikan kaedah masakan tersendiri dengan jaminan, rasanya tetap kekal sama.

"Untungnya, kami mempunyai chef yang sememangnya didatangkan khas dari sana, malah kehebatan mereka mengadun masakan Arab memang diakui pengunjung setia Al-Jazeerah sehinggakan ramai yang memuji keenakan rasa air tangan chef kami," katanya sambil diakui isteri tercinta, Farah Mohamed Noor.

Melangkah masuk ke Restoran Al-Jazeerah yang diambil daripada perkataan Jazeerah, bermaksud sebuah pulau, penataan gaya dan hiasan dalamnya yang ringkas, tetapi dilengkapi kain sulaman tradisional Arab berjaya mencetus suasana Timur Tengah.

Menurut pemilik kedai, tidak lengkap kunjungan ke Al-Jazeerah jika tidak dihidangkan dengan jus buah campuran yang berasaskan buah mangga dan pisang segar.

Benar seperti dikata, menikmati jus mangga dan pisang tanpa campuran ais begitu terasa, malah nikmatnya memang sukar dilupai kerana gandingan rasa pisang yang bersatu dengan mangga memang serasi.

Kemudian satu persatu hidangan yang menjadi kegemaran warga Asia Barat disajikan untuk dirasa antaranya mendi, matby (daging ayam atau kambing bersos barbeku), kebab bersos lada hitam, fatoush (salad dan daging), hummus (pencuci mulut daripada kacang kuda), gambri (udang goreng bersos) dan pelbagai lagi hidangan yang memenuhi meja.

Kata Farah, kebanyakan rakyat tempatan yang datang ke Al-Jazeerah lebih suka menikmati hidangan berasaskan nasi, manakala pengunjung dari Iran atau Arab pula senang memilih menu daging atau ikan yang dipanggang.

"Bagaimanapun, setiap pengunjung yang memesan menu berat seperti nasi akan diberikan sup kosong dan cili jeruk Arab yang dipanggil shahawik secara percuma."

"Kami cuba membawa budaya Arab yang gemar bersedekah di sini dan kami sendiri puas melihat pengunjung gembira menikmati makanan yang dihidang, malah tidak terlalu memikirkan soal keuntungan," katanya.

Ia memang diakui kerana di Restoran Al-Jazeerah, semua hidangan walaupun merangkumi menu lengkap nasi, sayur, daging atau ayam hanya dijual pada harga RM10 hingga RM17 saja.

Selain menyediakan hidangan melalui menu, Wadhah turut menawarkan khidmat katering seperti kenduri atau jamuan di pejabat.

"Hidangan istimewa kami semestinya kambing panggang yang dipanggil mahshi, iaitu seekor kambing yang diisi rempah ratus di dalam perut dan dipanggang sesuai untuk majlis aqiqah atau kahwin," katanya mengakhiri perbualan petang itu.

INFO:
Restoran Al-Jazeerah
Pemilik: Wadhah Haitham Ali Thabet
Konsep: Menu Asia Barat

Lokasi: CDB Perdana, Cyberjaya
Telefon: 03-83203320

Menu:
- Matby kambing RM15
- Matby ayam RM10
- Mendy kambing RM17
- Mendy ayam RM11
- Hummus RM5
- Kebab ayam RM15
- Shish tawook RM12
- Daging panggang campur RM20
- Fatoush RM6
- Arabic salad RM5

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::