ATTENTION !!!

Tuesday, May 12, 2009

Keistimewaan Terompah Belanda

(Post: Bahasa Melayu)
"Pada pertengahan kurun ke-20, hampir setiap bandar mempunyai pembuat terompahnya sendiri dan beribu-ribu kilang kecil muncul. Mereka menghasilkan sembilan juta pasang terompah pada tahun 1950, hampir menyamai bilangan 10 juta populasi Belanda pada masa itu."

Terompah Belanda bukan sekadar ole-ole pelancong yang sinonim dengan negara itu pada zaman moden ini. Ia masih dipakai oleh beribu-ribu peladang dan pekerja kilang.

Digunakan sejak sekurang-kurangnya 800 tahun lalu, terompah tersebut meski pun disifatkan warga kota sebagai ketinggalan zaman, ia masih memainkan peranan penting kepada mereka yang hidup di kawasan desa di Belanda.

"Lebih kurang 350,000 pasang terompah untuk bekerja dihasilkan di Belanda setiap tahun," kata Paul Nijhuis, 56, pemilik kilang terompah Nijhuis di sebuah bandar kecil, Beltrum.

Bandar itu dilaporkan menghasilkan 90 peratus daripada terompah di dunia yang diperbuat daripada pokok tirus poplar dan willow.

Sepasang terompah pekerja dijual pada harga AS$33 (RM117.80).

Penggunaan terompah menjadi sebahagian besar dalam budaya penduduk Belanda. Salah satu daripada spesimen tertua terompah dilaporkan ditemui pada tahun 1270 oleh seorang ahli arkeologi di Rotterdam. Ia ditemui pada tahun 1990.

Nijhuis, yang telah menceburi bisnes terompah sejak mengambil alih syarikat berusia 37 tahun milik bapanya pada tahun 1975 berkata, dahulu orang membuat sendiri terompah mereka sehinggalah banyak kilang-kilang pembuatan dibina pada tahun 1850-an.

"Setiap pembuat terompah menghasilkan corak-corak yang tersendiri. Dengan melihat corak pada terompah, anda akan tahu dari mana tempat asal pemakainya," katanya.

Hari ini, kira-kira 10 pembuat terompah masih wujud di Belanda, sebuah di Sepanyol dan sebilangan kecil di Perancis, Jerman dan Belgium.

Daripada 6,000 batang pokok setahun, sebanyak 120 pekerjanya mampu menghasilkan 2,000 pasang terompah dalam sehari.

Pokok tersebut akan dipotong menjadi kepingan dan digergaji mengikut saiz untuk menjadi sebuah terompah. Sebuah mesin digunakan untuk membentuk luarannya, sementara sebuah mesin lagi bagi menghasilkan tebukan.

Sesetengahnya mempunyai bentuk luar bermuncung lengkung dan ada yang bermuncung tajam. Yang bermuncung tajam dikenali sebagai terompah nelayan kerana ia secara tradisional digunakan untuk menyangkut jala ikan pada bot.

Terompah-terompah itu dikeringkan selama seminggu sebelum digosok dengan kertas pasir.

Suku daripada terompah dibiarkan tanpa corak manakala selebihnya diwarnakan dan dicorakkan dengan tangan terutamanya untuk pasaran cenderamata. Ada yang dicorakkan dengan imej pelukis Vincent van Gogh, keju, logo kelab bola sepak atau tulip yang mencerminkan identiti Belanda.

Pengkaji, Wilbert van den Eijnde yang membuat kajian pada tahun 1997 mendapati kebanyakan jenama terompah kayu yang menepati piawaian Belanda dan Eropah ialah kasut pelindung.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::