ATTENTION !!!

Friday, December 11, 2009

Pusat Bowling Gold Finger Pro Shop

(Post: Bahasa Melayu)
"Biarpun bergelar suri rumah ketika itu, Fatimah Alias yang sememangnya atlit sejak di bangku sekolah sering memupuk minat yang mendalam dalam apa saja jenis sukan kerana ia memberi kepuasan kepada jiwanya."

Meminati permainan badminton, berkayak serta aktif dalam apa saja jenis larian termasuk maraton, wanita berasal dari Slim River, Perak ini tidak membiarkan minatnya berkubur begitu saja.

Bahkan, dia sering mencuri masa senggangnya untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah untuk menjaga kesihatan diri.

Tidak hairan sejak beberapa bulan lalu, dia mengambil alih pusat bowling di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, sekali gus membeli pusat jualan dan kelengkapan bowling sebagai bukti cintanya terhadap bidang sukan tidak pernah padam.

"Sejak dulu lagi saya sukakan sukan atau aktiviti lasak. Kalau di kampung ketika kecil, permainan saya adalah panjat pokok, mandi sungai atau apa saja aktiviti yang sering dilakukan budak lelaki."

"Membidik burung yang sering dilakukan budak lelaki pun jadi pilihan saya."

"Permainan anak patung atau apa saja yang diminati budak perempuan ketika itu memang tiada dalam kamus hidup saya."

"Jiwa saya seolah-olah tidak feminin seperti kebanyakan wanita lain namun semua itu memberi inspirasi dalam membentuk kekuatan jiwa sebagaimana lelaki," kata ibu kepada tiga anak ini.

Menurutnya, dalam memupuk minat mendalam sebelum mengambil alih pusat bowling itu, dia banyak mempelajari selok-belok pengurusan berkaitan bidang perniagaan berkenaan.

Baginya, ia penting untuk menambahkan pengalaman sedia ada termasuk lawatan ke negara lain bertujuan meninjau bagaimana perniagaan di bidang berkenaan dijalankan.

"Sesuatu yang dipelajari, saya melihat ia menjadi tempat menjalin perhubungan sesama pemain serta mengeratkan hubungan keluarga."

"Ini kerana ada keluarga yang menjadikan bowling sebagai sukan keluarga. Seronok apabila melihat pasangan yang bermain bowling terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak yang mencintai satu jenis sukan."

"Pengurusan pusat bowling dilihat semacam senang, tetapi sebenarnya, pelbagai perkara perlu dipelajari kerana banyak yang saya tidak tahu," kata wanita ini merendah diri.

Menggalas tugas bukan mudah sekiranya seseorang itu tidak benar-benar menjiwai perniagaan berasaskan aspek kesukanan, Fatimah akui dia berasa bertuah kerana anak-anak banyak membantu perniagaannya itu.

Dua daripada anaknya, Fazreena dan Faidly Amirul banyak mengurus dan memberikan tumpuan terhadap pelanggan selain meringankan kerja pengurusan.

Sebagai isteri kepada seorang usahawan, dia akui keluarga penting sebagai pemacu semangat dalam perniagaan yang dirintisnya itu.

"Saya bertuah kerana suami sering memberi perangsang dalam apa saja yang saya minati."

"Dalam perniagaan, dia juga tulang belakang saya. Namun dia sering memberi laluan dan perangsang dengan membiarkan saya melakukan sendiri. Cuma apabila ada masalah atau sesuatu yang sukar diselesaikan, barulah saya merujuk kepadanya."

"Apa yang membanggakan, suami meminati sukan bermotor, motosikal berkuasa tinggi atau sukan yang agak ekstrem."

"Untuk itu, kami sering bersama jika ada aktiviti yang dianjurkan. Begitu juga dengan anak bongsu lelaki kami yang turut berkongsi minat sama. Pada saya, ia mengeratkan lagi kasih sayang sesama keluarga," katanya.

Hasratnya ialah memiliki bangunan sendiri yang menempatkan aktiviti dan peralatan berkaitan bowling di samping menjadi pusat sehenti yang memfokuskan pembangunan sukan itu suatu hari nanti.

Lantas kini, dia berusaha gigih merealisasikannya dengan menjadikan pemain bowling negara, Shalin Zulkifli sebagai inspirasi dalam perniagaan itu.

INFO:
Nama: Fatimah Alias
Jawatan: Pengarah Urusan Lafaz Equity Sdn Bhd; Gold Finger Pro Shop, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur

Sumber: myMetro
Foto:
CollegeBowling

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::