Basikal Elektrik Bumi Cycle Enterprise
(Post: Bahasa Melayu)
" Antara gerai yang mendapat tumpuan ramai semasa Ekspo Mega Kempen Beli Barangan Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ialah gerai yang mempamerkan basikal elektrik dan beberapa produk mobiliti lain seperti kereta "buggy", kerusi roda dan beca yang menggunakan kuasa bateri. "
Tinjauan lanjut membawa wartawan BERNAMA kepada pemiliknya, Rosmawati Abdul Kadir, 46, dan rakan kongsi Fauziah Yahaya, 51.
BERNAMA sempat menemu bual Rosmawati sementara Fauziah sibuk melayani pengunjung yang bertumpu ke gerai itu.
Menurut Rosmawati, beliau menceburi bidang ini atas dorongan sahabat lamanya, James Prebagar, seorang jurutera.
"James yang mula menggalakkan saya untuk berkecimpung dalam dunia pengeluaran produk seperti ini kerana beliau yakin saya mampu memperkenal produk ini kepada masyarakat Malaysia dan juga luar negara," kata Rosmawati.
Dari situ Rosmawati, yang mempunyai pengalaman selama lebih 17 tahun dalam bidang perkhidmatan perundingan industri lif dan eskalator pelbagai jenama, bertekad menyahut cabaran sahabatnya itu untuk menjadi pengedar basikal elektrik buatan Malaysia.
Pada 30 Mei 2007, syarikat Bumi Cycle Enterprise (BCE) ditubuhkan, sekali gus membulatkan azam Rosmawati dan Fauziah untuk memperkenal "sistem pengangkutan baru buat generasi alaf baru".
Rosmawati dan Fauziah terlibat secara langsung dalam mempromosi produk basikal elektrik kepada badan-badan seperti perbadanan kemajuan negeri, unit polis ronda, pertubuhan bukan kerajaan dan beberapa sektor lain.
Kerana keistimewaan tersendiri basikal elektrik ini, BCE menerima tawaran daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk mempromosinya ke peringkat antarabangsa.
BCE juga mempunyai ruang pameran di Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEEC) di ibu pejabat Matrade, di sini.
Pengangkutan Yang Menjimatkan
Basikal pelbagai model dan beberapa produk mobiliti lain yang dikeluarkan BCE kesemuanya menggunakan kuasa bateri yang boleh dicas semula.
Menurut Rosmawati, produknya yang paling mendapat perhatian ramai ialah siri basikal elektrik, yang baru siap dihasilkan kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya Ekspo Mega ini.
"Basikal elektrik kami memang direkabentuk selari dengan cita rasa generasi kini yang ranggi dan lasak," katanya.
Diberikan nama-nama menarik berunsur ketimuran seperti Mutiara, Marhanna, Mahsuri, dan Saladin, setiap model basikal mempunyai tarikan tersendiri dan direkabentuk khas untuk golongan sasar tertentu.
Kesemua model ini diperbuat daripada besi tahan karat kecuali Mutiara yang diperbuat daripada aluminium.
Kelajuan maksimum bagi setiap model basikal ialah 20 kilometer sejam, dengan berat muatan yang boleh dibawa melebihi 100 kilogram. Kesemua model basikal ini juga berupaya mendaki kecerunan sehingga 15 darjah.
Bateri yang dicas penuh iaitu selama dua hingga lapan jam membolehkan sesebuah basikal bergerak sehingga 80 kilometer. Bateri yang digunakan mempunyai kuasa motor 180 watt dan tidak perlu diselenggara.
Rosmawati berkata harga runcit bagi basikal elektrik keluaran syarikatnya amat berpatutan iaitu antara RM2,200 sehingga RM2,950 sebuah.
Dengan slogan 'Hanya 30 sen untuk 80 km', basikal elektrik ini dijangka mampu menarik ramai pembeli kerana sangat menjimatkan, apatah lagi semasa keadaan ekonomi meleset, jelas Rosmawati penuh semangat.
Rangkaian produk BCE disertakan dengan jaminan selama tiga hingga 12 bulan, bergantung kepada produk. Syarikatnya juga memperkenal perkhidmatan selepas jualan untuk menjamin kepuasan pengguna.
Produk Mesra Alam, Sesuai Untuk Semua
Menjelaskan ciri-ciri produk keluaran syarikatnya, Rosmawati memberitahu bahawa teknologi yang digunakan adalah teknologi baru yang dipanggil Revolution.
Selain berprestasi tinggi, teknologi ini menawarkan kepada pengguna kelebihan dari segi keselamatan, dan yang paling menarik, penjimatan kos.
Teknologi ini juga mesra alam, iaitu tidak mengakibatkan sebarang bentuk pencemaran.
Rosmawati berkata basikal elektrik merupakan kenderaan yang sesuai untuk semua golongan dan peringkat masyarakat termasuk suri rumah, golongan pekerja, warga emas dan pelajar.
Sama ada digunakan untuk ke tempat kerja, sekolah, pasar, masjid atau bergerak dari satu bangunan ke bangunan yang lain di dalam kampus, pergerakan menjadi lebih mudah dan lancar tanpa perlu menggunakan tenaga yang banyak.
Meskipun begitu, apabila ingin bersenam, mengeluarkan peluh dan menjimatkan tenaga bateri, pengguna boleh mematikan motor elektrik dan beralih kepada kayuhan seperti mengayuh basikal biasa.
Penyelidikan dan Pembangunan
Dalam usaha mengeluarkan basikal elektrik ini, BCE membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan mempelajari teknologi dari Korea, Jerman, dan China.
Hanya setelah menjalani fasa R&D yang terperinci barulah syarikat itu dapat menghasilkan reka bentuk basikal buatan Malaysia yang sesuai untuk kegunaan masyarakat Malaysia khususnya, di samping berpotensi untuk dieksport.
Rosmawati mendedahkan bahawa BCE juga melantik seorang profesor kejuruteraan elektrik dari Universiti Malaya sebagai penasihat produknya.
Rosmawati seterusnya memberitahu kilang pengeluaran BCE menerima pengiktirafan standard ISO 9001 dan ISO14001, di mana semua produk yang dihasilkan mematuhi kawalan kualiti yang ketat.
Pemasaran Antarabangsa
Penyertaan dalam Ekspo Mega ini merupakan kemunculan sulung basikal elektrik BCE di pasaran.
Paling menggembirakan Rosmawati, beberapa pihak termasuk dari luar negara menunjukkan minat untuk menjadi pengedar bagi produk keluaran syarikat ini.
Rosmawati berkata penglibatan BCE dalam aktiviti promosi Matrade setakat ini membuka jalan untuk produknya dipasarkan ke negara seperti China, Vietnam, Indonesia, Mesir, Brunei, Sudan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dan beberapa negara Afrika serta Caribbean.
Harapan
Rosmawati menaruh harapan tinggi agar barang buatan tempatan mendapat lebih pendedahan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sebagai usahawan, Rosmawati melahirkan penghargaan di atas bantuan dan sokongan yang diterima daripada agensi-agensi kerajaan dalam mengembangkan perniagaan syarikatnya, yang juga mengusahakan kiosk cetakan foto digital selain masih menjadi perunding dalam industri lif dan eskalator.
Beliau membayangkan, jika basikal boleh menjadi cara pengangkutan utama di banyak bandar raya ternama dunia, tidak mustahil keadaan yang sama menjadi realiti di negara ini.
Juga, jika rakyat tidak mampu memiliki kereta kerana sukar mendapat pinjaman bank, motosikal pula membawa imej rempit dan berbahaya, manakala pengangkutan awam sentiasa terlalu sesak atau tidak efisien; basikal elektrik kini menawarkan penyelesaian yang ideal -- sama ada di kota besar, bandar atau desa.
CONTACT INFO:
Telefon: Fauziah (019-2121446) atau Rosmawati (017-3607699)
Lokasi kilang: No 4 Jalan 39/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Selangor
Sumber: Bernama.com
0 comments:
Post a Comment