ATTENTION !!!

Showing posts with label petai. Show all posts
Showing posts with label petai. Show all posts

Monday, May 23, 2011

Petai Hentian Rehat Lebuhraya

(Post: Bahasa Melayu)
" Apabila menempuh satu perjalanan yang jauh melalui lebuh raya untuk sampai ke sesuatu destinasi, pasti Hentian Rehat & Rawat (R&R) menjadi lokasi wajib untuk disinggahi. "

Selain mahu mengisi perut yang lapar, menunaikan solat atau melepaskan hajat, pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai produk yang dijual.

Malah, terdapat Hentian R&R tertentu seperti di Tapah, Perak yang terkenal dengan buah-buahan seperti jambu batu, jambu madu, limau bali dan sebagainya. Ia sudah tentu boleh menjadi buah tangan untuk dibawa pulang untuk keluarga atau teman-teman.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak kedai buah di Tapah, anda mungkin tertarik dengan sebuah gerai di Hentian R&R Tapah arah selatan yang turut menjual petai.

Menurut Mohd. Johari Niya Ahmad, 34, yang membantu perniagaan ibunya di hentian tersebut, sudah hampir dua dekad menjual buah-buahan termasuk petai kepada orang ramai yang berhenti rehat di kawasan itu.

"Petai adalah salah satu daripada ulam kampung kegemaran ramai. Ia biasanya sering didapati dan dijual di kawasan kampung. Tetapi, apabila menjualnya di kawasan hentian rehat lebuh raya situasinya agak berbeza."

Varieti Petai

"Pengunjung lebih suka membeli buah-buahan seperti jambu batu atau jambu air. Bagaimanapun, rezeki sebagai penjual petai di kawasan ini tetap ada," kata Johari sambil tersenyum lantas menunjukkan beberapa papan petai.

Dia memperoleh bekalan petai daripada Orang Asli di sekitar Tapah seperti di Batu 7 dan Batu 14. Harganya mengikut pasaran semasa dan bekalan petai dihantar seminggu tiga kali.

Antara petai yang dijual Johari termasuklah petai papan yang mempunyai rasa agak pahit dan petai padi yang lebih lemak serta bertangkai pendek.

Menjadi satu-satunya peniaga yang menjual petai di R&R Tapah arah utara, Johari mengakui sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

"Alhamdulillah, setakat ini bisnes kami mempunyai kelompok pelanggan tersendiri. Malah, ada juga pelancong asing yang membeli petai kami dan memang seronok melayan kerenah mereka," beritahu Johari.

Jelas Johari, apabila menjalankan perniagaan di lebuh raya, harga jualan dipantau oleh pihak PLUS Expressway Berhad (PLUS).

"Selain itu, gerai jualan juga perlu dibuka setiap hari. Ia tidak boleh ditutup sesuka hati. Jika ada kecemasan, peniaga perlu memaklumkan pada pihak PLUS terlebih dahulu. Selepas mendapat persetujuan mereka, barulah gerai boleh ditutup," ujarnya.

Ditanya cabaran berniaga di hentian R&R, Johari pantas mengakui berdepan pelbagai ragam pelanggan yang adakalanya memeningkan kepala. Namun, ia bukan penghalang untuknya terus berniaga di situ.

"Apa yang penting, setiap peniaga perlu ada rasa kesabaran yang tinggi di samping memaniskan wajah dengan senyuman. Jika ada sebarang masalah, ia boleh diselesaikan dengan cara diplomasi."

"Bagi menangani masalah tersebut, pihak PLUS juga ada menghantar peniaga untuk mengikuti kursus cara-cara melayan pelanggan. Sedikit sebanyak, ia boleh mendidik kita lebih memahami keadaan pelanggan," terang Johari sambil tangannya pantas menyusun petai untuk digantung di gerainya.

Selain petai, Johari turut menjual buah durian belanda tetapi ia bermusim.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, March 8, 2011

FRIM Memacu Penyelidikan Industri Herba

(Post: Bahasa Melayu)
" Hutan menyimpan segala macam jenis herba - tumbuh-tumbuhan yang kini diterokai khasiatnya untuk manfaat manusia sebagai makanan dan juga ubat-ubatan. "

Sebab itu, kesungguhan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) membangunkan industri herba sangat tepat pada masanya.

Agensi itu menubuhkan Bahagian Tumbuhan Ubatan yang kemudian dikenali sebagai Bahagian Hasilan Semulajadi pada Februari 2011 untuk memberi fokus kepada kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam bidang tumbuhan ubatan dan herba.

Bahagian tersebut menggunakan pendekatan pelbagai disiplin dalam melaksanakan penyelidikan untuk membangunkan ekstrak piawai dan produk prototaip daripada tumbuhan ubatan dan beraroma seperti kosmetik, nutraseutikal, makanan berfungsi dan fitoperubatan (phytomedicine).

Pengarah Kanan, Bahagian Hasilan Semulajadi FRIM, Dr. Rasadah Mat Ali berkata, FRIM di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mula terlibat dengan penyelidikan tumbuhan herba pada tahun 1995 selepas Kabinet mengarahkan penubuhan Bahagian Tumbuhan Ubatan di FRIM pada April 1994.

"Malah kita merupakan pelopor kepada penyelidikan antioksidan selepas bahagian tersebut ditubuhkan di FRIM pada 1995."

"Sekarang, terdapat sembilan ujian antioksidan yang telah dijalankan."

"Malah, satu ujian baru iaitu Oxygen Radical Antioxidant Capacity (ORAC) telah ditambah ke dalam ujian antioksidan yang sedia ada dalam tahun 2011."

"ORAC adalah ujian antioksidan yang telah diterima pakai seluruh dunia sebagai ujian piawai untuk mengukur aktiviti antioksidan dalam produk nutraseutikal, farmaseutikal dan industri pemakanan," ujarnya.

Sejak itu kata beliau, FRIM telah mengorak langkah memberi suntikan baru kepada industi herba khususnya yang diperoleh dari hutan.

Ini kerana FRIM mempunyai kepakaran dalam pengenalpastian tumbuhan-tumbuhan herba, mencirikannya dan menghasilkan penanda bagi setiap sebatian aktif atau sebatian kimia berguna dalam tumbuh-tumbuhan berkenaan.

Malah berdasarkan pencapaian terkini, FRIM telah berjaya mengumpul 1,078 fitoekstrak dan 35 ekstrak piawai, 100 minyak pati, 85 sebatian fitokimia dan 10,000 kultur actinobacteria dalam perpustakaan hasilan semula jadinya.

Bagi Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod, kejayaan tersebut sangat penting bagi program pembangunan dalam penemuan sebatian bioaktif dengan nilai teraputik.

FRIM kata beliau, telah berjaya mengenal pasti tumbuhan ubatan yang tulen menerusi usaha pencirian kimia dan morfologi.

Usaha lain ialah menjalankan kajian pemprofailan kimia dan mengenal pasti penanda kimia untuk piawaian ekstrak herba, dan menawarkan 30 ekstrak seumpamanya untuk kegunaan industri.

Pada masa sama, FRIM juga menjalankan penilaian bioefikasi dan potensi bio dan mewujudkan 25 bioasei berkaitan dengan bioteraputik, kegagalan metabolik dan sistem pengenalpastian mikrobial.

FRIM juga mempunyai pangkalan data 564 spesies negatif bakteria aerobik, 480 spesies bakteria anerobik, 619 spesies filamen kulat dan 267 spesies yis serta 19 Methiclin superbug Staphylococcus aureus untuk penyelidikan.

Setakat ini institut berkenaan juga berjaya mengumpul spesimen rujukan untuk 1,147 spesies tumbuhan ubatan dan beraroma.

Kejayaan terbaru ialah mewujudkan konservasi ex-situ tumbuhan dan beraroma dengan lebih daripada 200 spesies di Taman Etnobotani di Kepong dan Stesen Penyelidikan di Maran, Pahang.

Tanaman tersebut termasuk tongkat ali, misai kucing, mengkudu, kacip fatimah, pudina, tutup bumi, kunyit, limau nipis, serai wangi, legundi, kalampayan, asam gelugor, karas, petai dan patawali.

Kejayaan FRIM dalam tempoh yang singkat iaitu sejak 1995 dengan kepakaran 50 penyelidik mengenai herba dan tumbuhan ubatan banyak dibantu oleh kemudahan makmal berteknologi canggih yang dimilikinya.

Sebagai contoh, makmal Pusat Teknologi Herba (HTC) yang dimiliki FRIM dilengkapi peralatan yang sejajar dengan matlamat dan peranannya dalam industri herba.

Peralatan seperti Gas Chromatography Mass Spectrometer (GCMS) untuk pengasingan sebatian, Nuclear Magnetic Resonans (NMR), Thin Layer Chromatography (TLC), High Performance Liquid Chromatography, Fourier transform infrared spectrometer (FTIR) dan Liquid Chromatography Mass Spectrometer (LCMS) antara kelengkapan makmal yang perlu dalam bidang penyelidikan hasilan semulajadi.

HTC pula telah menerima pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) untuk pemerosesan ubatan berbentuk kapsul dan tablet daripada Kementerian Kesihatan pada tahun 2007.

Setiap tahun, pusat berkenaan telah membantu 226 pengusaha herba dan pemakanan dari segi khidmat nasihat dan pemindahan teknologi serta menawarkan antara 100 dan 150 perkhidmatan pemprosesan herba.

Ia juga menjadi penghubung penting antara agensi-agensi kerajaan termasuk agensi penyelidikan dan penguatkuasaan dengan pengusaha herba dalam penghasilan produk yang berkualiti tinggi.

Sumber: Utusan Malaysia Online , FRIM

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::