Homestay Sungai Sireh
(Post: Bahasa Melayu)
"Dulunya, inap desa (homestay) mungkin dikaitkan dengan kehadiran tetamu dari luar negara. Bagaimanapun, kini ia turut mendapat permintaan tinggi daripada peserta tempatan untuk mengadakan aktiviti perkhemahan dan sebagainya."
Menerima kedatangan pelancong bagaikan ahli keluarga sendiri, Homestay Sungai Sireh di Tanjung Karang, Selangor semakin meniti di bibir penggemar aktiviti pelancongan inap desa (homestay).
Sejurus tiba di kampung itu, penduduknya dengan berbesar hati menerima pelancong sebagai anak angkat untuk tempoh beberapa hari.
Hidup seperti orang kampung, anak-anak angkat ini akan makan makanan tradisional seperti masak lemak dan ikan bakar atau belajar membuat pelbagai kuih muih.
"Boleh dikatakan, setiap minggu kami menerima kunjungan tetamu sama ada dari luar negara atau tempatan.
"Kebiasaannya, kami kerap menerima kunjungan pelajar dari Korea, Jepun dan yang terbaru dari Beijing, China. Tidak lupa juga, kampung kami dijadikan sebagai lokasi penggambaran," kata Pengurus Homestay Sungai Sireh, Abu Bakar Moin.
Homestay Sungai Sireh mula diperkenalkan pada 5 April 1995 dengan dahulunya hanya menerima 15 buah kediaman untuk dijadikan tempat tinggal pelancong.
Bagaimanapun, ia telah mendapat sambutan hebat daripada keluarga di kampung tersebut kerana sehingga kini terdapat 60 buah rumah yang terlibat.
Ia meliputi tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Sireh, Kampung Ampangan dan Kampung Parit 2 Sungai Burung.
Bercerita mengenai aktiviti yang diadakan untuk mempamerkan keunikan kaum Melayu, Abu Bakar menjelaskan, kebanyakan pelancong tidak sabar untuk melihat kehijauan sawah padi yang terbentang luas.
"Kita akan memberi pendedahan mengenai kaedah menanam padi. Paling membuatkan mereka seronok apabila diberi peluang mencuba sendiri bagaimana menanam pokok padi.
"Ketika itu, rata-rata daripada mereka tidak kira pelajar tempatan mahu pun luar negara akan bersorak keriangan kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini," jelasnya.
Selain itu, mereka turut dibawa melihat produk pelancongan penduduk kampung seperti melawat kebun sayur-sayuran secara komersial di sekitar kampung dan pemprosesan industri kecil dan sederhana berasaskan pertanian.
Dalam pada itu, peserta juga berkesempatan melawat kebun kelapa dan kelapa sawit serta melawat tempat pengumpulan buah kelapa sawit.
Bagi pelancong yang inginkan suasana yang lebih mencabar atau dekat dengan hidupan flora dan fauna, Homestay Sungai Sireh juga menyediakan tapak perkhemahan di kawasan pertanian yang diteduhi dengan tanaman pokok kelapa sawit.
Sementara itu, bagi pelancong yang gemar dengan aksi sukan rekreasi ekstrem, Terusan Besar Ban Kanal sedia menanti anda untuk berkayak di situ.
Menariknya lagi, terdapat juga aktiviti lasak seperti merentas kawasan berpaya di kawasan hutan simpan tadahan air sawah padi.
Tidak sempat berasa bosan, peserta inap desa juga boleh mencuba nasib untuk memancing ikan di tali air atau terusan besar.
Terdapat pelbagai pakej inap desa yang boleh dipilih oleh pelancong sama ada pakej kunjungan sehari, sehari dua malam atau dua hari tiga malam.
Menerusi pakej pilihan, pengunjung boleh memilih aktiviti yang sesuai dengan kehendak dan tempoh masa mereka berada di kampung tersebut.
INFO:
Homestay Sungai Sireh
Parit Satu Kampung Ampangan, 45500 Tanjung Karang, Selangor
Telefon: 019-3467372
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment