Tauke Buah MBG
(Post: Bahasa Melayu)
" Bermula dengan menjual buah-buahan secara kecil-kecilan, perniagaan Lee Foo kemudian diteruskan oleh anak lelakinya Ying Cheong. Legasi perniagaan itu diteruskan oleh cucunya, Adnan Lee yang kini menjual buah-buahan di pasar raya. "
Legasi perniagaan buah-buahan keluarga Lee bermula di sekitar Jalan Petaling dan Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sekitar tahun 60-an dan 70-an.
Seperti rakan-rakannya yang lain, Lee Foo yang berasal dari China memilih untuk berhijrah ke Malaysia atau lebih dikenali sebagai Tanah Melayu ketika itu untuk mencari rezeki dan memulakan kehidupan baru.
Bermula sebagai buruh kasar, pendapatan yang kecil menyebabkan Lee beralih menjaja buah-buahan secara kecil-kecilan di sekitar Kuala Lumpur.
Dengan pendapatan itu juga dia membesarkan lapan orang anaknya semasa menetap di sebuah perkampungan setinggan di Bukit Bintang.
Keramahan Lee menyebabkan beliau disenangi penduduk setempat. Bahkan kegigihannya juga menjadi inspirasi anak-anaknya.
Tradisi perniagaannya itu kemudian diambil alih oleh salah seorang anaknya, Lee Ying Cheong, 60. Ying Cheong berniaga buah-buahan di sekitar Pasar Pudu dan Jalan Imbi sekitar tahun 70-an dan 80-an dengan basikal roda tiga.
Pada cuti hujung minggu atau cuti sekolah, Ying Cheong membawa keempat-empat orang anaknya ke tempat beliau berniaga sambil dibantu isterinya, Loh Lai Choo, 53. Selain dapat membantunya, Ying Cheong mahu anak-anaknya memahami bagaimana sukarnya dia dan isteri mencari rezeki.
Tanpa disedari, anak sulung Ying Cheong, Adnan Lee, 35, mula menunjukkan minat dalam bidang perniagaan. Adnan kerap mengikut dan membantu bapanya berbanding adik-beradiknya yang lain.
Segala selok-belok perniagaan dikutip dan dijadikan landasan untuk mewarisi perniagaan keluarganya itu.
Lelaki dengan ketinggian 194 sentimeter (sm) itu sebenarnya amat meminati bidang lukisan ketika di bangku sekolah, namun minat itu tidak menghalangnya melibatkan diri dalam bidang perniagaan yang diwarisi sejak berumur lapan tahun.
Sejurus menamatkan pelajaran pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1994, beliau memberanikan diri berniaga dengan basikal roda tiga.
"Hari pertama berniaga, saya mendapat keuntungan sebanyak RM30, walaupun kecil namun sudah cukup untuk membakar semangat saya agar terus gigih dalam bidang ini," kata Pengarah Urusan MBG (Money Back Guarantee) Fruits Sdn. Bhd. itu.
Menceritakan pengalaman pahit yang ditempuhinya, Adnan memberitahu ketika itu dia tidak mempunyai lesen dan berniaga di beberapa buah lokasi di sekitar ibu negara.
"Sebab itu, setiap kali nampak kelibat lori atau pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya akan segera menutup perniagaan dan melarikan diri. Saya bukan sahaja pernah didenda, bahkan barang-barang perniagaan juga pernah disita sebelum ini," ujarnya.
Serik berdepan dengan pengalaman pahit itu setiap hari, Adnan nekad membuka perniagaan secara tetap di Pasar Imbi pada sebelah pagi.
"Ketika itu perniagaan semakin berkembang, habis berniaga di pasar pagi, pada sebelah malamnya saya akan berniaga di pasar malam di sekitar Taman Desa, Taman Maluri dan Kuchai Lama."
Memeluk Islam pada 2001 dan berkahwin dengan seorang warga Indonesia, Nurul Aini, 34, pada tahun yang sama, Adnan bertekad untuk memperkenalkan buah-buahnya di pasar raya.
"Cawangan pertama saya ialah di pasar raya NSK Selayang. Saya bertanggungjawab menguruskan bahagian penjualan buah-buahan situ, selepas itu saya menguruskan cawangan kedua di pasar raya NSK Rawang," ujar bapa kepada tiga cahaya mata perempuan iaitu Nur Lee Mei Yee, 8, Nur Lee Tar Sha, 6 dan Diana Lee Mei Kuan, 4.
Tanpa menoleh ke belakang, Adnan memberanikan diri membuka cawangan di pusat beli-belah Avenue K di Jalan Ampang pada 2005.
"Saya mengeluarkan modal sebanyak RM90,000, pada mulanya keluarga tidak bersetuju kerana ia berisiko tinggi tetapi saya berjaya menyakinkan mereka."
"Dalam tempoh enam bulan pertama, perniagaan saya mengalami kerugian disebabkan kekurangan pelanggan, apabila dikaji ia berpunca daripada ketiadaan promosi. Dari situ baru saya tahu, konsep berniaga di pusat beli-belah berbeza dengan berniaga di pasar malam," ujarnya.
Minat yang mendalam dalam bidang lukisan sedikit sebanyak memberi idea kepada Adnan untuk menjenamakan perniagaannya di bawah MBG.
Jelasnya, usaha dan strategi pemasaran yang dilakukan ternyata berhasil apabila konsep yang diperkenalkan mendapat kepercayaan pelanggan dan pengusaha pusat beli-belah khususnya di sekitar Lembah Klang.
"Saya berpegang kepada tiga prinsip utama iaitu kebersihan gerai dan premis, sentiasa memenuhi kehendak pelanggan dan memastikan kualiti produk yang dijual. Jika mereka tidak berpuas hati kita akan pulangkan semula wang tanpa ragu-ragu."
"Berkat kesungguhan saya, MBG akhirnya mampu berdiri teguh dan kini mempunyai 16 cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk satu di Melaka. Antara cawangan yang ada ialah di The Gardens, Mid Valley, Sunway Pyramid, Subang Parade dan The Curve," kata Adnan yang mempunyai 140 orang pekerja.
Perkembangan dunia teknologi tanpa sempadan menyebabkan Adnan cuba mempromosikan perniagaannya secara talian dan khidmat penghantaran.
"Idea ini timbul kerana saya tidak mahu ketinggalan dalam bisnes sebab itu saya tidak ragu-ragu untuk melabur dan membangunkan kaedah jualan secara talian."
"MBG juga turut menawarkan perkhidmatan penghantaran buah-buahan kepada pelanggan dan mungkin ia antara konsep pertama yang diperkenalkan di negara ini," ujarnya yang memberitahu setiap buah tidak akan disimpan lebih daripada seminggu.
Gembira dengan maklum balas daripada pelanggan, Adnan berkata, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan kadar caj yang dikenakan.
"Kami mempunyai seorang pekerja penghantar di setiap cawangan, jika pelanggan menempah sebelum pukul 12 tengah hari, buah-buahan tersebut akan dihantar pada sebelah petang, jika tempah pada waktu petang ia akan dihantar keesokan hari."
"Lagipun buah-buahan bukannya seperti makanan segera yang perlu dimakan terus. Ia mungkin disimpan sebelum dimakan dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari kemudian, kecuali mereka yang inginkan perkhidmatan segera," jelasnya yang bercadang membuka cawangan di Jakarta, Indonesia.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment