Pertandingan Landskap Herba
(Post: Bahasa Melayu)
" Jika dulu, pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman cuma ditanam di tepi rumah untuk dinikmati anggota keluarga, kini ia mampu memberi pulangan. Malah, kreativiti mengindahkan laman rumah dengan tanaman itu membolehkan pemiliknya memasuki Pertandingan Landskap Herba yang diwujud berteraskan Program Bumi Hijau anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. "
Konsep Pertandingan Landskap Herba memerlukan peserta menyediakan sudut atau landskap khas di kawasan kediaman, komuniti atau institusi bagi tanaman berasaskan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, herba dan ulam.
Penanaman disesuaikan dengan ruang sedia ada serta hasil yang dituai adalah untuk keperluan sendiri serta berterusan.
Objektif utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menternak bagi mengeluarkan makanan sendiri.
Selain menjimatkan kos, ia juga mampu mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai makanan berkhasiat yang selamat dimakan.
Selain itu, pertandingan juga secara tidak langsung dapat mengindahkan persekitaran kawasan kediaman, komuniti atau institusi.
Pengarah Kanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak, berkata kewujudan kebun di laman rumah secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara suami isteri serta anggota keluarga kerana tanaman memerlukan perhatian dan penjagaan.
"Suami isteri perlu bekerjasama menjaga tanam mereka dengan menyiram dan menjaga tanaman. Secara tidak langsung, ia mengukuhkan hubungan kerana saling bergantung untuk tampil dengan landskap menarik."
"Landskap ini juga secara emosi dapat menyenangkan mata yang melihat. Apabila jiran atau orang yang lalu lalang berasa tenang dan damai melihat tanaman yang hijau dan cantik, ia menjadi satu ibadat kepada kita kerana menyenangkan hati orang lain," katanya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Kebun Dapur/ Landskap Herba peringkat negeri Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.
Pertandingan itu mengandungi tiga komponen utama iaitu bercucuk tanam, ternakan dan akuakultur. Jenis tanaman termasuk sayur-sayuran berdaun atau berbuah, ulam dan pokok herba. Selain tanaman, penternakan juga digalakkan jika sesuai dengan kawasan.
Empat kategori dipertandingkan pada tahun ini iaitu kategori individu (perumahan), komuniti (perumahan), sekolah menengah dan sekolah rendah.
Penilaian dibuat berdasarkan lima bahagian utama iaitu penjenisan tanaman, penjagaan dan kesuburan tanaman, kreativiti dan kesesuaian susun atur, keselamatan dan kebersihan serta pengetahuan mengenai tanaman.
Hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan ini di peringkat negeri ialah RM1,000 bagi johan kategori individu, RM750 bagi naib johan dan RM500 untuk tempat ketiga. Manakala RM1,500 bagi johan kategori lain, RM1,000 untuk tempat kedua dan RM700 bagi tempat ketiga.
Dalam pertandingan peringkat negeri Selangor, Sekolah Menengah Seri Tiram Jaya (SMSTJ), Tanjung Karang memenangi kategori sekolah menengah manakala Sekolah Kebangsaan Gombak Setia (SKGS) pula menjuarai kategori sekolah rendah.
Bagi kategori komuniti, Taman Sri Puteri Cheras dipilih sebagai juara dan Mohd Som Ismail dari Felda Sungai Tengi memenangi tempat pertama kategori individu.
Semua pemenang layak menyertai pertandingan peringkat kebangsaan yang sudah memulakan proses penjurian pada 18 Oktober lalu hingga 1 November ini.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment