ATTENTION !!!

Wednesday, August 26, 2009

Kulim Worm Agrotech

(Post: Bahasa Melayu)
"Keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kewangan kepada setiap individu terutama mereka yang bekerja makan gaji."

Kewujudan masalah tersebut telah mendorong ramai ahli masyarakat melibatkan diri dalam perniagaan secara sampingan bagi menambah pendapatan bulanan mereka.

Salah satu saluran perniagaan yang semakin mendapat sambutan menggalakkan adalah penghasilan baja kompos daripada penternakan cacing.

Bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat menjalankan aktiviti tersebut, syarikat Kulim Worm Agrotech (KWA) bersama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB) menyediakan beberapa saluran perniagaan.

Ia merangkumi pakej penternakan cacing, kursus dan khidmat nasihat, perladangan kontrak, penjualan baja organik dan industri hiliran.

Menurut Pengurus Pemasaran KWA, Raja Anita Kamariah Raja Hussin, kerjasama dengan KKPMB itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai penternak cacing tempatan dalam meningkatkan pengeluaran baja organik sekaligus memenuhi keperluan Dasar Pertanian Negara.

"Ini kerana menjelang tahun 2010, kerajaan berhasrat untuk menghapuskan penggunaan baja kimia untuk memberi lebih tumpuan kepada baja organik."

"Tambahan pula, di beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina, cacing telah dijadikan sebagai produk farmaseutikal dan kosmetik selain dibuat makanan seperti jus dan coklat kerana ia mengandungi lebih 80 peratus kandungan protein serta nutrien berguna," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur.

KWA yang ditubuhkan pada 13 Jun lalu merupakan pengusaha, pengeluar, pengedar dan pemborong baja organik vermikompos.

Selain Kuala Lumpur, syarikat tersebut juga mempunyai beberapa cawangan ladang di Kedah dan juga Pulau Pinang.

Bagi kursus penghasilan baja, syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan penerangan secara teori dan praktikal tentang cara-cara menternak cacing, menghasilkan baja organik dan juga bagaimana mencipta peluang perniagaan.

Setelah tamat kursus, para peserta yang berminat memulakan perniagaan tersebut hanya perlu menyediakan modal serendah RM1,250 bagi bekalan cacing, peralatan dan medium makanan serta tempat tinggal.

Di seluruh dunia, terdapat lebih kurang 2,700 spesies cacing, namun terdapat hanya empat jenis yang sesuai untuk dikomersial dan diternak di Malaysia.

Ia termasuk cacing merah (Red Worm), cacing harimau (Tiger Worm), cacing malam (African Night Crawler) dan cacing biru (Blue Worm).

Kesemua jenis tersebut akan dibekalkan kepada para peserta sebagai bahan mentah untuk memulakan penternakan.

"Cacing Merah merupakan jenis yang paling sesuai dan mudah diternak kerana ia membiak secara produktif dan mudah untuk diselenggara," jelasnya.

Untuk makanan dan tempat tinggal cacing pula, para peserta akan dibekalkan dengan medium yang terdiri daripada adunan 70 peratus serbuk kayu, 30 peratus tahi kambing dan lima peratus sabut kelapa.

Habuk kayu berfungsi untuk mengekalkan kelembapan, tahi kambing untuk menjaga suhu kepanasan sementara sabut kelapa sebagai pelindung kepada cacing.

Mengikut formula penjagaan cacing, setiap bekas dapat memuatkan sebanyak satu kilogram cacing (kg) dengan 10 kg medium dan bakal menghasilkan 10 kg baja dalam masa 10 hari.

Ini bermakna, sebanyak 30 kg baja akan dihasilkan dalam masa sebulan untuk dijual semula kepada KWA dengan harga RM2.00 sekilogram.

Oleh kerana kos pembelian medium adalah RM1.20 sekilogram, maka para peserta akan menerima keuntungan sebanyak 80 sen untuk setiap kilogram baja.

Menarik mengenai pakej tersebut, para peserta diberi kelonggaran untuk menjual baja tersebut kepada pembeli lain dan tidak semestinya kepada KWA.

Untuk memastikan medium sentiasa berada dalam keadaan lembap, ia perlu disiram setiap dua hari sekali.

Jika penternakan dilakukan di kawasan luar pula, tempat tersebut mestilah berbumbung untuk mengelakkan serangan burung di samping perlu dilengkapkan dengan pencahayaan sepanjang masa.

Ia bertujuan supaya cacing tidak keluar daripada bekas kerana haiwan tersebut amat sensitif kepada cahaya.

Bagi mengelakkan serangan semut pula, bahagian penyokong bekas berisi cacing itu perlu dibalut dengan kain yang telah direndam bersama minyak pelincir.

Setelah cukup tempoh sepuluh hari pembiakan, medium akan diayak sama ada secara manual atau menggunakan mesin bagi mengasingkan cacing, telur cacing dan juga baja.

Cacing yang telah diasingkan tadi akan ditimbang dan dimasukkan ke dalam bekas baru bersama medium baru untuk pembiakan selama sepuluh hari berikutnya.

Pakej penternakan tersebut sebenarnya mengaplikasikan teknologi mikroorganisma efektif (EM) iaitu sejenis hidupan seni yang membantu mempercepatkan proses pereputan medium supaya senang dimakan oleh cacing dan seterusnya mempercepatkan penghasilan baja.

Teknologi berkenaan juga mempunyai kelebihan meneutralkan bau busuk dan membunuh hama pada medium.

Untuk baja organik kompos yang dihasilkan, ia mempunyai kadar nutrien yang sangat tinggi dan sesuai untuk menambah kesuburan serta memperbaiki struktur tanah dan meningkatkan kadar pengeluaran hasil tanaman.

Ia boleh digunakan pada jenis tanaman seperti sayuran, buah-buahan, kelapa sawit, getah, kopi, teh, jagung, padi dan juga tanaman di dalam pasu.

Bagi individu yang mempunyai masalah modal pula, pihak KWA ada menyediakan pinjaman daripada agensi-agensi berkaitan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

1 comments:

SatuJutaIdea January 11, 2010 at 12:06 PM  

Isu gempar: Pelabur kerugian RM30 juta - http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/BeritaUtama/20100110235631/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::