ATTENTION !!!

Monday, May 24, 2010

Siri Animasi 3D Supertots

(Post: Bahasa Melayu)
" Garapan jalan cerita, latar belakang realistik, padanan suara latar dan kehalusan pergerakan karakter merupakan antara inti pati penting penghasilan sesebuah produksi tiga dimensi (3D) untuk memberi impak kepada penonton. "

Membikin filem atau siri animasi 3D memerlukan keberanian kerana bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi tetapi kesabaran serta ketelitian untuk memberi nafas kepada setiap karakter dihasilkan.

Bahkan, penghasilan sesebuah produksi animasi 3D yang memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya membuatkan ramai berfikir dua tiga kali sebelum mengambil keputusan menceburi bidang tersebut.

Bagaimanapun, kejayaan filem Geng Pengembaraan: Upin dan Ipin sehingga ke peringkat antarabangsa telah merubah persepsi mengenai animasi 3D di negara ini, sekali gus membuka 'jalan' kepada syarikat-syarikat tempatan untuk bersama-sama merebut peluang dalam industri baru itu.

Salah sebuah syarikat tempatan yang tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi animasi ialah Netcarbon.

Syarikat ditubuhkan pada tahun 2003 itu sedang dalam pembikinan siri animasi 3D berbahasa Inggeris iaitu Supertots.

Supertots merupakan langkah berani Netcarbon yang sebelum ini membangunkan projek kandungan interaktif untuk memasarkan siri enam episod untuk segmen pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Netcarbon, Mohd. Rashdan Ramlee, berkata, Supertots merupakan siri animasi 3D berlatar belakangkan angkasa lepas dengan menampilkan lima kanak-kanak pendukung watak utama iaitu Captain Danny, Elly, Alan, Shasha dan Blinq yang menentang Zeeboz.

"Dalam siri animasi selama 11 minit bagi setiap episod ini, kami ingin menerapkan nilai-nilai murni seperti persahabatan, perpaduan dan semangat kerjasama."

"Begitupun, mesej utama yang ingin kami sampaikan dalam setiap episod siri animasi ini adalah kepentingan kerjasama dalam mencapai kejayaan. Tanpa semangat kerjasama tentu sukar memperoleh kejayaan," katanya.

Menyentuh mengenai lima watak utama siri Supertots, Mohd. Rashdan menambah, setiap kanak-kanak itu mempunyai personaliti unik dan kuasa tersendiri.

"Sebagai contoh Captain Danny yang berumur lima tahun merupakan ketua pasukan Supertots memiliki kuasa baju perisai nanotek untuk menangkis serangan Zeeboz. Alan pula hanya berusia dua tahun adalah pegawai komunikasi dengan kuasa misteri."

"Elly (pegawai sains), Shasha (pegawai keselamatan) dan Blinq (jurutera utama) pula berumur empat tahun masing-masing mempunyai kuasa seperti telekinesis, kekuatan super serta kelajuan super," katanya lagi.

Dalam pembikinan siri animasi Supertots, Netcarbon bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Persatuan Forum Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF).

Produksi yang bermula pada bulan Mac lalu, dijangka siap menjelang Jun 2011 melibatkan kira-kira 45 tenaga kerja. Lebih manis kesemuanya merupakan anak tempatan.

Ujar Mohd. Rashdan lagi, selain daripada lima watak utama itu terdapat juga karakter Atok yang merupakan penjaga kapal angkasa serta membantu dan menasihatkan kanak-kanak itu setiap kali mereka bergaduh atau berselisih faham.

Katanya, Zeeboz pula merupakan watak nakal dalam animasi 3D tersebut yang akan menimbulkan masalah kepada pasukan Supertots.

"Bagi menyiapkan satu episod Supertots, kita memperuntukkan masa tiga hingga empat bulan demi menjaga kualiti dan produk akhirnya."

"Pelbagai proses yang perlu dilalui sebelum siri animasi 3D ini dapat direalisasikan. Kami juga menggunakan beberapa aplikasi utama dalam pembikinan animasi ini termasuk Autodesk Softimage, Apple Final Cut Studio dan Particle Illusion," ujarnya lagi.

Mohd. Rashdan menambah, proses pembikinan siri animasi 3D Supertots itu bermula dengan idea dan konsep terlebih dahulu. Selepas kata sepakat dicapai proses lakaran serta jalan cerita bermula dalam bentuk dua dimensi (2D).

Walaupun lakaran 2D tampak menarik tetapi apabila ditukar kepada 3D, ia tidak seperti yang dikehendaki dan memerlukan dia dan tenaga kerja mencari penyelesaian.

"Sebelum proses pembentukan watak, kita terlebih dahulu perlu merakam gerak geri yang dikehendaki melalui proses rakaman pergerakan di studio."

"Memandangkan kami menggunakan bakat dewasa pereka model perlu memainkan peranan agar ia bersesuaian dengan perwatakan kanak-kanak yang cuba ditonjolkan dalam siri animasi 3D ini," katanya.

Ujar beliau lagi, proses rakaman pergerakan melibatkan empat peringkat utama iaitu modeling (proses membuat model), rigging (proses membuat rangka dalam animasi), animation dan rendering (proses menjadi model sebagai imej).

Sementara itu, Pengarah Seni Netcarbon, Marhaidan Muhiddin, berkata, proses modeling amat penting kerana ia adalah langkah mewujudkan karakter dalam siri itu sebelum memasukkan aspek lain seperti anggota badan, pakaian, warna dan sebagainya.

"Setiap pereka model perlu mempunyai ketelitian dan kesabaran dalam menghasilkan setiap watak dalam pembikinan siri animasi 3D ini."

"Apabila sudah selesai dan berpuas hati dengan modeling kita akan memulakan proses rigging pula yang bertujuan untuk memasukkan tulang-tulang agar pergerakan kelihatan lebih lembut serta kemas," ujarnya lagi.

Marhaidan menambah, proses rigging amat penting untuk membuatkan watak-watak dalam siri animasi 3D kelihatan realistik.

Katanya, jikalau rigging tidak dilakukan dengan sempurna pergerakan watak-watak itu akan kaku dan tidak dapat memberi impak kepada penonton.

"Dalam pembikinan siri animasi 3D ini, kita juga menggunakan pencahayaan Global Illumination (GI) agar setiap perincian dapat dilihat oleh penonton."

"Pencahayaan GI lebih merumitkan daripada biasa tetapi hasilnya lebih mengagumkan dan dapat memberi kepuasan kepada penonton kelak," katanya.

Selain itu, jelas Marhaidan, proses rendering juga memerlukan kesabaran kerana mengambil masa yang lama iaitu kira-kira satu bulan untuk sebuah episod.

"Kita akan melihat sama ada apa yang dikehendaki dapat dihasilkan jika tidak berpuas hati proses rendering dilakukan semula," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Netcarbon, Muhammad Iskandar Daniel Yahya, menambah, siri animasi 3D Supertots itu banyak menggunakan warna ceria kerana watak yang ditonjolkan adalah kanak-kanak.

"Walaupun latar belakang cerita ini mengisahkan di angkasa lepas, namun warna ceria diterapkan dalam pembikinan siri animasi ini."

"Kita mahu penonton berasa seronok dan mendapat pengajaran serta mesej yang cuba disampaikan pada setiap episod siri animasi ini," ujarnya lagi.

Netcarbon sudah mendapat beberapa permintaan dari luar negara untuk penyiaran siri animasi 3D Supertots itu. Syarikat berkenaan juga bercadang untuk membuat dalam bahasa Melayu bagi pasaran tempatan kelak.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::