ATTENTION !!!

Monday, September 28, 2009

Pakar Matematik

(Post: Bahasa Melayu)
"Sekalipun ahli keluarga langsung tidak terbabit dalam bidang itu, beliau mengakui dorongan kuat keluarga yang banyak memberi kemudahan mendapatkan buku dan internet banyak membantunya belajar untuk mendapatkan maklumat tambahan."

Tidak ramai yang tahu, bidang Matematik juga sebenarnya ada seni kreatif tersendiri.

Bukan setakat bermain dengan nombor tetapi juga membabitkan pemikiran kreatif dan kritis bagi membolehkan seseorang itu layak digelar pakar Matematik.

Mohd Suhaimi Ramly, 27, yang kini bergelar Ketua Jurulatih Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO) Malaysia adalah antara genius Matematik yang terpilih sebagai juri termuda untuk menghakimi pengiraan markah pertandingan IMO peringkat dunia.

Anak muda itu mengakui, pertandingan IMO itu bukannya suatu yang mudah kerana ia membabitkan pelajar terpilih di seluruh dunia, namun di situlah terletaknya keseronokan menyahut cabaran sebagai peserta dan kini beliau bertindak selaku jurulatih.

Sehubungan itu, setiap kali tiba musim pertandingan IMO peringkat dunia membabitkan 108 negara, ketika itulah pasukan IMO Malaysia sibuk mencari bakat baru dan melatih mereka supaya berfikiran kreatif.

"Ramai yang tersalah anggap. Tidak semestinya pelajar yang cemerlang dalam Matematik dan sering mendapat markah A layak menyertai IMO."

"Matematik sebenarnya memerlukan pelajar sentiasa ligat berfikir mencari jalan penyelesaian bagi setiap soalan atau permasalahan. Mereka perlu kritis dan kreatif. Sebab itulah pada sesi latihan, hubungan mereka dengan pengajar umpama jurulatih dan pemain."

"Hubungan ini berbeza jika dibandingkan antara guru dengan murid kerana jurulatih akan mendedahkan taktik dan pemain akan melaksanakan dengan pelbagai cara. Sudah semestinya mereka perlu berfikir dan idea sentiasa berkembang," katanya.

Mohd Suhaimi sendiri pernah muncul antara pelajar terbaik pernah dilahirkan bagi pertandingan IMO, termasuk meraih anugerah juara Olimpiad Matematik Kebangsaan pada 1998 dan 2000.

Berdasarkan kejayaan itu, Suhaimi terpilih mewakili negara selama empat tahun berturut-turut bagi IMO peringkat Asia Pasifik dan peringkat dunia di Romania, Korea dan Amerika Syarikat bermula 1999 hingga 2001.

Namun, sejak pertandingan Olimpiad Matematik peringkat kebangsaan diperkenalkan mulai 1970-an, sering kedengaran rungutan pelajar dan guru mengenai masalah mereka tidak biasa dengan kaedah, soalan dan cara penyelesaiannya.

Menyedari masalah itu, Suhaimi mengambil pendekatan bijak untuk berkongsi pengalamannya melalui penulisan buku khas mengenai asas Matematik bagi pertandingan Olimpiad bertujuan memudahkan guru dan pelajar membuat rujukan.

"Buku itu mengandungi empat siri dan ia sebenarnya membabitkan nota lama yang disimpan sejak peringkat sekolah hingga sekarang. Ia terbukti banyak membantu dan pada masa sama saya sering mendapat input baru daripada pelajar yang banyak menampilkan idea bernas," katanya.

Menyingkap sejarah pembabitan awalnya dalam bidang Matematik Olimpiad, anak jati Kuala Lumpur ini mengakui ia menyedari bakatnya selepas terpilih mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk pertandingan peringkat kebangsaan dengan muncul naib juara.

Tanpa sebarang latihan, beliau terkejut dengan keputusan itu seterusnya ditawarkan berlatih bersama Prof Abu Osman (Universiti Kebangsaan Malaysia) untuk mewakili negara. Kini beliau menjadi ketua jurulatih menggantikan gurunya dan sudah 10 tahun mengetuai kontinjen Malaysia.

Selain menerbitkan buku panduan khas untuk Olimpiad Matematik, beliau juga banyak memberikan ceramah kepada pelajar dan guru serta terbabit dalam pertandingan peringkat MRSM dan Matrikulasi.

INFO:
Kerjaya:

- Pengarah Urusan Ardent Eduicational Consultants Sdn Bhd
- Pengarah Eksekutif Aidan Corporation Sdn Bhd

Kepakaran:
- Matematik: Algebra, Kombinatoriks, Teori Nombor, Geometri, Analisis Fungsian
- Latihan Olimpiad Matematik kepada guru dan pelajar
- Ketua Jurulatih Malaysia ke IMO 2007 - kini

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::