ATTENTION !!!

Showing posts with label fidlot. Show all posts
Showing posts with label fidlot. Show all posts

Thursday, May 21, 2009

Ladang Agro-Tourism SYAMILLE AGRO FARM

(Post: Bahasa Melayu)
"Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan."

"Mulanya di kawasan ini saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok," kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus.

Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.

Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.

Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.

Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.

Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.

Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.

Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.

Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.

Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.

Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.

Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.

"Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik."

"Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus," katanya.

Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.

Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.

Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.

Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.

Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.

Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 8, 2009

Ladang Fidlot Lembu Dan Kambing

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun baru setahun jagung beroperasi, Abd. Ghafar telah mula menerima pulangan balik modal yang dikeluarkan hasil daripada jualan lembu, kambing, baja tahi kambing serta edaran makanan ternakan."

Siapa kata, warga emas tidak boleh menjana pendapatan sendiri menerusi industri pertanian yang sememangnya menjanjikan pulangan yang lumayan.

Bagi Abd. Ghafar Endol, 70, dan isterinya Khairiah Abd. Majid, 60, masih belum terlambat bagi mereka melibatkan diri dalam ternakan kambing Boer dan Jamnapari, biri-biri serta lembu di ladang ternakannya di Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang.

Walaupun dulunya Abd. Ghafar bertugas dengan Felda dan kemudian menjalankan perniagaan sajian makanan hampir 10 tahun, tetapi ia tidak mematahkan semangatnya memulakan sesuatu yang baru.

Berjinak-jinak dengan industri ternakan sejak setahun lalu, semuanya bermula apabila seorang sahabat mengajaknya melawat ladang ternakan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Ketika itu timbul minat untuk memelihara kambing dan saya mula membeli kambing Boer terus dari Australia bersama-sama dengan dua rakan lagi dari Melaka dan Perak," katanya semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Kebiasaannya, dia mengimport sehingga 30 hingga 40 ekor kambing Boer dengan kekerapan dua kali setahun terus dari Australia dan ini dilakukan secara berkelompok bersama-sama rakan lain.

Abd. Ghafar menerusi syarikatnya D NA Maju Ternak Sdn. Bhd. kemudian membeli kambing Jamnapari dan Ferrell bagi mempelbagaikan serta memelihara biri-biri yang dibeli terus dari Australia.

Selain menternak bagi tujuan akikah, korban, kenduri dan pemborong, Abd. Ghafar juga memelihara untuk tujuan pembiakbakaan.

Buat masa ini, dia memiliki 68 ekor kambing Boer dewasa dengan 28 ekor anak, 22 ekor Jamnapari dan enam ekor Ferrell.

Menyifatkan industri ternakan lebih mudah berbanding sajian makanan, bapa kepada tujuh orang anak ini banyak dibantu oleh anak-anak, menantu serta cucu.

"Perniagaan sajian makanan memerlukan saya berada sepenuh masa di sana tetapi dalam ternakan saya hanya memantau segala yang dilakukan oleh anak, menantu dan cucu," katanya.

Ladang ternakan yang mempunyai dua buah kandang kambing bersaiz 60x40 kaki yang dibina di atas tanah seluas dua ekar menerima suntikan modal daripada anak-anak dan simpanan Abd. Ghafar sendiri tanpa bantuan atau pinjaman mana-mana pihak.

"Bagaimanapun industri ternakan terutama kambing amat terdedah dengan risiko penyakit seperti kurap, kembung, selesema, bisul, batu karang serta sakit mata."

"Bagi mengawal penyakit, kami mengeluarkan kos sehingga RM1,000 sebulan bagi dua buah kandang untuk memastikan ternakan kami sentiasa sihat," katanya.

Dibantu menantunya Aslaishaharudin Mohd Daud, 30, yang banyak menjalankan kerja di dalam kandang.

Lebih kurang 500 meter dari ladang ternakan kambing, Abdul Ghafar mempunyai ladang ternakan lembu fidlot di atas tanah seluas dua ekar.

Memulakan ladang ternakan fidlot, Abd. Ghafar mula membeli 215 ekor lembu pada tahun lalu untuk tujuan digemukkan dan pasaran untuk daging.

"Pasaran daging lembu amat besar semasa musim perayaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu," katanya yang memelihara lembu jenis Brahman, Charolais dan LID yang dibeli dari Australia.

Beliau membeli lembu pada usia dua tahun untuk digemukkan di dalam kandang fidlot selama lapan bulan sebelum dijual kepada pembekal.

Lembu yang dipelihara dalam ladang fidlot diberi makan palet, daun sawit, rumput napier, batang pisang dan kacang soya bagi membekalkan protein.

Menyentuh mengenai kos pemakanan, Aslaishaharudin berkata, seekor lembu memerlukan kos purata antara RM2 hingga RM3 sehari.

Biasanya dalam masa dua bulan, berat badan seekor lembu akan meningkat antara 20 hingga 30 kilogram (kg) berbanding semasa mula sampai.

"Bagaimanapun masalah paling utama dalam industri ternakan adalah harga makanan yang semakin meningkat," katanya yang menjual seekor lembu pada harga RM2,000 hingga RM3,000 seekor mengikut berat.

Selain menjual daging dan haiwan hidup, beliau juga menjual kulit lembu kepada peraih dari Thailand yang mengambilnya mengikut timbangan berat.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::