ATTENTION !!!

Showing posts with label pemborong (wholesaler). Show all posts
Showing posts with label pemborong (wholesaler). Show all posts

Sunday, May 22, 2011

ALIVE Organic Lifestyle

(Post: English)
" Organic consumer product manufacturer, wholesaler and retailer Alive Group plans to venture into the restaurant business in June this year as it looks to expand its reach. "

The restaurant, to be located in the centre of Kuala Lumpur, will have a seating capacity for 60 and provide an entire range of organic or natural food selection with the aim of promoting a healthy lifestyle.

Alive group consultant K.C. Lim said its current organic food range under the Nutrigracia brand will be made available at the restaurant. The initial cost of investment of the eatery is estimated at RM1 million.

The Nutrigracia brand, which now has organic rice, pulses, pasta and noodles, will soon add cooking oil, sauces and gravy to its range.

Nutrigracia is available on the shelves at Cold Storage and Village Grocer outlets as well as at the Westin Kuala Lumpur and the Ritz Carlton.

Alive is so passionate about promoting healthy lifestyle that two months ago it started the Organic Kitchen on Jalan Sultan Ismail in Kuala Lumpur. For a start, this deli-like concept is providing takeaway organic cereal and sandwiches for breakfast.

The concept came about as modern lifestyle sees people skip breakfast and consume low-fibre high-calories food instead. The kitchen now sells about 100 breakfast sets each morning.

"Organic Kitchen is a way of creating awareness ... we will start lunch delivery to offices in the vicinity after the Chinese New Year," Lim said.

The company, adheres closely to its tagline "Organic Lifestyle ... is an attitude".

Alive was founded in 1998 by Teh Li Lin who started using massage techniques for healing. As an aromatherapist, she introduced her own range and concoction of essential oils which have therapeutic benefits.

Later, Alive introduced skin- care, personal care and health supplements, and in 1999, it ventured into organic food.

The business, Lim said, has enjoyed average year-on-year revenue growth of 15 per cent and chalked up RM12 million in the financial year ended 2009.

Alive, which has not audited its results for 2010, said it hopes to have ended 2010 with a 20 per cent jump in revenue.

The company derives 25 per cent of its revenue from treatments and fasting programmes, and another 25 per cent from its skin-care range.

A fifth comes from household, supplement and personal-care products, while Nurtigracia makes up another 20 per cent. The balance comes from its other affiliated businesses.

Lim also pointed out that the Alive group does not advertise, claiming that Alive products are so effective that they market themselves through word-of-mouth.

Source: Business Times

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, October 31, 2010

T-Shirt Ilham Muslimah

(Post: Bahasa Melayu)
" Suatu ketika dulu, wanita bertudung tidak ada banyak pilihan untuk bergaya dengan kemeja-T berlengan panjang. "

Berbanding kemeja-T berlengan pendek, pilihan untuk bergaya memang luas kerana selain menampilkan potongan mengikut susuk yang tampak kemas dan cantik, ia juga ada pelbagai corak serta tata rona menarik dan jelas memperlihatkan gaya feminin.

Gaya dan rekaan fesyen kemeja-T seperti itu sudah tentu lebih sesuai untuk wanita yang tidak bertudung.

Pembekal dan pemborong kemeja-T dan busana Muslimah, Ilham Muslimah, Sharifah Norita Syed Abdullah, berkata bagi wanita bertudung, khususnya yang begitu prihatin menutup bahagian tubuh yang tidak boleh diperlihatkan kepada bukan mahram, pastinya tidak menyenangi fesyen kemeja-T berlengan pendek seumpama itu sekali pun fesyen, corak dan tatarona diketengahkan memenuhi cita rasa wanita.

"Kemeja-T adalah antara pilihan sesuai untuk individu itu bergaya kasual atau santai, tidak kira lelaki mahupun wanita. Ini kerana ia lebih ringkas dan mudah digayakan."

"Tetapi dulu kerana tiada pilihan, untuk gaya santai wanita bertudung lazimnya lebih senang memilih blaus atau pun kemeja-T berlengan panjang yang dipakai lelaki iaitu berpotongan lurus dan didatangkan dalam corak sederhana tanpa langsung mempunyai ciri feminin."

"Apabila fesyen sarung tangan untuk menutup bahagian lengan mula diperkenalkan, barulah kemeja-T berlengan pendek yang mengetengahkan gaya dan citra wanita menjadi pilihan mereka yang bertudung kerana ia boleh dipadankan dengan sarung tangan berkenaan bagi menutup bahagian lengan yang terdedah."

"Tambahan pula, ada sarung tangan didatangkan dalam rekaan menarik seperti disatukan dengan renda cantik dan sebagainya. Cara pemakaian seperti itu sememangnya memberikan pilihan untuk wanita bertudung bergaya, tetapi tidak begitu praktikal dan memberikan keselesaan si pemakai," katanya.

Sharifah Norita berkata, tidak berapa lama selepas itu inner (pakaian dalam) berlengan panjang pula diketengahkan bagi membolehkan ia dipadankan dengan kemeja-T berlengan pendek dan menjadi pilihan untuk wanita bertudung bergaya.

Hakikatnya walaupun bertudung naluri wanita untuk bergaya cantik memang sentiasa wujud dalam diri. Justeru, tidak hairanlah pelbagai idea kreatif difikirkan untuk wanita bertudung bergaya dan turut sama menikmati aliran fesyen terkini.

"Inner diperkenalkan sekurang-kurangnya memberikan pilihan dan peluang kepada wanita bertudung untuk menggayakan kemeja-T lengan pendek yang tidak dinafikan kebanyakan fesyen rekaannya mengikuti aliran terkini. Tetapi, ada yang berasa tidak selesa dan rimas apabila terpaksa menyarungkan dua pakaian dalam satu masa. Lebih-lebih lagi, dalam cuaca panas, tentu berasa tidak begitu selesa," katanya.

Sharifah Norita berkata, memahami senario itu Ilham Muslimah, memperkenalkan koleksi kemeja-T berlengan panjang yang cocok untuk dipakai wanita bertudung, khusus bergaya santai.

Koleksi kasual diketengahkan memenuhi aspirasi wanita bertudung bergaya kerana selain menampilkan ciri busana muslimah, rekaan ditampilkan juga mengikut aliran terkini seiring dengan fesyen kemeja-T berlengan pendek.

Koleksi kemeja-T ditampilkan memperlihatkan pelbagai gaya potongan menarik yang menjurus rekaan feminin dan menyuntikkan ilham lebih segar serta memikat.

Si pemakai juga tampak lebih cantik dan bergaya terutama jika bijak suai padankan koleksi pakaian berkenaan dengan seluar jeans, skirt atau pun celana panjang lain.

Koleksi kemeja-T Ilham Muslimah bukan saja berlengan panjang malah labuh menutup punggung.

Untuk pilihan lebih luas, koleksi didatangkan dalam variasi gaya fesyen, dengan corak atau tata rona menawan, dari yang polos hinggalah bercorak seperti bunga dan jalur. Malah, koleksi berkenaan tidak memperlihatkan kemeja-T yang ketara, sebaliknya tampak seperti blaus.

Kebanyakan koleksi juga tidak dibiarkan polos tetapi diberikan sentuhan lebih kreatif seperti diadunkan dengan dua atau lebih rona dalam rekaan, dihiasi butang atau kocek dan juga ada tambahan jahitan lisu berlipat pada bahagian depan dan dada baju berkenaan.

Begitu juga pada bahagian lengan, sesetengah koleksi menampilkan potongan kreatif yang memberi impak lebih segar dan bergaya.

Bagi memberikan lebih keselesaan pada si pemakai, koleksi pakaian itu didatangkan dalam material bermutu iaitu lembut dan tidak terlalu tebal.

Terdapat lebih 30 rekaan yang diketengahkan dan ia dijual pada harga RM42 ke atas.

Koleksi Ilham Muslimah dijual secara borong dan boleh diperoleh dengan melayari laman web Ilham Muslimah.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, October 17, 2010

Roha Collection

(Post: Bahasa Melayu)
" Pada usia sembilan tahun, Raha Ismail sudah mula mengekori ibunya, Asmah Awang Chik menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dengan menjual pelbagai jenis barangan serbaneka. "

Walaupun tidak pernah dipaksa untuk berbuat demikian, namun Raha melakukan semua itu dengan kerelaan sendiri. Tanpa disuruh, dia juga akan menyusun barang-barang untuk diperaga pada pelanggan.

Malah, berbanding lapan adik-beradik lain yang kesemuanya perempuan, dia boleh dianggap peneman setia kepada ibunya.

Siapa sangka bermula dengan minat, kemudian dipupuk dengan kesungguhan, rutin tersebut akhirnya menjadikan Raha atau lebih mesra dipanggil Roha seorang usahawan wanita yang berjaya apabila meningkat dewasa.

Jenama Roha Collection cukup dikenali di daerah Kluang kerana ia merupakan butik pemborong dan penjual pakaian yang beroperasi sejak awal tahun 2006.

"Butik kami menawarkan pelbagai jenis kain pasang, tudung, baju siap termasuk kurung dan kebaya, blaus, jubah, telekung, aksesori serta kelengkapan raja sehari."

"Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lima tahun, butik saya sudah mempunyai tiga cawangan di Johor iaitu dua di Kluang dan satu lagi di Mersing," ujar Roha ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor.

Butik itu turut menerima tempahan baju pelbagai jenis fabrik dan bersedia menjahit rekaan yang diingini pelanggan.

"Kami mampu menyiapkan tempahan tersebut dalam masa sehari jika mereka mahu. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama terutama mereka yang datang dari luar daerah Kluang," jelas wanita yang berusia 32 tahun itu.

Sambil menunjukkan beberapa koleksi terbaru Roha Collection, ibu kepada Mohd. Hishamuddin, 9, memberitahu, dia menceburi dunia perniagaan secara serius sejak umur 22 tahun.

Ketika itu Roha memilih untuk menjadi salah seorang usahawan dalam dunia skim jualan langsung (MLM). Selepas empat tahun, barulah dia memulakan bisnes butik Roha Collection dengan modal sebanyak RM2,000.

Banyak rintangan

Memegang kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Roha membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika kita sentiasa berusaha.

"Bukan mudah untuk berjaya hingga ke tahap sekarang. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui. Dalam dunia perniagaan, kita akan berjumpa dengan pelbagai karakter manusia."

"Adakalanya kita akan tertipu dengan mereka dan begitulah sebaliknya. Tetapi, itu bukan penghalang untuk kita mencapai impian. Apa yang penting, setiap apa yang dilakukan perlu jujur," tegas Roha yang berkahwin pada usia 23 tahun.

Bertemu jodoh dengan seseorang jejaka dari Padang, Indonesia, perkenalannya dengan suami, Jamaluddin Johan, 32, bermula atas urusan perniagaan.

Roha mengakui suaminya merupakan tulang belakang kejayaan yang dikecapinya.

"Tanpa sokongan suami, tidak mungkin saya mampu menempuh pelbagai dugaan dunia perniagaan ini," tuturnya.

Apakah pengalaman getir sepanjang menjalankan perniagaan? Roha berkata, dia pernah ditipu pelanggan dan rakan niaga serta berdepan dengan pekerja yang tidak jujur iaitu mencuri idea di butiknya dan kemudian memberitahu kepada pesaing perniagaannya.

Bagaimanapun, Roha tidak gentar dengan persaingan kerana dia percaya dengan rezeki yang diatur Allah. Dia juga yakin dengan bakat dan kreativiti yang dikurniakan kepadanya dan jenama pakaiannya

Bawa staf bercuti

Satu petua yang sempat dititipkan Roha untuk berjaya dalam perniagaan ialah tidak lokek berkongsi rezeki dengan pekerja dan mereka yang memerlukan.

Justeru, setiap tahun dia akan menutup operasi semua cawangan butik semata-mata untuk membawa pekerja dan keluarganya bercuti di seluruh negara.

"Sejak dua tahun bekerja di sini, saya gembira kerana mendapat majikan seperti kak Roha. Dia sangat sporting dan sentiasa berkongsi masalah dengan kami."

"Paling seronok apabila kami dibawa bercuti ke destinasi peranginan terkenal seperti di Langkawi, Genting Highlands serta negara jiran, Singapura dan Indonesia," ujar pekerja Roha, Wan Noraila Mohd. Jaafar, 20.

Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan butiknya, Roha berazam untuk memiliki bangunan sendiri pada masa akan datang.

"Buat masa ini, saya masih menyewa lot-lot kedai pada kadar di antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan. Insya-Allah, jika diizinkan saya mahu mempunyai bangunan perniagaan sendiri yang lebih moden dan canggih."

"Kepada wanita yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan, jangan cepat berputus asa jika apa yang diusahakan tidak menjadi. Sebaliknya, terus berusaha dengan gigih," kata Roha mengakhiri bicara.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 17, 2010

Beras Syarikat Faiza

(Post: Bahasa Melayu)
" "Saya ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini." Itulah azam, pemilik syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd., Faiza Bawumi Sayed Ahmad ketika ditemui Kosmo! di Sri Gading, Batu Pahat, Johor. "

Wanita kelahiran Mesir itu berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya.

Ketika kebanyakan wanita seusianya berehat di rumah, Faiza, 58 dan nenek kepada 32 cucu sibuk merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pelbagai cabang perniagaan di negara ini.

Faiza yang juga Pengarah Urusan Syarikat Faiza, sedang bertungkus-lumus mengeluarkan beberapa produk baru yang dijangka masuk ke pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan sejak tahun 1992 itu berada di landasan betul sekaligus mencatatkan keuntungan saban tahun.

Berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak kecil, Faiza pernah menjadi juruwang di kedai milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius dalam bidang perniagaan.

"Kejayaan ini tidak datang dengan mudah, saya bermula dengan mengambil upah menjahit sulaman dengan modal RM4 selain menjual pelbagai barangan dapur."

"Kemudian, saya beralih membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya yang dilakukan di rumah dan mengedarkannya di kedai-kedai," katanya yang mampu menguasai bahasa Melayu setelah tiga bulan berada di Malaysia.

Ibu kepada tujuh anak itu menambah, modal daripada menjual rempah kari itu digunakan untuk membuka kedai runcit. Dari situ beliau mendapati pemborong beras kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain.

Dengan mempunyai kedai sendiri, beliau mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya.

Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam.

"Pada mulanya, saya buntu juga melihat satu lori treler penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun saya nekad membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai di seluruh Johor."

"Sehingga kini, perniagaan beras keluaran syarikat saya mendapat sambutan. Meskipun saingan sengit, kami telah dikenali kerana kualiti produk yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal," katanya yang kini mempunyai kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.

Pada tahun 1998, beliau terdorong mempromosi beras ponni dari India yang dipercayai baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi.

Faiza berkata, bagi membuktikan kebaikan beras itu, syarikatnya telah meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat kajian dan hasilnya memang positif.

"Saya melabur berjuta ringgit bagi produk Taj Mahal dan telah meminta hak eksklusif daripada Bernas," tambahnya yang gembira dengan sambutan orang ramai terhadap produk tersebut.

Walaupun syarikatnya menumpukan produk beras dan rempah, kini beliau sedang meneroka bidang baru termasuk memasarkan bihun, sos cili dan kicap.

Beliau yang mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak berkata, dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.

Ketika ini, syarikatnya telah memasarkan bubur herba penghujung tahun lalu dan mendapat permintaan yang baik daripada para pelanggan.

Bagi produk bihun pula, syarikatnya telah menempah mesin dari China dan produk itu akan diproses di sebuah kilang lain juga di Sri Gading.

Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari, namun pada peringkat awal cuma memproses lima tan bihun dengan sasaran jualan sebanyak RM12 juta bagi tahun pertama.

Faizah yang suka hidup bermasyarakat berkata, semua usaha yang dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang susah.

Sebab itulah, syarikatnya bekerjasama dengan TV3 selaku penaja utama sejak lapan tahun lalu menerusi program Bersamamu.

Dari segi kehidupan berkeluarga, Faizah menerapkan pendekatan supaya anak-anaknya hidup berdikari. Sejak kecil anak-anaknya dilatih menjual dan mereka mendapat upah.

Bagaimanapun katanya, pendidikan menjadi keutamaan dan mereka diberi peluang menuntut ilmu setinggi mungkin.

"Bukan semua anak saya terlibat dalam perniagaan, anak sulung dan kelima menjadi pensyarah dan lima yang lain membantu Syarikat Faiza," katanya.

Bercerita tentang pengalaman menguruskan perniagaan tersebut, beliau pernah menangkap pekerja yang menipu dan mencuri.

"Macam-macam cara orang hendak menipu dan saya pernah menangkap pekerja yang menjual guni beras yang dimasukkan ke dalam lori. Guni beras ini harganya mahal di pasaran," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, May 16, 2010

Bisnes Buah Engkabang

(Post: Bahasa Melayu)
" Kita mungkin biasa mendengar dan melihat minyak dihasilkan menggunakan buah kelapa, jagung dan kelapa sawit, namun tidak ramai yang mengetahui masih terdapat sejenis buah yang boleh diproses untuk dijadikan minyak masak. "

Buah yang dimaksudkan ialah engkabang. Mungkin ramai antara kita yang tidak pernah mendengar namanya apatah lagi melihatnya di depan mata. Ini kerana pokok engkabang banyak tumbuh di kawasan pedalaman Sarawak termasuk di sekitar Sungai Rajang.

Buah engkabang atau nama saintifiknya shorea macrophylla cukup sinonim di kalangan masyarakat yang tinggal di pedalaman Sarawak terutama kaum Iban.

Bagi masyarakat Iban, buah itu turut dikenali sebagai bilun atau buah helikopter kerana mempunyai pelepah kecil yang melindungi buahnya seolah-olah bilah kipas helikopter.

Menurut penduduk tempatan, mereka sangat terpegun apabila melihat buah engkabang gugur dari pokok kerana buahnya jatuh secara berputar bagaikan helikopter hendak mendarat.

Kosmo! difahamkan, engkabang mempunyai keunikan tersendiri kerana berbuah tiga hingga lima tahun sekali dan mengandungi khasiat sebagai agen antipenuaan.

Buahnya bukan sahaja dijadikan minyak, malah turut diproses bagi menghasilkan produk kosmetik untuk golongan wanita.

Ada juga sesetengah masyarakat di Sarawak menjadikan buah engkabang sebagai ulam kerana rasanya lebih lemak dan berbau harum sementara kayunya pula amat bernilai kerana boleh digunakan untuk membuat rumah.

Bagaimanapun, cara memproses minyak amat rumit kerana kulit buah engkabang perlu dikupas terlebih dahulu sebelum isinya dijemur untuk dikeringkan.

Menurut cara tradisional, isi engkabang yang sudah kering kemudian ditumbuk hingga halus dan diperah hingga keluar minyaknya.

Kemudian, minyak tersebut akan disimpan di dalam buluh sehingga menjadi seperti mentega sebelum digunakan untuk memasak.

Minyak yang dihasilkan daripada buah engkabang sangat sesuai digunakan untuk membuat nasi goreng kerana harumannya yang membuatkan nasi menjadi sedap.

Bagi penduduk yang bergantung hidup dengan memungut hasil hutan, ketibaan musim engkabang amat dinanti-nantikan kerana ia menjadi punca pendapatan.

Pada Februari lalu, penduduk di Song, Sarawak bagaikan berpesta menyambut kedatangan musim engkabang sehingga mereka sanggup berjalan di atas kayu-kayu terapung di sungai untuk memungut buah engkabang yang gugur sebelum dijual kepada pemborong.

Seorang tukang kebun, Selah Awi, 42, berkata, ramai orang termasuk kanak-kanak masuk ke hutan untuk mencari buah engkabang.

"Kami akan pungut buah engkabang yang gugur sebelum dibawa balik ke rumah untuk dikeringkan."

"Selepas isi engkabang kering barulah kami menjualnya kepada pemborong kerana isi yang telah dikeringkan lebih mahal harganya," kata Selah kepada Kosmo!.

Menurut lelaki itu, beliau turut menanam pokok engkabang di kebun yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Dulu pokok engkabang banyak tapi sekarang tinggal sedikit saja kerana ia terpaksa ditebang untuk mendapatkan kayu bagi tujuan membuat rumah," ujarnya.

Selah memberitahu, dengan bantuan isteri dan anak-anak, mereka bersama-sama membelah buah engkabang bagi mengasingkan isi dan kulitnya untuk dijemur sebelum dijual.

Beliau berkata, sekarang susah untuk mendapatkan minyak yang dihasilkan daripada buah engkabang kerana prosesnya yang rumit.

"Kalau dulu, orang kampung akan buat minyak sendiri dengan memasak biji engkabang di dalam buluh, namun sekarang tidak ada lagi, malah di kedai pun sudah tiada," kata beliau.

Bagi pemborong buah engkabang yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 56, setiap kali tibanya musim engkabang, halaman rumahnya mesti dikosongkan untuk dijadikan tempat mengumpul buah yang telah dijual oleh penduduk.

"Kadang-kadang sampai tiga tan buah yang telah kering dijual oleh penduduk sehinggakan tidak cukup tempat untuk menyimpannya," katanya yang menjadi pemborong engkabang sejak tahun 1986.

Katanya, buah engkabang yang belum kering dibeli pada harga 60 sen sekilogram, manakala isi yang telah kering dibeli pada harga antara RM1 hingga RM2.

"Walaupun saya membeli buah yang telah kering, namun ia akan terus dijemur dan dikeringkan lagi untuk mendapatkan kualiti terbaik sebelum dihantar ke Sibu.

"Buah ini kemudiannya akan dieksport ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi di sana," jelasnya.

Di saat kemeriahan penduduk memungut engkabang apabila tiba musimnya, penduduk tempatan bagaimanapun melahirkan rasa kecewa kerana banyak pokok telah ditebang oleh pembalak haram dan untuk tujuan pembangunan.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, January 18, 2010

Pakaian Berjenama Tetapi Murah

(Post: Bahasa Melayu)
"Melihat sahaja deretan pakaian berjenama popular yang dipamerkan di galeri butik berkenaan, pasti tiada siapa menyangka ia dijual pada harga yang sangat murah. Kualitinya tetap sama, tidak mempunyai sebarang cacat cela pada jahitan dalaman mahupun luaran menyebabkan mereka yang sebelum ini tidak berminat pada pakaian berjenama terus terpikat."

Sebutlah jenama-jenama terkenal seperti Ralph Lauren, Tommy Hilfigure, Carters, Calvin Klein, Burberry, Brooks Brothers, Marks n Spencer, Evisu, Nordstrom, Replay, AX dan GAP, semuanya ada di bawah satu bumbung.

Hakikatnya, koleksi jenama pakaian popular dari Eropah dan Amerika Syarikat itu harganya mungkin mencecah diantara RM600 sehingga RM1,000 sehelai atau sepasang, namun di butik Factory Overrun ia boleh dibawa pulang pada harga serendah RM49, bahkan ada yang lebih murah daripada itu!

Itulah hasil usaha gigih usahawan muda, Azmi Abdul Malik, 35, yang mengusahakan Factory Overrun, syarikat tempatan yang mempelopori penjualan terus dari kilang pakaian-pakaian berjenama sejak lapan tahun lalu.

Azmi memberitahu, obsesinya terhadap pakaian berjenama sejak menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor lebih sedekad lalu telah 'memahirkannya' untuk mendapatkan bekalan barangan tersebut pada harga murah.

"Sebagai peminat pakaian berjenama, saya sentiasa mencari jalan untuk mendapatkannya pada harga yang lebih murah berbanding dengan harga di pasaran dan pada masa sama, kualiti fabrik serta mutu jahitannya masih tulen."

"Pencarian saya akhirnya membuahkan hasil apabila saya mengetahui terdapat pakaian-pakaian berjenama dikilangkan dan ia dipasarkan pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasaran," katanya.

Menurutnya, stigma bahawa pakaian berjenama terlalu mahal untuk dimiliki dan jika ia dijual di butik atau premis bukan eksklusif adalah produk tiruan masih menebal dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Setiap pelanggan yang datang ke butik Factory Overrun akan diberi penerangan mengenai perbezaan antara pakaian cetak rompak, dinyah asing (reject) dan koleksi tulen yang terdapat di premis ini," katanya.

Jelasnya, pakaian 'berjenama' tiruan pada kebiasaannya boleh dinilai berdasarkan fabrik dan kualiti jahitan, begitu juga barangan reject yang dikesan melalui kecacatan pada jahitan dan potongan.

"Pakaian berjenama di butik ini dihasilkan di kilang-kilang berlesen di negara ini dan rantau Asia yang mendapat kebenaran dan tempahan pemilik jenama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengilangkannya."

"Bekalan yang diperoleh Factory Overrun merupakan lebihan tempahan pakaian dan atas sebab itu, logo atau jenama pakaian berkenaan yang terletak pada tengah dalam kolar kemeja dan sebagainya mempunyai kesan guntingan."

"Prosedur ini juga sebagai tanda pakaian berkenaan adalah tulen dan asli. Jika ia tiruan, pasti tanda berkenaan tidak 'dikerat'," katanya.

Selepas lebih setahun membuka premis pertamanya di Greentown Nova, Azmi kini boleh berbangga kerana butiknya yang kedua telah beroperasi di Pusat Bandar Seri Manjung. Butiknya yang terbaru iaitu di bandar Taiping pula akan dibuka tidak lama lagi.

"Saya yakin penjualan pakaian berjenama ini mempunyai peminatnya sendiri kerana mereka lebih mementingkan kualiti kerana keselesaan pemakainya," katanya.

Menurutnya, Factory Overrun kini menawarkan berpuluh-puluh jenis jenama pakaian popular untuk lelaki dan wanita dewasa serta koleksi kanak-kanak seperti GAP, Old Navy dan OshKosh.

Selain itu, Azmi juga bertindak sebagai pemborong dan membekalkan pakaian berjenama terbabit kepada peniaga berminat di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Pahang.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan bersih sebanyak RM1.5 juta bagi tiga buah butiknya sepanjang tahun 2010. Katanya, sasaran itu mampu dicapai berikutan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan terhadap pakaian-pakaian berjenama tetapi pada harga mampu dibeli.

"Saya yakin penjualan pakaian berjenama akan terus mendapat sambutan menggalakkan lebih-lebih lagi masyarakat mengetahui ia adalah original."

"Selain itu, penjenamaan semula Factory Overrun sedikit masa lagi diharap dapat meningkatkan jualan," katanya.

Ketika ini, Factory Overrun menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus untuk beberapa jenis pakaian terpilih dan peluang itu harus direbut oleh mereka yang tidak mampu membeli pakaian berjenama pada harga asal.

"Apa yang pasti, pakaian yang terdapat di butik kami merupakan fesyen terkini seperti yang terdapat di pasaran," katanya.

INFO:
Factory Overrun
Lokasi: No.14, Jalan Greentown 1, Greentown Nova, Ipoh, Perak

Telefon: 019-5761807

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 8, 2009

Butik Pakaian getGorgeous

(Post: Bahasa Melayu)
"Gandingan mantap dua beradik, Siti Azlia Idha, 27, dan Siti Allia Idha Abd Latif, 24 yang masih muda, bergaya dan bijak pastinya dicemburui ramai gadis."

Jika dilihat pada luaran, dua wanita muda ini tampak sama seperti wanita sebaya. Mereka suka bergaya dan benar-benar cintakan fesyen, namun setiap patah bicara tidak sekadar cakap kosong tanpa isi, sebaliknya pasti akan terselit cerita mengenai perniagaan dan hala tuju masa depan butik Muslimah dalam talian milik bersama iaitu getGorgeous.

Kelahiran getGorgeous kira-kira tiga tahun lalu mengubah banyak perkara dalam hidup mereka. Azlia Idha, sebelum ini bergelar arkitek landskap di Seremban, manakala Allia Idha pula lulusan Sarjana Muda dalam bidang kreatif media dari Universiti Multimedia, Cyberjaya.

"Melepaskan jawatan profesional untuk bergelar usahawan internet bukan keputusan yang mudah dan memulakan perniagaan Internet juga bukan kerja yang main-main."

"Namun saya percaya, kejayaan getGorgeous sehingga mampu berada pada tahap ini dalam waktu yang singkat adalah hasil daripada keinginan yang kuat, kerja keras, pengorbanan dan berkat dorongan daripada mereka yang berpengalaman," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mereka juga turut mengakui, rahmat Ilahi sentiasa menyebelahi sepanjang menjalankan perniagaan Internet selain beruntung kerana mendapat bimbingan daripada penasihat dan rakan kongsi, Nooraizan Mamat yang juga seorang panel motivasi untuk syarikat jualan langsung (MLM) mengenai selok-belok dunia perniagaan.

Tidak meletakkan sebarang tekanan walau menjalankan usaha sama bersama ahli keluarga sendiri, kata Azlia Idha, gandingan antara beliau dan adiknya melengkapkan penubuhan getGorgeous.

"Saya seorang yang minat berfesyen dan sentiasa mengambil tahu aliran gaya semasa, malah sebagai bekas arkitek, saya terdidik untuk sentiasa kreatif selain menjadikan setiap benda kelihatan indah."

"Adik saya pula mempunyai kepakaran dalam bidang multimedia grafik dan kemahirannya dalam merekabentuk laman sesawang serta fotografi banyak membantu," katanya.

Memulakan cerita mengenai butik muslimah secara dalam talian milik mereka, Azlia Idha memberitahu, semuanya tercetus ketika membantu abang dan kakak ipar mereka membuat perniagaan cupcake secara dalam talian.

"Memang semangat betul ketika itu apabila melihatkan perniagaan mereka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan seluruh negara. Lantas, saya terfikir, mengapa tidak saya membuka butik secara dalam talian juga."

"Kebetulan pula pada 2007, tidak ramai yang menjual pakaian Muslimah moden di Internet. Memanfaatkan minat yang mendalam dalam bidang fesyen, malah rakan-rakan juga sering merujuk mengenai penampilan diri sesuai dengan mereka daripada saya, lantas lahirlah butik Muslimah getGorgeous," katanya.

Pada awal penubuhan getGorgeous, Azlia Idha mengakui sukar mendapatkan kepercayaan pelanggan kerana masih belum dikenali.

"Ada yang takut ditipu, justeru kami terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Sindiran negatif juga perkara biasa mungkin kerana mereka tidak yakin perniagaan Internet mampu menjana pendapatan yang kukuh."

"Bagaimanapun, semua itu kami anggap sebagai cabaran dan akhirnya, berkat kejayaan, kata sinis yang kami terima dulu bertukar menjadi pujian yang tiada penghujungnya," katanya.

Bagi Azlia Idha, mengubah titik hidup untuk menjadi seorang yang berjaya memerlukan keberanian dan pesanan daripada Nooraizan, perkara yang paling susah adalah untuk memulakannya dan perkara yang paling mencabar adalah untuk mengekalkannya pasti akan disemat di dada sebagai pembakar semangat.

"Sekiranya anda masih ragu-ragu atau tidak yakin untuk memulakan perniagaan, saya sarankan supaya buat perniagaan secara sambilan dulu. Apabila anda rasa yakin, buatlah sepenuh masa."

"Paling penting adalah fokus. Jangan suka ikut dan dengar cakap orang, buat apa yang anda minat serta jujurlah kepada diri sendiri dan orang lain," jelasnya.

Celah Allia Idha, ramai anak muda tidak didedahkan sepenuhnya dengan dunia perniagaan dan menganggap perniagaan adalah jalan terakhir untuk mencari rezeki sedangkan di dalam Quran ada menyebut sembilan daripada 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan.

"Cabang perniagaan itu banyak dan carilah yang sesuai dengan jiwa anda kerana apabila serasi dengan kerja kita maka ia akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan."

"Tapi, makan gaji juga tidak salah kerana dari situ kita dapat mengutip pengalaman dan modal untuk mengukuhkan tapak sebelum terjun ke bidang perniagaan yang penuh risiko," katanya.

Menurut Allia Idha lagi, getGorgeous sendiri bermula dengan modal yang sangat kecil, tetapi semangat dan keinginan yang besar dalam diri tidak membataskan langkah mula mereka ketika itu.

"Bayangkan, koleksi pertama kami hanya enam helai baju saja, malah ketika mula-mula membuat keputusan untuk bergelar usahawan Internet, bapa juga seolah-olah tidak merestui keputusan kami."

"Tapi mungkin kerana sejak di bangku sekolah, bapa sering menasihatkan kami berniaga daripada makan gaji, jadi semua kepayahan dan cakap-cakap daripada orang sekeliling yang mempertikaikan kemampuan kami membangunkan getGorgeous hanya melintas bak angin lalu saja," jelasnya.

Bagaimanapun, berkat doa dan restu kedua ibu bapa, Zaimah Abdul Hamid dan Abdul Latif Idrus, walau usia perniagaan masih baru, dua adik-beradik itu mula melebarkan sayap perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan borong kepada peniaga butik yang berminat memasarkan koleksi getGorgeous.

Sehingga kini getGorgeous mempunyai pengedar dari lapan negeri antaranya Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak selain Kuala Lumpur serta sekitar Selangor.

Kini, Azlia Idha melangkah lebih jauh dan bercadang untuk berkongsi pengalaman memulakan perniagaan Internet, kisah hidup dan rahsia kejayaannya di e-book.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, October 30, 2009

Busana Muslimah ID Perempuan

(Post: Bahasa Melayu)
"Apa yang menariknya, kebanyakan pakaian yang direka oleh ID Perempuan turut mengambil kira aspek potongan. Ia menyediakan saiz paling kecil, sederhana hingga kepada saiz L, XL, XXL, XXXL."

Jika selama ini mereka yang berpotongan agak gempal berasa sukar mendapatkan pakaian busana Muslimah yang longgar, jenama yang popular dengan imej sopan, ID Perempuan, mampu merealisasi impian golongan berkenaan untuk bergaya.

Menurut pemilik dan pemborong Naz Indah Collection, Zainab Ismail, rekaan berbentuk jubah, kebaya mahupun kurung tradisional ada penggemar tersendiri.

Menurutnya, faktor berbadan gempal tidak boleh dijadikan alasan untuk tampil selekeh sedangkan mereka mampu mengubahnya.

"Pemilihan pakaian yang bersesuaian membolehkan seseorang itu mampu mengubah gaya berbeza daripada sebelumnya."

"Banyakkan bermain dengan warna-warna gelapa seperti hitam dan kelabu atau warna tanah dan biru laut untuk menyorok kekurangan diri."

Teknik pemakaian tudung boleh dipelbagaikan serta harus sering mencuba menguji kreativiti diri dengan menggayakannya mengikut kesesuaian.

INFO:
Nama: Zainab Ismail
Kedai: Naz Indah Collection (ID Perempuan)

Lokasi: KB Mall, Tingkat 2-33B, Kota Bharu, Kelantan

Telefon: 09-7413644 atau 019-9376366

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, August 26, 2009

Kulim Worm Agrotech

(Post: Bahasa Melayu)
"Keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kewangan kepada setiap individu terutama mereka yang bekerja makan gaji."

Kewujudan masalah tersebut telah mendorong ramai ahli masyarakat melibatkan diri dalam perniagaan secara sampingan bagi menambah pendapatan bulanan mereka.

Salah satu saluran perniagaan yang semakin mendapat sambutan menggalakkan adalah penghasilan baja kompos daripada penternakan cacing.

Bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat menjalankan aktiviti tersebut, syarikat Kulim Worm Agrotech (KWA) bersama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB) menyediakan beberapa saluran perniagaan.

Ia merangkumi pakej penternakan cacing, kursus dan khidmat nasihat, perladangan kontrak, penjualan baja organik dan industri hiliran.

Menurut Pengurus Pemasaran KWA, Raja Anita Kamariah Raja Hussin, kerjasama dengan KKPMB itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai penternak cacing tempatan dalam meningkatkan pengeluaran baja organik sekaligus memenuhi keperluan Dasar Pertanian Negara.

"Ini kerana menjelang tahun 2010, kerajaan berhasrat untuk menghapuskan penggunaan baja kimia untuk memberi lebih tumpuan kepada baja organik."

"Tambahan pula, di beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina, cacing telah dijadikan sebagai produk farmaseutikal dan kosmetik selain dibuat makanan seperti jus dan coklat kerana ia mengandungi lebih 80 peratus kandungan protein serta nutrien berguna," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.

KWA yang ditubuhkan pada 13 Jun lalu merupakan pengusaha, pengeluar, pengedar dan pemborong baja organik vermikompos.

Selain Kuala Lumpur, syarikat tersebut juga mempunyai beberapa cawangan ladang di Kedah dan juga Pulau Pinang.

Bagi kursus penghasilan baja, syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan penerangan secara teori dan praktikal tentang cara-cara menternak cacing, menghasilkan baja organik dan juga bagaimana mencipta peluang perniagaan.

Setelah tamat kursus, para peserta yang berminat memulakan perniagaan tersebut hanya perlu menyediakan modal serendah RM1,250 bagi bekalan cacing, peralatan dan medium makanan serta tempat tinggal.

Di seluruh dunia, terdapat lebih kurang 2,700 spesies cacing, namun terdapat hanya empat jenis yang sesuai untuk dikomersial dan diternak di Malaysia.

Ia termasuk cacing merah (Red Worm), cacing harimau (Tiger Worm), cacing malam (African Night Crawler) dan cacing biru (Blue Worm).

Kesemua jenis tersebut akan dibekalkan kepada para peserta sebagai bahan mentah untuk memulakan penternakan.

"Cacing Merah merupakan jenis yang paling sesuai dan mudah diternak kerana ia membiak secara produktif dan mudah untuk diselenggara," jelasnya.

Untuk makanan dan tempat tinggal cacing pula, para peserta akan dibekalkan dengan medium yang terdiri daripada adunan 70 peratus serbuk kayu, 30 peratus tahi kambing dan lima peratus sabut kelapa.

Habuk kayu berfungsi untuk mengekalkan kelembapan, tahi kambing untuk menjaga suhu kepanasan sementara sabut kelapa sebagai pelindung kepada cacing.

Mengikut formula penjagaan cacing, setiap bekas dapat memuatkan sebanyak satu kilogram cacing (kg) dengan 10 kg medium dan bakal menghasilkan 10 kg baja dalam masa 10 hari.

Ini bermakna, sebanyak 30 kg baja akan dihasilkan dalam masa sebulan untuk dijual semula kepada KWA dengan harga RM2.00 sekilogram.

Oleh kerana kos pembelian medium adalah RM1.20 sekilogram, maka para peserta akan menerima keuntungan sebanyak 80 sen untuk setiap kilogram baja.

Menarik mengenai pakej tersebut, para peserta diberi kelonggaran untuk menjual baja tersebut kepada pembeli lain dan tidak semestinya kepada KWA.

Untuk memastikan medium sentiasa berada dalam keadaan lembap, ia perlu disiram setiap dua hari sekali.

Jika penternakan dilakukan di kawasan luar pula, tempat tersebut mestilah berbumbung untuk mengelakkan serangan burung di samping perlu dilengkapkan dengan pencahayaan sepanjang masa.

Ia bertujuan supaya cacing tidak keluar daripada bekas kerana haiwan tersebut amat sensitif kepada cahaya.

Bagi mengelakkan serangan semut pula, bahagian penyokong bekas berisi cacing itu perlu dibalut dengan kain yang telah direndam bersama minyak pelincir.

Setelah cukup tempoh sepuluh hari pembiakan, medium akan diayak sama ada secara manual atau menggunakan mesin bagi mengasingkan cacing, telur cacing dan juga baja.

Cacing yang telah diasingkan tadi akan ditimbang dan dimasukkan ke dalam bekas baru bersama medium baru untuk pembiakan selama sepuluh hari berikutnya.

Pakej penternakan tersebut sebenarnya mengaplikasikan teknologi mikroorganisma efektif (EM) iaitu sejenis hidupan seni yang membantu mempercepatkan proses pereputan medium supaya senang dimakan oleh cacing dan seterusnya mempercepatkan penghasilan baja.

Teknologi berkenaan juga mempunyai kelebihan meneutralkan bau busuk dan membunuh hama pada medium.

Untuk baja organik kompos yang dihasilkan, ia mempunyai kadar nutrien yang sangat tinggi dan sesuai untuk menambah kesuburan serta memperbaiki struktur tanah dan meningkatkan kadar pengeluaran hasil tanaman.

Ia boleh digunakan pada jenis tanaman seperti sayuran, buah-buahan, kelapa sawit, getah, kopi, teh, jagung, padi dan juga tanaman di dalam pasu.

Bagi individu yang mempunyai masalah modal pula, pihak KWA ada menyediakan pinjaman daripada agensi-agensi berkaitan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, August 5, 2009

Pemborong Tudung 12 Collection

(Post: Bahasa Melayu)
"Siapa yang tidak kenal dengannya, seorang pemborong tudung yang berjaya dan berhati waja dalam menempuhi cabaran terutamanya dengan pesaing bangsa asing yang kebanyakannya memonopoli pasaran tudung di kawasan Jalan Masjid India."

Perniagaan tudung telah sinonim dengan dirinya sejak 15 tahun lalu. Berniaga di pasar malam adalah tapak kepada kejayaannya.

Berkat kegigihan dan melihat peluang yang cerah dalam dunia perniagaan tudung sementelah tudung adalah pelengkap bagi wanita Islam menutup aurat, maka tanpa berfikir panjang, pemilik 12 Collection, Mohd. Yusof Abd. Manap memilih untuk menjadi pemborong yang lebih menjanjikan pulangan yang lumayan.

Kini, beliau merupakan satu-satunya pemborong tudung Bumiputera yang berjaya di kawasan Jalan Masjid India.

Ribuan pengedarnya berada di seluruh negara malah di luar negara seperti Singapura, Brunei, Hong Kong, Mauritius, Sri Lanka, Maghribi dan United Kingdom yang sentiasa 'hauskan' tudung-tudung yang terkini yang boleh diperoleh di premis 12 Collection.

Mohd. Yusof, anak kelahiran Jalan Klang Lama ini memberitahu, berniaga tudung ini perlu pantas dan mengikut trend tetapi tidak menjejaskan penampilan yang sopan. Sejak kebelakangan ini, keluaran rekaan-rekaan terbaru tudung terlalu cepat seperti goreng pisang panas.

Trend tudung sentiasa menawarkan kepelbagaian rekaan dan corak mengikut cita rasa wanita moden dan remaja yang gemarkan gaya ringkas dan funky.

"Setiap bulan ada sahaja pembaharuan dalam rekaan tudung sehingga kita sebagai pemborong pun tidak terlarat untuk 'mengejarnya'. Mana tidaknya, baru sahaja keluar tudung terkini, esok lusa dah keluar lagi terbaru."

"Adalah tidak memeranjatkan kerana tudung kini bukan sekadar penutup aurat tetapi fesyen yang semakin digilai ramai."

"Sebab itulah pembuat-pembuat tudung berlumba-lumba mengeluarkan tudung yang bukan sahaja menepati penutupan aurat tetapi yang berfesyen dan nampak anggun apabila dipakai."

"Jika dahulu, trend bertudung sekadar melilit sahaja selendang di kepala atau memakai tudung empat segi sama ada bercorak, bersulam, bermanik atau kosong. Tetapi kini semua orang nak cepat dan ringkas. Maka timbul pula tudung sarung atau tudung siap pakai."

"Tudung sarung dan siap pakai ini selalunya diperbuat daripada kain yang tidak perlu digosok. Inilah diperlukan oleh wanita sekarang yang sentiasa ingin cepat dan ringkas," katanya.

"Menurut Mohd. Yusof, sebelum ini wanita Malaysia lebih cenderung mengikut trend fesyen bertudung dari Indonesia yang menggunakan banyak lapisan tudung dan teknik lilitan yang sarat. Hari ini, mereka beralih pada konsep baru."

Situasi ini dapat dilihat khususnya di kalangan golongan remaja yang mula mencari konsep pakaian dan padanan tudung yang ringkas tetapi tampak ranggi dan stailo.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan penampilan mereka sentiasa kelihatan segar dan ceria bahagian kepala diberi tumpuan. Lazimnya, mereka akan padankan dengan tudung bercorak abstrak, motif flora atau warna terang.

Katanya, di kedai 12 Collection, hampir 20 jenis jenama tudung boleh diperoleh antaranya seperti Donatella, Dubai, Fareeda, Syria, Bawal, Lycra, Sifon Itali, Sarimah dan Siti.

"Selalunya pengedar akan mengambil pelbagai jenis tudung bagi memenuhi keperluan pelanggan masing-masing. Pilihan 'terpanas' masa kini ialah dari jenis sarung dan ber'awning'."

"Di mana-mana sahaja, inilah trendnya, tidak mengira kanak-kanak, remaja atau dewasa, tudung inilah yang menjadi pilihan untuk menutup aurat."

"Harga bagi tudung sebegini juga ada yang murah, sederhana dan mahal bergantung kepada jenis fabrik dan hiasannya sama ada berbatu swarovski, bermanik dan bersulam," jelasnya yang turut mempunyai empat pusat peruncitan iaitu dua di Jalan Tuanku Abdul Rahman, satu di Melaka dan satu lagi di pusat membeli belah The Mall, Kuala Lumpur.

Bagi yang ingin menjadi pengedar, hanya RM500 diperlukan bagi pembelian wajib.

Sementara itu, seorang pengedar yang ditemui di 12 Collection dari Kota Kinabalu, Sabah, Halimah Harith berkata, trend pemakai tudung di negeri di bawah bayu adalah sama seperti di Semenanjung.

"Justeru itu, hampir setiap bulan saya akan turun ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan tudung-tudung terkini supaya wanita-wanita di Sabah tidak ketinggalan."

"12 Collection adalah lokasi pilihan saya untuk mendapatkan pelbagai tudung kerana di sini ibarat seperti pusat sehenti bagi tudung-tudung yang terdapat di pasaran. Sementelah pula, di sini sahajalah kita boleh berurusan dengan pemborong Bumiputera, yang lain semuanya dimonopoli oleh bangsa lain," katanya.

Mempunyai dua buah kedai yang dinamakan Bilqis Boutique iaitu di Kompleks Karamunsing dan Centre Point, Kota Kinabalu, Halimah berpendapat, pasaran tudung mempunyai masa depan yang cerah.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, April 2, 2009

Kursus Borong Produk China

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya mengadakan kursus khas untuk mereka yang minat berurusan di China. Saya memperkenalkan "Kursus Memborong di China" dan "Rombongan Memborong ke China" berjaya membuka jalan kepada pemborong Melayu untuk menjadi pemborong terus dari sumber sama ada dari China, Vietnam, India, Korea Selatan atau negara lain."

Walaupun usianya masih muda, anak kelahiran Alor Star, Kedah, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman, 29, mengakui penguasaan pelbagai bahasa dunia adalah 'modal' membawanya merantau ke seluruh pelusuk dunia mencari pengalaman dan ilmu perniagaan

Kini, Shahabudeen menguasai tujuh bahasa dan terus berminat untuk menambah ilmu yang ada.

"Ia menyeronokkan. Walaupun tidak sampai ke tahap pakar bahasa, ia memadai sekiranya jika faham, boleh bertutur dalam perbualan asas kerana kelebihan ini sangat menguntungkan ketika berurusan dengan mana-mana individu."

Beliau menggunakan kelebihan itu sebagai modal menjalankan perniagaan iaitu membawa rombongan peniaga Melayu ke China dan Vietnam. Kini lebih terarah ke Korea Selatan dalam usaha mengembangkan peluang perniagaan.

Berikutan boleh menguasai bahasa Mandarin, katanya, beliau lebih mudah berurusan dengan peniaga di negara China tanpa perlu menggunakan khidmat orang tengah. Selain itu, ia juga boleh mengelakkan beliau daripada ditipu dan memudahkan urusan tawar menawar.

Selepas memperoleh rakan perniagaan yang ramai di China, Shahabudeen menggunakan kelebihan itu untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai selok belok urusan perniagaan di negara berkenaan dengan pemborong Bumiputera di negara ini.

Hasilnya, beliau melatih hampir 200 pemborong Melayu dan terdapat kira-kira 40 pemborong yang berjaya menjadi pemborong di China.

"Ini satu ibadat untuk umat Islam iaitu berkongsi ilmu dan saya cuma jalankan sebahagian kecil daripada amanah itu. Sebab itu saya galakkan pemborong Melayu supaya jangan segan untuk mempelajari bahasa asing. Peringkat awal memang kekok, tetapi ia akan berubah menjadi satu keseronokan."

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::