ATTENTION !!!

Showing posts with label sayur-sayuran. Show all posts
Showing posts with label sayur-sayuran. Show all posts

Friday, November 12, 2010

Pertandingan Landskap Herba

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika dulu, pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman cuma ditanam di tepi rumah untuk dinikmati anggota keluarga, kini ia mampu memberi pulangan. Malah, kreativiti mengindahkan laman rumah dengan tanaman itu membolehkan pemiliknya memasuki Pertandingan Landskap Herba yang diwujud berteraskan Program Bumi Hijau anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. "

Konsep Pertandingan Landskap Herba memerlukan peserta menyediakan sudut atau landskap khas di kawasan kediaman, komuniti atau institusi bagi tanaman berasaskan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, herba dan ulam.

Penanaman disesuaikan dengan ruang sedia ada serta hasil yang dituai adalah untuk keperluan sendiri serta berterusan.

Objektif utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menternak bagi mengeluarkan makanan sendiri.

Selain menjimatkan kos, ia juga mampu mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai makanan berkhasiat yang selamat dimakan.

Selain itu, pertandingan juga secara tidak langsung dapat mengindahkan persekitaran kawasan kediaman, komuniti atau institusi.

Pengarah Kanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak, berkata kewujudan kebun di laman rumah secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara suami isteri serta anggota keluarga kerana tanaman memerlukan perhatian dan penjagaan.

"Suami isteri perlu bekerjasama menjaga tanam mereka dengan menyiram dan menjaga tanaman. Secara tidak langsung, ia mengukuhkan hubungan kerana saling bergantung untuk tampil dengan landskap menarik."

"Landskap ini juga secara emosi dapat menyenangkan mata yang melihat. Apabila jiran atau orang yang lalu lalang berasa tenang dan damai melihat tanaman yang hijau dan cantik, ia menjadi satu ibadat kepada kita kerana menyenangkan hati orang lain," katanya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Kebun Dapur/ Landskap Herba peringkat negeri Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.

Pertandingan itu mengandungi tiga komponen utama iaitu bercucuk tanam, ternakan dan akuakultur. Jenis tanaman termasuk sayur-sayuran berdaun atau berbuah, ulam dan pokok herba. Selain tanaman, penternakan juga digalakkan jika sesuai dengan kawasan.

Empat kategori dipertandingkan pada tahun ini iaitu kategori individu (perumahan), komuniti (perumahan), sekolah menengah dan sekolah rendah.

Penilaian dibuat berdasarkan lima bahagian utama iaitu penjenisan tanaman, penjagaan dan kesuburan tanaman, kreativiti dan kesesuaian susun atur, keselamatan dan kebersihan serta pengetahuan mengenai tanaman.

Hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan ini di peringkat negeri ialah RM1,000 bagi johan kategori individu, RM750 bagi naib johan dan RM500 untuk tempat ketiga. Manakala RM1,500 bagi johan kategori lain, RM1,000 untuk tempat kedua dan RM700 bagi tempat ketiga.

Dalam pertandingan peringkat negeri Selangor, Sekolah Menengah Seri Tiram Jaya (SMSTJ), Tanjung Karang memenangi kategori sekolah menengah manakala Sekolah Kebangsaan Gombak Setia (SKGS) pula menjuarai kategori sekolah rendah.

Bagi kategori komuniti, Taman Sri Puteri Cheras dipilih sebagai juara dan Mohd Som Ismail dari Felda Sungai Tengi memenangi tempat pertama kategori individu.

Semua pemenang layak menyertai pertandingan peringkat kebangsaan yang sudah memulakan proses penjurian pada 18 Oktober lalu hingga 1 November ini.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, January 14, 2010

Ladang Organik Bandar Harapan

(Post: Bahasa Melayu)
"Setelah melalui perjalanan kira-kira 40 minit dari pusat bandar raya Kuala Lumpur menuju ke sebuah ladang yang terletak di Petaling Jaya, penulis agak kehairanan. Bagaikan tidak percaya melihat lokasi di PJU 1A/31, Ara Damansara yang dikelilingi dengan kawasan perumahan mewah tetapi di hujung deretan rumah, anda boleh melihat sebuah kawasan menghijau yang luas terbentang."

Di situlah terletaknya Ladang Organik Bandar Harapan. Lokasi tepatnya adalah di atas sebuah kawasan tanah berbukit.

Melihat keadaan ladang yang dipenuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau, apa yang boleh penulis simpulkan adalah konsep tanaman berselerak telah dipraktikkan di situ. Mungkin itu adalah identiti ladang tersebut yang kelihatan seperti sebuah kawasan perkampungan tradisional Melayu yang kaya dengan tanaman sayur dan ulam di belakang rumah.

Kawasan seluas 6.07 hektar itu mempunyai keistimewaan tersendiri. Mungkin sebelum ini, anda tidak pernah tahu tentang kewujudannya. Dibuka pada tahun 1999, kemudahan yang dapat anda nikmati amat berlainan.

Kalau hendak tahu, ladang tersebut dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai termasuk golongan kurang upaya bercucuk tanam di situ.

"Maaf ya... hari ini kita tidak ada pengunjung. Biasanya, mereka datang tidak menentu waktu tetapi pada hujung minggu memang ramai yang datang," beritahu pengusahanya, Ivan Ho Weng Cheong.

Menurut Ivan, dia menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur. Rata-rata pengunjung hadir tanpa sebarang pengetahuan mengenai bercucuk tanam. Jadi, Ivan akan mengajar mereka satu persatu.

"Ada juga yang datang tanpa membawa sebarang peralatan yang diperlukan tetapi tidak mengapa. Ini kerana saya akan menyediakan keperluan tersebut," ujarnya.

Kemahiran yang dikongsi itu bermula daripada teknik menggembur tanah untuk memulakan proses penanaman sayur atau buah-buahan.

Untuk proses menyegarkan tanaman, ia boleh dilakukan dalam dua cara iaitu memastikan tanaman menerima bekalan air berterusan sama ada melalui siraman tangan atau penyebar air. Namun istimewanya, Ivan lebih berminat untuk menggunakan sistem siraman tangan.

"Alasan saya menggunakan siraman tangan adalah kerana ia lebih mudah dan hasil tanaman juga akan lebih segar. Lagipun saya suka mengekalkan corak tanaman seperti zaman dahulu."

"Tidak perlu guna penyebar air kerana ia banyak menggunakan tenaga elektrik. Kalau boleh, saya mahu kurangkan kos elektrik dan hanya menggunakan teknologi hijau sahaja," jelasnya lagi.

Sementara itu, dari segi perlindungan sesuatu tanaman, Ivan akan memberi tunjuk ajar dengan menggunakan sungkupan daun kelapa. Ini kerana, bahan tersebut tidak memerlukan perbelanjaan, bersesuaian dengan matlamat utama ladang itu yang hanya menyarankan untuk menggunakan bahan kitar semula.

Tujuan perlindungan dibuat pada setiap tanaman adalah supaya ia tidak rosak sekiranya hujan lebat atau panas terik. Pemilihan kaedah sungkupan merupakan kaedah tradisi yang masih digunakan untuk menutup permukaan tanah yang telah disemai benih.

Sambil rancak berbual dan mengelilingi setiap pelosok ladang, Ivan mempelawa penulis untuk melihat bagaimana dia memproses sendiri baja-baja yang akan digunakan.

Lokasi memproses baja terletak di bahagian berasingan dengan tanaman hijau. Di situ, Ivan akan menjelaskan kepada pengunjung cara mudah pemprosesan baja.

Dia akan menggunakan baja yang dihasilkan daripada najis ayam, lembu, kambing dan tanah bakar. Kelebihan menyediakan sendiri bahan baja tanaman memberikan kepuasan kepadanya.

"Saya tekankan perkara sebegini supaya golongan orang kurang upaya (OKU) dapat mempraktikkannya di rumah. Sekurang-kurangnya, mereka bukan hanya dapat ilmu tetapi boleh menggunakannya untuk keperluan sendiri," jelas Ivan sambil membersihkan kawasan memproses baja.

Ivan menegaskan, bagi mereka yang tinggal di kediaman yang tidak mempunyai ruang bercucuk tanam, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengusahakan secara kecil-kecilan.

Berikan tempoh tidak kurang enam bulan, anda akan mengetahui jenis tanaman yang sesuai ditanam di persekitaran sempit. Lama-kelamaan aktiviti sebegitu boleh dibuat dengan lebih serius lagi.

Dengan mengamalkan konsep terbuka, Ivan dan rakan kongsinya, Sakti Velu a/l Panil Selvam bagaimanapun telah meletakkan beberapa syarat tertentu.

Syarat tersebut bukannya terlalu berat tetapi ia sebagai langkah keselamatan memandangkan sebelum ini, tercetus kejadian ibu bapa meninggalkan anak-anak mereka di situ.

Jelas Ivan, memang ada keluarga yang tidak berperikemanusiaan sanggup berpura-pura datang untuk belajar bercucuk tanam. Tetapi akhirnya mereka meninggalkan anak begitu sahaja tanpa sebarang dokumen.

Masalah itu telah menyukarkan Ivan untuk menjejak semula keluarga kanak-kanak terbiar terbabit. Justeru, pihaknya telah mengenakan syarat iaitu kemasukan golongan OKU mesti ditemani keluarga atau sanak-saudara.

"Keluarga mereka sendiri yang kena pegang atau pimpin anak masing-masing sepanjang sesi pembelajaran. Kami tidak akan jaga mereka tetapi sekadar berkongsi pengetahuan sahaja," katanya.

Tanpa mengharapkan sebarang pembalasan, kira-kira 500 pengunjung yang pernah bertandang ke sana berpeluang menjalani aktiviti berkaitan pertanian tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Lebih menarik lagi, hasil tanaman yang sudah matang akan dijual manakala keuntungan yang diperoleh akan diagihkan kepada mereka yang bersusah payah menjaga tanaman tersebut.

Ivan mengakui, Ladang Organik Bandar Harapan mampu mengaut keuntungan kira-kira RM5,000 sebulan hasil daripada jualan tanaman. Baki daripada pendapatan itu akan disimpan atau digunakan untuk membelanjakan keperluan semasa ladang.

Tinjauan Kosmo! mendapati, meskipun ladang itu luas, namun ia sebenarnya tidak menelan belanja bulanan yang besar untuk menguruskannya. Ini kerana dari segi baja yang diperlukan, Ivan tidak pernah membelinya dari luar, sebaliknya dia memproses sendiri bahan untuk dijadikan baja.

"Ladang ini tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada kerajaan. Lagipun, saya tidak suka sikap yang perlu bergantung kepada orang lain sedangkan kita sendiri boleh mendapatkannya."

"Itulah yang saya ingin tekankan kepada pengunjung terutama golongan OKU supaya mereka tidak perlu menagih simpati untuk menjana pendapatan. Sebaliknya, mereka perlu berdikari untuk menampung kehidupan seharian dengan cara yang betul," jelasnya bersungguh-sungguh.

Dalam pada itu, Ivan yang merupakan graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan, dia menggunakan sepenuhnya ilmu yang diperoleh untuk dikongsi bersama mereka yang berminat.

Ivan yang hanya bekerja separuh masa di ladang itu turut menubuhkan laman web Hati Harapan bersama rakan-rakannya.

Tujuan utama ia ditubuhkan untuk memberi gambaran sepnuhnya kepada orang ramai mengenai matlamat kewujudan ladang itu.

Isi kandungan yang boleh anda lihat apabila melayari laman itu antaranya ialah jenis tanaman herba.

"Laman itu memuatkan aktiviti yang telah dijalankan, objektif penubuhan serta borang bagi mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan Ladang Organik Bandar Harapan," terangnya.

Selain itu, kunjungan anda ke sana turut didedahkan mengenai tumbuhan hijau yang boleh dijadikan herba.

Ivan yang juga merupakan seorang pakar dalam pembuatan ubatan tradisional memilih untuk menanam misai kucing dan pegaga.

Katanya, generasi masa kini begitu terdedah untuk mendapatkan ubat yang sudah dicampur dengan pelbagai bahan yang tidak sepatutnya.

"Produk kesihatan... kalau kita tengok sekarang ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Tetapi hakikatnya pengguna juga boleh mendapatkan kesihatan yang baik dengan mengamalkan urutan tradisional," ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::