ATTENTION !!!

Showing posts with label nasi lemak. Show all posts
Showing posts with label nasi lemak. Show all posts

Tuesday, January 11, 2011

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang

(Post: Bahasa Melayu)
" "Jiwangnya nama restoran ni," usik penulis sambil disambut tawa pengurusnya, Azhar Mohamad Zain. Masakan tidak, tempat menjamu selera itu memilih perkataan cinta dan sayang sebagai nama restoran. "

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang (NLCS) mendapat namanya disebabkan gerai pertama diusahakan ibu saudara Azhar, Zaiton Said, berdepan Cinta Sayang Golf & Resort, Sungai Petani.

Dibuka 24 jam, NLCS yang beroperasi hampir dua tahun di Seksyen 7, Shah Alam, berkonsep layan diri dengan nasi lemak sebagai sajian utama.

"Restoran ini beroperasi 24 jam untuk memenuhi keperluan pelanggan yang ingin menjamu selera tidak kira masa. Saya pernah menjadi pelajar dan tidak kira masa terasa mahu makan nasi lemak."

"Nasi lemak juga menu yang ringkas dan mudah disediakan, jadi pelanggan tidak perlu tunggu lama untuk mendapatkan pesanan. Di sini, jam 3 hingga 6 pagi pun orang masih cari nasi lemak," katanya.

Nasi lemak di NLCS sememangnya enak kerana cukup lemak selain sambal tumis yang istimewa begitu membuka selera.


Selain nasi lemak dan roti canai tersedia 24 jam, ia menawarkan menu nasi campur bermula jam 11 pagi hingga 3 petang manakala ala carte dari jam 3 petang hingga 3 pagi.

Pilihan lain sarapan pagi ialah kuetiau, mihun, mi goreng dan nasi goreng.

Berkonsep layan diri, pelanggan boleh memilih sendiri lauk untuk dimakan dengan nasi lemak seperti ayam masak merah, paru-paru, daging masak kicap, sambal ikan bilis, sambal tumis udang, ayam goreng, rendang daging, telur dadar, telur masin atau sambal sotong.

Menu sarapan pagi ditukar kepada lauk nasi campur bermula jam 11 pagi.

Lebih banyak pilihan lauk ditawarkan, terutama masakan kampung seperti masak lemak cili api, asam pedas, kari, sup, ikan keli bakar selain kembung dan pari, ayam bakar, pelbagai sayuran dan ulaman seperti timun, ulam raja, kacang panjang selain terung dan bendi celur.

Pilihan cicah ialah sambal belacan, sambal tempoyak, sambal kicap dan air asam.

"Ada 40 hingga 50 lauk yang sentiasa ditukar menu untuk memenuhi cita rasa pelanggan. Menu sampingan ialah bihun sup dan laksa Pulau Pinang, manakala char kuetiau boleh dipesan bermula jam 3 petang."

"Kami mensasarkan pelanggan di kalangan penuntut dan keluarga. Restoran ini sesuai sebagai tempat bersantai, mengadakan perbincangan atau perjumpaan keluarga," katanya.

Mampu menampung 200 orang pada satu masa, ia cuma ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. NLCS yang menerima tempahan katering turut mempunyai dua cawangan di Sungai Petani.

"Berdasarkan komen pelanggan, minuman di sini menarik kerana walaupun jenis yang biasa ditawarkan kebanyakan restoran lain, rasanya lebih pekat dan enak."

"Minuman menarik dicuba ialah teh tiga lapis menggunakan gula nipah sebagai bahan pemanis dan sirap bandung cincau," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: eats.my

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, August 24, 2009

Cafe Al-Ghufran

(Post: Bahasa Melayu)
"Mahukah anda pergi ke sebuah masjid semata-mata untuk menikmati sajian istimewa yang ditawarkan?"

Mungkin ia kedengaran agak pelik, tetapi itulah yang boleh didapati di Cafe Al-Ghufran.

Beroperasi di Masjid Al-Ghufran yang terletak di pinggir Taman Tun Dr. Ismail, orang ramai berpeluang merasai keenakan sajian dari dapur kafe itu.

Sebut sahaja apa yang diinginkan, kuisin barat mahupun hidangan tempatan, semuanya ada di sana.

Antara menu yang mungkin boleh dicuba termasuklah nasi lemak ayam kampung, set ikan bakar serta hidangan ala carte seperti mi goreng, nasi goreng dan sebagainya.

Tidak ketinggalan, Al-Ghufran turut menyediakan menu ringkas seperti roti dan sup untuk mereka yang mungkin berdiet.

Lebih menarik, jika berkunjung pada waktu malam, anda juga boleh menyaksikan pemandangan yang mengagumkan dengan kerlipan lampu berwarna-warni dari puncak bukit.

Berkonsepkan tradisional Melayu, kafe ini turut menerima tempahan untuk sebarang majlis seperti sambutan hari lahir, perkahwinan dan lain-lain lagi.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, August 17, 2009

Rezeki Malam di Kampung Baru

(Post: Bahasa Melayu)
"Rata-rata pengunjung berkeluarga akan datang di antara pukul 8 hingga 10 malam. Selepas waktu itu dan sehingga pukul 3 pagi, pelanggan golongan muda pula tidak akan putus-putus singgah makan di sini."

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Ini bermakna sudah hampir empat jam kami berada di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Namun, kemeriahan lautan manusia mengharung pekat malam menyebabkan atmosfera malam minggu di Kampung Baru tidak pernah membosankan.

Semakin malam menjemput dinihari, semakin ramai orang yang datang melepak di lebih 100 buah warung dan gerai yang terletak di sepanjang Jalan Raja Muda Musa, Jalan Daud, Jalan Raja Uda dan Jalan Raja Alang.

Walaupun tidak banyak bezanya wajah dan landskap Kampung Baru sejak lebih sedekad lalu, namun masih ramai warga ibu kota setia menjadikan Kampung Baru sebagai destinasi larut malam untuk menjamu selera dan bersantai.

Keunikan Kampung Baru adalah kedudukannya yang terletak di tengah-tengah pusat ibu kota yang menjadi lokasi strategik pertemuan di antara rakan-rakan, selain variasi makanan yang ditawarkan di situ.

Seorang pengunjung yang ditemui berkata, Kampung Baru menjadi pilihan remaja kerana ia terletak di tengah ibu kota dan menawarkan pelbagai jenis makanan pada harga yang sangat berpatutan.

Paling penting walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3 atau 4 pagi, Kampung Baru masih hidup dengan aneka gerai yang tetap menanti para pelanggan termasuk pelancong asing.

"Saya lepak dengan kawan-kawan pada setiap hujung minggu. Inilah masa yang ada untuk keluar bersama mereka. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerja di pejabat pada hari biasa.

"Biasanya, pada malam minggu, saya akan lepak atau tengok wayang di KLCC dahulu. Selepas itu, barulah saya bawa rakan-rakan singgah makan di Kampung Baru sehingga awal pagi," kata Iskandar Yamman Sulaiman, 33, ketika ditemui Urban di Kampung Baru.

Mohd Syharrin, 25, dari Kampung Cheras Baru pula berkata, dia datang ke Kampung Baru pada waktu dinihari sekadar untuk berjalan-jalan.

"Saya tidak makan atau beli apa-apa, tapi saja jalan-jalan tengok orang ramai sekali gus menikmati pemandangan waktu malam di KLCC dengan lebih dekat," katanya yang merupakan seorang pekerja swasta di Kuala Lumpur.

Apa yang pasti, kehadiran lautan manusia untuk mengisi perut serta menghirup atmosfera dinihari di Kampung Baru, secara tidak langsung menjadikan lokasi itu sebagai lubuk rezeki yang menguntungkan para peniaga.

"Membuka gerai lebih lama pada malam minggu membantu menambah rezeki kami."

"Bukan sahaja muda-mudi, malah pengunjung yang berkeluarga juga tidak melepaskan peluang untuk jalan-jalan cari makan di sini," kata pemilik gerai LA Medan Selera yang hanya mahu dikenali dengan nama Zulkarnain.

"Pengunjung yang datang bukan sahaja rakyat tempatan, malah pelancong dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea dan China juga singgah di sini," ujarnya bangga walaupun hanya menetap di Kampung Baru kurang daripada 10 tahun.

Dalam banyak-banyak warung makan di situ, sebuah gerai yang menjual selipar turut menarik perhatian Urban.

"Apakah relevan anda menjual selipar di pusat tumpuan makanan sehingga lewat malam?" soal penulis.

"Nampak macam pelik, tetapi saya memilih untuk menjual selipar kerana ramai pengunjung memerlukan selipar bagi keselesaan sewaktu menjamu selera di Kampung Baru."

"Kalau yang perempuan, ada yang beli selipar untuk dipakai kerana dah tak tahan pakai kasut tumit tinggi selepas balik dari kelab atau pusat beli-belah."

"Yang lelaki pula, ada yang datang untuk ganti kasut atau selipar yang putus ketika berjalan-jalan," kata Eka Suriani Erwan, 32, yang menjual pelbagai selipar getah pelbagai corak.

Selain menjual selipar, Eka juga membuka sebuah kios menjual pelbagai barang untuk peminat sukan bola sepak antarabangsa. Bukan barangan tulen, namun ia sekadar untuk golongan peminat sukan yang mungkin kurang berkemampuan.

Bagi Urban sendiri, keunikan tempat makan di Kampung Baru ini bukan sahaja pada namanya, malah bangunan sekitarnya turut memikat hati. Begitu juga gaya 'persembahan' warung itu sendiri atau lebih tepatnya dekorasi di bahagian luar dan dalamnya.

Selain itu, setiap warung di situ menyediakan pelbagai hidangan asli pelbagai negeri dari seluruh negara. Antaranya laksa Pulau Pinang, laksa Johor, tom yam, nasi kerabu, nasi dagang dan nasi Padang.

Pernah mendengar kata-kata 'makanan di gerai lebih enak daripada di hotel'? Beberapa sajian lazat di Kampung Baru antara yang membenarkan kata-kata itu.

Inilah yang menyebabkan warga kota memilih Kampung Baru sebagai pusat makanan. Walaupun berkonsepkan gerai, tetapi ia tetap mendapat pengiktirafan peribadi bagi sesiapa sahaja yang pernah singgah di Kampung Baru.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::