ATTENTION !!!

Showing posts with label event management. Show all posts
Showing posts with label event management. Show all posts

Thursday, April 15, 2010

Usaha Bisnes Kumpulan Argung

(Post: Bahasa Melayu)
" Ejekan rakan kerana menjual kerepek ubi pedas, kacang goreng dan kuih-muih ketika di sekolah rendah sedikit pun tidak menjadi nanah dalam dirinya. "

Sebagai anak kedua juga anak sulung lelaki daripada sembilan beradik, rasa tanggungjawab sememangnya tersemai sejak kecil biarpun usaha yang dilakukan itu berdepan cabaran.

"Ejekan rakan hampir menghancurkan semangat saya. Saya semakin tertekan apabila pengusaha kantin sekolah turut kurang senang dengan saya kerana perniagaannya terjejas. Katanya, kalau hendak berniaga, niaga di luar."

"Apapun, saya kuatkan hati serta tidak mempedulikan segala kata mereka kerana tekad membantu meringankan beban orang tua. Kehidupan kami ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' kerana bergantung pada upah diterima ibu bapa yang bekerja di kebun milik tauke Cina."

"Jika rakan lain ada duit belanja sekolah, saya perlu mencari duit sendiri. Itulah yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus berniaga," katanya.

Berpegang teguh pada prinsip tidak pernah kenal erti putus asa dan berazam mahu mengubah nasib keluarga membuatkan Mohd Indra yang kini bergelar Pengerusi Eksekutif Kumpulan Argung berbangga dengan pencapaiannya.

Kumpulan Argung kini mempunyai tujuh anak syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Antaranya, insurans kemalangan peribadi, pelancongan, perunding teknologi maklumat dan pengurusan, program korporat dan SMS, menjadi wakil memasarkan barangan pengilang, program keahlian dan pengurusan acara.

Menurut Mohd Indra, dia tidak pernah merasai zaman kanak-kanak atau remaja seperti orang lain kerana kebanyakan masanya dihabiskan bagi membantu kedua ibu bapanya menyara keluarga.

Menceritakan kembali zaman keperitannya sebelum bergelar usahawan berjaya, Indra berkata banyak rintangan dilalui, namun semuanya dapat diatasi dan pengalaman banyak membantunya mengenal erti hidup.

"Hasil membantu ibu menjual kuih-muih dan kerepek membolehkan saya menabung dan menghadiahkan sesuatu kepada diri sendiri. Ketika darjah tiga, saya dapat membeli basikal dengan duit sendiri. Waktu itu, hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya," katanya.

Ketika bersekolah asrama, Mohd Indra yang sememangnya 'otak bisnes', mengambil upah menggunting rambut bagi menambah duit kocek.

"Pada mulanya, ketika rakan meminta saya menggunting rambutnya, saya main 'belasah' saja. Lama kelamaan, bakat menggunting rambut semakin terserlah dan setiap Ahad, ramai kawan beratur menunggu giliran mereka. Saya cuma mengenakan upah 50 sen seorang dan wang itu dapat menampung perbelanjaan saya," katanya.

Tanpa pengetahuan pihak asrama, Mohd Indra turut berniaga barangan keperluan seperti ubat gigi dan berus gigi sebagai pendapatan sampingan.

"Ibu bapa tidak pernah membekalkan duit sekolah dan jika inginkan sesuatu, saya harus berusaha untuk mendapatkannya," katanya.

Walaupun sibuk berniaga kecil-kecilan, Mohd Indra tetap fokus pada pelajaran. Dia mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV).

Tawaran menyambung pelajaran diterima terpaksa dilupakan kerana kekangan kemiskinan. Mohd Indra terpaksa memberi laluan kepada adiknya yang lain menyambung pelajaran.

"Saya tidak pernah menganggur. Selesai pengajian, saya memikirkan cara untuk menjadi usahawan berjaya. Ketika di sekolah, cita-cita saya sering menjadi bahan ketawa kawan yang lain. Ketika ditanya guru, jika pelajar lain memberitahu mereka bercita-cita menjadi doktor atau jurutera, saya pula ingin menjadi orang kaya yang berjaya."

"Saya mahu menumpukan pada perniagaan kerana bidang ini yang boleh membuatkan seseorang keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Bagi merealisasikan cita-citanya, anak muda kelahiran Sekinchan itu belajar selok-belok perniagaan dengan menyertai syarikat pembinaan selepas tamat pengajian.

Pada usia 18 tahun, dia yang tidak sabar mempunyai syarikat sendiri berjaya mencapai impian. Memiliki lesen kontraktor kelas F, Mohd Indra melalui saat sukar dalam perniagaan iaitu bagi mendapatkan tender dan bayaran menyebabkan perniagaan itu cuma bertahan setahun serta menanggung hutang.

"Saya meneruskan kehidupan sebagai jurujual peralatan mainan, berus gigi dan barang kelengkapan diri. Harga barang dijual RM10 dan daripada jumlah itu, saya hanya mendapat komisen RM2."

"Bekerja sebagai jurujual menuntut kesabaran kerana tiada gaji pokok dan ia bergantung sepenuhnya kepada komisyen yang diterima. Saya perlu bekerja lebih masa kerana mahu mencari pendapatan lebih dan mensasarkan 150 barangan sehari bagi menampung perbelanjaan bulanan," katanya.

Jika orang lain bekerja hanya lapan jam sehari, Mohd Indra terpaksa bekerja 16 jam iaitu dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

"Untuk berjaya, seseorang itu perlu melakukan perkara luar biasa daripada orang lain untuk menghasilkan pendapatan di luar jangkaan. Percubaan sebagai jurujual tidak memberangsangkan lalu dia berhijrah ke Johor Bahru untuk mencari peluang membina hidup baru."

Menggunakan bakat yang ada, Mohd Indra menulis dan melukis pada cenderahati serta lukisan dan menjualnya di tapak bersebelahan Plaza Kotaraya.

Melihat potensi perniagaannya yang semakin maju, Mohd Indra melebarkan sayap dengan membuka perniagaan kereta terpakai dan restoran tanpa memikirkan risiko bakal dihadapi.

Pada usia 20 tahun, dia berjaya memiliki tiga perniagaan sekali gus dalam masa singkat. Di saat mengecapi kemewahan, semua perniagaannya mengalami kegagalan akibat kelemahan diri sendiri selain tempias kegawatan ekonomi.

Gagal perniagaan kali kedua membuatkannya hilang punca dan mengkaji penyebab kegagalan kerana kegigihannya tidak pernah berkurangan.

"Saya dapati kelemahan saya ialah terburu-buru mengembangkan perniagaan tanpa memikirkan risiko. Saya kecewa dan tidak sangka kerana daripada menjalani kehidupan mewah, akhirnya terpaksa berhutang kira-kira RM200,000."

Mohd Indra membuat keputusan merantau ke Indonesia. Dari Tanjung Balai, dia ke Karimon dan Pekan Baru. Dalam tempoh lapan bulan di negara orang, dia mengkaji kelemahan diri, mengenal diri dan belajar ilmu agama.

Di sana, dia banyak bermuhasabah diri dan mempelajari ilmu agama serta mendapat semangat baru daripada kegagalan yang dialaminya.

"Saya dapati, perlu ada peranan dari segi tanggungjawab dan keberkatan dalam pekerjaan yang dilakukan. Selama ini saya tak fikir tanggungjawab pada orang sekeliling," katanya.

Pada 1999, dia pulang ke tanah air dengan azam, semangat dan matlamat baru. Masih menjadi jurujual barang kelengkapan diri, tetapi kali ini dia bekerja lebih masa bagi merealisasikan cita-citanya menjadi usahawan berjaya.

Anak muda itu sedar, untuk mencapai sesuatu kejayaan, semangat, kekuatan emosi dan fizikal harus ada. Pada masa sama, dia turut mengikuti bengkel dan kelas perniagaan waktu malam selama enam bulan.

Hasil usaha gigihnya yang tak pernah kenal erti putus asa, pada 2001, Mohd Indra berjaya menubuhkan syarikatnya pertamanya diberi nama Dynasty Vision Resources yang menjalankan perniagaan berasaskan program keahlian.

Melihat perkembangan positif dan sambutan baik yang diterima syarikatnya, dia berjaya membuka beberapa syarikat lain yang turut berada di Kuantan.

"Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil. Jika dulu saya hanya mempunyai enam pekerja, tapi kini bertambah kepada 180 pekerja."

"Saya turut berterima kasih kepada ibu bapa dan keluarga termasuk isteri yang banyak memberi dorongan dan sokongan moral hingga berada pada tahap sekarang," katanya.

INFO:
Nama: Mohd Indra Kirana Mansod
Umur: 34 Tahun
Jawatan: Pengarah Urusan Kumpulan Argung.

Anak syarikat:
1. Argung Auto Garage
2. Dynasty Vision Resources
3. Argung Privileged Management
4. Dynasty Vision Resources Centre
5. Argung Global Management Sdn Bhd
6. Dynasty Argung Travel & Tours Sdn Bhd

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 26, 2009

Pasaraya Pak Aji

(Post: Bahasa Melayu)
"Pasaraya Pak Aji merupakan pasaraya 24 jam yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera Muslim telah itubuhkan pada tahun 2000. Pasaraya Pak Aji menawarkan pelbagai jenis barangan runcit, keperluan pasar segar dengan mengutamakan produk keluaran usahawan bumiputera."

"Kata orang, bisnes mesti keluarkan modal, idea dan jaringan. Bukan tak boleh bisnes, tetapi tidak cukup kuat kalau tidak disertai strategi."

"Dengan adanya strategi, berniaga tidak perlukan semua itu. Itulah modal saya selama ini," kata Ketua Pengawai Eksekutif Shamensi Holdings Sdn Bhd, Hishamudin Mohamad, 39.

Memulakan perniagaan dengan modal RM1,000 yang diperoleh daripada wang biasiswa pengajian di universiti, Hishamudin kini meraih keuntungan berlipat ganda.

Selepas 18 tahun dalam dunia perniagaan dan umur hampir mencecah 40 tahun, pemilik syarikat penyedia kelengkapan Muslim dan pasar raya 24 jam ini berhasrat melihat kebolehan berniaga dimilikinya memberi manfaat kepada masyarakat dan agama.

Meneliti senarai anak syarikat diterajui Hishamudin, terasa bagaikan perniagaan adalah sesuatu yang mudah baginya.Tambahan pula, slogan 'business is simple' turut tertulis pada kad perniagaan dan seorang kakitangannya turut mengiyakan telahan itu.

Hishamudin mengakui cabaran sememangnya ada, khususnya kekangan modal dan pengetahuan dalam teknologi.

Apapun, banyak kekurangan dan kelemahan yang ada dapat diatasi menerusi strategi bijak.

"Setiap manusia dikurniakan Allah dengan kelebihan dan saya diberikan kebolehan berniaga. Saya ingin gunakan kelebihan yang Allah kurniakan untuk membantu menegakkan agama Allah."

"Saya memegang kata-kata guru saya, kalau kita kejar dunia, dunia akan lari. Jika kita kejar akhirat, dunia akan kejar kita," katanya.

Hishamudin tidak pernah makan gaji walau sehari kerana dari awal lagi beliau berniaga. Darah orang berniaga begitu kuat mengalir dalam dirinya.

Arwah ibu bapanya, Madiah Akasah dan Mohamad Ismail menjalankan perniagaan runcit menerusi pembukaan tujuh rangkaian Muhammad Store di Klang. Apabila cuti semester, beliau menguruskan perniagaan keluarga.

Malah, sejak tahun pertama pengajian di Universiti Malaya lagi, beliau terbabit dengan perniagaan. Setiap kali pesta konvokesyen, beliau berpakat dengan rakan dan menyewa empat hingga lima gerai.

Satu gerai menjual jubah yang dijahit kakaknya, satu lagi menjual barangan keluaran Bumiputera, jagung bakar serta tom yam.

"Pada waktu sama, saya membekalkan bahan mentah kepada 20 gerai tom yam di pesta konvokesyen itu. Apa saja keperluan mereka seperti ikan, ayam, rempah dan sayur, saya sediakan. Untuk pesta selama empat hari, keuntungan diperoleh mencecah RM10,000 melalui perancangan selama sebulan," katanya.

Ketika di tahun dua pengajian, kakaknya, Jamaliah yang mempunyai kedai jahitan bagi tempahan jubah terpaksa meninggalkan perniagaannya kerana menghadapi masalah.

Disebabkan sayangkan perniagaan itu, Hishamudin mengambil alih tetapi menukar strategi dengan menjual jubah siap.

Apabila perniagaan itu bertambah maju iaitu melalui pembukaan bengkel di Klang dengan lima tukang jahit, beliau memanggil semula kakaknya bagi menguruskan bengkel jahitan berkenaan.

Ramai mengatakan, orang berniaga perlu mengambil risiko, namun bagi Hishamudin kenyataan itu kurang tepat.

"Bagi saya, perkataan tepat ialah bijak mengendalikan risiko. Misalnya, ketika gawat, strategi perlu diubah supaya perniagaan tidak jatuh," katanya.

Hishamudin berkata, situasi sama pernah dilalui bapanya yang ingin mengembangkan perniagaan dari Klang ke Cheras. Pada awalnya, bapanya membuka perniagaan kelengkapan beribadat umat Islam, namun disebabkan waktu itu penduduk belum ramai dan permintaan kurang, bapanya menukar kepada perniagaan runcit iaitu Pasaraya Pak Aji.

Pasaraya Pak Aji pernah mengalami kemerosotan apabila bapanya meninggal dunia pada 1998. Pada 2000, beliau menukar strategi menjadikan ia pasar raya beroperasi 24 jam, harga kompetitif dan pasar segar.

Pasar raya itu turut memasarkan produk halal keluaran Muslim.

Kini Shamensi ada beberapa cawangan, antaranya Ampang, Bandar Tun Hussein Onn, Green Town Mall dan Greentown Nova, Ipoh.

Mengikut perancangan, Shamensi dan Pasaraya Pak Aji akan difrancaiskan mulai tahun depan. Beliau mensasarkan dua tahun bagi melahirkan 200 francais.

Hishamudin turut menawarkan peladangan kontrak bagi sayuran, limau, serai dan cili padi kepada yang berminat. Bahan berkenaan akan dipasarkan di rangkaian Pasaraya Pak Aji yang akan dibangunkan di seluruh negara.

"Melalui syarikat kami, Total Solution Agro Biz Consultant Sdn Bhd, kita memberi peladangan kontrak, khidmat nasihat sebelum menanam dan ketika menanam, khidmat geran permulaan, teknik pertanian, pasaran selamat dan terjamin serta harga yang menguntungkan," katanya.

"Saya tidak mahu orang bekerja dengan saya, tetapi mahu mereka berniaga dengan saya. Saya banyak perniagaan dan tidak mahu tamak. Saya tidak mahukan dunia tetapi mahu bekerja kerana akhirat, iaitu dapat memberi manfaat kepada orang lain," katanya.

Tahun depan, beliau merancang membangunkan kilang pakaian Muslim yang lebih besar dengan 300 pekerja manakala pada 28 Jun ini, akan diadakan majlis pecah tanah hub halal terbesar di dunia di tapak seluas 1.6 hektar.

Hishamuddin dengan usaha sama rakan kongsi juga dalam usaha mewujudkan perkampungan Islam di Pinggiran Putra, Putrajaya di kawasan seluas 2.4 hektar.

Sebanyak 20 lot banglo akan dibina di kawasan berkenaan, selain masjid dan menara yang boleh melihat kawasan Putrajaya. Di tapak berkenaan juga akan didirikan hotel. Projek berkenaan akan dimulakan pada Januari 2010.

INFO Kumpulan Syarikat Shamensi:
- Shamensi Clothing Sdn Bhd
- Shamensi Garment Sdn Bhd
- Shamensi Islamic Hotel Sdn Bhd
- Pak Aji Marketing Sdn Bhd
- Pak Aji Holdings Sdn Bhd
- Pasaraya Pak Aji Sdn Bhd
- Al-Husaini Sdn Bhd
- Simple Technologies Sdn Bhd
- Latest Technologies Sdn Bhd
- Green Ideas Printing & Advertising Sdn Bhd
- Jom Halal Event Management Sdn Bhd
- Koperasi Pengedaran Produk Muslim Bhd
- Shamensi International Islamic Business School (Unisel)
- Total Solution Agro Biz Consultant Sdn Bhd

Sumber & Foto: myMetro , web Pasaraya Pak Aji

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::