ATTENTION !!!

Showing posts with label sate. Show all posts
Showing posts with label sate. Show all posts

Sunday, October 17, 2010

Restoran Sup Kaww

(Post: Bahasa Melayu)
" Tidak seperti nasi ayam dan sate, jarang ada destinasi menjamu selera di negara ini yang khusus menjual sup sebagai menu utama. Kurangnya restoran menawarkan menu sebegitu memberi idea Mohd Jais Othman, 32, dan abangnya, Jaafar, 38, membuka restoran menyajikan sup sebagai hidangan utama."

Yakin sup ramai penggemar kerana ia antara makanan kesukaan rakyat Malaysia terutama orang Melayu, dua beradik itu membuka Restoran Sup Kaww.

Nama itu dipilih kerana ia menggambarkan keenakan sup yang dipertaruhkan. Ia menghimpunkan aneka sup selain masakan Melayu, Thai, Cina dan barat.

Menariknya, sup berkenaan resipi asli Mohd Jais yang berpengalaman hampir 15 tahun sebagai chef hotel.

"Kelainan sup di sini ialah ia daripada rencah buatan sendiri, penggunaan herba dan kuahnya pekat. Kami tidak menggunakan daging beku, sebaliknya daging segar untuk menjamin rasanya enak dan manis," katanya.

Restoran di SS7/8, Kelana Jaya itu terletak di lokasi strategik berhampiran pasar raya hiper dan stesen minyak. Ia mampu memuatkan 500 pelanggan dalam satu masa.

Pelanggan boleh memilih menjamu selera secara santai di ruang terbuka atau di sudut makan berbumbung berkonsep gabungan Bali, kontemporari dan ala kampung.

"Sup Kaww dalam bahasa Thailand mempunyai makna 'makan nasi' tetapi dalam Bahasa Melayu bermaksud sup istimewa," katanya.

Terdapat 74 menu masakan Thai, Melayu, Cina dan Barat. Masakan Melayu seperti mi Bandung Muar, mi rebus, sate, tauhu bakar dijual berkonsep gerai.

Antara jenis sup ialah sup Kaww mengandungi pelbagai bahagian dan potongan lembu, sup Kaww Tongkat Ali, sup daging, sup tulang, sup ekor, paru, sup campur dan sup sayur yang menggunakan kuah rebusan daging untuk menambah keenakannya.

Mi Bandung Muar dimasak secara tradisional menggunakan udang kering sebagai bahan utama manakala laksa Pulau Pinang dengan kuah ikan kembung dan sardin, rasanya sedikit masam.

"Ikan mengikut harga pasaran dan berpatutan. Misalnya, siakap tiga rasa dijual anggaran RM30. Siakap stim serai, iaitu resipi sendiri dengan penggunaan lebih serai untuk menghilangkan hanyir ikan atau lebih dikenali sebagai rasa 'tanah.'"

"Ayam masak pedas ialah masakan Melayu hasil resipi sendiri. Ia tidak sama seperti menu yang dihidangkan restoran lain," katanya.

Untuk yang gemarkan tom yam boleh mencuba tom ngan ngai iaitu tom yam santan yang popular di Bangkok dan Pattaya. Tom yam Nyonya dengan pilihan ayam atau campur pula kuahnya sedikit cair dan sedikit manis. Menu itu diperoleh Mohd Jais ketika bekerja di hotel.

Terdapat juga pilihan nasi goreng dan mi goreng dan pelanggan boleh meminta dikurangkan pedas atau tidak mahu cili jika mahu. Antara mi pilihan pelanggan ialah mi kantonis, mi kung fu dan mi sizling.

Mohd Jais berkata, pihaknya turut mengambil tempahan untuk acara diadakan di situ termasuk majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, perjumpaan keluarga atau rakan lama serta katering.

"Kawasan ini berpagar, jadi keselamatan terjamin terutama bagi pelanggan yang membawa anak kecil," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: GoodFoodMalaysia

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, September 28, 2009

Serai Satay Bar

(Post: Bahasa Melayu)
"Bisnes yang diusahakannya bukan berkaitan dengan kecantikan yang secara tipikalnya diusahakan oleh golongan wanita seperti membuka butik atau salon sebaliknya bisnes makanan."

Di sebalik kemewahan Pavilion di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang diperakui setaraf gedung beli-belah tujuh bintang, Fifth Avenue di New York, ada cerita yang menarik untuk dikongsi bersama.

Ia bukan mengenai keseronokan membeli-belah barangan berjenama elit seperti Bvlgari, Versace, Gucci, Chopard, Burberry Prosum, Hermès atau Prada tetapi tentang kejayaan anak Malaysia atau lebih khusus, anak Melayu bertapak di situ sebagai penggiat bisnes.

Memperkenalkan diri sebagai Qistina Taff, 28, sosok dirinya lebih memperlihatkan visual tipikal seorang gadis remaja urban yang datang ke Pavilion dengan satu matlamat - membeli-belah!

Namun, tersirat di sebalik pandangan skeptikal terhadap Qistina, gadis cantik ini sebenarnya ialah pemilik Serai Satay Bar.

Penglibatan Qistina dalam dunia bisnes merupakan suatu perkara yang serius pernah berlaku dalam hidupnya.

Apatah lagi bisnes yang dijalankannya itu ialah di Pavilion. Bukan calang-calang orang yang berani membuka perniagaan di situ.

Di Serai Satay Bar, menu utama yang ditampilkan ialah sate yang dihidangkan mengikut konsep baru iaitu di dalam cawan kertas yang mudah dibawa ke mana sahaja.

Ia turut menyediakan pelbagai makanan tradisional Melayu seperti keropok lekor, keropok ikan, cucur udang, roti bom, roti jala, di samping menu istimewanya, pisang panggang berkeju atau coklat cip dan pisang goreng yang dicelup vanila atau sambal.

"Ketika sedang tercari-cari lokasi bagi merealisasikan idea untuk menjelmakan Serai Satay Bar, Pavilion menawarkan ruang niaganya," tutur Qistina.

"Saya sangat gembira kerana Pavilion menyediakan platform yang sangat baik bagi sasaran bisnes iaitu pendedahan yang meluas kepada pelancong asing dan tempatan, golongan profesional muda, golongan berkeluarga yang muda dan trendy - secara keseluruhannya golongan yang mahukan konsep baru dalam menikmati makanan tradisional Melayu yang selama ini lebih banyak dijual di tepi-tepi jalan," tambahnya ketika ditemui di ruang bisnesnya yang terletak di tingkat 1, Pavilion yang dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam.

Namun, tidak semudah yang dijangka, cabaran sengit kemudian mendatangi Qistina.

"Timbul masalah dari segi teknikal atau operasi. Saya sangat kecewa apabila pihak pengurusan Pavilion tiba-tiba memberitahu ruang yang ditawarkan sebelum ini tidak bersesuaian dengan konsep operasi Serai Satay Bar."

"Alhamdulillah, selepas beberapa sesi perbincangan, saya diberikan ruang niaga yang lebih baik kedudukannya cuma sewanya lebih mahal."

"Bagaimanapun, selepas mengkaji semula pelan bisnes dan dengan sokongan ibu dan bapa, saya bercadang meneruskan projek bisnes sulung saya ini."

Satu cabaran telah diatasi, namun cabaran lain dan yang paling besar pula menjelma.

"Saya hanya ada di antara tiga hingga empat bulan untuk menghasilkan reka bentuk bagi hidangan menu di Serai Satay Bar."

"Prosesnya sangat memeritkan kerana ia pertama kali diperkenalkan di dunia - bagi memastikan keselesaan bakal pelanggan kami beradaptasi dengan konsep baru yang menyenangkan mereka untuk menikmati produk Serai Satay Bar di mana-mana sahaja."

"Pada peringkat ini, timbul tekanan antara saya, pereka bentuk dan pengilang kerana semua reka bentuk yang dihasilkan itu adalah eksklusif untuk Serai Satay Bar dan telah dipatenkan," jelas graduan jurusan Rekaan Hiasan Dalaman Universiti RMIT, Melbourne, Australia.

Menurut Qistina lagi, yang paling mencabar adalah untuk menyiapkan segala kelengkapan sebelum diwajibkan oleh pengurusan Pavilion memulakan bisnes bermula pada 30 April 2009.

"Percaya atau tidak, semua kelengkapan Serai Satay Bar dihantar oleh pengilang tiga hari sebelum hari pelancaran!"

"Ia agak mengujakan. Malah ada pelanggan dari negara asing memberitahu saya kenapa tidak buka francais Serai Satay Bar di negara mereka."

"Namun bagi saya, biarlah saya memantapkan operasi Serai Satay Bar di Malaysia terlebih dahulu."

"Cabaran saya sekarang ini ialah bagaimana mahu mengikut jejak langkah ibu yang berjaya dengan bisnes restorannya," ujar Qistina.

Sebagai anak sulung pasangan Rina Abdullah dan Shahryir Taff, Qistina mengakui dia berasa perlu memikul tanggungjawab untuk menyambung bisnes keluarga.

Keluarga Qistina sebenarnya telah membuka sebuah restoran makanan Thailand di Seksyen 3, Shah Alam yang dikenali sebagai Restoran Serai Thai sejak tahun 1989.

"Ibu dan bapa saya sudah lama bercadang untuk mengangkat produk makanan tradisional Melayu yang dijual di jalanan ke tahap antarabangsa, tetapi mereka belum mendapat peluang."

"Sekembalinya saya daripada belajar di Australia pada 2006, saya mahu melakukan sesuatu bagi mengembangkan lagi bisnes di bawah jenama Serai."

"Selepas siri perbincangan dan penyelidikan, akhirnya muncul idea untuk membuka Serai Satay Bar," beritahu Qistina.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, May 6, 2009

Restoran Sup Ketin UK

(Post: Bahasa Melayu)
"Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu."

Sabul Ismail, 38, merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya. Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.

Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari.

Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul.

Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak. Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.

Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng.

"Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar," katanya.

"Ramuan untuk membuat sup keting sama seperti membuat sup tulang, sup ekor dan sup gearbox. Rempah ratusnya termasuk jintan, kayu manis, bunga lawang, bawang putih, bawang besar, halia dan kayu manis. Semuanya perlu diadun dan direbus bersama selama empat jam."

"Jangan pelik kerana untuk membuatnya perlu ada dua rebusan berbeza, satu rebusan tulang lembu dan satu lagi urat keting bagi membuang lemaknya."

"Apabila telah cukup tempoh rebusan, kedua-dua air rebusan tadi digabungkan sebelum ditambah gula dan garam. Sup ini juga digemari ramai orang Cina," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::