ATTENTION !!!

Showing posts with label fertigasi. Show all posts
Showing posts with label fertigasi. Show all posts

Friday, February 25, 2011

Waiz-K Bio-Organics

(Post: Bahasa Melayu)
" Sedarkah anda sembilan persepuluh cabang rezeki adalah datangnya daripada bidang perniagaan. Ia termasuk juga bidang pertanian yang sememangnya amat terkenal dengan masyarakat negara ini terutamanya yang berada di luar bandar. "

Namun, tidak ramai di antara kita yang berminat untuk menceburinya kerana berpendapat bidang tersebut memerlukan modal yang tinggi di samping ilmu pengetahuan yang mencukupi dan serba lengkap.

Jika di kawasan luar bandar, rata-rata penduduknya memiliki tanah yang luas di samping sinaran matahari yang terik sepanjang tahun.

Justeru, tiada masalah bagi mereka untuk menanam apa jua jenis tanaman untuk dijual di pasaran.

Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang berada di tengah-tengah kota metropolitan di mana keluasan tanah pertanian amat terhad.

Malah boleh dikatakan, di kawasan bandar mustahil untuk mendapatkan tanah pertanian yang sesuai.

Itu belum lagi di tambah dengan masalah pencemaran akibat bahan buangan industri serta sampah sarap, namun segala permasalahan pasti ada penyelesaiannya.

Sehubungan itu seorang usahawan pertanian tempatan Waiz Kashifi, berusaha mengoptimumkan keperluan projek pertanian bagi mengurangkan pembaziran.

Menurut pemilik Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. itu, sistem perladangan konvensional telah lama wujud, akan tetapi kaedah tersebut dilihat agak tidak cekap dan banyak membazirkan sumber-sumber keperluan dan tenaga kerja.

Menurutnya, apa yang lebih mendukacitakan situasi tersebut banyak mengecewakan petani kerana usaha mereka gagal dan akhirnya kehilangan banyak sumber kewangan.

"Persoalannya mengapa ia (situasi kerugian) berlaku?"

"Apakah yang tidak kena dengan sistem pertanian yang diamalkan oleh petani kita sejak dulu?"

"Justeru, saya tampil disini bagi menjelaskan antara sistem pertanian yang patut diolah semula bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pertanian Agro-Bio WaizK di Shah Alam.

Menurut Waiz, beliau bukan seorang petani yang berjaya atau yang telah lama menempah nama dalam bidang tersebut.

Namun setelah melihat peluang yang tersedia di hadapan mata maka beliau kini beralih arah.

"Saya dahulu bekerja dalam sektor automobil, malah pertanian tiada langsung dalam kamus kerjaya saya dahulu."

"Ketika mengikuti pelbagai kursus automobil di luar negara saya berkesempatan melihat perkembangan pertanian yang diamalkan oleh rakyat negara luar."

"Lama-kelamaan saya jadi tertarik dan akhirnya mengambil keputusan untuk beralih angin ke bidang pertanian," jelasnya.

Bukanlah merupakan sesuatu yang mudah untuk mencuba sesuatu pekara yang baru, apatah lagi ia langsung tiada kena mengena dengan kerjaya beliau sebelum itu.

Namun atas usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya beliau berjaya menemui formula berkesan yang dapat diguna pakai dalam sektor pertanian moden.

Jelas Waiz, teknologi yang digunakan di pusat penyelidikan dan pembangunan beliau adalah merupakan keperluan asas paling utama untuk meningkatkan kualiti dan kadar tumbesaran tanaman pertanian.

Malah, katanya, melalui pengurusan dan amalan pertanian yang terbaik, kepelbagaian biologi yang selamat, amalan pertanian yang bijak dan 'kaizen' yang disebut dalam bahasa Jepun akan dapat membentuk suatu kitaran sistem ekologi (sistem-Eco) yang sempurna untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Bagi Waiz, syarikatnya lebih menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian berasaskan teknologi fertigasi atau pengairan baja, hidroponik dan kompos bio-organik.

Namun, buat masa kini, teknik yang diberi tumpuan ialah teknologi fertigasi.

Tambah Waiz, teknik fertigasi atau pengairan baja telah diketahui secara meluas di negara ini malah ia semakin popular.

Pasti terdapat sebab untuknya berikutan semakin ramai petani atau pengusaha telah bertukar menggunakan kaedah tersebut.

Justeru apakah fungsi sebenar Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. di sebalik teknik tersebut?

Di sini Waiz menjelaskan rahsia serta kelebihan sebenar teknik fertigasi yang rata-rata tidak diketahui ramai.

Menurut beliau, perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation.

Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan digunakan serentak kepada tanaman pertanian.

Fertigasi juga tergolong dalam teknik hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah.

Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya cili, tomato, timun, terung, strawberi dan rock melon.

Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar dan serangan bakteria kebanyakannya dibawa oleh tanah.

Selain itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak poli beg yang mengandungi media bagi menggantikan tanah.

Manakala kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi berupaya untuk membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran.

Manakala air dan larutan baja diberikan secara berkala dan tetap pada setiap hari justeru larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar pokok.

Teknologi sistem fertigasi ini paling berkesan jika dilakukan di bawah struktur pelindung hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam dari diserang oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan yang bertoksik.

Selain melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan merencatkan pembesaran pokok seterusnya menjejas pengeluaran hasil.

Justeru, syarikat beliau kini ditubuhkan khusus bagi membantu petani dengan memberikan latihan serta pengembangan ilmu berkenaan pertanian terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Bagi yang berminat untuk mengikuti latihan serta kursus yang bersesuaian, anda boleh menghubungi beliau di talian 03-51914604 atau layari laman web Waiz-K untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, February 24, 2011

Aiskrim Strawberi Cameron Highlands

(Post: Bahasa Melayu)
" Sebut sahaja Cameron Highlands, dua tanaman tanah tinggi yang pasti akan berlegar di fikiran adalah teh dan strawberi. "

Manakan tidak, dengan suhu yang dingin dan nyaman, percutian ke kawasan peranginan itu pasti tidak lengkap tanpa menikmati secawan teh panas dan merasai produk-produk makanan berasaskan strawberi.

Selain dua tanaman itu, sebahagian besar kawasan tanah di lokasi pelancongan tersebut iaitu sekitar 8,000 hektar telah dimajukan dengan penanaman produk sayur-sayuran serta buah-buahan yang pelbagai jenis.

Memberi fokus kepada industri penanaman strawberi di Cameron Highlands, ia mempunyai keluasan kawasan tanaman sekitar 30 hektar dengan jumlah pekebun lebih kurang 50 orang.

Daripada jumlah itu, kuantiti pengeluaran buah strawberi segar setiap tahun adalah dianggarkan bernilai antara RM60 hingga RM70 juta.

Menurut salah seorang pengusaha ladang strawberi, Mohamad Zulkepli Daud, 46, beliau tertarik untuk terlibat dengan aktiviti penanaman buah tersebut kerana yakin dengan potensi pasarannya selain mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan.

"Dahulu, saya bertugas di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Cameron Highlands bermula tahun 1985 hingga 1990 sebelum menjalankan perniagaan sendiri dalam bidang kontraktor binaan dan perusahaan calet sehingga tahun 2004."

"Sepanjang bekerja di MARDI, saya sering mendapat nasihat dan dorongan daripada rakan-rakan yang menggalakkan saya menyertai aktiviti perusahaan tanaman strawberi."

"Pada tahun 2005, saya mula mengusahakan tanaman ini secara kecil-kecilan dengan tujuan untuk dimakan sendiri," katanya ketika ditemui di calet miliknya di Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highland.

Selepas setahun mengusahakan tanaman itu, Zulkepli mendapati strawberi mempunyai permintaan tinggi dan mampu untuk dikomersialkan tidak kira dalam bentuk buah segar mahupun produk hiliran.

Melihat kelebihan tersebut, tahun 2006 menyaksikan dia telah memulakan operasi tanaman buah strawberi dalam skala lebih besar melibatkan 2,000 pokok strawberi.

Keuntungan jualan buah strawberi yang memberangsangkan kemudian mendorongnya memperluaskan operasi tanaman bertujuan meningkatkan pengeluaran hasil.

Justeru, pada tahun 2007, dia telah membuat pinjaman modal sebanyak RM20,000 daripada AgroBank untuk membeli anak benih dan peralatan tanaman seperti mesin titisan dan pengepam.

"Kesemua anak benih strawberi ini adalah daripada jenis Camarosa yang diimport dari Belanda."

"Ia merupakan baka terbaik yang mempunyai kelebihan aroma menawan dan wangi, rasa yang sangat manis serta saiz buah yang sama."

"Anak-anak benih ini biasanya akan mengambil masa pembiakan selama lebih kurang lima hingga enam bulan sebelum mengeluarkan buah," jelasnya.

Zulkepli memberitahu, ladangnya yang berkeluasan suku hektar itu mengamalkan konsep tanaman secara fertigasi bertingkat yang mampu memberi penjimatan ruang.

Katanya, konsep tersebut sangat mudah kerana dilengkapi sistem pengairan yang lengkap dengan suntikan baja.

Kini, ladang miliknya telah mempunyai lebih kurang 6,000 pokok dengan pengeluaran buah kira-kira 30 kilogram (kg) dalam masa seminggu.

Setiap pokok strawberi itu pula mempunyai jangka hayat selama lebih kurang dua tahun.

Hasil-hasil buah strawberi yang telah dituai kemudiannya akan dijual di kedai miliknya selain dijadikan sebagai bahan asas dalam penyediaan produk hiliran strawberi.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, August 31, 2009

Cili Merah Normahiran

(Post: Bahasa Melayu)
"Nor Mahiran yang juga Pengurus Pentadbiran Nur Edar Enterprise berkata, beliau memilih cili merah jenis 990 kerana saiznya yang luar biasa sehingga mencecah sembilan inci."

Minat yang mendalam menceburi bidang perniagaan, mendorong Nor Mahiran Yusoff nekad mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus promosi di sebuah syarikat rakaman di ibu negara.

Bermula dengan syarikat penganjuran konsert berbayar, Nor Mahiran beralih kepada bisnes butik dan pengedar makanan sejuk beku.

Meninjau sektor pertanian yang menyumbang kepada pendapatan negara, Normahiran memilih untuk beralih mengusahakan tanaman cili merah dan cili padi.

Mengusahakan tanaman cili menggunakan konsep fertigasi di tanah seluas 1,500 kaki persegi di Dengkil, Selangor.

Sehingga kini, Normahiran mempunyai lebih 1,000 pokok cili merah jenis 990 dan cili padi Semerah hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Mendapat khidmat nasihat daripada pengusaha tanaman fertigasi, Pengarah Fahim Agribaze, Abd. Rahim Ariff, yang bertindak sebagai mentor.

"Walaupun cili jenis 990 bersaiz besar tetapi cepat matang kerana sudah boleh dituai selepas dua bulan setengah dipindahkan dari tapak semaian ke polibeg," katanya semasa ditemui di tapak tanamannya di Sungai Merab, Kajang, Selangor.

Cili jenis 990 ini agak rendah hanya 0.5 meter dengan setiap pokok boleh menghasilkan sehingga lima kilogram cili setiap pokok.

Menggunakan media campuran sekam padi dan sabut manakala campuran baja A + B bagi mendapatkan hasil yang optimum.

Selain cili merah, Nor Mahiran juga menanam 300 batang cili api Semerah yang dibeli dari MARDI.

"Bagi peringkat permulaan saya mengeluarkan modal lebih RM10,000 bagi membeli kelengkapan fertigasi bagi 1,000 anak pokok cili.

"Ini termasuk peralatan fertigasi seperti polibeg, sabut, sekam padi, baja A+B, saluran paip, pam, tanah peat moss dan racun serangga," katanya.

Walaupun tidak sampai setahun mengusahakan tanaman cili secara fertigasi, Nor Mahiran dengan kerjasama Abd. Rahim merancang mengadakan kursus tanaman fertigasi.

Nor Mahiran berkata, beliau merancang mengadakan kursus tanaman fertigasi termasuk cili, tomato, rock melon pada setiap Sabtu dan Ahad.

"Kami akan mengadakan kursus dalam satu kumpulan kecil seramai 12 peserta bagi memudahkan penumpuan."

"Kursus yang diadakan di tapak ini akan memudahkan peserta melakukan latihan secara hands-on," katanya yang telah menyediakan modul untuk panduan tanaman.

Nor Mahiran berkata, kursus berkenaan akan dikendalikan oleh Abd. Rahim yang mempunyai pengalaman luas dalam penanaman berkonsep fertigasi.

Beliau juga akan mengajar cara tanaman yang betul bermula dari semaian sehingga kepada penjagaan dan tuaian.

"Kepada mereka yang berminat menjalankan tanaman fertigasi, kami turut menjual segala barang kelengkapan tanaman seperti media sekam padi dan sabut, baja A+B serta benih cili yang telah disemai," katanya.

INFO:
Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus tanaman fertigasi boleh menghubungi Nor Mahiran di 019-212 9029 atau 03-4042 8561.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::