ATTENTION !!!

Monday, November 15, 2010

Sekolah Latihan Wanita SELAWA

(Post: Bahasa Melayu)
" Gelagat sekumpulan pelajar wanita berkemeja-t berlengan panjang hitam dan jingga di bilik kuliah yang bersambung di belakangnya dapur pelbagai guna itu benar-benar mencuri perhatian. "

Kegirangan jelas terpancar di wajah mereka meskipun masing-masing sibuk dengan peranan dan tugas yang diberikan.

Ada yang menyelia api bagi memastikan ayam yang digoreng itu tidak mentah atau terlebih masak, ada yang menghiris dan memotong keperluan bahan-bahan untuk menumis.

Di satu sudut yang lain pula, sekumpulan pelajar sibuk mengadun ramuan untuk menghasilkan beberapa jenis biskut tradisi menggunakan mesin khas.

Setiap arahan diberikan oleh tenaga pengajar dalam penyediaan hidangan itu dipatuhi biarpun ia sekadar peringatan untuk menambah secubit garam atau sesudu kecil gula.

Usai 15 minit pertama menjejakkan kaki di Sekolah Latihan Wanita atau lebih dikenali sebagai Selawa, penulis kemudiannya dibawa menjengah ke kelas jahitan dan sulaman yang terletak di aras satu.

Di dalam kelas itu, seramai 20 pelajar gigih menyiapkan projek baju kurung moden. Ada yang masih berusaha melaksanakan jahitan akhir, membetulkan jahitan butang dan menetas benang yang tersimpul kusut.

Pada masa sama, beberapa orang pelajar menguntum senyuman. Baju kurung yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri itu sudah hampir siap.

Biarpun tidak segah atau secantik hasil tangan tukang profesional, namun kualiti yang dihasilkan oleh pelajar terbabit tidak kurang hebatnya.

Selain kelas memasak lauk-pauk, kuih-muih moden dan tradisional serta jahitan, empat lagi kelas lain di bangunan dua tingkat itu turut bergerak serentak.

Antaranya termasuklah sulaman tangan dan mesin, solekan dan dandanan rambut, kemahiran komputer dan pendidikan agama.

Demikianlah keunikan Selawa, institusi kemahiran wanita yang dimiliki sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan dakwah dan antara yang tertua di negara, Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP).

Menerusi sistem pembelajaran yang ditawarkan, setiap pelajar yang menyertai sekolah kemahiran tersebut, akan mengikuti kesemua kelas tersebut sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan.

Menurut Pengetua Selawa, Norhafizah Harun, 39, apa yang ditawarkan oleh institusi terbabit merupakan latihan asas yang lengkap bagi seorang wanita.

Menawarkan kursus peringkat asas dan lanjutan sejak 1962, Selawa sehingga kini telah melahirkan lebih 7,000 bekas pelajar yang mendapat manfaat daripada silibus istimewa ini.

"Setiap pelatih dalam kumpulan masing-masing akan mengikuti semua modul di Selawa secara bergilir-gilir."

"Mungkin pada hari ini, seseorang pelatih itu akan mempelajari cara membuat kek, rakannya pula didedahkan teknik sulaman manakala seorang lagi mengikuti kelas asas komputer," katanya kepada Kosmo!.

Norhafizah yang merupakan salah seorang daripada tujuh tenaga pengajar di Selawa memberitahu, setiap pelatih yang berjaya menamatkan pengajian asas selama setahun, boleh berbangga dengan apa yang dipelajari.

Mereka bukan saja boleh membuka bisnes jatihan, sulaman atau masakan, lepasan Selawa hakikatnya adalah individu yang pandai serba-serbi dalam hal ehwal kewanitaan.

"Tidak keterlaluan jika dikatakan, lepasan Selawa sebenarnya bersedia 100 peratus untuk menjadi seorang wanita apatah lagi bergelar suri rumah."

"Bahkan sebelum ini pun, ramai memberitahu Selawa merupakan antara tempat yang terbaik bagi kaum lelaki khususnya di Ipoh, Perak mencuba nasib mencari jodoh," selorohnya.

Pelatih dari seluruh negara

Menurut Norhafizah, sejak hampir lima dekad lalu, Selawa menerima pelatih dari seluruh pelosok negara. Namun persepsi kononnya institusi terbabit seolah-olah seperti pusat pemulihan akhlak menyebabkan tidak ramai yang mengetahui kewujudannya.

"Salah tanggapan ini berlaku mungkin kerana nama Selawa sendiri iaitu Sekolah Latihan Wanita."

"Pada hakikatnya, inilah satu-satunya institusi yang menawarkan modul latihan bersepadu dengan yuran yang berpatutan," katanya.

Menurut Norhafizah, pada satu-satu masa Selawa mampu menampung sehingga 100 orang pelatih dan setiap yang mendaftar bagi mengikuti kursus, digalakkan menetap di asrama yang disediakan.

"Selain asrama yang lengkap dengan kemudahan asas termasuk bilik bacaan dan ruang menonton televisyen pada waktu senggang, pelajar juga disediakan sarapan pagi sehinggalah makan malam," katanya.

Bagi mempelbagaikan aktiviti kokurikulum pelajar, Selawa secara konsisten menganjurkan ceramah agama, menubuhkan kumpulan nasyid, kompang, silat, selain mengadakan kursus motivasi keusahawanan, lawatan sambil belajar selain pertandingan masakan dan gubahan.

Meskipun syarat kemasukan ke Selawa sekurang-kurangnya lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mampu membaca serta menulis, Norhafizah mengakui terdapat juga graduan institusi pengajian tinggi melanjutkan pengajian di institusi terbabit.

"Pelajar yang menuntut di sini datang daripada pelbagai latar belakang dan kehidupan. Ada yang datang dengan kerelaan sendiri, terdapat juga yang dihantar oleh ibu bapa bagi mendalami ilmu kewanitaan."

"Apa yang membanggakan, Selawa pernah menerima graduan ijazah sarjana muda tidak lama dahulu," kata Norhafizah yang bertugas di Selawa sejak 16 tahun lalu.

Selawa bukan calang-calang institusi. Nurul Atiqah Mohd. Yusop, graduan diploma perakaunan dari Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan misalnya, sudah hampir menamatkan kursus asas selama setahun di Selawa.

Berasal dan menetap di Tangkak, Johor, Nurul Atiqah mengakui kehadirannya di institusi tersebut sejak Januari lalu didorong oleh ibunya. Kata Nurul Atiqah, 22, ibunya menghantar dia ke Selawa sebagai mengisi masa terluang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Pada mulanya, saya ingat hanya belajar memasak dan menjahit tetapi rupa-rupanya kami didedahkan dengan pelbagai kemahiran lain."

"Apa yang menarik, saya kini boleh memasak hidangan kegemaran ibu di kampung bahkan boleh menjahit baju kurung sendiri," katanya teruja.

Ujar Nurul Atiqah, dia langsung tidak menyesal menghabiskan masa setahun di Selawa biarpun ramai di kalangan rakan sekuliah semasa menuntut di politeknik dahulu selesa dengan kerjaya masing-masing selain menyambung pelajaran.

Kemahiran sebagai kerjaya

Seorang lagi pelajar, Nurliza Musa, 16, pula menyimpan seribu satu harapan apabila tamat latihan di Selawa kelak.

Remaja terbabit sedar dengan kelulusan akademik sehingga tingkatan tiga itu tidak menjamin apa-apa kepadanya. Justeru, dia bertekad menjadikan sesi latihan asas dan lanjutan selama dua tahun di Selawa sebagai peluang kedua.

"Saya mahu menjadi seorang tukang masak yang berjaya dan mungkin satu hari nanti kemahiran tersebut akan menjadi sumber rezeki seperti sebahagian besar bekas pelajar Selawa sebelum ini," katanya.

Berbeza dengan Nurul Atiqah dan Nurliza, Nurshazlesha Suhaimi pula mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sudah pun mempunyai kerjaya sebagai seorang kerani dengan pendapatan tetap di Kuala Lumpur, wanita berusia 26 tahun itu nekad mendaftar di Selawa sejak Januari lalu.

Kata Nurshazlesha, ramai rakan-rakannya terkejut dengan keputusan lebih-lebih lagi tindakannya seolah-olah terkebelakang.

"Saya sudah mempunyai kerjaya yang stabil namun minat yang mendalam terhadap masakan dan jahitan membuatkan saya membulatkan tekad mendaftarkan diri mengikuti pembelajaran di sini."

"Azam saya adalah membuka sebuah kedai membuat kuih di kampung halaman di Pulau Pinang tidak lama lagi," katanya.

Setiap pelajar yang menamatkan pengajian akan dianugerahkan sijil yang dikeluarkan PSIP.

Dengan yuran pendaftaran sebanyak RM450 dan yuran bulanan RM120, Selawa seharusnya dijadikan pilihan kepada semua wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun yang berminat.

Sesi pembelajaran adalah pada hari Isnin sehingga Jumaat bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai Selawa boleh datang terus ke Kompleks PSIP di No. 9, Jalan Seruan, 30250 Ipoh Perak atau hubungi talian 05-2548708.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

5 comments:

tyara NY November 15, 2010 at 12:50 PM  

Kelas tu untuk warga perak saja ke?...

Boku no Blog November 15, 2010 at 7:35 PM  

Wah seru nich acaranya,..
Salam ziarah dan persahabatan

SatuJutaIdea November 16, 2010 at 2:55 PM  

RE: Ms Nury ... sesiapa pun boleh join kelas di SELAWA asalkan dia adalah wanita:)

SatuJutaIdea November 23, 2010 at 11:17 AM  

RE: adikacu ... Sekolah Latihan Wanita hanya khusus utk wanita sahaja :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::