Usahawan Komputer I-Tech Technology
(Post: Bahasa Melayu)
"Beliau pernah dicerca dan diketepikan dalam 11 temu duga kerja hanya kerana kekurangan dirinya yang dilahirkan sebagai insan kerdil."
Namun, ia terbukti tidak pernah mematahkan semangat Firdaus Mohamad @ Kamal yang biarpun baru berusia 20 tahun tetapi sudah mampu meraih pendapatan empat angka iaitu sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.
Ini hasil usahanya sebagai usahawan syarikat I Tech Technology yang menyediakan perkhidmatan baik pulih dan aksesori komputer miliknya di Segambut.
Biarpun ketinggiannya cuma 115 sentimeter, namun jiwa, hati, tekad dan semangatnya jauh lebih besar daripada insan normal lain dan sanggup menempuh dugaan yang melanda hasil persepsi negatif segelintir masyarakat yang meragui kemampuannya.
"Biarlah apa orang nak kata. Apa lebih penting adalah impian dan semangat untuk menjadikan apa yang kita inginkan itu satu kenyataan. Memang orang boleh kata apa pun, tetapi pokok pangkalnya, terletak pada diri sendiri. Alhamdulillah, setakat ini, Allah permudahkan usaha saya," katanya.
"Tahun lalu, saya menemui Pengurus Pusat Giat Mara Segambut, Nurul Azimah Mohd Ani. Akhirnya pada Julai 2008, saya dapat membuka I-Tech Technology yang buat sementara ini ditempatkan di lot kedai di Pusat Teknopreneurs Giat Mara di Taman Sri Sinar, juga di Segambut."
Hasil bantuan Pusat Giat Mara yang memberinya elaun sara hidup RM200 sebulan, membayarkan sewa tapak kedai, menyediakan peralatan untuk beroperasi serta wang RM1,000 dipinjam daripada abangnya, Firdaus akhirnya membuka I-Tech Technology.
"Biarpun penat kerana waktu kerja yang tidak menentu, apa yang penting, kita harus jujur, ikhlas dan berusaha selagi terdaya," katanya yang turut menjadi mentor kepada sekumpulan bekas pelatih Pusat Giat Mara berkenaan.
INFO:
Perkhidmatan disediakan termasuk membaikpulih komputer, aksesori komputer dan 'networking' komputer.
Lokasi: Pusat Teknopreneurs, No 20, Jalan 6/38D, Taman Sri Sinar, Segambut, 51200, Kuala Lumpur
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment