ATTENTION !!!

Thursday, April 15, 2010

Usaha Bisnes Kumpulan Argung

(Post: Bahasa Melayu)
" Ejekan rakan kerana menjual kerepek ubi pedas, kacang goreng dan kuih-muih ketika di sekolah rendah sedikit pun tidak menjadi nanah dalam dirinya. "

Sebagai anak kedua juga anak sulung lelaki daripada sembilan beradik, rasa tanggungjawab sememangnya tersemai sejak kecil biarpun usaha yang dilakukan itu berdepan cabaran.

"Ejekan rakan hampir menghancurkan semangat saya. Saya semakin tertekan apabila pengusaha kantin sekolah turut kurang senang dengan saya kerana perniagaannya terjejas. Katanya, kalau hendak berniaga, niaga di luar."

"Apapun, saya kuatkan hati serta tidak mempedulikan segala kata mereka kerana tekad membantu meringankan beban orang tua. Kehidupan kami ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' kerana bergantung pada upah diterima ibu bapa yang bekerja di kebun milik tauke Cina."

"Jika rakan lain ada duit belanja sekolah, saya perlu mencari duit sendiri. Itulah yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus berniaga," katanya.

Berpegang teguh pada prinsip tidak pernah kenal erti putus asa dan berazam mahu mengubah nasib keluarga membuatkan Mohd Indra yang kini bergelar Pengerusi Eksekutif Kumpulan Argung berbangga dengan pencapaiannya.

Kumpulan Argung kini mempunyai tujuh anak syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Antaranya, insurans kemalangan peribadi, pelancongan, perunding teknologi maklumat dan pengurusan, program korporat dan SMS, menjadi wakil memasarkan barangan pengilang, program keahlian dan pengurusan acara.

Menurut Mohd Indra, dia tidak pernah merasai zaman kanak-kanak atau remaja seperti orang lain kerana kebanyakan masanya dihabiskan bagi membantu kedua ibu bapanya menyara keluarga.

Menceritakan kembali zaman keperitannya sebelum bergelar usahawan berjaya, Indra berkata banyak rintangan dilalui, namun semuanya dapat diatasi dan pengalaman banyak membantunya mengenal erti hidup.

"Hasil membantu ibu menjual kuih-muih dan kerepek membolehkan saya menabung dan menghadiahkan sesuatu kepada diri sendiri. Ketika darjah tiga, saya dapat membeli basikal dengan duit sendiri. Waktu itu, hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya," katanya.

Ketika bersekolah asrama, Mohd Indra yang sememangnya 'otak bisnes', mengambil upah menggunting rambut bagi menambah duit kocek.

"Pada mulanya, ketika rakan meminta saya menggunting rambutnya, saya main 'belasah' saja. Lama kelamaan, bakat menggunting rambut semakin terserlah dan setiap Ahad, ramai kawan beratur menunggu giliran mereka. Saya cuma mengenakan upah 50 sen seorang dan wang itu dapat menampung perbelanjaan saya," katanya.

Tanpa pengetahuan pihak asrama, Mohd Indra turut berniaga barangan keperluan seperti ubat gigi dan berus gigi sebagai pendapatan sampingan.

"Ibu bapa tidak pernah membekalkan duit sekolah dan jika inginkan sesuatu, saya harus berusaha untuk mendapatkannya," katanya.

Walaupun sibuk berniaga kecil-kecilan, Mohd Indra tetap fokus pada pelajaran. Dia mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV).

Tawaran menyambung pelajaran diterima terpaksa dilupakan kerana kekangan kemiskinan. Mohd Indra terpaksa memberi laluan kepada adiknya yang lain menyambung pelajaran.

"Saya tidak pernah menganggur. Selesai pengajian, saya memikirkan cara untuk menjadi usahawan berjaya. Ketika di sekolah, cita-cita saya sering menjadi bahan ketawa kawan yang lain. Ketika ditanya guru, jika pelajar lain memberitahu mereka bercita-cita menjadi doktor atau jurutera, saya pula ingin menjadi orang kaya yang berjaya."

"Saya mahu menumpukan pada perniagaan kerana bidang ini yang boleh membuatkan seseorang keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Bagi merealisasikan cita-citanya, anak muda kelahiran Sekinchan itu belajar selok-belok perniagaan dengan menyertai syarikat pembinaan selepas tamat pengajian.

Pada usia 18 tahun, dia yang tidak sabar mempunyai syarikat sendiri berjaya mencapai impian. Memiliki lesen kontraktor kelas F, Mohd Indra melalui saat sukar dalam perniagaan iaitu bagi mendapatkan tender dan bayaran menyebabkan perniagaan itu cuma bertahan setahun serta menanggung hutang.

"Saya meneruskan kehidupan sebagai jurujual peralatan mainan, berus gigi dan barang kelengkapan diri. Harga barang dijual RM10 dan daripada jumlah itu, saya hanya mendapat komisen RM2."

"Bekerja sebagai jurujual menuntut kesabaran kerana tiada gaji pokok dan ia bergantung sepenuhnya kepada komisyen yang diterima. Saya perlu bekerja lebih masa kerana mahu mencari pendapatan lebih dan mensasarkan 150 barangan sehari bagi menampung perbelanjaan bulanan," katanya.

Jika orang lain bekerja hanya lapan jam sehari, Mohd Indra terpaksa bekerja 16 jam iaitu dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

"Untuk berjaya, seseorang itu perlu melakukan perkara luar biasa daripada orang lain untuk menghasilkan pendapatan di luar jangkaan. Percubaan sebagai jurujual tidak memberangsangkan lalu dia berhijrah ke Johor Bahru untuk mencari peluang membina hidup baru."

Menggunakan bakat yang ada, Mohd Indra menulis dan melukis pada cenderahati serta lukisan dan menjualnya di tapak bersebelahan Plaza Kotaraya.

Melihat potensi perniagaannya yang semakin maju, Mohd Indra melebarkan sayap dengan membuka perniagaan kereta terpakai dan restoran tanpa memikirkan risiko bakal dihadapi.

Pada usia 20 tahun, dia berjaya memiliki tiga perniagaan sekali gus dalam masa singkat. Di saat mengecapi kemewahan, semua perniagaannya mengalami kegagalan akibat kelemahan diri sendiri selain tempias kegawatan ekonomi.

Gagal perniagaan kali kedua membuatkannya hilang punca dan mengkaji penyebab kegagalan kerana kegigihannya tidak pernah berkurangan.

"Saya dapati kelemahan saya ialah terburu-buru mengembangkan perniagaan tanpa memikirkan risiko. Saya kecewa dan tidak sangka kerana daripada menjalani kehidupan mewah, akhirnya terpaksa berhutang kira-kira RM200,000."

Mohd Indra membuat keputusan merantau ke Indonesia. Dari Tanjung Balai, dia ke Karimon dan Pekan Baru. Dalam tempoh lapan bulan di negara orang, dia mengkaji kelemahan diri, mengenal diri dan belajar ilmu agama.

Di sana, dia banyak bermuhasabah diri dan mempelajari ilmu agama serta mendapat semangat baru daripada kegagalan yang dialaminya.

"Saya dapati, perlu ada peranan dari segi tanggungjawab dan keberkatan dalam pekerjaan yang dilakukan. Selama ini saya tak fikir tanggungjawab pada orang sekeliling," katanya.

Pada 1999, dia pulang ke tanah air dengan azam, semangat dan matlamat baru. Masih menjadi jurujual barang kelengkapan diri, tetapi kali ini dia bekerja lebih masa bagi merealisasikan cita-citanya menjadi usahawan berjaya.

Anak muda itu sedar, untuk mencapai sesuatu kejayaan, semangat, kekuatan emosi dan fizikal harus ada. Pada masa sama, dia turut mengikuti bengkel dan kelas perniagaan waktu malam selama enam bulan.

Hasil usaha gigihnya yang tak pernah kenal erti putus asa, pada 2001, Mohd Indra berjaya menubuhkan syarikatnya pertamanya diberi nama Dynasty Vision Resources yang menjalankan perniagaan berasaskan program keahlian.

Melihat perkembangan positif dan sambutan baik yang diterima syarikatnya, dia berjaya membuka beberapa syarikat lain yang turut berada di Kuantan.

"Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil. Jika dulu saya hanya mempunyai enam pekerja, tapi kini bertambah kepada 180 pekerja."

"Saya turut berterima kasih kepada ibu bapa dan keluarga termasuk isteri yang banyak memberi dorongan dan sokongan moral hingga berada pada tahap sekarang," katanya.

INFO:
Nama: Mohd Indra Kirana Mansod
Umur: 34 Tahun
Jawatan: Pengarah Urusan Kumpulan Argung.

Anak syarikat:
1. Argung Auto Garage
2. Dynasty Vision Resources
3. Argung Privileged Management
4. Dynasty Vision Resources Centre
5. Argung Global Management Sdn Bhd
6. Dynasty Argung Travel & Tours Sdn Bhd

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::