ATTENTION !!!

Showing posts with label landskap. Show all posts
Showing posts with label landskap. Show all posts

Tuesday, May 10, 2011

Dusun Garden Fairies

(Post: Bahasa Melayu)
" Pengertian mesra alam dan kehidupan penuh privasi bagaikan melengkapi ungkapan pertama setiap individu yang pernah menjejakkan kaki ke Dusun Garden Fairies. "

Latar keindahan semula jadinya dilihat sebati dengan kehadiran beberapa landskap kejur yang mewarnai segenap penjuru taman.

Bersantai di taman semula jadi itu membuatkan pengunjung melupakan seketika kesibukan kota dan benar-benar menikmati suasana damai perkampungan desa.

Gambaran keunikan Dusun Garden Fairies di Sungai Jerang, Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor sebenarnya sukar diperincikan kerana pengalaman merasai sendiri lebih bermakna.

Pemiliknya Haimizan Hamid, 48, hanya tersenyum ketika penulis memuji keunikan landskap taman itu yang mempertahankan keaslian kehidupan desa.

"Asalnya ia sebuah dusun yang dibarisi pelbagai jenis buah-buahan khususnya durian, manggis dan cempedak serta membuahkan hasil apabila tiba musimnya."

"Sejak memilikinya pada 2006, perancangan teliti mula dilakukan supaya persekitaran semula jadinya terus kekal ditambah dengan sedikit landskap kejur sebagai penyeri," katanya.

Haimizan berkata, proses penyatuan landskap binaan dan semula jadi mula dilakukan sepenuhnya pada 2007.

Pengalaman membuka syarikat dan minat mendalam terhadap dunia landskap itu sendiri banyak mendorong terciptanya panorama indah sebuah desa.

"Bagi saya, tidak banyak penambahan landskap binaan dibuat kerana latar dusun ini sebenarnya sudah tersedia suasana tenang mendamaikan."

"Cuma reka letak landskap kejur membantu menyerlahkan lagi keunikan persekitarannya dan selesa dikunjungi tanpa mengira waktu," katanya yang mendapat sokongan padu isteri tercinta Anies Arienna Tan Abbdullah, 45.

Bagi Anies, keindahan taman itu hadiah paling berharga buatnya seisi keluarga dan boleh dimanfaatkan sebagai lokasi mengenali keindahan alam semula jadi khususnya generasi hari ini.

Memperincikan Dusun Garden Fairies kini menjadi antara destinasi percutian terpilih bagi anda yang ingin merasai kehidupan desa penuh privasi.

Langkah pertama mata disajikan dengan pemandangan indah aliran air sungai yang dilengkapi dengan pancuran dibina untuk membolehkan pengunjung melihat dan merasai sendiri kepentingan elemen berkenaan kepada alam serta manusia.

"Uniknya sungai ini memang dibentuk semula bagi mewujudkan suasana lebih selamat untuk seisi keluarga bersantai sambil mandi manda."

"Kehadiran beberapa tanaman air dan ikan seperti koi, patin serta tilapia melengkapkan ekosistem semula jadi sungai itu," kata Haimizan.

Merentasi titi anyaman buluh menuju ke lokasi santai pertama yang dinamakan Pavilion, hati penulis bertambah kagum dek keindahan reka bentuknya.

Ditambah dengan hiasan dalaman ala Bali, suasana bersantai di Pavilion sambil menikmati keindahan persekitaran tenang dan damai.

Alunan muzik Bali diperdengarkan di lokasi santai itu bagaikan membawa anda melewati kehidupan masyarakatnya yang sinonim dengan elemen air.

Latar menarik yang dilitupi rumput hijau semula jadi bersebelahan Pavilion itu antara lokasi tumpuan majlis perkahwinan atau pertemuan keluarga.

Menjenguk pula Treehouse yang dibina lengkap bagaikan sebuah kediaman ternyata memanfaatkan pengalaman berada di Dusun Garden Fairies untuk seketika.

Binaan batu-batuan semula jadi membentuk anak tangga menuju ke Treehouse itu melonjakkan lagi perasaan ingin tahu.

Idea mewujudkan tandas dengan dekoratif menarik tidak kurang hebatnya untuk menarik perhatian sebaik melewati Treehouse.

Treehouse adalah lokasi penginapan yang diperbuat daripada kayu asli merentasi beberapa pokok buah-buahan yang tetap dikekalkan kedudukan asalnya.

"Berada di sini, pengunjung bukan saja berpeluang melihat seluruh keindahan panorama taman ini malah boleh merasai pengalaman menginap dalam Treehouse berlatarkan hiasan dalaman mesra alam," kata Haimizan.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 14, 2010

Pusat Inkubator Kraf Buluh

(Post: Bahasa Melayu)
" Buluh sebagai sumber alam yang banyak di negara ini berpotensi menjadi bahan kraftangan yang bukan saja cantik, tetapi berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa. "

Secara semula jadinya, buluh juga adalah sumber antibakteria, antikulat, hipoelergenik dan lebih bersih berbanding fabrik konvensional serta melepaskan lebih banyak oksigen berbanding pokok, tetapi kurang memerlukan air dan mudah dijaga.

Dari segi alam sekitar, penanaman buluh bertujuan mengawal hakisan tanah kerana akar yang tebal dan keras bertindak sebagai pengikat tanah yang kuat seperti peribahasa bagai aur dengan tebing.

Daripada 1,250 spesies di seluruh negara, 70 spesies buluh atau nama saintifiknya bambusa sp sudah dikenal pasti dengan 13 spesies digunakan secara meluas dalam industri kecil dan kraftangan.

Bagi pembuatan kraftangan, pemilihan buluh yang sesuai penting bagi memastikan kualiti kraftangan dengan faktor utama yang perlu dijaga adalah umur, ketebalan dinding dan panjang ruas.

Perabot buluh misalnya, menggunakan teknologi moden dan inovasi yang dimanfaatkan bukan saja kegunaan dalam rumah tetapi juga industri landskap dan seni taman yang biarpun bercirikan tradisional, tetapi kaya sentuhan kontemporari dan memenuhi konsep suai padan.

Namun, industri kraftangan negara tidak boleh di takuk lama dan perlu berdaya saing dengan produk negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang disifatkan lebih maju dari segi teknologi dan reka bentuk.

Sehubungan itu, usaha Kraftangan Malaysia memajukan kemahiran dan ketukangan tradisional serta mewujudkan standard kraftangan buluh, sememangnya dialu-alukan.

Agensi itu menyediakan program bimbingan rekaan menerusi bengkel khusus bagi pembangunan produk buluh untuk membantu usahawan menghasilkan rekaan, lebih pengetahuan mengenai bahan dan penggunaan peralatan, proses pengeluaran dan kemasan produk.

Penubuhan Pusat Inkubator Kraf Buluh di Simpang Pertang, Negeri Sembilan, yang menyediakan latihan jangka pendek kepada usahawan kraftangan juga adalah antara strategi bijak bagi memperkasakan industri ini.

Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Zakiah Ahmad, berkata pusat yang beroperasi sejak Mei 2009 di kawasan seluas 1.2 hektar itu, terbabit dalam pembangunan produk kraftangan buluh, penyediaan dan pemprosesan bahan buluh, menyediakan latihan pendek dan memajukan produk bersama usahawan untuk dijadikan produk contoh di pasaran.

Antara kemudahan mesin di pusat yang berciri seni bina Minangkabau ialah pemotong bilah buluh, penebuk lubang, ketam, perata, pengering serta bilik kemasan dan bengkel mengawet buluh.

"Pusat ini memberi peluang kepada pengusaha mempromosikan kraftangan buluh yang selama ini kurang mendapat publisiti. Ramai pengusaha kraf buluh terutama di negeri ini gagal memasarkan produk kerana kurang promosi serta tidak tahu cara memasarkan produk dan tiada tapak untuk menjual produk mereka."

"Pembukaan pusat ini mampu meningkatkan kualiti produk kerana usahawan yang mengikuti kursus disediakan dapat memanfaatkan pengetahuan baru itu untuk menghasilkan kraf buluh yang bukan saja menarik, tetapi berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran," katanya katanya, selepas perasmian pusat itu yang disempurnakan Menteri Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, baru-baru ini.

INFO Tip jagaan perabot buluh:
1) Gunakan berus bulu lembut atau kain bagi membuang habuk, sekurang-kurangnya sekali seminggu.

2) Elak tumpahan air atau cecair di atas perabot dan jika berlaku, segeralah membersihkannya.

3) Gunakan kain atau span yang dicelup dalam air sabun bagi membersihkan perabot buluh.

4) Elak penggunaan sabun pencuci mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan permukaan perabot buluh.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, November 12, 2010

Pertandingan Landskap Herba

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika dulu, pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman cuma ditanam di tepi rumah untuk dinikmati anggota keluarga, kini ia mampu memberi pulangan. Malah, kreativiti mengindahkan laman rumah dengan tanaman itu membolehkan pemiliknya memasuki Pertandingan Landskap Herba yang diwujud berteraskan Program Bumi Hijau anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. "

Konsep Pertandingan Landskap Herba memerlukan peserta menyediakan sudut atau landskap khas di kawasan kediaman, komuniti atau institusi bagi tanaman berasaskan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, herba dan ulam.

Penanaman disesuaikan dengan ruang sedia ada serta hasil yang dituai adalah untuk keperluan sendiri serta berterusan.

Objektif utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menternak bagi mengeluarkan makanan sendiri.

Selain menjimatkan kos, ia juga mampu mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai makanan berkhasiat yang selamat dimakan.

Selain itu, pertandingan juga secara tidak langsung dapat mengindahkan persekitaran kawasan kediaman, komuniti atau institusi.

Pengarah Kanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak, berkata kewujudan kebun di laman rumah secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara suami isteri serta anggota keluarga kerana tanaman memerlukan perhatian dan penjagaan.

"Suami isteri perlu bekerjasama menjaga tanam mereka dengan menyiram dan menjaga tanaman. Secara tidak langsung, ia mengukuhkan hubungan kerana saling bergantung untuk tampil dengan landskap menarik."

"Landskap ini juga secara emosi dapat menyenangkan mata yang melihat. Apabila jiran atau orang yang lalu lalang berasa tenang dan damai melihat tanaman yang hijau dan cantik, ia menjadi satu ibadat kepada kita kerana menyenangkan hati orang lain," katanya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Kebun Dapur/ Landskap Herba peringkat negeri Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.

Pertandingan itu mengandungi tiga komponen utama iaitu bercucuk tanam, ternakan dan akuakultur. Jenis tanaman termasuk sayur-sayuran berdaun atau berbuah, ulam dan pokok herba. Selain tanaman, penternakan juga digalakkan jika sesuai dengan kawasan.

Empat kategori dipertandingkan pada tahun ini iaitu kategori individu (perumahan), komuniti (perumahan), sekolah menengah dan sekolah rendah.

Penilaian dibuat berdasarkan lima bahagian utama iaitu penjenisan tanaman, penjagaan dan kesuburan tanaman, kreativiti dan kesesuaian susun atur, keselamatan dan kebersihan serta pengetahuan mengenai tanaman.

Hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan ini di peringkat negeri ialah RM1,000 bagi johan kategori individu, RM750 bagi naib johan dan RM500 untuk tempat ketiga. Manakala RM1,500 bagi johan kategori lain, RM1,000 untuk tempat kedua dan RM700 bagi tempat ketiga.

Dalam pertandingan peringkat negeri Selangor, Sekolah Menengah Seri Tiram Jaya (SMSTJ), Tanjung Karang memenangi kategori sekolah menengah manakala Sekolah Kebangsaan Gombak Setia (SKGS) pula menjuarai kategori sekolah rendah.

Bagi kategori komuniti, Taman Sri Puteri Cheras dipilih sebagai juara dan Mohd Som Ismail dari Felda Sungai Tengi memenangi tempat pertama kategori individu.

Semua pemenang layak menyertai pertandingan peringkat kebangsaan yang sudah memulakan proses penjurian pada 18 Oktober lalu hingga 1 November ini.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, May 15, 2010

Pelantar Kayu Melati Evergreen

(Post: Bahasa Melayu)
" Penggunaan pelantar kayu atau dek menyerlahkan keindahan dan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai latar taman. Penghias taman yang kian popular itu dihasilkan daripada kayu asli mampu menyuntik visual keunikan semula jadi. "

Pakar landskap Melati Evergreen, Mohd Khaizam Kamisan berkata, penggunaannya bukan sekadar di taman, malah ia melengkapi balkoni pangsapuri atau kondominium.

"Awalnya, pelantar kayu berfungsi menutup kecacatan ruang taman dan ia dipelbagaikan kegunaannya sama ada di bahagian depan atau belakang taman."

"Faktor harga kayu bukanlah alasan memiliki pelantar di bahagian luar kediaman sama ada di anjung, patio atau taman," kata Mohd Khaizam.

Material kayu semula jadi jenis keras digunakan seperti belian, resak, jati dan cengal kerana terkenal dengan ketahanannya.

Penggunaannya mengurangkan suasana kaku di taman yang biasanya berlatarkan batu-batuan hiasan selain menyejukkan pandangan mata.

Nilai estetika yang ditonjolkan antara tarikan utama selain melengkapi konsep Nusantara, tropika, desa dan suai padan di taman.

Antara kriteria utama yang perlu diberi perhatian supaya pelantar kayu di kediaman anda sentiasa menarik dan tahan lama ialah pilihan jenis, gred atau kualiti kayu dan kenal pasti sistem pemasangan yang betul.

"Setiap pilihan kayu mempengaruhi ketahanan, keupayaan menahan serangga perosak dan cahaya terik matahari hingga menyebabkan kayu mudah reput serta hilang keasliannya."

"Sebelum proses membina pelantar kayu dilakukan, ketahui masalah utama yang mengakibatkan penampilan pelantar kayu kurang menyerlah."

"Pemasangan yang tidak betul boleh menyebabkan rekahan pada permukaan kayu dan mencacatkan penampilan secara keseluruhan," katanya.

Pembinaan pelantar kayu tampil sempurna jika anda mengenal pasti suhu dan keadaan cuaca di kawasan atau lokasi pelantar kayu ditempatkan.

Ambil kira faktor cahaya dengan menentukan arah turun naik matahari untuk mengelakkan pemandangan kurang selesa jika pelantar kayu terdedah dengan cahaya matahari berlebihan terutama waktu petang.

Perancangan teliti perlu untuk memastikan binaan pelantar kayu itu sesuai dengan keluasan atau konsep penataan taman.

Apatah lagi pelbagai reka bentuk pelantar kayu ada di pasaran bergantung kepada kesesuaian taman dan kreativiti pemiliknya.

Anda bebas menentukan sama ada perlu membina teduhan beratap atau sebaliknya jika lokasi pelantar kayu lebih terdedah kepada cahaya matahari.

Kini, penggunaan pelantar kayu tiruan atau 'fiber' turut popular disebabkan cita rasa setiap pemilik kediaman berbeza dan mudah diselenggara.

Suasana ruang tamu juga tampil berbeza jika kemasan pelantar kayu diketengahkan melengkapi konsep dekorasi di kediaman anda.

Dalam apa keadaan, ketahui fungsi dan kegunaan pelantar sama ada sebagai ruang santai atau menutup kecacatan ruang.

Teliti sama ada kandungan lapisan luar kayu lembut (sapwood) yang berlebihan dan tidak dibuang boleh menyebabkan pelantar mudah merekah serta kurang ketahanannya.

Lapisan berkenaan boleh dikenal pasti melalui perbezaan warna jika kayu kelihatan putih dan kelabu membuktikan ia tidak dibuang.

"Pelantar kayu biasanya mampu bertahan hingga 20 tahun dan aspek rutin penjagaan serta penyelenggaraan penting untuk mengekalkan kesempurnaannya."

"Bagi mengekalkan keaslian, sapukan pengilap kayu atau 'varnish' sekurang-kurangnya setahun sekali kerana pelantar kayu sering terdedah kepada hujan dan panas saban hari," katanya.

Keterangan lanjut, layari Facebook, Mohd Khaizam.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, February 11, 2010

Produk Kayu De Fine Nature

(Post: Bahasa Melayu)
" Penggunaan kayu dijangka terus mendapat permintaan ramai tahun ini berdasarkan aliran klasik dan tradisional yang kembali mewarnai seni hiasan laman. Aliran klasik dan tradisional lebih bertumpu kepada konsep nusantara dan tempatan, walaupun masih ada yang berminat dengan konsep Bali yang menampilkan penataan hias penuh misteri dan lapuk. "

Jangkaan itu dibuat De Fine Nature - syarikat yang memasarkan produk keluaran 18 usahawan Bumiputera yang menumpukan produk kayu.

Pengurus syarikat pengedar dan pemasaran produk kayu, De Fine Nature, Jamal A Aziz, menjangkakan pemilik kediaman mewah dan sederhana mewah lebih suka menggunakan kayu sebagai kemasan dan pelengkap hiasan laman kediaman untuk tahun ini.

Katanya, berdasarkan faktor jualan serta permintaan peminat seni hias laman akhir tahun lalu, penggunaan kayu semakin meningkat kerana ramai yang mahu beralih kepada penataan klasik dan tradisional.

"Selain itu, saya lihat kesedaran dan kemampuan ntuk menghias laman dengan kayu semakin bertambah terutama di kalangan kelompok pemilik kediaman mewah dan sederhana mewah. Kini, mereka yang berkemampuan sanggup mengeluarkan belanja untuk landskap berbanding lima tahun lalu."

"Memandangkan produk kayu lebih mahal serta berkualiti, maka ia menjadi pilihan dan koleksi eksklusif bagi penggemar hiasan laman."

"Malah, ada yang melabelkan penggunaan kayu sebagai simbol kemewahan kerana nilai estetikanya," katanya yang mempunyai tanggungjawab besar iaitu memasarkan produk 18 usahawan Bumiputera yang menumpukan kepada produk kayu selain kraftangan serta perkhidmatan rekaan hiasan dalam dan luaran yang menampilkan konsep tempatan sepenuhnya.

Syarikat De Fine Nature yang mendapat bimbingan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), mula menjadi ejen pemasaran sejak dua tahun lalu, kini berjaya memasarkan produk dengan nilai pulangan RM1 juta tahun lalu bagi pasaran domestik.

Jamal berkata, penggunaan kayu tidak terhad kepada produk seperti pergola, pagar dan kerusi laman saja tetapi kini diperluaskan kepada aksesori atau bahan hiasan laman lain seperti terendak lampu, hiasan dinding, pelantar, pancuran air, buaian laman dan pengadang tembok.

Katanya, aliran dan kehendak semasa juga menyaksikan bukan hanya kediaman seperti banglo atau kembar dua saja yang dihiasi kemasan kayu, malah rumah teres lot tepi dan tengah sama ada setingkat atau dua tingkat juga dihiasi dengan produk berasaskan kayu.

"De Fine Nature memasarkan produk kayu padu yang mementingkan aspek kualiti dan ketahanan yang sering diabaikan pengusaha kayu di pasaran tempatan."

"Produk yang dipasarkan dijamin berkualiti dengan harga setanding bahan digunakan. Saya sering mengingatkan pelanggan, penting untuk mengetahui jenis kayu bagi produk yang dibeli supaya tidak tertipu serta rugi di kemudian hari."

"Bagi kayu padu seperti cengal, jangka hayatnya panjang dan ia tidak mudah rosak, berkulat serta reput. Malah, cengal semakin lama digunakan rupanya semakin cantik, kerana kayu ini jenis berminyak juga ditakuti anai-anai."

"Selain cengal, produk yang dipasarkan adalah daripada kayu merawan, resak dan balau. Kayu jenis ini tahan lasak tetapi tidak boleh terlalu terdedah kepada panas dan hujan. Harganya lebih murah daripada cengal tetapi masih cantik untuk menjadi pelengkap laman," katanya.

Selain menjual produk baru, Jamal memberitahu syarikatnya juga membuat kerja membaik pulih serta menawarkan perkhidmatan landskap serta pemasangan wayar elektrik untuk laman,.

Beliau menjelaskan kebanyakan pelanggannya adalah mereka yang mahu berpindah ke rumah baru atau mereka yang baru berpindah ke kawasan perumahan baru.

"Melihat kepada aliran pelanggan, ramai yang mahu rumah mereka diubahsuai dan diberikan sentuhan seni hias laman. Kayu sering dipilih menjadi bahan untuk kemasan laman."

"Selain itu, saya lihat ramai cenderung memilih kayu dan elemen alam, kerana berpendapat ia dapat menenangkan selepas seharian penat bekerja," katanya.

Beliau menjelaskan ramai juga pelanggan yang mencari pancuran air dan kolam buatan pasang siap dengan kemasan kayu bagi melengkapkan lagi kediaman masing-masing.

"Bunyi air terhasil daripada kolam dan pancuran air menghidupkan lagi seri laman serta ramai mahukan bunyian berkenaan sebagai terapi selepas penat bekerja seharian. Begitu juga kehadiran ikan di dalam kolam," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, September 30, 2009

Sewa Pokok dan Landskap

(Post: Bahasa Melayu)
"Beliau menjelaskan selain menyewakan pokok, biasanya syarikatnya turut menjalankan kerja penyelenggaraan untuk pokok yang disewa termasuk penyiraman, pemangkasan, pemuliharaan dan pembajaan pokok yang dilakukan seminggu sekali."

Dewasa kini, perkhidmatan menyewa pokok sudah mendapat tempat dalam majlis keraian yang dilakukan sama ada ia dianjurkan syarikat korporat atau jabatan kerajaan dan orang perseorangan.

Pemilik Emerald Vista Landscape, Steven Siva berkata, aliran menyewakan pokok untuk majlis keraian seperti perkahwinan, majlis konvokesyen serta hari jadi semakin meningkat sejak kebelakangan ini terutama di bandar besar.

Katanya, perkhidmatan menyewakan pokok dan hiasan landskap sudah lama bertapak di negara ini tetapi terhad kepada permintaan pejabat kerajaan dan syarikat korporat saja.

"Kini, aliran itu sudah berubah kerana ada orang perseorangan yang beralih kepada perkhidmatan menyewa pokok dan hiasan landskap bagi mencantikkan kediaman atau ketika mereka mahu mengadakan majlis."

"Jika dulu majlis yang besar saja menggunakan perkhidmatan ini, kini majlis sekecil jamuan hari jadi atau rumah terbuka turut menyewakan pokok sebagai hiasan," katanya yang sudah 10 tahun berkecimpung mengendalikan perniagaan landskap dan menyewakan pokok.

Mengulas mengenai perkhidmatan menyewa pokok, katanya perkhidmatan itu sudah diperkenalkan oleh sebuah syarikat sejak 30 tahun lalu tetapi terhad kepada syarikat besar, pejabat kerajaan dan majlis perbandaran bagi majlis di peringkat daerah, negeri dan nasional.

"Arah aliran ini berubah apabila semakin ramai yang sedar dengan kepentingan menjaga alam sekitar serta keperluan menghias kediaman dan pejabat," katanya yang pernah berkhidmat selama lima tahun di syarikat yang menjalankan perkhidmatan menyewa pokok dan hiasan landskap, sebelum mengusahakan perniagaan landskap sendiri."

Steven berkata, ramai yang percaya kualiti hidup dapat ditingkatkan dengan adanya tumbuhan di kediaman dan tempat kerja.

"Berdasarkan pengalaman saya dapati jika ada orang yang sakit di satu-satu tempat kerja, pokok yang ada di pejabat itu juga cepat kering dan layu berbanding pejabat yang dihuni mereka yang sihat," katanya.

"Saya juga menyediakan pasu yang tidak menyebabkan air melimpah selepas siraman dan tiada kekotoran ketika kakitangan melakukan kerja penyelenggaraan pokok yang disewakan."

"Malah, kami syarikat yang pertama memberi jaminan bahawa pasu bunga yang disewa tidak mengandungi jentik-jentik yang akan menyebabkan pembiakan nyamuk aedes punca demam denggi."

"Biasanya, bagi penyewaan pokok untuk pejabat, kita sediakan pakej kontrak satu tahun sewaan pokok bersama kerja penyelenggaraan (penyiraman, pembajaan, pemangkasan dan pemuliharaan) bersama tambahan tiga bulan kerja sebelum kontrak ditamatkan. Pokok juga dijamin akan diganti dalam tempoh 24 jam tanpa sebarang caj jika ia rosak atau mati."

"Selain itu, kita memberi jaminan pokok yang disewa selamat sesuai dengan dasar kesihatan dan keselamatan di tempat kerja," katanya.

Kadar sewaan ditetapkan bergantung kepada saiz pasu dan pokok selain tempoh jangka masa kontrak berkuat kuasa. Biasanya bayaran dibuat secara bulanan walaupun kontrak ditetapkan secara tahunan.

Bagi majlis keraian, pokok yang disewa dan kerja menghias ditetapkan mengikut saiz pokok, bahan yang digunakan dan tempoh masa penyewaan sama ada sehari, dua atau seminggu.

Steven berkata, bagi majlis kecil biasanya beliau menetapkan sewa mengikut bajet yang ditetapkan pelanggan mengikut tema yang dikehendaki.

"Biasanya, saya akan tanya dulu bajet sebelum perbincangan lanjut dilakukan supaya ia menepati perbelanjaan dan tema yang diinginkan pelanggan," katanya.

Majlis perkahwinan bertemakan taman dan kehijauan yang sering menjadi pilihan ramai sejak kebelakangan ini, menyaksikan khidmat sewaan pokok semakin mendapat tempat.

Emerald Vista Landscape juga menyediakan perkhidmatan penyewaan barang hiasan landskap seperti pancuran air, kolam mini pasang siap, lampu landskap, pagar, pasu, batu dan rumput.

"Untuk majlis keraian, kita juga menyediakan pakej pemasangan pentas, jambangan bunga serta pintu gerbang. Kita juga benarkan pelanggan membuat pemilihan pokok dan hiasan mengikut cita rasa dan perbelanjaan yang mereka ada." katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-80700711 (Steven)

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, August 6, 2009

Tanaman Hiasan SEGAR MERIMBUN

(Post: Bahasa Melayu)
"Minat antara pendorong kejayaan selepas satu-satu usaha dilakukan. Kepada seorang suri rumah kerana minat pada tumbuhan hiasan jugalah dia dapat menjana pendapatan keluarganya."

Malah dengan terus memupuk minatnya itu, Ruzita Ahmad, 40, berjaya mengekalkan perniagaan tanaman hiasan yang dikenali sebagai Segar Merimbun sejak ditubuhkan pada tahun 2000 lalu.

Selain tanaman, Segar Merimbun yang terletak di Jerlun, Kedah itu turut menyediakan pelbagai barangan hiasan lain untuk menyerikan rumah.

Menurut Ruzita, sebelum memulakan perniagaan berkenaan dia hanya seorang suri rumah sepenuh masa yang meminati tumbuhan hiasan.

Jelasnya, dia juga tidak sangka minatnya itu menarik perhatian rakan-rakannya datang ke rumah dan membeli beberapa jenis tanaman hiasan itu yang ketika itu hanya untuk hiasan rumah sahaja.

"Sejak itu saya mendapat idea untuk menjalankan perniagaan menjual pokok hiasan."

"Bagi merealisasikan hasrat itu, saya mencari modal dan memikirkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.

Menurut Ruzita, modal permulaan yang diperoleh hasil bantuan keluarga sebanyak RM20,000 digunakan untuk membeli pokok-pokok dan keperluan lain.

Dengan lebihan modal itu juga, dia mendapatkan barangan hiasan untuk melengkapkan landskap taman pelanggannya.

"Saya tidak hanya menjual pokok yang biasa untuk orang ramai malah, terdapat juga tumbuhan unik seperti Pandan Bukit selain pelbagai jenis pokok renek dan bonsai.

"Saya juga menjual pasu bunga, tempat pancuran air, bangku batu yang selalu digunakan sebagai hiasan di taman-taman mini dan sebagainya," katanya.

Jelas Ruzita, selain menjual pokok dan barangan hiasan laman di kedainya, dia menawarkan khidmat runding untuk mereka yang memerlukan nasihat menghias laman.

Menurutnya, bagi memastikan tanaman yang dibeli kekal cantik dan tahan lama pembeli perlu mengambil berat mengenai pokok-pokok tersebut.

"Saya menganggap diri saya dan keluarga bertuah kerana mampu bertahan lama dalam bidang yang banyak dimonopoli oleh golongan bukan bumiputera."

"Saya bercadang untuk membuka sebuah lagi cawangan di Kuala Nerang kerana sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan," ujarnya.

Bagi pelanggan yang berada di luar Kedah mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai pokok hiasan menerusi laman web Segar Merimbun.

Ruzita memberitahu, dia amat bersyukur kerana perniagaan yang dijalankan selama ini turut mendapat bantuan daripada suaminya, Hasnul Adib Abidin, 42 yang bertindak sebagai penasihat.

"Hasil daripada perniagaan ini, kami telah membuka sebuah Inap Desa yang diberi nama Merimbun Homestay sebagai langkah untuk memajukan lagi perniagaan kami," katanya lagi.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-5521278

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 16, 2009

Rumpun Damai Nursery

(Post: Bahasa Melayu)
"Menyingkap rahsia kejayaannya itu, Md Rejab berkata, pada mulanya beliau tidak nampak bagaimana tapak semaian boleh memberikan pendapatan tambahan kepada keluarganya."

Kira-kira 37 tahun lalu beliau tidak pernah terfikir bahawa bidang semaian tanaman yang diceburi boleh mengubah hidupnya sekeluarga sehingga mampu meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Itulah yang berlaku kepada Md Rejab Hasanudin, 66, seorang bekas pengawal keselamatan sekolah di Kampung Melayu, Sungai Buloh yang kini mengusahakan syarikat landskap, Rumpun Damai Nursery.

Md Rejab yang lebih dikenali sebagai Pak Jab adalah antara perintis landskap di kampung berkenaan sehingga menjadikan kawasan sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara dikenali sebagai bandar nurseri, tempat kunjungan peminat seni hias laman.

"Saya hanya 'jaga' atau 'guard' di sekolah rendah ketika mula-mula menceburi bidang semaian. Saya berguru dengan Isa Bulat, orang pertama yang membuka nurseri di Sungai Buloh."

"Pada awalnya, saya hanya bekerja dengan Isa secara sambilan pada siang hari untuk menambah pendapatan manakala pada malam saya bertugas menjadi jaga di sekolah," katanya yang kini mempunyai tiga tapak semaian, dua di Sungai Buloh dan satu di Sungai Petani, Kedah.

"Mula-mula dulu, saya tanya Isa, mengapa dia menanam pokok yang tidak mendatangkan hasil seperti buah-buahan. Saya tidak nampak pokok yang berbunga dan berdaun ini boleh memberi duit."

"Selepas diterangkan Isa bahawa pokok bunga turut membuka rezeki kerana dibeli pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk landskap bandar baru dan kilang perusahaan, baru saya faham. Selepas itu, saya mengambil kursus semaian Jabatan Perhutanan yang dibuka kepada kakitangan kerajaan pada masa itu," katanya.

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dikutip selama sembilan tahun bekerja sambilan di Nurseri Sungai Buloh milik Mohd Isa, Md Rejab akhirnya mengambil keputusan membuka tapak semaian sendiri pada 1980.

Bermula dari situ, beliau terus mengembangkan perniagaannya dan kini menjadi kontraktor landskap untuk projek besar milik kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), swasta dan orang perseorangan.

Antara projek besar yang diusahakan syarikatnya ialah landskap untuk projek di bawah Arkib Negara dan Institut Perundangan dan Kehakiman Malaysia di Bangi.

Terkini, syarikatnya yang mempunyai 10 pekerja tetap itu melakukan kerja landskap untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Projek Mengindahkan Sungai Gombak dengan kontrak jutaan ringgit bagi tempoh tiga tahun.

Selain menjadi kontraktor landskap, syarikatnya juga menjadi pembekal pokok untuk landskap di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi cawangan syarikatnya di Kedah.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, pada peringkat awal, agak sukar untuk menjual hasil tapak semaian tetapi dengan bantuan Isa, beliau banyak mendapat kontrak kerajaan dan swasta.

"Pernah satu ketika, projek landskap yang dilaksanakan musnah akibat banjir. Saya menanggung rugi kerana selain pokok musnah, saya terpaksa menanam pokok baru yang kosnya ditanggung saya sendiri."

"Dalam projek besar, kita biasanya ada perjanjian dan risiko akibat bencana alam adalah ditanggung pihak syarikat, maka mahu atau tidak, kerja mesti diteruskan. Oleh itu, walaupun pendapatan sedikit, saya lebih berminat melaksanakan projek jangka pendek dan kecil-kecilan."

"Pendapatan yang sikit ini sebenarnya yang membawa kepada keuntungan lebih besar dan segera," katanya.

Selain menjual semaian dan membuat projek landskap untuk orang perseorangan, syarikatnya mula dikenali dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk menjual aksesori taman, membuat kolam, wakaf dan pegola.

Menganggap perniagaan yang diusahakan sebagai ibadah selain tempat mencari rezeki, beliau mengakui tidak pernah menjadikan syarikat lain yang ada di Kampung Melayu itu sebagai saingan tetapi rakan kongsi untuk bekerjasama dan mencari pendapatan bersama.

"Di kampung ini ada 18 kontraktor landskap dan nurseri tetapi kami semua bekerjasama bukannya bersaing. Jika syarikat saya terlalu banyak kontrak dan merasakan tidak mampu melaksanakannya, saya akan minta bantuan rakan lain, begitu juga sebaliknya."

Kini, selain menjadi kontraktor landskap, Pak Jab juga menjadi rujukan mereka yang ingin membuka tapak semaian serta menceburi bidang landskap. Malah, nurseri miliknya juga menjadi tempat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membuat latihan praktikal industri.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::