ATTENTION !!!

Showing posts with label mi goreng. Show all posts
Showing posts with label mi goreng. Show all posts

Tuesday, January 11, 2011

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang

(Post: Bahasa Melayu)
" "Jiwangnya nama restoran ni," usik penulis sambil disambut tawa pengurusnya, Azhar Mohamad Zain. Masakan tidak, tempat menjamu selera itu memilih perkataan cinta dan sayang sebagai nama restoran. "

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang (NLCS) mendapat namanya disebabkan gerai pertama diusahakan ibu saudara Azhar, Zaiton Said, berdepan Cinta Sayang Golf & Resort, Sungai Petani.

Dibuka 24 jam, NLCS yang beroperasi hampir dua tahun di Seksyen 7, Shah Alam, berkonsep layan diri dengan nasi lemak sebagai sajian utama.

"Restoran ini beroperasi 24 jam untuk memenuhi keperluan pelanggan yang ingin menjamu selera tidak kira masa. Saya pernah menjadi pelajar dan tidak kira masa terasa mahu makan nasi lemak."

"Nasi lemak juga menu yang ringkas dan mudah disediakan, jadi pelanggan tidak perlu tunggu lama untuk mendapatkan pesanan. Di sini, jam 3 hingga 6 pagi pun orang masih cari nasi lemak," katanya.

Nasi lemak di NLCS sememangnya enak kerana cukup lemak selain sambal tumis yang istimewa begitu membuka selera.


Selain nasi lemak dan roti canai tersedia 24 jam, ia menawarkan menu nasi campur bermula jam 11 pagi hingga 3 petang manakala ala carte dari jam 3 petang hingga 3 pagi.

Pilihan lain sarapan pagi ialah kuetiau, mihun, mi goreng dan nasi goreng.

Berkonsep layan diri, pelanggan boleh memilih sendiri lauk untuk dimakan dengan nasi lemak seperti ayam masak merah, paru-paru, daging masak kicap, sambal ikan bilis, sambal tumis udang, ayam goreng, rendang daging, telur dadar, telur masin atau sambal sotong.

Menu sarapan pagi ditukar kepada lauk nasi campur bermula jam 11 pagi.

Lebih banyak pilihan lauk ditawarkan, terutama masakan kampung seperti masak lemak cili api, asam pedas, kari, sup, ikan keli bakar selain kembung dan pari, ayam bakar, pelbagai sayuran dan ulaman seperti timun, ulam raja, kacang panjang selain terung dan bendi celur.

Pilihan cicah ialah sambal belacan, sambal tempoyak, sambal kicap dan air asam.

"Ada 40 hingga 50 lauk yang sentiasa ditukar menu untuk memenuhi cita rasa pelanggan. Menu sampingan ialah bihun sup dan laksa Pulau Pinang, manakala char kuetiau boleh dipesan bermula jam 3 petang."

"Kami mensasarkan pelanggan di kalangan penuntut dan keluarga. Restoran ini sesuai sebagai tempat bersantai, mengadakan perbincangan atau perjumpaan keluarga," katanya.

Mampu menampung 200 orang pada satu masa, ia cuma ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. NLCS yang menerima tempahan katering turut mempunyai dua cawangan di Sungai Petani.

"Berdasarkan komen pelanggan, minuman di sini menarik kerana walaupun jenis yang biasa ditawarkan kebanyakan restoran lain, rasanya lebih pekat dan enak."

"Minuman menarik dicuba ialah teh tiga lapis menggunakan gula nipah sebagai bahan pemanis dan sirap bandung cincau," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: eats.my

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, October 17, 2010

Restoran Sup Kaww

(Post: Bahasa Melayu)
" Tidak seperti nasi ayam dan sate, jarang ada destinasi menjamu selera di negara ini yang khusus menjual sup sebagai menu utama. Kurangnya restoran menawarkan menu sebegitu memberi idea Mohd Jais Othman, 32, dan abangnya, Jaafar, 38, membuka restoran menyajikan sup sebagai hidangan utama."

Yakin sup ramai penggemar kerana ia antara makanan kesukaan rakyat Malaysia terutama orang Melayu, dua beradik itu membuka Restoran Sup Kaww.

Nama itu dipilih kerana ia menggambarkan keenakan sup yang dipertaruhkan. Ia menghimpunkan aneka sup selain masakan Melayu, Thai, Cina dan barat.

Menariknya, sup berkenaan resipi asli Mohd Jais yang berpengalaman hampir 15 tahun sebagai chef hotel.

"Kelainan sup di sini ialah ia daripada rencah buatan sendiri, penggunaan herba dan kuahnya pekat. Kami tidak menggunakan daging beku, sebaliknya daging segar untuk menjamin rasanya enak dan manis," katanya.

Restoran di SS7/8, Kelana Jaya itu terletak di lokasi strategik berhampiran pasar raya hiper dan stesen minyak. Ia mampu memuatkan 500 pelanggan dalam satu masa.

Pelanggan boleh memilih menjamu selera secara santai di ruang terbuka atau di sudut makan berbumbung berkonsep gabungan Bali, kontemporari dan ala kampung.

"Sup Kaww dalam bahasa Thailand mempunyai makna 'makan nasi' tetapi dalam Bahasa Melayu bermaksud sup istimewa," katanya.

Terdapat 74 menu masakan Thai, Melayu, Cina dan Barat. Masakan Melayu seperti mi Bandung Muar, mi rebus, sate, tauhu bakar dijual berkonsep gerai.

Antara jenis sup ialah sup Kaww mengandungi pelbagai bahagian dan potongan lembu, sup Kaww Tongkat Ali, sup daging, sup tulang, sup ekor, paru, sup campur dan sup sayur yang menggunakan kuah rebusan daging untuk menambah keenakannya.

Mi Bandung Muar dimasak secara tradisional menggunakan udang kering sebagai bahan utama manakala laksa Pulau Pinang dengan kuah ikan kembung dan sardin, rasanya sedikit masam.

"Ikan mengikut harga pasaran dan berpatutan. Misalnya, siakap tiga rasa dijual anggaran RM30. Siakap stim serai, iaitu resipi sendiri dengan penggunaan lebih serai untuk menghilangkan hanyir ikan atau lebih dikenali sebagai rasa 'tanah.'"

"Ayam masak pedas ialah masakan Melayu hasil resipi sendiri. Ia tidak sama seperti menu yang dihidangkan restoran lain," katanya.

Untuk yang gemarkan tom yam boleh mencuba tom ngan ngai iaitu tom yam santan yang popular di Bangkok dan Pattaya. Tom yam Nyonya dengan pilihan ayam atau campur pula kuahnya sedikit cair dan sedikit manis. Menu itu diperoleh Mohd Jais ketika bekerja di hotel.

Terdapat juga pilihan nasi goreng dan mi goreng dan pelanggan boleh meminta dikurangkan pedas atau tidak mahu cili jika mahu. Antara mi pilihan pelanggan ialah mi kantonis, mi kung fu dan mi sizling.

Mohd Jais berkata, pihaknya turut mengambil tempahan untuk acara diadakan di situ termasuk majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, perjumpaan keluarga atau rakan lama serta katering.

"Kawasan ini berpagar, jadi keselamatan terjamin terutama bagi pelanggan yang membawa anak kecil," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: GoodFoodMalaysia

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::