ATTENTION !!!

Tuesday, December 7, 2010

Kafe Baghdad di Bandar Seri Putra

(Post: Bahasa Melayu)
" Aroma nespreso yang menyelubungi ruang kafe segera membangkitkan mood santai serta membawa jauh segala kepenatan tubuh. Diiringi muzik gemalai Asia Barat termasuk lagu terkini daripada penyanyi Maher Zain, para tetamu terasa seolah-olah berada di rantau itu. "

Kedudukan Kafe Baghdad yang agak strategik di kawasan perumahan dan institusi pengajian tinggi, nyata memberi kelebihan kepada kafe dua tingkat ini memancing pelanggan terutamanya dari sekitar Bandar Seri Putra, Kajang serta Putrajaya.

Idea kafe santai ini tercetus berikutan kesukaran untuk mendapatkan roti yang berkualiti seperti di negara Arab, jelas pemiliknya yang berasal dari Iraq.

"Di kafe ini, saya bukan sahaja menonjolkan keistimewaan roti buatan negara saya, bahkan aspek dekorasi juga," kata Ekhlas Tawfik, 60, yang pernah menetap di Switzerland.

Mengambil cara hidup masyarakat Swiss yang gemar minum kopi dan teh di kafe, pasangannya, Sharifah Noor Akma Syed Jamaludin terus menongkah arus dalam menjelmakan kafe idamannya.

Lari daripada konsep tipikal restoran atau kafe biasa, garis utama tatariasnya berlandaskan keselesaan, ringkas dan tenang.

Justeru, susun atur yang dijelmakan, ditambah dengan lukisan abstrak bersaiz dinding sambil disesuaikan dengan gabungan dua negara secara harmoni.

"Bagi tempat duduk, kami menyediakan beberapa jenis sofa mengikut keselesaan pengunjung seperti daripada kulit, baldu serta kayu," sampuk Noor Akma sambil menuangkan teh citarasa Arab.

Lebih menarik, tiada meja makan yang diletakkan. Sebaliknya, sofa yang lembut menjadi pengganti meja hidangan.

Ruang di tingkat atas pula begitu menarik perhatian pengunjung terutama bagi individu yang gemar berkumpul dalam kumpulan.

Dengan tilam yang dibalut dengan kain tenunan khas dari Syiria dan beberapa bantal empuk, tetamu pasti ralit berbual kerana diselubungi keselesaan seumpama di rumah.

Bersila sambil menikmati hidangan istimewa Arab seperti nasi mandi biri-biri serta keenakan roti yang berintikan nasi.

Teh Arab

"Sengaja saya gabungkan warna merah, hitam dan putih di ruang ini. Ia bukan saja untuk menaikkan mood pengunjung malah ia merupakan antara warna pilihan masyarakat di Asia Barat," jelas Ekhlas.

Makanan istimewa kafe ini tidak lengkap tanpa teh Arab yang keras rasanya dan baunya tetapi ia cukup menyenangkan.

Dihidangkan dalam cawan yang cukup unik, teknik menyediakan teh tersebut turut disediakan di tingkat atas bagi kemudahan pelanggan.

Bercerita lanjut, Ekhlas memberitahu, ruang berdinding kuning cair tersebut mempunyai beberapa fungsi lain selain menjadi tumpuan sebagai ruang santai berkumpulan.

Menurutnya, agenda lain seperti seminar, majlis khas atau perjumpaan keluarga sering mendapat tempat di ruang tersebut.

Bagi pengunjung yang baru pertama kali mengunjunginya, miniatur unta, pokok inai gergasi dan minuman soda yang menjadi tradisi masyarakat Asia Barat pasti menggoda.

Bukan itu saja, elemen tembaga yang dipantulkan menerusi artifak seni seperti teko teh klasik dan mangkuk hiasan melengkapkan unsur Arab dan Swiss di Kafe Baghdad.

Kafe berkeluasan keluasan kafe 24 x 7 meter itu dilimpahi cahaya daripada lampu bermanik dengan pelbagai kombinasi warna.

"Lampu memang menjadi tarikan utama dalam hiasan berkonsep Asia Barat. Aspek reka bentuk, warna dan saiz memberi impak pada ruang sederhana besar ini," ungkap Ekhlas.

Dalam pada itu, pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang merasa teh yang ditanam di Sri Lanka namun ia hanya dijual di Switzerland.

Dengan adunan tradisi menggunakan rempah khas, tetapi aroma yang terbit dari teko khas yang diletakkan di kaunter minuman dapat dihidu dari jauh.

Tidak dinafikan, teko pembuat teh tradisi yang dibawa khas dari negara teluk berkenaan mempunyai peminat tersendiri.

Dalam ketawa, Ekhlas menjelaskan ia menjadi barangan kesayangan dan signatur kafe tersebut. Lantaran itu, ia diletakkan berhadapan dengan pintu masuk, seolah-olah bertugas menjadi penyambut tetamu.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

1 comments:

SatuJutaIdea March 8, 2011 at 11:51 AM  

Last week berkesempatan mencuba makanan di Baghdad Kafe.

Pros: Suasana santai yg menarik, hiasan dalaman yg cantik diserikan dgn dendangan lagu-lagu Arab. Minuman bergas berperisa buah (Bavaria) mmg unik.

Cons: Sorry to say that makanan yg dihidangkan cepat menjadi sejuk (not so tasty anymore bila dah sejuk). Pizza... not my favorite taste.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::