ATTENTION !!!

Showing posts with label ketam. Show all posts
Showing posts with label ketam. Show all posts

Monday, February 7, 2011

Ketam Ternak Unggul

(Post: Bahasa Melayu)
" Ketam ataupun nama saintifiknya Krustasia decapod adalah haiwan laut yang memang sedap dimakan. "

Namun, menikmati ketam memang agak sukar kerana cengkerang yang keras. Jika mahu memakan ketam kita perlu mematahkan atau memecahkan bahagian yang keras itu untuk menikmati isinya.

Jika tersilap makan sudah pasti akan tertelan kulitnya malah boleh melukakan bibir jika terkena cengkerangnya yang agak tajam itu.

Namun bagi seorang usahawan di Kuantan, Dr. Syed Badaruddin Syed Ali, beliau telah memikirkan cara yang mudah dan senang untuk menghidangkan ketam.

Caranya dengan mengambil ketam selepas ia mengalami proses persalinan cengkerang.

Ketam perlu menjalani proses penyalinan kulit untuk pembesaran.

Syed Badaruddin yang juga pemilik Ternak Unggul Sdn. Bhd. memberitahu, kajian mengenai ketam cengkerang lembut dijalankan selama tiga tahun sejak 2007 sebelum mengkomersialkannya.

Menurutnya, ketam tersebut agak asing di negara ini. Tetapi di Thailand dan Vietnam, ia menjadi hidangan popular di restoran-restoran dan diternak secara tradisional.

"Teknik pembiakan dan penjagaan ketam ini dipelajari daripada kaedah tradisional."

"Daripada itu, saya gabungkan dengan kaedah moden untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kualiti air dan daya pengeluaran," katanya ketika ditemui di kolam ternakan ketamnya di Balok Kuantan.

Dalam tempoh tiga tahun melakukan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu juga, beliau banyak belajar membangunkan sistem kitaran air dan penyesuaian kadar tahap pH air.

Ia bagi mencari penyesuaian mengenai ketam-ketam yang kebiasaannya hidup dalam air payau masin.

Katanya, ketam dari spesies Scylla olivacea (ketam nipah) dan Scylla serrata (ketam laut) akan dikumpul untuk dipasarkan ketika ia berkulit lembut selepas proses bersalin cengkerang.

"Ramai tidak tahu bahawa ketam juga melalui proses bersalin kulit cengkerang. Ketam yang dipasarkan Ternak Unggul Sdn. Bhd. ini dikumpulkan selepas proses itu selesai."

"Ini merupakan projek pertama seumpama di Malaysia yang memasarkan ketam tanpa cengkerang," ujarnya lagi.

Tambah beliau, ketam berkenaan sangat unik kerana boleh dimakan keseluruhan isinya tanpa perlu membuang kulit.

Untuk memastikan ketam yang ternak kekal sihat katanya, kitaran air di jaga.

Air segar dipam bagi memastikan oksigen berada pada tahap optimum untuk membolehkan ketam terus hidup.

Proses menternak juga dilakukan secara tradisional. Namun ia sedikit berbeza kerana ketam-ketam itu diternak dalam gelung perigi bagi memperlahankan proses kulitnya mengeras semula.

"Kalau mengikut kaedah tradisional, ketam diternak di dalam kolam air payau yang digali supaya sesuai dengan habitat asal. Namun, ia berbeza dalam kolam konkrit dan air tawar."

"Teknik menternak dalam gelung perigi juga menjadi faktor ketam-ketam itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan habitat asal dalam air masin dan payau."

"Bagaimanapun, proses cengkerang mengeras semula selepas bersalin menjadi perlahan ketika ketam-ketam itu berada dalam air tawar," jelasnya.

Menurut beliau, kebiasaannya, kulit cengkerang akan mengeras semula dalam tempoh 12 jam jika berada dalam air masin.

Tetapi proses itu menjadi perlahan dan mengambil masa sehingga tiga hari jika berada di air tawar.

Ketam-ketam tersebut juga katanya, memerlukan penjagaan rapi dalam memastikan proses bersalin kulit berjalan dengan sempurna.

Malah, ia lebih sensitif dalam persekitaran air berbanding ikan.

Penjagaan lebih rapi juga diperlukan ketika ketam-ketam itu melalui proses bersalin cengkerang yang biasanya antara pukul 11 malam hingga pukul 3 pagi.

Bagi menjamin ketam-ketam itu tidak mati ketika sebelum, semasa dan selepas proses tersebut, para pekerja diperlukan untuk memantau bermula waktu tengah malam hingga awal pagi secara lebih teliti.

"Selepas bersalin kulit, ketam-ketam perlu diasingkan daripada kulit cengkerang keras yang sudah terpisah daripada badannya bagi menjaga kualiti air supaya ia terus hidup sebelum dikutip untuk dijual," katanya yang kini memasarkan satu tan ketam tersebut setiap bulan.

Kata beliau lagi, ketam-ketam tersebut dijual pada harga RM25 setiap kilogram kepada pengusaha restoran makanan Cina, Jepun dan Korea di sekitar ibu negara.

"Ketam-ketam ini digemari kerana tidak perlu mengupas cengkerang sebelum dimakan dan boleh dinikmati keseluruhan isinya kerana perutnya bersih."

"Ia juga boleh dinikmati dengan pelbagai jenis resipi seperti ketam bercangkerang yang biasa," jelas beliau.

Ujar Syed Badaruddin lagi, beliau kini cuba meneroka pasaran antarabangsa memandangkan ketam tanpa cengkerang semakin popular.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, September 10, 2009

Teknologi ICS Menternak Ketam

(Post: Bahasa Melayu)
"Menurut Pengarah Urusan TMSB, Datuk Norazman Adnan, pihaknya telah melabur sehingga RM1 juta sejak beberapa bulan lepas bagi membangunkan sistem tersebut di Kelibang, Langkawi dengan kerjasama Jabatan Perikanan."

Bukan mudah untuk 'mereka cipta' satu habitat haiwan khususnya ternakan dalam air.

Namun, teknologi boleh memungkinkan segalanya meskipun kejayaan boleh ditentukan kemudian, selepas mengharungi tempoh percubaan yang lama.

Ini yang cuba dilakukan oleh TBV Management Sdn. Bhd. (TMSB) , sebuah syarikat tempatan yang berjinak-jinak dalam teknologi akuakultur untuk ternakan ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla serrata.

Biasanya penyelidikan melibatkan organisme hidup menggunakan kaedah in situ atau pada keadaan habitat sebenar tetapi syarikat terbabit, yakin akan mencapai sesuatu yang memberangsangkan, sekali gus mampu melonjakkan pengeluaran hasil akuakultur khususnya ketam.

Bagaimanapun syarikat terbabit cuba memperkenalkan sistem tertutup yang mana air ternakan dikitar semula selepas dibersihkan secara automatik menggunakan teknologi khusus.

Teknologi yang dikenali sebagai Sistem Ketam Bersepadu (ICS) itu dianggap satu revolusi baru dalam bidang akuakultur yang mampu menjana pengeluaran ketam berlipat ganda.

Malah, syarikat terbabit bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan Jabatan Perikanan menerusi kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akuakultur Kebangsaan, Pulau Sayak, Kedah.

Di pusat tersebut, anak ketam dibiakkan dalam kolam tetapi menghadapi masalah untuk membesar atau lambat mencapai saiz pasaran, selain masalah pemangsaan sesama sendiri dan berebut makanan.

Justeru, pihaknya kemudian memperkenalkan ICS yang mana anak-anak ketam yang beratnya 100 gram di tempatkan dalam petak khas diperbuat daripada PVC untuk menjadi habitat kepada ternakan tersebut.

"Di bawah sistem yang ada ini, setiap seekor ketam ditempatkan dalam petak kecil itu yang mana ICS ini mempunyai sama ada 288 unit petak atau 868 unit," katanya.

Norazman berkata, meskipun sistem tersebut masih di peringkat percubaan dan sedang diuji keberkesanannya, beliau melihat ia mempunyai kebaikan daripada pelbagai aspek antaranya mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi penternak ketam.

Masalah tersebut termasuk sukar memperoleh benih, ketiadaan teknologi sesuai, dan modal yang tidak mencukupi.

"Oleh kerana kita masih mengimport benih ketam dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, kami (TMSB) berazam menyebarkan teknologi ini kepada mereka yang berminat," katanya sambil memberitahu bahawa sistem yang di pasang di Langkawi itu baru beroperasi selama dua bulan.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pengawasan kualiti air supaya sentiasa mematuhi kehendak sistem, pengumpulan data dan bacaan lain dicatat untuk tujuan rekod.

Katanya, ketam akan cepat membesar jika bersalin kulit dan ini yang mendorong pihaknya dan Jabatan Perikanan mencari jalan bagaimana proses tersebut dapat dilakukan dengan kerap.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180g dan ia menjadi cabaran utama sebelum cangkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.

Beliau menjelaskan, banyak aspek ternakan masih dalam penelitian bersama Jabatan Perikanan memandangkan ada dakwaan bahawa ketam nipah akan mati jika habitatnya tidak sesuai.

Ini kerana, ketam nipah sukakan kawasan gelap dan suka 'menyendiri' bagi mengelak menjadi habuan binatang lain.

Ketam juga dikatakan akan cepat membesar jika mencabut anggota badannya kerana ia akan tumbuh semula.

Ketam boleh dijual pada umur antara antara empat dan enam bulan atau apabila beratnya mencapai antara 350g dan 500g. Harga pasarannya boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain didorong oleh minat dan ingin membantu ramai pengusaha ternakan ketam, beliau berharap dapat membantu meningkatkan industri akuakultur itu ke tahap yang membanggakan.

CONTACT INFO:
TBV Management Sdn. Bhd.
Telefon: 04-9499333

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 12, 2009

Wanita Kental Nelayan Ketam

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukannya tidak mencuba memohon bantuan menyara anak yatim daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi jawapan sinis mengatakan nelayan sekarang sudah senang membuatkan ibu tunggal ini nekad, jika ditakdirkan rezekinya di laut, di situlah dia akan mencurah keringat selagi berdaya."

Di sebalik celah hutan pokok bakau di muara Kuala Gula, Perak sebuah bot berwarna biru bernombor pendaftaran PKS 3616 menyusur perlahan meredah sungai.

Kelihatan ibu tunggal, Rofeah Atan, 42, gagah mendayung bot meredah mata hati terik mencari rezeki.

Ditemani anak lelakinya, Mohd Rashidi Mahadi, 20, ibu kepada tujuh anak itu tersenyum melihat bot kami menghampiri mereka.

Mereka berdua sedang menangkap ketam nipah menggunakan bubu yang dikenali penduduk tempatan sebagai takui.

Muka dan badannya dibasahi keringat, itulah tanda kesungguhannya mencari rezeki halal sejak kematian suami dua tahun lalu. Bot itu mempunyai enjin tetapi nelayan tempatan lebih suka mendayung ketika mengangkat bubu kerana ia menjimatkan penggunaan petrol.

Mereka adalah sebahagian daripada puluhan wanita gigih Kuala Gula yang bekerja sebagai nelayan pantai. Agak mengejutkan kerana sebelum ini jarang diketahui kerjaya itu turut dipelopori kaum hawa yang lebih dikenali sebagai suri rumah.

Perkampungan nelayan di Kampung Tersusun, Kuala Gula, terletak kira-kira 50 kilometer dari Taiping, Perak itu menyimpan 1,001 cerita suka duka hidup sebagai nelayan.

Bagi Rofeah, jika tidak bekerja, tiada sesiapa akan memberi makan kepada anak-anaknya. Semua tujuh anaknya berusia tujuh hingga 25 tahun masih memerlukan perhatiannya, perlu dijaga dan disediakan makanan.

"Tak susah sangat nak jadi nelayan, kena panas, hujan atau mendayung bot kami sudah biasa. Kalau dah biasa hidup susah, tak jadi masalah. Jadi nelayan ni, semua kena tahu buat sendiri, kena baiki jaring, baiki bot, tangkap ketam, baru boleh hidup. Syukurlah saya ada bot sendiri," katanya.

Di jeti Kuala Gula, dua rakan karib, Norasyikin Hussein, 30, dan Normala Mohd Noor, 30, baru saja mendaratkan bot mereka ke jeti. Mereka juga nelayan pantai yang mendapat lesen daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan.

Ketika rakan seusia lebih suka bekerja mendapatkan gaji bulanan secara tetap, mereka memilih cara hidup mencabar tetapi penuh dengan ketenangan dan keseronokan kerana hidup nelayan semuanya bergantung kepada diri sendiri, jika kuat berusaha, Insya-Allah rezeki akan bertambah.

Norasyikin juga ibu tunggal yang sudah tiga tahun menjadi nelayan untuk menyara dua anak kecil berusia tiga dan enam tahun.

"Dulu saya pernah kerja kilang di Pulau Pinang tetapi kerja nelayan lagi bagus, hati senang, dekat dengan keluarga. Anak pun dah masuk tadika, siapa yang nak tanggung," katanya yang tidak tahu berenang dan cuma mengharapkan kepada pelampung jika berlaku kecemasan.

Uniknya, kedua-dua rakan karib itu cuma tahu menangkap ketam, tetapi tidak mahir mengikat ketam untuk dijual kepada peraih. Tugas itu diserahkan kepada ayah Normala yang membantu kerja di jeti dan mereka pula membantu membersih dan menyusun pukat ikan sementara menunggu kerja mengikat ketam selesai.

Ketika kami hampir menamatkan perbualan, penduduk mencadangkan kami menunggu satu lagi bot yang belum pulang. Bot dinaiki wanita besi digelar 'Mak Long'. Usianya sudah menjangkau 62 tahun, tetapi masih gagah mencari rezeki.

Sebaik Mak Long tiba di jeti, warga emas yang mempunyai tiga cicit dan 20 cucu ini tersenyum lebar dan tegasnya, sudah 50 tahun beliau bekerja sebagai nelayan.

Bagi wanita di perkampungan nelayan di Kampung Tersusun, Kuala Gula, Perak, tanggungjawab membantu suami mencari rezeki dengan bekerja sebagai nelayan adalah perkara biasa yang menjadi rutin harian penduduk tempatan.

Jika ada yang tidak begitu yakin untuk turun ke laut, mereka lebih banyak membantu di darat melakukan kerja sampingan, asalkan mampu menambah pendapatan.

Seorang nelayan wanita yang lebih dikenali sebagai 'Mami Jarum' Rahmah Awang, 46, berkata beliau sudah berkecimpung dalam kerjaya itu sejak 30 tahun lalu dan selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohd Zahir Zainon, 44, mereka berganding bahu mencari rezeki.

"Sudah menjadi adat hidup sebagai nelayan, kadangkala pulang tangan kosong. Sehari suntuk di laut, langsung tiada hasil. Kita kena terimalah, sebab ada hari kita dapat banyak rezeki, itu yang Tuhan beri."

"Setakat ini, kami bersyukur dengan rezeki yang ada. Jika turun ke laut, sekurang-kurangnya ringan beban suami, sebab saya pun dah biasa menangkap ketam dan ikan. Itu tak menjadi masalah," katanya yang turut melakukan kerja sampingan menanam benih pokok bakau dan mengupas isi kerang.

Satu lagi pasangan nelayan, Affina Dzul, 20, dan suaminya, Helmi Sam, 26, menyifatkan kerjaya itu umpama sesi bulan madu berpanjangan kerana menghabiskan masa sepanjang masa bersama pasangan tercinta, cuma bezanya mereka bukan mendayung bot menikmati angin petang, tetapi menangkap ketam.

Bagi Affina yang baru beberapa bulan membantu suaminya, kehadirannya cuma sebagai pembantu meringankan beban suami kerana cahaya mata mereka berusia setahun lebih dijaga keluarga sepanjang masa mereka turun ke laut.

"Saya masih baru, banyak kena belajar. Seronok dapat bersama suami mencari rezeki, walaupun penat bekerja, kami tahu susah payah mencari rezeki," katanya.

Tinjauan di sekitar perkampungan itu menemui beberapa wanita yang mengambil upah mengupas kulit kerang di bawah rumah.

Kelihatan tiga wanita, Esah Mat Arab, 65, Rashidah Johan, 33 dan Arbaiah Awang, 40, rancak berbual sambil tangannya lincah mengopek kulit kerang.

Purata upah sehari RM14 sudah memadai bagi mereka sementara menunggu suami dan anak pulang dari laut, sekurang-kurangnya pendapatan itu membolehkan mereka gunakan untuk perbelanjaan harian anak ke sekolah.

Rashidah berkata, setiap kilogram isi kerang yang dikupas, mereka dibayar upah 70 sen dan setiap hari, mereka mampu mengupas kira-kira lapan kilogram isi kerang. Kerang rebus setengah masak itu biasanya dihantar oleh pembekal yang membelinya daripada nelayan berdekatan.

INFO nelayan wanita Kuala Gula:
Pendapatan purata harian: RM80 hingga RM100

Jumlah bubu yang dimiliki: 120 hingga 200 setiap nelayan

Kerja sampingan:
1) Mencari upah menanam anak benih pokok bakau
2) Mengupas isi kerang
3) Memancing ketika musim 'air mati'

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::