Penulis Novel 2 - Norzailina Nordin (Chef Lin)
(Post: Bahasa Melayu)
"Lumayannya pendapatan penulis bergantung kepada jumlah jualan karyanya. Sekiranya novelnya memang laris seperti pisang goreng panas, maka banyaklah habuan diterima."
Bagi penulis novel dan buku masakan yang juga selebriti chef, Norzailina Nordin mengakui memang ada di kalangan penulis di negara ini menerima pendapatan lumayan daripada bayaran royalti, tetapi hanya segelintir sahaja terutama yang telah terkenal.
Bagaimanapun, lumayannya hanya boleh ditakrifkan dalam lingkungan taraf kehidupan negara ini sahaja dan bukannya lumayan seperti penulis di Barat yang mencecah jutaan ringgit.
"Di Barat, dengan hanya sebuah novel sahaja telah boleh memberi mereka gelaran jutawan manakala di Malaysia, setakat ribuan sahaja."
"Penulis-penulis masih bertongkat-tongkat dalam menuju ke arah lumayan dan mungkin suatu hari nanti, kita akan mendengar jutawan penulis akan muncul di kalangan rakyat Malaysia sekiranya novelnya diterima oleh peminat dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa," katanya yang telah menghasilkan hampir 24 buah novel dan chef undangan di televisyen tempatan dan Singapura.
Menurut Norzailina yang berjinak dalam penulisan sejak berada dalam tingkatan lima, penulis Malaysia hanya boleh digelar setakat 'senang sedikit' bukanlah lumayan dalam erti kata sejagat.
"Ini kerana jumlah cetakan tidak banyak dan bergantung kepada jualan buku. Ganjaran royalti yang diterima oleh penulis bergantung kepada syarikat penerbitan yang dihantar karyanya. Setiap syarikat mempunyai kiraan yang berbeza, begitu juga dengan jumlah cetakan bagi sesebuah buku yang dihasilkan."
"Ada yang menerima 15 peratus daripada keuntungan dan ada yang 10 peratus daripada harga buku, itupun setelah ditolak harga kertas, kos percetakan dan kos-kos sampingan."
"Keuntungan itulah yang akan diperoleh oleh penulis. Selalunya penulis-penulis terkenal yang mempunyai peminat tersendiri akan menagih lebih keuntungan kerana peminat ini akan sentiasa menunggu-nunggu novel terbaru mereka," kata penerima 20 Most Prolific Women Writers of Malaysia oleh Great Estern-MPH Bookstore tiga tahun lalu.
Melihatkan jumlah novel dan buku yang ditulisnya saban bulan dan tahun, Norzailina bolehlah dikira salah seorang penulis yang menerima pendapatan lumayan.
Walaupun sentiasa merendahkan diri dan berselindung dengan kenyataan lumayan, namun beliau mengakui wang royalti yang tidak putus-putus diterimanya daripada pelbagai penerbitan sedikit sebanyak menambah simpanannya terutama digunakan untuk pendidikan anak-anaknya yang berada di menara gading.
"Saya suka hidup bersederhana dan tidak menggunakan wang royalti itu untuk bermewah-mewah tetapi dimanfaatkan untuk pelajaran anak-anak dan simpanan di hari tua," ujarnya yang berjiwa romantik sekali gus mempengaruhi gaya penulisannya yang banyak diambil daripada pengalaman diri sendiri, rakan-rakan dan adik-beradik.
Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: blog Chef Lin
0 comments:
Post a Comment