ATTENTION !!!

Tuesday, October 13, 2009

Sulaman Krocet Lily Handicraft

(Post: Bahasa Melayu)
"Krocet adalah kaedah menghasilkan fabrik menggunakan benang dengan cara mengait. Baik krocet mahupun sulam kait, keduanya perlu dijahit silang sebelum menjadi fabrik."

Sulaman krocet atau crochet sememangnya popular di kalangan mereka yang benar-benar meminati hobi sulaman ini selain berbekalkan kesabaran.

Sesuai peredaran zaman, sulaman jenis ini tidak lagi sekadar baju sejuk dan alas meja, tetapi layak menjadi aksesori hiasan yang menarik.

Silap jika ada yang beranggapan sulaman krocet ini ketinggalan zaman kerana hakikatnya, biarpun usianya melangkaui zaman tetapi minat dan permintaan terhadap hasil seni ini tidak pernah susut.

Sekilas pandang, sulaman krocet menyerupai sarang labah-labah. Jalinan benang yang dijahit rapat dan bertindih menimbulkan persepsi yang sulaman ini tidak mudah ditangani dan bukan pilihan bijak bagi mengisi masa lapang.

Apakah benar demikian? Tanggapan ini jelas disanggah pemilik Lily Handicraft, Yvonne Yeoh, yang beranggapan sulaman krocet ini tiada bezanya dengan jenis sulaman ini.

"Apa yang membezakan cuma bentuk jarum iaitu untuk krocet yang ada cangkuk kecil di hujung jarum manakala bagi sulam kait, jarumnya berbentuk seperti paku," kata pengusaha premis yang terletak di Subang Parade di Subang Jaya, Selangor ini.

Krocet dipercayai mula popular sekitar abad ke 19 pada ketika benang kapas mendapat sambutan hangat di sekitar Amerika Syarikat dan benua Eropah. Ketika itu, ia dilihat sebagai kaedah termurah dan paling ringkas menghasilkan kain renda.

Popularitinya menyebabkan wanita pada zaman itu memilih krocet sebagai sumber pendapatan utama manakala kalangan bangsawan menganggapnya hobi yang melekakan.

Namun, kata Yvonne, krocet kini bukan sekadar menghasilkan busana saja tetapi mempunyai potensi besar dalam reka cipta barangan kraf termasuk alas meja panjang, piring dan cawan, cadar, sarung tisu, bekas dan botol dan replika mini buah serta bermotifkan haiwan.

"Pelbagai kraf tangan kreatif boleh dihasilkan andainya tekun dan berminat. Membuatnya tidak susah dan mengambil masa lama."

"Sekiranya tumpuan penuh diberikan, anda mampu menyiapkan alas cawan dalam tempoh kurang sehari," katanya.

Sesuai sambutan dan potensi sulaman ini, Yvonne turut menganjurkan kursus krocet, sulam kait dan suji bilang untuk dewasa dan kanak-kanak di kedainya itu.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::