Pusat Inkubator Kraf Buluh
(Post: Bahasa Melayu)
" Buluh sebagai sumber alam yang banyak di negara ini berpotensi menjadi bahan kraftangan yang bukan saja cantik, tetapi berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa. "
Secara semula jadinya, buluh juga adalah sumber antibakteria, antikulat, hipoelergenik dan lebih bersih berbanding fabrik konvensional serta melepaskan lebih banyak oksigen berbanding pokok, tetapi kurang memerlukan air dan mudah dijaga.
Dari segi alam sekitar, penanaman buluh bertujuan mengawal hakisan tanah kerana akar yang tebal dan keras bertindak sebagai pengikat tanah yang kuat seperti peribahasa bagai aur dengan tebing.
Daripada 1,250 spesies di seluruh negara, 70 spesies buluh atau nama saintifiknya bambusa sp sudah dikenal pasti dengan 13 spesies digunakan secara meluas dalam industri kecil dan kraftangan.
Bagi pembuatan kraftangan, pemilihan buluh yang sesuai penting bagi memastikan kualiti kraftangan dengan faktor utama yang perlu dijaga adalah umur, ketebalan dinding dan panjang ruas.
Perabot buluh misalnya, menggunakan teknologi moden dan inovasi yang dimanfaatkan bukan saja kegunaan dalam rumah tetapi juga industri landskap dan seni taman yang biarpun bercirikan tradisional, tetapi kaya sentuhan kontemporari dan memenuhi konsep suai padan.
Namun, industri kraftangan negara tidak boleh di takuk lama dan perlu berdaya saing dengan produk negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang disifatkan lebih maju dari segi teknologi dan reka bentuk.
Sehubungan itu, usaha Kraftangan Malaysia memajukan kemahiran dan ketukangan tradisional serta mewujudkan standard kraftangan buluh, sememangnya dialu-alukan.
Agensi itu menyediakan program bimbingan rekaan menerusi bengkel khusus bagi pembangunan produk buluh untuk membantu usahawan menghasilkan rekaan, lebih pengetahuan mengenai bahan dan penggunaan peralatan, proses pengeluaran dan kemasan produk.
Penubuhan Pusat Inkubator Kraf Buluh di Simpang Pertang, Negeri Sembilan, yang menyediakan latihan jangka pendek kepada usahawan kraftangan juga adalah antara strategi bijak bagi memperkasakan industri ini.
Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Zakiah Ahmad, berkata pusat yang beroperasi sejak Mei 2009 di kawasan seluas 1.2 hektar itu, terbabit dalam pembangunan produk kraftangan buluh, penyediaan dan pemprosesan bahan buluh, menyediakan latihan pendek dan memajukan produk bersama usahawan untuk dijadikan produk contoh di pasaran.
Antara kemudahan mesin di pusat yang berciri seni bina Minangkabau ialah pemotong bilah buluh, penebuk lubang, ketam, perata, pengering serta bilik kemasan dan bengkel mengawet buluh.
"Pusat ini memberi peluang kepada pengusaha mempromosikan kraftangan buluh yang selama ini kurang mendapat publisiti. Ramai pengusaha kraf buluh terutama di negeri ini gagal memasarkan produk kerana kurang promosi serta tidak tahu cara memasarkan produk dan tiada tapak untuk menjual produk mereka."
"Pembukaan pusat ini mampu meningkatkan kualiti produk kerana usahawan yang mengikuti kursus disediakan dapat memanfaatkan pengetahuan baru itu untuk menghasilkan kraf buluh yang bukan saja menarik, tetapi berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran," katanya katanya, selepas perasmian pusat itu yang disempurnakan Menteri Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, baru-baru ini.
INFO Tip jagaan perabot buluh:
1) Gunakan berus bulu lembut atau kain bagi membuang habuk, sekurang-kurangnya sekali seminggu.
2) Elak tumpahan air atau cecair di atas perabot dan jika berlaku, segeralah membersihkannya.
3) Gunakan kain atau span yang dicelup dalam air sabun bagi membersihkan perabot buluh.
4) Elak penggunaan sabun pencuci mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan permukaan perabot buluh.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment