(Post: Bahasa Melayu)
"Nasi ayam boleh didapati di kebanyakan restoran dan kedai makan, tetapi bukan semua yang dijamah mampu menambat selera dan membuatkan kita datang menikmatinya berulang kali."
Bagi peminat nasi ayam, hayati keenakan nasi ayam panggang di Restoran Kak Adik, Bandar Country Homes, Rawang. Jika kebiasaan ayam digoreng, tetapi restoran itu menyajikan ayam panggang atau lebih dikenali sebagai ayam golek.
Ramuan bagi nasi ayam pula daripada bawang putih, halia, serai dan pati ayam manakala sambal daripada cili hidup, halia, bawang putih, gula dan garam.
Untuk sambal kicap pula, ia bukan saja boleh menambah keenakan hidangan tetapi juga boleh diletakkan dalam sup yang dihirup ketika makan.
Sup tulang yang direbus beberapa jam untuk memastikan isinya benar-benar lembut antara menu istimewa di sini, manakala menu sup ekor tidak kurang menariknya.
Nasi ayam ditawarkan dalam tiga set berlainan iaitu sama ada seekor ayam bersama enam pinggan nasi, satu jag air buah, salad dan sambal berharga RM25, set dua iaitu setengah ekor ayam, tiga pinggan nasi, tiga gelas air buah, salad dan sambal berharga RM13 atau satu perempat ayam dan sepinggan nasi.
Penyelia restoran itu, Nur Ariff Mokhtar, 22, berkata restoran dibuka sejak lapan bulan lalu sempena panggilan manja adiknya, Nurul Izzah Syafiqah, 8.
Dia berkata, pihaknya menawarkan set bagi hidangan nasi ayam panggang kerana sesuai untuk mereka yang datang dalam kumpulan besar atau sekeluarga. Ini kerana harga set lebih murah berbanding jika dipesan secara individu.
"Ayam panggang makanan sihat kerana tidak menggunakan minyak masak. Ia dimasak seperti menyediakan ayam golek yang biasa dijual ketika bulan puasa di bazar Ramadan," katanya.
Menurutnya, walaupun ayam dijual dengan nasi ayam, ada pelanggan hanya memesan ayam untuk diratah begitu saja. Apapun, Restoran Kak Adik tetap menerima pesanan berkenaan.
Sup nasi ayam daripada rebusan tulang. Jika ingin rasa lebih mewah, pelanggan boleh memesan sup tulang atau sup ekor untuk dimakan bersama nasi ayam. Sambal kicap yang dibuat ala citarasa Johor boleh dibubuh ketika makan nasi ayam atau menjadi penyedap sup tulang.
Restoran Kak Adik turut menawarkan masakan lain seperti menu negeri di selatan dan utara tanah air. Antara menu dari selatan ialah asam pedas dan masak lemak cili api, manakala masakan utara seperti kari dan gulai kawah.
Ada juga pelbagai ulam dengan cicah sambal tempoyak, mangga, belacan dan kicap. Bagi minuman, air buahan, air batu campur dan lai chi kang antara yang sering dipesan pelanggan selain minuman panas.
Sajian menu dihidang pada waktu petang lebih kepada masakan panas seperti tom yam dan nasi goreng, manakala nasi ayam dan sup ditawarkan sepanjang hari perniagaan beroperasi.
Konsep hiasan dalaman ialah santai seperti menikmati hidangan di rumah. Ruang makan berhawa dingin dengan kelengkapan wi-fi akan dibuka dalam masa terdekat bersebelahan restoran berkenaan. Ia sesuai untuk mereka yang ingin bertemu rakan kongsi atau membincangkan soal perniagaan.
"Mengenai pemilihan sajian dari selatan dan utara, ini kerana kami mempunyai tukang masak yang mahir masakan dari kedua-dua kawasan berkenaan. Ia juga bagi membolehkan pelanggan dari pelbagai negeri menikmati hidangan mereka di sini," katanya.
INFO Restoran Kak Adik:
MINUMAN:
Teh tarik - RM1.20
Jus buah - RM2.50
Air batu campur - RM3
Lai chi kang - RM3
MAKANAN:
Ayam panggang 1 ekor - RM16.50
1/2 ekor - RM8.50
1/4 ekor - RM4.50
Sup tulang - RM5
Sup ekor - RM7
Nasi ayam panggang - RM4.50
Alamat: No 23, Jalan Pusat BCH 1/3, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor
Telefon: 03-67334405/06/02
Sumber: myMetro
Foto: Eats Emedia
Read More ->>>
Read more...