ATTENTION !!!

Showing posts with label novel. Show all posts
Showing posts with label novel. Show all posts

Thursday, January 20, 2011

Dakwah Pasangan Novelis

(Post: Bahasa Melayu)
" Setiap bait kata yang diluah dari bibir mungil wanita bertudung labuh itu cukup lancar dan teratur. Nadanya lembut dan bersahaja tetapi bagaikan ada aura yang mampu menawan sesiapa yang mendengarnya. "

Bicara yang disulami mutiara hikmah yang dipetik daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W. menyuntik cahaya keimanan bagi mereka yang berusaha untuk memahaminya.

Sambil melayan permata hati, Al-Haura' Maqsurah yang bermaksud bidadari yang terpelihara, wanita yang berwajah keibuan itu menjawab setiap persoalan yang dilontarkan dengan penuh santun.

Senyuman yang sentiasa terukir di bibir menambahkan lagi kemanisan novelis yang dilahirkan dengan nama Fatimah Syarha Mohd. Noordin itu.

Baru mencecah usia 26 tahun pada 17 Oktober lalu, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu sudah pun menghasilkan tujuh karya istimewa yang mempunyai kelompok pembaca tersendiri terutama dalam kalangan remaja.

Berdakwah Melalui Novel

Berpegang teguh kepada kalimah Lailahaillallah Muhammadurrasulullah sebagai prinsip hidupnya, Fatimah mengakui dia amat menitikberatkan nilai-nilai keindahan agama dalam penulisannya.

Sebagai penulis, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik masyarakat atau berdakwah melalui penghasilan penulisan yang berkualiti dan membina keperibadian muslim.

"Apatah lagi, saya memang sangat takut dengan hisab Allah pada setiap patah perkataan yang saya tulis. Jadi saya akan pastikan jika ingin mengupas sebarang isu, ilmu atau sebarang kefahaman, maka saya akan merujuk kepada sumber-sumber yang muktabar iaitu al-Quran, sunnah dan perbincangan ulama-ulama yang disegani seperti Sheikh Yusuf al-Qardawi, Abdul Karim Zaidan dan Dr. Wahbah Zuhaili."

"Saya tidak akan menulis mengikut logik saya sendiri kerana saya tahu kelemahan diri. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda: 'Sesiapa yang menetapkan satu ketetapan yang buruk dan ia diikuti, maka mereka akan berterusan mendapat saham dosa sehingga ke hari kiamat.' "

"Lantaran itulah, saya perlu berhati-hati dalam setiap penulisan agar tidak mendatangkan kesan buruk pada kemudian hari," tegas Fatimah yang pernah memenangi tempat ketiga dalam Sayembara Novel Remaja sempena Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2006 melalui novelnya yang bertajuk, Seindah Mawar Berduri.

Antara novelnya yang lain termasuklah Tautan Hati, Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul (antara novel terlaris), Syabab Musafir Kasih, Duhai Teman Sejatiku, Palestin Kami Datang dan terbaru Bebaskan.

Selain itu, karya pertama graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertajuk, Petua Membuat Orang Jatuh Cinta dihasilkan bersama pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Muhammad Zakaria.

Meskipun banyak memilih tema cinta dalam novel yang dihasilkan, namun Fatimah bijak mengadun kisah cinta yang ingin ditampilkan.

Tidak menulis kisah-kisah cinta stereotaip yang dipenuhi janji manis yang ditaburkan kekasih atau kecurangan seorang pasangan, sebaliknya dia mengajak pembaca untuk bercinta tetapi mengikut landasan syariat yang diberkati Allah.

"Saya percaya keharmonian dalam sesebuah rumah tangga dapat dicapai kesan daripada kita mencari Allah sebelum berkahwin lagi. Contohnya setiap pasangan mempersiapkan diri sebagai muslim sejati, menjaga syariat dan keberkatan untuk merasai satu nikmat kemanisan dalam alam rumah tangga," kata Fatimah berkongsi pengalaman.

Karya-Karya Ilmiah

Sebagai seorang ibu kepada seorang cahaya mata berusia setahun dan kini hamil anak kedua, tanggungjawab yang digalas semakin bertambah. Namun, ia bukan penghalang untuknya terus menitipkan karya-karya ilmiah untuk tatapan pembaca.

Apa yang penting baginya, jika seseorang itu sudah berminat kepada sesuatu sudah tentu dia akan ada masa untuk memenuhi minat tersebut.

Cuma, apa yang diperlukan adalah menyusun jadual dengan menjadikan solat lima waktu sehari semalam sebagai panduan dalam melaksanakan rutin hariannya.

"Apabila kita sudah susun jadual dan letak sasaran pada setiap yang dilakukan insya-Allah, Allah yang akan memberikan masa yang memang cukup untuk kita penuhi dengan pelbagai aktiviti dengan penuh tanggungjawab," ujarnya bersemangat.

Sementara itu, minat menulis yang sebati dalam jiwa Fatimah turut dikongsi bersama suami, Dr. Farhan Hadi Mohd. Taib, 26, yang popular dengan novel Islamik bertajuk: Denyut Kasih Medik terbitan Telaga Biru awal tahun ini.

Novel tersebut memaparkan kisah seorang doktor muda yang berjuang dalam mengaplikasikan syariat di hospital sewaktu bergelar doktor pelatih (houseman).

Ketabahannya mampu meruntun jiwa pembaca di samping mendidik mereka agar menghargai pengorbanan seorang doktor serta kakitangan kesihatan.

Menurut Farhan, penghasilan novel tersebut lahir daripada sokongan isterinya yang tidak putus-putus memberi semangat dan sentiasa berada di sisi pada waktu susah dan senang.

"Fatimah yang memberi idea untuk saya menulis sebuah novel berkaitan kehidupan seorang doktor yang sentiasa berpegang pada syariat Islam bagi menunjukkan keindahan hidup beragama."

"Pada mulanya sukar untuk saya menyiapkan karya sulung tersebut dek kesibukan kerja yang menuntut satu pengorbanan tinggi. Pernah satu ketika, saya rasa berputus asa dan langsung tidak menyentuh komputer riba hingga sebulan."

"Tetapi Fatimah terus memujuk untuk saya istiqamah dalam menghasilkan novel tersebut. "

"Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan kemudian saya berjaya menamatkannya. Apabila mula dipasarkan pada Februari lalu saya tidak sangka ia akan menerima sambutan yang sangat memberangsangkan," beritahu graduan perubatan dari Universiti Malaysia Sarawak (UMS) itu.

Melihat kepada sinar kebahagiaan yang terpancar pada wajah masing-masing, tidak keterlaluan jika dikatakan pasti ramai yang mahu mencontohi pasangan itu.

Apa pun, Fatimah dan Farhan sepakat menjadikan dunia penulisan sebagai salah satu usaha dakwah dan tanggungjawab mendidik masyarakat mendekatkan diri dengan Allah, menjadikan Rasulullah sebagai idola untuk diikuti seterusnya mengamalkan kehidupan beragama yang mendamaikan.

Untuk mengetahui karya-karya Fatimah dan Farhan dengan lebih lanjut, layari laman web Telaga Biru atau hubungi Telaga Biru di talian 03-62768057.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, September 20, 2010

Novel di Penulisan2u

(Post: Bahasa Melayu)
" Penghasilan sesebuah novel yang bermutu tinggi dan mampu menarik peminat bukan perkara mudah untuk dilakukan jika tidak diiringi dengan sokongan daripada pelbagai pihak. "

Oleh kerana itu penghasilan karya kreatif seperti novel memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan platform efektif untuk mempromosikan hasil karya itu agar dikenali ramai.

Senario itu kadangkala memadamkan usaha novelis baru untuk bersama-sama berkarya mewarnai persada seni tanah air yang sememangnya memerlukan bakat-bakat baru dalam menghasilkan karya bermutu tinggi.

Bagaimanapun, kewujudan laman blog Penulisan2u berjaya memberi nafas baru kepada novelis-novelis muda dalam mengembangkan bakat penulisan mereka melalui alam maya.

Pengasas blog tersebut, Wan Mohd. Muzri Ramli, berkata, blog berkenaan dibangunkan pada awal tahun 2006 kerana minat mendalamnya terhadap penulisan kreatif selain ingin berkongsi bersama orang ramai hasil karya yang dihasilkan.

"Menariknya blog berkenaan bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan penulis dan pembaca novel tempatan malah dari negara luar seperti Brunei, Singapura serta Indonesia."

"Lebih membanggakan, laman blog yang dikunjungi sekitar 10,000 hingga 20,000 pengunjung setiap hari ini pernah dilamar beberapa syarikat penerbitan untuk menjalinkan kerjasama membukukan hasil karya penulisnya," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Wan Mohd. Muzri menambah, disebabkan sambutan menggalakkan, Penulisan2u terpaksa dinaik taraf menggunakan domain dan hosting berbayar melalui alamat www.penulisan2u.my dan juga www.penulisan2u.com.my.

"Penulisan2u ingin memberi ruang dan peluang kepada penulis khususnya yang baru dalam bidang kreatif untuk bersama-sama berkarya serta mengumpulkan peminat novel melalui satu hab penulisan."

"Setakat ini, Penulisan2u mempunyai kira-kira 300 hingga 500 penulis dan ia semakin bertambah saban hari," katanya.

Ujar lelaki itu lagi, penggiat seni yang ingin berkarya ataupun membaca dalam laman web itu tidak dikenakan sebarang bayaran.

Katanya, mereka juga tidak perlu mendaftar ataupun memasukkan kata laluan untuk membaca. Ia lebih mudah dan mesra pengguna malah, semua hasil karya dapat dibaca dengan mudah serta pantas.

"Sehingga kini, sudah beberapa novel dipasarkan dan ia mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan peminat novel tempatan," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, October 30, 2009

Otai Kartun - Zainal Buang Hussein

(Post: Bahasa Melayu)
"Karya Zainal - baik kartun, novel atau lukisan cukup diminati ramai. Malah sebahagian besar peminat kartunis ini masih setia mengikuti perkembangan Zainal biarpun beliau sekarang tidak seaktif dulu."

Siri lukisan kartun seperti Kutu, Wak Punk, Tong Kosong serta novel berjudul Debu-Debu Kasih, Gelombang, Kasanova dan Serakah cukup sinonim dengan insan seni bernama Zainal Buang Hussein.

Zainal berkata, aktiviti seninya ketika ini banyak tertumpu kepada lukisan. Kata Zainal, sepanjang perjalanan dalam bidang seni yang diceburinya sejak bangku sekolah, beliau sering bereksperimen dengan bakat seni yang dimilikinya.

Disebabkan itulah, karyanya tidak terbatas kepada seni visual seperti ilustrasi, kartun dan lukisan semata-mata sebaliknya diperluaskan kepada penulisan novel.

Cerita Zainal, sejak di bangku sekolah lagi minatnya cenderung ke bidang seni. Mengimbau kenangan pada 'fasa permulaannya', Zainal berkongsi rahsia, tempat pertama yang dijadikan 'galeri' lukisannya ialah reban ayam di sebelah rumah. Di situlah Zainal menggantung dan mempamerkan semua lukisan yang dihasilkannya.

Zainal yang sudah hampir 40 tahun bergelumang dalam bidang seni, berkongsi faktor membuka matanya untuk menjadikan seni sebagai profesion.

"Ketika belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Jitra, Kedah, saya terbaca sebuah buku yang menghimpunkan koleksi lukisan pelukis tersohor Indonesia yang dimiliki bekas Presiden Indonesia, Soekarno serta buku yang mengisahkan mengenai Picasso dan Rembrandt.

"Saya tidak pernah terfikir, seorang pelukis boleh berjaya, diminati dan disanjung hingga tahap begitu. Dari situlah terdetik hati saya untuk lebih serius dalam bidang ini," katanya.

Selepas tamat sekolah, beliau sempat menimba pengalaman sebagai pengilustrasi di beberapa syarikat sebelum berkhidmat dengan Creative Entreprise Sdn Bhd (CESB).

Di bawah CESB, beliau bersama pelukis seperti Jaafar Taib dan Azman Yusof menjadi pelopor penerbitan majalah lawak Gila-Gila. Pembabitan mereka menyemarakkan lagi industri seni kartun tempatan yang sebelum itu dipelopori kartunis lebih senior seperti Rejabhad dan Datuk Lat.

Zainal masih ingat, kulit muka depan majalah Gila-Gila pertama yang dihasilkannya. Beliau menampilkan karikatur pelakon yang sedang popular ketika itu, iaitu AR Badul yang muncul dengan filem baru.

Selain karikatur pelakon itu, Zainal turut menyelit lukisan kereta dalam lakaran berkenaan. Imej kereta dan motosikal sering menghiasi lukisan kartun yang dihasilkan beliau, bagai sudah menjadi identiti karya kartunnya.

Ketika hendak memulakan Gila-Gila dulu, Jaafar sudah pun ada identiti kartunnya iaitu haiwan dan alam semula jadi.

"Sejak remaja lagi, saya suka membaca novel. Saya sukakannya kerana bagi saya, novel merakam sejarah. Pembaca novel dapat masuk ke dalam latar masa cerita yang dihasilkan novelis dan menyelami kisah dan imaginasi mereka."

"Maklumlah, dulu bukannya ada pilihan sangat dalam bidang pekerjaan. Selepas tamat sekolah, saya ada menerima tawaran untuk menyertai pegawai kadet tentera."

"Tidak pasti sama ada untuk menerimanya atau meneruskan cita-cita mencari pekerjaan dalam bidang seni, saya merujuk kepada rakan saya yang sedang berkhidmat dengan angkatan tentera ketika itu."

"Beliau katakan kepada saya, tidak perlulah masuk tentera kerana saya mempunyai bakat dalam bidang seni dan lebih baik saya teruskan saja cita-cita saya dalam bidang ini. Katanya, takut kalau-kalau saya bosan dengan latihan ketenteraan yang perlu dijalani."

"Bercakap mengenai ketelitian dalam hasil kerja, saya masih ingat lagi, pelanggan saya, seorang individu korporat yang meminta saya melukis potret beliau dan keluarganya sebelum ini."

"Beliau hanya mengambil lukisan berkenaan selepas 25 kali saya tunjukkan kepadanya dan setiap kali ditunjuk, ada saja yang tidak kena pada pandangannya. Ini menunjukkan, soal ketelitian juga banyak menerima pengaruh daripada faktor keadaan dan permintaan terhadap sesuatu karya yang dihasilkan itu."

"Untuk menjadi seorang yang teliti dalam berkarya, ia memerlukan masa dan diasah menerusi latihan dan pengalaman."

Industri kartun di Malaysia sudah berkembang. Ini dapat dilihat daripada pengukuhan pelbagai watak kartun yang masih menjadi perhatian penggemarnya, biarpun dari segi penjualan majalah lawak sudah menurun.

Negara kita mempunyai ramai kartunis berbakat yang memiliki hidden asset masing-masing. Itu yang perlu kita jana dengan cara pemasaran dan medium yang betul serta berkesan.

Selain itu, industri seni tempatan juga amat memerlukan masyarakat untuk memberi sokongan penghargaan yang sewajarnya supaya industri ini dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi seperti industri luar.

Jika tidak, sampai bila-bila pun bakat seni kartunis atau pelukis atau penggiat seni yang ada dalam negara kita serta industri ini akan berada di tahap sama.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, October 27, 2009

Penulis Novel 3 - Salina Ibrahim

(Post: Bahasa Melayu)
"Jika tanya pendapat saya, jawapannya mudah, mungkin betul kerana novel pertama yang saya hasilkan pada tahun 2001, bertemakan kemasyarakatan mampu memberikan pulangan belasan ribu ringgit dalam tempoh setahun setelah diterbitkan."

Bagi penulis novel kemasyarakatan secara sambilan, Salina Ibrahim, lumayan atau tidak pulangan yang diperoleh setelah hasil diterbitkan sebenarnya bergantung kepada karya dan juga penerbit novel itu sendiri.

Jika karya yang dihasilkan mampu menarik minat pembaca dan penerbit juga menjalankan pelbagai promosi untuk memperkenalkan novel tersebut di pasaran, maka tidak mustahil pendapatan yang diperoleh boleh mencecah ribuan ringgit hanya dalam tempoh masa tidak sampai satu tahun.

"Sebenarnya sama ada anda mampu meraih hasil lumayan ataupun tidak ia bergantung kepada beberapa faktor dan boleh dikatakan dua faktor yang penting ialah karya dan juga penerbit itu sendiri."

"Selain karya yang bagus dan boleh diterima pembaca, penerbit juga harus memainkan peranan penting dalam mempromosi dan memasarkan bahan terbitan mereka," ujarnya.

Bagi anak kelahiran Perak ini, bermula tahun 2001 hingga 2008, beliau berjaya menghasilkan tujuh buah novel dan yang terbaru dua lagi novel masih dalam proses.

Beliau yang juga merupakan Editor Pengurus Kumpulan Majalah Islam di salah sebuah syarikat penerbitan kini mampu mengukir senyuman kerana walaupun tidak memperoleh pulangan yang lumayan tetapi hasil wang royalti yang diterimanya, Salina sudah mampu membeli sebuah rumah, menukar kereta, membeli komputer riba, menunaikan umrah dan banyak lagi.

Bagi mereka yang ternanti-nantikan karya terbaru Salina Ibrahim, dapatkan naskah terkini hujung tahun ini.

"Untuk novel kelapan saya ini, sudah 80 peratus hampir siap tetapi judulnya biarlah saya simpan dahulu."

"Manakala untuk karya saya yang kesembilan, ia masih dalam proses penulisan tetapi saya sudah memulakannya," katanya mengakhiri perbualan.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto:
web PTS

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Penulis Novel 2 - Norzailina Nordin (Chef Lin)

(Post: Bahasa Melayu)
"Lumayannya pendapatan penulis bergantung kepada jumlah jualan karyanya. Sekiranya novelnya memang laris seperti pisang goreng panas, maka banyaklah habuan diterima."

Bagi penulis novel dan buku masakan yang juga selebriti chef, Norzailina Nordin mengakui memang ada di kalangan penulis di negara ini menerima pendapatan lumayan daripada bayaran royalti, tetapi hanya segelintir sahaja terutama yang telah terkenal.

Bagaimanapun, lumayannya hanya boleh ditakrifkan dalam lingkungan taraf kehidupan negara ini sahaja dan bukannya lumayan seperti penulis di Barat yang mencecah jutaan ringgit.

"Di Barat, dengan hanya sebuah novel sahaja telah boleh memberi mereka gelaran jutawan manakala di Malaysia, setakat ribuan sahaja."

"Penulis-penulis masih bertongkat-tongkat dalam menuju ke arah lumayan dan mungkin suatu hari nanti, kita akan mendengar jutawan penulis akan muncul di kalangan rakyat Malaysia sekiranya novelnya diterima oleh peminat dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa," katanya yang telah menghasilkan hampir 24 buah novel dan chef undangan di televisyen tempatan dan Singapura.

Menurut Norzailina yang berjinak dalam penulisan sejak berada dalam tingkatan lima, penulis Malaysia hanya boleh digelar setakat 'senang sedikit' bukanlah lumayan dalam erti kata sejagat.

"Ini kerana jumlah cetakan tidak banyak dan bergantung kepada jualan buku. Ganjaran royalti yang diterima oleh penulis bergantung kepada syarikat penerbitan yang dihantar karyanya. Setiap syarikat mempunyai kiraan yang berbeza, begitu juga dengan jumlah cetakan bagi sesebuah buku yang dihasilkan."

"Ada yang menerima 15 peratus daripada keuntungan dan ada yang 10 peratus daripada harga buku, itupun setelah ditolak harga kertas, kos percetakan dan kos-kos sampingan."

"Keuntungan itulah yang akan diperoleh oleh penulis. Selalunya penulis-penulis terkenal yang mempunyai peminat tersendiri akan menagih lebih keuntungan kerana peminat ini akan sentiasa menunggu-nunggu novel terbaru mereka," kata penerima 20 Most Prolific Women Writers of Malaysia oleh Great Estern-MPH Bookstore tiga tahun lalu.

Melihatkan jumlah novel dan buku yang ditulisnya saban bulan dan tahun, Norzailina bolehlah dikira salah seorang penulis yang menerima pendapatan lumayan.

Walaupun sentiasa merendahkan diri dan berselindung dengan kenyataan lumayan, namun beliau mengakui wang royalti yang tidak putus-putus diterimanya daripada pelbagai penerbitan sedikit sebanyak menambah simpanannya terutama digunakan untuk pendidikan anak-anaknya yang berada di menara gading.

"Saya suka hidup bersederhana dan tidak menggunakan wang royalti itu untuk bermewah-mewah tetapi dimanfaatkan untuk pelajaran anak-anak dan simpanan di hari tua," ujarnya yang berjiwa romantik sekali gus mempengaruhi gaya penulisannya yang banyak diambil daripada pengalaman diri sendiri, rakan-rakan dan adik-beradik.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto:
blog Chef Lin

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Penulis Novel 1 - Anis Ayuni

(Post: Bahasa Melayu)
"Penulis yang mempunyai beberapa buah rumah kerana pelaburannya melalui hasil royalti itu memberitahu, penulis akan menerima bayaran royalti daripada penerbit setelah hasil karyanya diterbitkan."

Anis Ayuni, suatu nama yang cukup dikenali oleh peminat novel romantik.

Nama sebenarnya Latifah Mohd. Yusof, anak kelahiran Bentong, Pahang dan kini bertugas sebagai Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Saujana, Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Penulis yang menghasilkan lapan buah novel sejak 2002 dengan karya pertama, berkata, menjadi kaya semata-mata hasil menulis hanya wujud di Barat tetapi tidak di Malaysia.

"Ini kerana di Barat, jumlah cetakan sesebuah novel boleh mencapai hingga berjuta-juta naskhah kerana pasarannya meluas hingga ke seluruh dunia tetapi di Malaysia jumlah cetakannya hanya untuk pasaran di dalam negara, Brunei dan Singapura."

"Ini bermakna jumlah cetakan sesebuah novel tidak banyak. Jadi sukar untuk saya mengatakan seseorang penulis di Malaysia boleh menjadi kaya hasil daripada penulisan kecuali bagi penulis yang memiliki syarikat penerbitan sendiri dan mampu bersaing serta bertahan dalam dunia penerbitan yang penuh cabaran."

"Di negara ini, bagi penulis yang ingin menjadi 'senang sedikit' hanya dengan duit royalti harus tahu memanfaatkan ganjaran itu dengan membuat pelaburan yang menguntungkan dan bukan membelanjakan sesuka hati. Ini kerana royalti yang diterima tidak banyak dan ada pula dibayar berdikit-dikit."

"Pada saya, selalunya saya menggunakan royalti yang diterima dengan membuat pelaburan dalam hartanah, saham dan sebagainya. Hanya dengan cara inilah jumlah yang sedikit akan beransur-ansur menjadi banyak dan penulis akan menikmati kehidupan yang lebih selesa hasil daripada penulisan," katanya.

Bayaran royalti bergantung kepada jumlah cetakan buku dan kadar bayaran seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

"Mengimbau penglibatan awal saya dalam bidang penulisan, walaupun karya pertama saya iaitu Suara Hati sudah diterbitkan, saya tidak tahu bagaimana kiraan bayaran royalti dibuat dan jumlah bayaran yang akan saya terima."

"Hal ini kerana saya tidak mengenali penulis-penulis senior untuk mendapatkan maklumat daripada mereka. Saya juga tidak bertanya kepada editor kerana pada ketika itu bagi saya yang lebih penting ialah manuskrip saya diterbitkan. Saya ingin membuktikan kepada anak-anak murid saya bahawa saya juga boleh menulis novel."

"Alhamdulillah bayaran royalti pertama yang saya terima amat memuaskan. Ini sekali gus menyuntik semangat saya untuk terus menulis. Bagaimanapun dari awal pembabitan telah saya tetapkan hanya sebuah novel sahaja yang akan saya tulis dalam setahun tetapi kini saya menimbangkan cadangan pihak penerbit supaya menghasilkan dua buah novel setahun."

"Bagi saya menulis bukan semata-mata kerana bayaran royalti tetapi untuk memberi kepuasan diri sendiri dengan setiap novel yang dihasilkan."

"Penulis yang berkarya dan mengharap untuk mendapatkan royalti yang banyak tentu akan berasa kecewa jika pendapatan yang diterima tidak seperti yang diharapkan," jelasnya yang sememangnya kelihatan hidup mewah dengan hasil penulisan novel."

Beliau juga mengakui kemampuannya untuk melancong ke luar negara setiap tahun bersama keluarga melalui ganjaran royalti.

Sementelah pula mempunyai suami yang sememangnya pakar dalam menguruskan pelaburan hartanah telah memungkinkan Anis menceburi bidang tersebut.

"Pembelian beberapa hartanah inilah yang boleh mengingatkan saya penat lelah dan idea yang dicurahkan dalam menghasilkan sesebuah novel."

"Sehubungan itu, adalah tidak rugi malah bakal memberi keuntungan di kemudian hari kerana hartanah ini akan meningkat dari tahun ke tahun," jelasnya yang sering mengadakan penyelidikan mendalam melalui Internet sesuatu isu yang bakal mewarnai novel cintanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::