Pereka Permainan Video
(Post: Bahasa Melayu)
" Dulu beliau hanya bergelar pengguna atau pemain permainan video yang ada di pasaran. Namun, berbekalkan minat terhadap permainan video digabungkan pula dengan kemahiran dalam seni digital, Mohd Munadzam Samsudin atau Peenutt, kini bergelar pereka permainan video di syarikat pengeluar permainan video bertaraf antarabangsa. "
Selain meminati lukisan, Peenutt juga seperti rakan sebayanya di zaman remaja dulu, gemar bermain permainan video dan sering kagum dengan seni rekaan dalam permainan video yang dimainkannya.
"Ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dulu juga, saya selalu bereksperimen dengan mengubah karakter dalam permainan video dan menukarnya kepada karakter lain seperti watak kartun dari majalah humor tempatan."
"Saya pernah menukar karakter dalam permainan Counter Strike dengan beberapa watak kartun popular dari majalah seperti Ujang dan sebagainya," kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik ini.
Didorong minat dan cita-cita untuk bekerja sebagai pereka konsep untuk permainan video, beliau sering membaca artikel berkaitan permainan di majalah dan juga internet.
Oleh itu, beliau menyifatkan peluang bekerja dalam bidang yang diceburinya sekarang ini sebagai impian menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi syarikat tempatnya bekerja kini, Codemasters, adalah pengeluar permainan video yang diminatinya sejak dulu.
Kini Peenutt bertugas sebagai pereka permainan video (game artist/designer) yang mana beliau perlu reka dan melukis latar belakang objek selain karakter di dalam sesebuah permainan video.
Sebelum ini, beliau pernah berkerja dengan syarikat pengeluar animasi, Flare Studio sebagai pereka sebaik tamat pengajian. Bukan itu saja, beliau turut berkarya dalam penerbitan buku, karikatur, poster, permainan untuk iPhone serta mengarah animasi bagi acara Robocon.
Kata Peenutt, walaupun berkeinginan untuk menceburi industri komik, beliau merasakan lebih baik jika hasrat itu dipendamkan saja memandangkan ketika itu ramai artis komik dan kartunis yang lebih hebat sudah mendapat tempat dalam industri. Sebab itu jugalah beliau memilih untuk bergiat dalam rekaan permainan video.
Sejak menyertai Codemasters, Peenutt sudah terbabit dalam penghasilan lima permainan video iaitu Race Driver : Grid, Operation Flashpoint, Dirt 2, F1 2010 dan Bodycount.
Malah, katanya, semakin ramai bakat tempatan dalam bidang rekaan permainan video yang mendapat peluang bekerja dengan syarikat antarabangsa.
"Ini suatu perkembangan yang baik untuk industri tempatan. Cuma, pada pendapat saya, bidang ini perlu menerima lebih banyak sokongan dan bakat tempatan pula harus dipersiapkan dengan kemahiran yang setanding dengan apa yang diperlukan di peringkat global," katanya yang bercita-cita untuk menghasilkan permainan video berdasarkan konsep dan ideanya sendiri suatu hari nanti.
Sejak bila anda mula bermain permainan video?
Saya mula bermain permainan video sejak memiliki komputer pertama iaitu pada 1996. Antara permainan video pilihan saya ketika itu adalah Doom dan Quake.
Dalam banyak-banyak permainan video, saya sukakan genre first person shooter (FPS) yang mana pergerakan pemainnya berlangsung menerusi perspektif pemainnya. Selain permainan video genre FPS, saya juga minat bermain permainan video genre perlumbaan.
Selain kerja anda dalam penghasilan permainan video, apakah jenis karya lain yang masih anda hasilkan?
Ilustrasi digital pula adalah satu lagi cabang seni yang sering saya tumpukan sejak menjadi penuntut di UiTM dulu. Kalau ada kelapangan, saya akan mengambil tawaran menghasilkan ilustrasi atau karya dua dimensi (2D).
Ini juga antara cara untuk saya memastikan kemahiran berkenaan tidak hilang serta cara untuk 'berehat' seketika daripada karya tiga dimensi (3D) yang menjadi kerja utama saya di pejabat.
Bagaimanakah pengalaman awal yang anda hadapi ketika mula-mula menceburi bidang ini?
Pada peringkat awal kerjaya ini, kebanyakan perkara boleh dikatakan agak baru bagi saya. Namun sedikit sebanyak, maklumat serta penyelidikan sendiri yang saya lakukan sebelum bekerja dapat membantu memahami teknik kerja dengan lebih pantas.
Jadual kerja bidang ini agak ketat. Sebarang kelewatan pereka itu boleh memberi kesan kepada proses kerja di bahagian lain.
Ada beberapa perbezaan dalam pembikinan permainan video dan filem. Untuk filem, bahagian yang dirakam itu masih boleh diberi sentuhan tambahan tapi bagi permainan video, setiap yang dihasilkan sehingga siap, itulah produk akhirnya. Maka, kerjanya perlu lebih teliti dan membabitkan banyak proses.
Berapa lamakah tempoh masa yang diambil untuk menghasilkan permainan video?
Biasanya, sesebuah permainan video mengambil masa kira-kira setahun ataupun dua tahun untuk disiapkan. Selalunya pereka akan dibahagikan kepada dua pasukan, pereka karakter dan pereka suasana sekeliling untuk permainan video itu.
Bagi pereka suasana sekeliling permainan video seperti saya, sebelum sesuatu objek itu direka atau dilukis secara digital, foto objek atau lokasi sebenar perlu didapatkan terlebih dulu bagi memastikan lukisan dan rekaan objek itu nanti tampak hidup.
Kadangkala, kami melihat sendiri dan merakamkan foto objek atau latar lokasi yang hendak dilukis itu jika ia boleh diperoleh di sini. Jika tidak dapat diperoleh di sini, ada kakitangan yang akan merakamkan foto berkenaan di lokasi sebenar yang ingin dipersembahkan dalam permainan video.
Ceritakan serba sedikit mengenai perbezaan kerja anda bagi setiap permainan video yang pernah dihasilkan.
Bermula dengan pembikinan permainan Race Driver : Grid, saya mempelajari teknik asas dalam penghasilan permainan video dan selepas itu, dalam Operation Flashpoint, saya ditugaskan untuk melukis objek bukan pemain seperti pokok, bangunan dan bermacam lagi. Lukisan begini memerlukan ketelitian bagi menampakkan objek itu nampak hidup.
Bagi permainan video berbentuk perlumbaan seperti F1 2010 pula, tugas saya banyak tertumpu kepada lukisan trek perlumbaan serta suasana sekeliling laluan trek berkenaan.
Setakat ini, proses penghasilan Body Count boleh dikatakan agak mencabar kerana saya perlu melukis banyak objek, daripada versi yang elok hinggalah versi ia kotor dan rosak.
Peringkat manakah yang paling penting dalam penghasilan sesebuah permainan video?
Seperti yang dilalui sendiri dengan syarikat tempat saya bekerja ini, sebelum menghasilkan sesebuah permainan video, kami memberi tumpuan yang banyak terhadap idea serta kerja di peringkat praproduksi.
Kerja di peringkat ini perlu dilaksanakan sebaiknya kerana ia menentukan kelancaran dan kualiti sesebuah permainan video yang dihasilkan. Sebab itulah proses kerjanya saja memakan masa lima hingga enam bulan.
Bagi anda, apakah kriteria yang menentukan sesuatu permainan video itu bagus ataupun tidak?
Kalau mengambil perspektifnya sebagai pemain, bagi saya ringkas saja. Permainan video mestilah menimbulkan keseronokan kepada pemainnya. Saya lebih melihat aspek teknologi yang ada dalam permainan video yang saya mainkan.
Dulu, sebelum bekerja dalam bidang ini, saya memang 'enjoy' bermain permainan video. Tetapi apabila bekerja dalam bidang ini, baru saya tahu tekanan yang dilalui pereka permainan video untuk mereka permainan video yang mampu menghiburkan pemainnya.
Maka, pengguna disarankan untuk membeli permainan video yang asli kerana proses untuk menghasilkannya bukanlah mudah.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment