ATTENTION !!!

Tuesday, February 17, 2009

Real Adventure Gear

(Post: Bahasa Melayu)
"Lebih mudah bekerja sendiri kerana saya akan memegang amanah saya sendiri. Jika berusaha kuat, kami akan dapat lebih, jadi semuanya bergantung kepada diri sendiri. Sama juga konsep ketika mendaki, kena berdikari dan membuat keputusan sendiri."

Sekali imbas, selayaknya Ahmad Nazrin Abu Bakar, 33, bergelar peguam syarie atau bekerja dalam sektor perundangan kerana latar belakang pendidikan dimiliki menjurus ke arah itu.

Namun, realitinya jauh berbeza kerana apa yang dilakukan sekarang lebih kepada minatnya terhadap aktiviti sukan lasak terutama mendaki gunung dan berkhemah. Jadi, tidak hairanlah anak jati Kuala Lumpur ini mempunyai premis sendiri membekalkan peralatan aktiviti lasak.

Perniagaan yang dijalankan bersama rakan baiknya ketika menuntut di UIA, Faizal J k Mohd Radzali, 33, berjaya membuktikan pilihan yang dibuat memang tepat memandangkan sambutan terhadap sukan itu ketika ini sangat memberangsangkan.

Kini, Real Adventure Gear Sdn Bhd berdiri megah di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur atas titik peluh sendiri dengan membekalkan peralatan seperti pelbagai beg, peralatan serta pakaian terutama jenama Eiger yang terkenal di pasaran Indonesia serta produk Bodypack dan Nordwand.

Pencapaian yang dikecapi Nazrin pada hari ini bukannya suatu yang datang secara mudah dan beliau bukannya mewarisi kemewahan keluarga tetapi berusaha sendiri.

Semua pengalaman, kesusahan hidup diaplikasikan bapa kepada empat anak ini ke dalam dunia perniagaan dan hidupan harian dengan menganggap segala cabaran, masalah sebagai satu rencah untuk beliau membaiki diri mencapai kejayaan.

"Tiada apa nak dimalukan, memang saya ada kelulusan akademik yang baik, tetapi itu bukan jaminan. Seronok berada di bawah bersama masyarakat kerana ia membantu saya belajar mengenai kehidupan," katanya.

Bahkan, sepanjang pengajian di UIA, ada saja kerja dilakukan sepanjang musim cuti untuk menambah pendapatan. Banyak kerja yang dilakukannya termasuk di stesen minyak, mengecat rumah, buruh binaan, pembantu di pusat membeli-belah, berniaga di pasar malam dan pasar tani.

"Saya dah lali kena marah, kena arah, bertindak ikut arahan bos. Semua saya dah rasa, cukuplah. Saya dah puas bekerja ketika zaman menjadi pelajar universiti. Itu sebenarnya pengalaman cukup berguna untuk saya."

"Sekarang saya buat apa yang saya suka, mengikut minat dan ia sebenarnya lebih menarik tambahan pula bidang ini berkait rapat dengan sedikit pengalaman sedia ada. Syukur, bidang ini menjanjikan masa depan yang cerah kerana tidak ramai anak Melayu yang membekalkan keperluan mendaki," katanya.

Sebagai permulaan sebelum memiliki premis sendiri, beliau dan rakannya banyak menyertai jualan di karnival untuk memperkenalkan produk mereka. Hari ini, Real Adventure adalah antara pembekal utama barangan Eiger.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::