ATTENTION !!!

Showing posts with label chalet. Show all posts
Showing posts with label chalet. Show all posts

Monday, June 13, 2011

Eko Pelancongan D-Paradise Melaka

(Post: Bahasa Melayu)
" Keunikan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia tidak boleh dinafikan lagi seiring dengan status negeri itu sebagai salah sebuah negeri pelancongan popular di Malaysia. Pelbagai jenis produk pelancongan yang terdapat di negeri itu menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara. "

Bagaimanapun, bagi mereka yang mahu merasai percutian berbeza sambil dikelilingi suasana kampung yang tenang dan mendamaikan, D-Paradise Fruits World and Aborginal Native Village mungkin adalah jawapannya.

Pemandangan hijau menjamu mata sebaik kereta yang dipandu memasuki pekarangan Kampung Berisu, Alor Gajah. Mata pasti terpesona melihat keunikan rumah-rumah tradisional Melaka yang menghiasi kiri dan kanan jalan.

Berbeza dengan resort-resort lain di negeri itu, D-Paradise yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu menawarkan konsep percutian dalam ladang buah-buahan.

Dengan keluasan kira-kira 167 hektar, ia menawarkan 800 jenis buah bermusim seperti durian dan rambutan, tidak ketinggalan buah-buahan lain seperti markisa, nangka dan pelbagai jenis limau.

Pengunjung ke resort itu pasti teruja menikmati percutian yang menyeronokkan dengan menyusuri denai sepanjang sembilan kilometer yang dipayungi dengan pokok markisa sama ada berjalan kaki atau menaiki basikal.

Terdapat dua jenis penginapan yang disediakan di situ, iaitu jenis calet dan kabin. Penginapan calet Kampung House dan CEO Kampung House mempunyai dua bilik yang bercirikan bentuk rumah tradisional Melayu.

Tatkala melangkah kaki ke dalamnya, mata seakan terpaku melihat ukiran yang menghiasi setiap sudut rumah itu.

Setiap calet dilengkapi kemudahan penghawa dingin, televisyen, peti sejuk, air panas serta dua bilik air. Ruang tamunya yang luas dan ringkas nyata memberikan keselesaan maksimum kepada pengunjung khususnya yang mempunyai keluarga yang besar.

Bagi yang mahu suasana yang lebih mewah, calet CEO Kampung House mempunyai kolam renang peribadi membolehkan pengunjung bersantai dan bermandi-manda.

Penginapan kedua-dua ialah jenis kabin dikenali sebagai Camp David Islands. Menariknya, ia dibina di atas sebuah tasik buatan manusia yang dilengkapi dengan empat buah kabin serta mempunyai kemudahan rumah persinggahan.

Di samping itu, ia juga mempunyai kolam renang peribadi dengan jakuzi, bilik karaoke, bilik makan. Untuk menjamu selera terdapat perkhidmatan tukang masak yang menawarkan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa bergantung kepada selera pengunjung.

Selain berpeluang merasai keenakan dan kelazatan ratusan buah yang ditanam di sekelilingnya, pengunjung juga boleh melawat beberapa lokasi menarik yang disediakan.

Antaranya ialah Taman Kaktus, Taman Botani, Taman Periuk Kera serta taman haiwan yang menempatkan rusa, burung kasawari dan arnab.

Turut menjadi tarikan ialah Perkampungan Orang Asli di Sarawak yang jarang dapat dilihat di negara ini. Pengunjung pasti teruja melihat keunikan budaya dan masyarakatnya serta persembahan tradisional yang diadakan setiap hari.

Bagi kaki pancing terdapat kolam ikan yang disediakan khusus bagi tujuan itu. Bagi yang menggemari aktiviti mencabar mengapa tidak meneroka hutan pada waktu malam.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, February 24, 2011

Aiskrim Strawberi Cameron Highlands

(Post: Bahasa Melayu)
" Sebut sahaja Cameron Highlands, dua tanaman tanah tinggi yang pasti akan berlegar di fikiran adalah teh dan strawberi. "

Manakan tidak, dengan suhu yang dingin dan nyaman, percutian ke kawasan peranginan itu pasti tidak lengkap tanpa menikmati secawan teh panas dan merasai produk-produk makanan berasaskan strawberi.

Selain dua tanaman itu, sebahagian besar kawasan tanah di lokasi pelancongan tersebut iaitu sekitar 8,000 hektar telah dimajukan dengan penanaman produk sayur-sayuran serta buah-buahan yang pelbagai jenis.

Memberi fokus kepada industri penanaman strawberi di Cameron Highlands, ia mempunyai keluasan kawasan tanaman sekitar 30 hektar dengan jumlah pekebun lebih kurang 50 orang.

Daripada jumlah itu, kuantiti pengeluaran buah strawberi segar setiap tahun adalah dianggarkan bernilai antara RM60 hingga RM70 juta.

Menurut salah seorang pengusaha ladang strawberi, Mohamad Zulkepli Daud, 46, beliau tertarik untuk terlibat dengan aktiviti penanaman buah tersebut kerana yakin dengan potensi pasarannya selain mempunyai minat yang mendalam dalam bidang perniagaan.

"Dahulu, saya bertugas di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Cameron Highlands bermula tahun 1985 hingga 1990 sebelum menjalankan perniagaan sendiri dalam bidang kontraktor binaan dan perusahaan calet sehingga tahun 2004."

"Sepanjang bekerja di MARDI, saya sering mendapat nasihat dan dorongan daripada rakan-rakan yang menggalakkan saya menyertai aktiviti perusahaan tanaman strawberi."

"Pada tahun 2005, saya mula mengusahakan tanaman ini secara kecil-kecilan dengan tujuan untuk dimakan sendiri," katanya ketika ditemui di calet miliknya di Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, Cameron Highland.

Selepas setahun mengusahakan tanaman itu, Zulkepli mendapati strawberi mempunyai permintaan tinggi dan mampu untuk dikomersialkan tidak kira dalam bentuk buah segar mahupun produk hiliran.

Melihat kelebihan tersebut, tahun 2006 menyaksikan dia telah memulakan operasi tanaman buah strawberi dalam skala lebih besar melibatkan 2,000 pokok strawberi.

Keuntungan jualan buah strawberi yang memberangsangkan kemudian mendorongnya memperluaskan operasi tanaman bertujuan meningkatkan pengeluaran hasil.

Justeru, pada tahun 2007, dia telah membuat pinjaman modal sebanyak RM20,000 daripada AgroBank untuk membeli anak benih dan peralatan tanaman seperti mesin titisan dan pengepam.

"Kesemua anak benih strawberi ini adalah daripada jenis Camarosa yang diimport dari Belanda."

"Ia merupakan baka terbaik yang mempunyai kelebihan aroma menawan dan wangi, rasa yang sangat manis serta saiz buah yang sama."

"Anak-anak benih ini biasanya akan mengambil masa pembiakan selama lebih kurang lima hingga enam bulan sebelum mengeluarkan buah," jelasnya.

Zulkepli memberitahu, ladangnya yang berkeluasan suku hektar itu mengamalkan konsep tanaman secara fertigasi bertingkat yang mampu memberi penjimatan ruang.

Katanya, konsep tersebut sangat mudah kerana dilengkapi sistem pengairan yang lengkap dengan suntikan baja.

Kini, ladang miliknya telah mempunyai lebih kurang 6,000 pokok dengan pengeluaran buah kira-kira 30 kilogram (kg) dalam masa seminggu.

Setiap pokok strawberi itu pula mempunyai jangka hayat selama lebih kurang dua tahun.

Hasil-hasil buah strawberi yang telah dituai kemudiannya akan dijual di kedai miliknya selain dijadikan sebagai bahan asas dalam penyediaan produk hiliran strawberi.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, June 8, 2010

Rebung Madu TUNAS BUDI

(Post: Bahasa Melayu)
" Melentur buluh biarlah daripada rebung adalah antara peribahasa yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu. Ini menunjukkan betapa dekat dan prihatinnya masyarakat Melayu dengan alam sekitar seperti buluh dan rebung. "

Buluh sememangnya mempunyai banyak kegunaan daripada landskap, bahan binaan rumah sehinggalah kepada perabot, sementara rebung pula enak dijadikan masakan gulai lemak cili padi.

Melihat kepada banyaknya kegunaan buluh dan rebung, Adnan Osman mula membawa pokok-pokok buluh dari China bagi perniagaan landskapnya.

Antara buluh yang dibawa masuk adalah buluh rebung madu yang mudah ditanam, sesuai untuk tanaman landskap serta rebungnya pula tidak miang seperti rebung biasa.

Mula membawa masuk buluh rebung madu pada tahun 2004, Adnan mengusahakannya di tanah seluas 100 hektar di Kedah.

"Saya memilih rebung madu kerana ia mudah diselenggarakan walaupun di tanah yang kering, berpasir mahupun lembap," katanya semasa ditemui di ladang rebung madunya di Projek Pertanian Moden Lanchang, Pahang.

Lawatan ke ladang rebung madu merupakan sebahagian daripada lawatan program Agrochallange Putrajaya-Pekan yang berlangsung baru-baru ini.

Pengurus Tunas Budi Sdn Bhd ini menyifatkan rebung madu yang ditanam amat istimewa kerana cepat membesar, tidak miang serta tidak pahit seperti rebung biasa.

"Buluhnya yang kecil, rumpunnya yang rapat serta tidak mempunyai miang menyebabkan ia sesuai ditanam di sekeliling rumah," katanya.

Ditanya mengenai pengendalian rebung madu, Adnan memberitahu, tidak sesukar mana kerana tanaman berkenaan tidak memerlukan air yang banyak.

"Malah pokok ini boleh hidup walaupun di kawasan yang ditambak dan kering mahu pun di tempat berpaya."

"Cuma apabila ditanam di kawasan yang agak basah, buluhnya akan tumbuh lebih besar," katanya yang memelihara itik sebagai produk sampingan ladangnya.

Jelas Adnan, tanaman buluh rebung madu hanya memerlukan kawasan yang tidak begitu besar kerana satu ekar boleh ditanam dengan 300 rumpun buluh.

Ini bermakna satu rumpun hanya memerlukan kawasan seluas 12 kaki x 12 kaki.

"Apa yang lebih menarik, jangka hayat buluh bukan hanya boleh mencapai sehingga beratus-ratus tahun tetapi mudah hidup dan boleh dituai dalam masa yang singkat," katanya.

Biasanya rebung akan membesar sebanyak enam inci sehari dan boleh dituai setiap dua hingga lima hari.

"Serumpun buluh biasanya boleh menghasilkan dua kilogram rebung sebulan dengan harga pasaran RM5 hingga RM7 sekilogram," katanya.

Adnan berkata, sehingga kini lebih 90 peratus rebung diimport terutamanya rebung kaleng.

"Buat masa ini tidak sampai 10 peratus rebung tempatan yang berada di pasaran tempatan dan bekalan tidak dapat menampung permintaan pelanggan," katanya.

Adnan yang sentiasa peka dengan aktiviti pemasaran telah mula mempelbagaikan industri hiliran bagi rebung madu.

Selain menjualnya secara segar untuk gulai, beliau juga memprosesnya dalam bentuk jeruk untuk dimakan sebagai kudapan.

"Jeruk rebung madu memang mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana rasanya yang lemak manis."

"Jeruk ini diproses tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet," katanya yang bercadang untuk mengkomersialkannya dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun bagi merealisasikan impiannya, Adnan perlukan bekalan rebung madu yang mencukupi.

Justeru bagi mengatasi masalah berkenaan, Tunas Budi Sdn Bhd telah mengadakan pusat jualan serta latihan bagi menanam rebung madu.

"Kami menyediakan pakej menanam rebung madu bermula dengan kaedah menanam, penjagaan, cara menuai sehingga memproses kepada sesiapa yang berminat.

"Kami juga memberikan pilihan sama ada mereka menjual rebung kepada kami atau memasarkannya sendiri," katanya.

Dengan ini, penanam tidak perlu terikat dengan syarikatnya bagi tujuan pemasaran dan mereka boleh membuat pilihan sendiri.

Berkonsepkan agro pelancongan, Adnan juga menyediakan kemudahan penginapan chalet bagi peserta yang berminat mengikuti kursus tanaman rebung madu di ladangnya.

"Ini bagi membolehkan peserta merasai pengalaman bagaimana mengendalikan tanaman rebung madu secara hands-on," katanya.

Kursus dibahagikan kepada dua pakej iaitu pakej satu hanya meliputi tanaman dan tuaian dan kedua tanaman, tuaian dan pemprosesan jeruk.

Adnan berkata, selesai kursus peserta boleh membeli rumpun buluh untuk ditanam sendiri dengan harga yang berpatutan di ladangnya.

CONTACT INFO:
Telefon: 016-4935395 atau 013-9180248

Email: nanbamboo@yahoo.com

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, February 14, 2010

Syarikat Pelancongan Kumpulan Ghazali

(Post: Bahasa Melayu)
" Pusat Kecemerlangan Aktiviti Alam Sekitar Sungai Tabong di pesisir Sungai Tembeling, kira-kira lima kilometer dari pekan Kuala Tahan, Jerantut menjanjikan percutian menyeronokkan dan kenangan indah sukar dilupakan. "

Selain menginap di chalet comel dengan hiasan tilam berlapik merah jambu dan meja makan dialas helaian batik, tetamu boleh menikmati suasana nyaman dan segar sambil merehatkan diri di ruang tamu berlatarkan hutan menghijau dan bisikan unggas rimba.

Dengan udaranya yang segar di bawah redup pepohon menghijau, sungai yang menjadi urat nadinya mengalirkan air jernih dan dingin serta pelbagai spesies flora dan faunanya pasti memukau sesiapa sahaja.

Pusat kecemerlangan aktiviti berkonsepkan alam semula jadi ini bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong untuk bercuti dan beriadah, malah menarik pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) berkhemah dan menjalani kem motivasi.

Untuk ke pusat rekreasi Sungai Tabong, pelancong boleh menggunakan khidmat bot penumpang dari jeti Kuala Tahan dengan bayaran antara RM10 hingga RM20 yang mengambil masa 20 minit.

Bagi yang inginkan cabaran 'terlampau' anda boleh memandu kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak yang memakan masa selama hampir satu jam.

Pusat kecemerlangan seluas 20 hektar diurus selia Syarikat Pelancongan Kumpulan Ghazali (SPKG) Tours Sdn Bhd.

Di sini, anda boleh melakukan aktiviti lasak seperti 'flying fox' sejauh 70 meter dengan tapak mendarat tergantung pastinya menjanjikan cabaran hebat merentasi Sungai Tabong.

Peserta perkhemahan boleh melalui pengalaman lebih menakjubkan dengan menjejak laluan kanopi sejauh 1,000 meter termasuk jambatan gantung sepanjang 70 meter.

Jika kurang berani, anda boleh mengikut denai di bahagian bawah sahaja.

Pengarah Urusannya, Burhanuddin Ghazali, berkata lokasi pusat kecemerlangan itu amat strategik dan berpotensi muncul sebagai kawasan pelancongan terkenal kerana kaya dengan khazanah alam semula jadi.

"Produk terbaru Kuala Tahan ini mampu menarik ramai pelancong seluruh dunia berbanding tumpuan kini lebih kepada pelancong Eropah Timur dan Scandinavia," katanya.

Juga jangan lepaskan peluang ke perkampungan Orang Asli kaum Batek dan Semak.

Pusat berkenaan pernah dijadikan lokasi penggambaran program realiti syarikat penerbitan dari Sweden dan India pada tahun lalu.

Ia akan dijadikan lokasi festival muzik etnik Orang Asli Malaysia pada Julai ini.

"Festival ini bagi memperkenalkan budaya masyarakat pelbagai suku kaum kepada pelancong luar negara," katanya.

INFO:
Penginapan:
RM65 untuk dewasa dan RM45 untuk pelajar termasuk makan dan bayaran tambang bot pergi dan balik dari Kuala Tahan.

Terdapat tiga chalet dan empat asrama, surau, tandas, restoran.

Mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik 24 jam.

Tempahan:
1) laman web http://www.tamannegara-nusaholiday.com.my/
2) hubungi SPKG Tours Sdn Bhd di alamat No 16, Jalan Diwangsa, Bandar Baru, 27000 Jerantut
3) telefon: 09-2662369
4) faks: 09-2664369

* Teksi ke Jerantut boleh didapati dari Stesen Bas Puduraya di Kuala Lumpur. Anda juga boleh menaiki bas ke Jerantut yang boleh didapati di Stesen Bas Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur. Dari Jerantut, anda boleh menaiki bas tempatan atau teksi untuk ke Kuala Tahan.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::