ATTENTION !!!

Sunday, October 17, 2010

Restoran Sup Kaww

(Post: Bahasa Melayu)
" Tidak seperti nasi ayam dan sate, jarang ada destinasi menjamu selera di negara ini yang khusus menjual sup sebagai menu utama. Kurangnya restoran menawarkan menu sebegitu memberi idea Mohd Jais Othman, 32, dan abangnya, Jaafar, 38, membuka restoran menyajikan sup sebagai hidangan utama."

Yakin sup ramai penggemar kerana ia antara makanan kesukaan rakyat Malaysia terutama orang Melayu, dua beradik itu membuka Restoran Sup Kaww.

Nama itu dipilih kerana ia menggambarkan keenakan sup yang dipertaruhkan. Ia menghimpunkan aneka sup selain masakan Melayu, Thai, Cina dan barat.

Menariknya, sup berkenaan resipi asli Mohd Jais yang berpengalaman hampir 15 tahun sebagai chef hotel.

"Kelainan sup di sini ialah ia daripada rencah buatan sendiri, penggunaan herba dan kuahnya pekat. Kami tidak menggunakan daging beku, sebaliknya daging segar untuk menjamin rasanya enak dan manis," katanya.

Restoran di SS7/8, Kelana Jaya itu terletak di lokasi strategik berhampiran pasar raya hiper dan stesen minyak. Ia mampu memuatkan 500 pelanggan dalam satu masa.

Pelanggan boleh memilih menjamu selera secara santai di ruang terbuka atau di sudut makan berbumbung berkonsep gabungan Bali, kontemporari dan ala kampung.

"Sup Kaww dalam bahasa Thailand mempunyai makna 'makan nasi' tetapi dalam Bahasa Melayu bermaksud sup istimewa," katanya.

Terdapat 74 menu masakan Thai, Melayu, Cina dan Barat. Masakan Melayu seperti mi Bandung Muar, mi rebus, sate, tauhu bakar dijual berkonsep gerai.

Antara jenis sup ialah sup Kaww mengandungi pelbagai bahagian dan potongan lembu, sup Kaww Tongkat Ali, sup daging, sup tulang, sup ekor, paru, sup campur dan sup sayur yang menggunakan kuah rebusan daging untuk menambah keenakannya.

Mi Bandung Muar dimasak secara tradisional menggunakan udang kering sebagai bahan utama manakala laksa Pulau Pinang dengan kuah ikan kembung dan sardin, rasanya sedikit masam.

"Ikan mengikut harga pasaran dan berpatutan. Misalnya, siakap tiga rasa dijual anggaran RM30. Siakap stim serai, iaitu resipi sendiri dengan penggunaan lebih serai untuk menghilangkan hanyir ikan atau lebih dikenali sebagai rasa 'tanah.'"

"Ayam masak pedas ialah masakan Melayu hasil resipi sendiri. Ia tidak sama seperti menu yang dihidangkan restoran lain," katanya.

Untuk yang gemarkan tom yam boleh mencuba tom ngan ngai iaitu tom yam santan yang popular di Bangkok dan Pattaya. Tom yam Nyonya dengan pilihan ayam atau campur pula kuahnya sedikit cair dan sedikit manis. Menu itu diperoleh Mohd Jais ketika bekerja di hotel.

Terdapat juga pilihan nasi goreng dan mi goreng dan pelanggan boleh meminta dikurangkan pedas atau tidak mahu cili jika mahu. Antara mi pilihan pelanggan ialah mi kantonis, mi kung fu dan mi sizling.

Mohd Jais berkata, pihaknya turut mengambil tempahan untuk acara diadakan di situ termasuk majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, perjumpaan keluarga atau rakan lama serta katering.

"Kawasan ini berpagar, jadi keselamatan terjamin terutama bagi pelanggan yang membawa anak kecil," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: GoodFoodMalaysia

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::