ATTENTION !!!

Thursday, November 11, 2010

Restoran Tasik Idaman

(Post: Bahasa Melayu)
" Dulu ia kawasan lombong terbiar dengan kedudukan tersorok di pinggir kampung. Selepas dimajukan, kawasan seluas 2.5 hektar di Jalan Jenderam, Dengkil, itu berubah wajah menjadi lokasi menjamu selera mendamaikan serta pusat riadah popular, terutama di kalangan kaki pancing. "

Berlatarbelakangkan kehijauan tropika dan tasik buatan sendiri, Restoran Tasik Idaman yang diusahakan sejak enam tahun lalu menjanjikan kelainan.

Berkonsep terbuka, pengunjung mempunyai pilihan sama ada mahu menjamu selera di ruang berbumbung iaitu Teratak VIP, Teratak Terapung (dibina di atas tasik), Taman Cahaya Idaman yang menyediakan skrin besar untuk menonton televisyen atau dataran.

Menyajikan menu ala Thai dan Barat, Tasik Idaman mampu menampung 1,000 orang dalam satu masa. Lebih menarik, pelbagai kemudahan disediakan seperti tempat meletak kenderaan yang luas dan percuma, ruang solat dan tandas.

Ini menjadi daya tarikan untuk pelbagai acara diadakan di situ seperti hari keluarga, majlis perkahwinan atau sambutan hari jadi.

Pengurusnya, Nur Fateha Osman berkata, kawasan tasik itu dinamakan sempena nama ibu dan bapanya, iaitu gabungan 'Ida' dan 'Man'.

"Pada mulanya ayah ingin membangunkan rumah rehat untuk keluarga di sini, tetapi rakannya mencadangkan supaya membangunkan restoran. Alhamdulillah, kawasan ini dan sekitarnya semakin membangun, sekali gus menarik pengunjung ke sini," katanya.

Restoran Tasik Idaman terletak berdepan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia, lapan kilometer dari Lebuhraya Bangi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lima km dari Lebuhraya Dengkil/Putrajaya.

Ikan antara menu popular dan digemari di Restoran Tasik Idaman. Tilapia merah bakar yang diperap ramuan tersendiri misalnya, antara yang digemari pelanggan kerana isinya yang manis selain pilihan cicah air asam atau sambal.

Siakap stim limau iaitu dikukus dengan perahan limau nipis sesuai untuk mereka yang suka pedas selain tidak berminyak. Untuk yang inginkan hidangan lebih pedas, kerapu cili Idaman menu sesuai kerana rasa yang pedas menyengat.

Kerapu goreng dilumur dengan ramuan cili pasti membangkit selera. Masih dengan menu ikan, pari bakar yang dilumur dengan ramuan cili tidak kurang enaknya.

Inginkan menu berkuah, cuba tom yam Idaman yang berkuah pekat dan berbeza daripada tom yam biasa. Rupanya seakan-akan asam pedas, tetapi ia sebenarnya tom yam makanan laut atau tom yam Pok Tek dengan pes buatan sendiri, mengandungi lala, sotong, udang galah dan isi ikan siakap.

Tidak lengkap tanpa sayuran, anda boleh memesan sayuran lain daripada kebiasaan seperti kangkung atau kailan. Di sini, asparagus udang sos tiram menjanjikan kelainan dengan asparagus dipotong nipis, udang dan sos tiram.

Tasik Idaman turut menyajikan mi, kuetiau, bihun dan mi segera goreng, hailam, ladna, sup, bandung, Hong Kong, kung fu atau tom yam. Telur dan bistik, tom yam udang, sotong, campur, ayam, daging, sayur dan tom yam putih.

"Menu ikan di sini memenuhi cita rasa pelanggan. Ia dijual mengikut harga pasaran dan seekor ikan tidak sampai sekilogram," katanya.

Jenis ikan ditawarkan ialah siakap, talapia, kembung, cencaru selain ketam, udang galah dan sotong. Pelanggan boleh menempah sama ada untuk dimasak tiga rasa, masam manis, kukus halia, kukus limau, masak merah, pedas, kicap, goreng atau sambal cili.

Pengunjung turut dihiburkan persembahan 'live band' daripada artis residen Tasik Idaman secara percuma. Pemancing pula boleh mencuba nasib di kolam pancing 24 jam seluas 1.2 hektar yang menjadi habitat ikan talapia merah atau bunga, sembilang, patin, tongsan dan rohu.

Sumber: myMetro
Foto: Restoran Tasik Idaman

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::