ATTENTION !!!

Wednesday, December 15, 2010

Galeri Tanjung Pelukis Aliran Seni Naif

(Post: Bahasa Melayu)
" Dikelilingi himpunan karya seni naif yang dihasilkan sendiri, lelaki bertubuh kurus berusia 59 tahun itu kelihatan seperti merenung jauh. Pandangan matanya seolah-olah menembusi sebuah lukisan yang berada elok di hadapannya. "

Lukisan yang dipenuhi warna-warna yang terang dan ceria itu kelihatan begitu menyerlah.

Gambaran rumah, pokok-pokok yang berwarna-warni, ikan yang 'berterbangan' di angkasa, burung dan sebagainya menjadi subjek yang diketengahkan beliau dalam imaginasi yang tersendiri.

Benar, sebagai pelukis aliran seni naif atau naive art, Ismail Baba mengakui setiap karya yang dihasilkan lahir daripada imaginasi diri yang melangkaui batasan fikiran kehidupan normal.

Namun, adakalanya ilham yang terbit juga bersifat spontan dan mudah untuk dilakarkan di dada-dada kanvas.

Itulah antara keistimewaan aliran seni itu. Ia tidak begitu rumit, tetapi masih mempunyai daya tarikan di kalangan penggemar karya seni naif.

Aliran Seni Naif

"Naive art lebih bersifat keanak-anakan. Malah, sesiapa juga boleh terjun dalam gaya lukisan naif kerana ia merupakan seni yang lahir dari hati pelukis itu sendiri mengikut apa yang dibayang atau difikirkan."

"Cuma, setiap pelukis perlu ada kesungguhan dan kesabaran yang tinggi untuk terus bertahan dalam aliran seni ini. Memandangkan seni naif masih kurang popular di Malaysia, maka ramai yang cepat mengalah atau tidak serius berkecimpung dalam aliran ini kerana dianggap seni kelas bawahan," ujar Ismail sambil tangannya ligat memalit warna-warna di atas kanvas lukisan yang hampir siap.

Apa yang pasti, menyelami karya-karya seni Ismail, mampu membawa kita menerokai dunia imaginasi yang penuh keriangan.

Mula terlibat dalam aliran seni naif sejak tahun 2006 secara sepenuh masa, Ismail ternyata begitu komited dalam berkarya. Hingga kini anak kelahiran Kuala Selangor itu sudah pun menghasilkan ratusan karya naif dalam pelbagai medium dan saiz.

Menceritakan detik awal minatnya berputik dalam aliran itu, Ismail memberitahu ia bermula sebaik beliau bersara dari pekerjaan sebagai display artist di beberapa buah hotel sekitar ibu negara.

Pengalaman selama 35 tahun itu membuatkan jiwa seninya tidak betah untuk duduk berpeluk tubuh selepas mengakhiri dunia pekerjaan. Justeru, dia memilih untuk berkarya dan menghasilkan lukisan sendiri.

Tetapi, melihat kepada kepelbagaian aliran seni yang terdapat di Malaysia, Ismail pada mulanya buntu dalam membuat keputusan. Akhirnya, selepas membuat pelbagai perbandingan, perbincangan dan meneliti prospek kesenian sesuatu aliran, maka naive art menjadi pilihannya.

"Apabila menerokai aliran ini, saya rasa ia sebati dengan jiwa kerana tiada sebarang kekangan untuk berkarya. Dalam erti kata lain, pelukis seni naif bebas menghasilkan apa sahaja bentuk lukisan walaupun merasakan mereka tiada bakat melukis."

"Ia boleh diumpamakan seperti kanak-kanak yang melukis mengikut apa yang terlintas di hati mereka atau yang terlihat di mata dan kemudian diluahkan di permukaan kertas dengan gambaran berbeza berbanding realitinya," jelas Ismail yang sudah bergelar datuk kepada dua orang cucu ini.

Apabila berbicara tentang seni, memang banyak yang diluahkan oleh Ismail terutama dalam aspek perkembangan seni visual dan seni catan di tanah air.

Sebagai salah seorang pelukis sepenuh masa, Ismail tidak segan menuturkan bahawa masyarakat di negara ini masih tidak tahu menghargai nilai seni.

Situasi ini jauh berbeza dengan komuniti masyarakat di luar negara yang langsung tidak berkira jika mahu memiliki sesuatu karya seni. Mereka sanggup untuk mengeluarkan belanja yang besar bagi mendapatkan karya yang diminati.

"Perkara ini menyebabkan seseorang pelukis sukar untuk menjual hasil seni mereka kepada rakyat tempatan kerana mereka menganggap harganya terlalu mahal."

"Bagaimanapun, Alhamdulillah pendapatan saya sebagai anak seni masih lagi mampu untuk menyara keluarga walaupun tidaklah sekaya mana," kata Ismail sambil bibirnya lebar menguntumkan senyuman.

Sebagai seorang seniman, lelaki yang dilahirkan pada 30 November 1951 itu bertuah kerana minatnya untuk berkarya turut mendapat sokongan daripada keluarga tercinta.

Bukan sahaja isteri, tetapi anak-anak Ismail juga sentiasa memberi dorongan untuk beliau terus menghasilkan karya tanpa jemu. Bagi Rokiah Maana, 54, darah seni yang mengalir di dalam tubuh suaminya tidak harus dikekang.

Lantaran itu, sudah menjadi tanggungjawabnya agar terus menyokong setiap apa yang mahu dilakukan sang suami hingga ke nafas terakhir.

"Memang bukan mudah apabila seorang suami mempunyai minat atau hobi yang sukar diketepikan. Maklumlah bila berus sudah di tangan, tentu sahaja perkara yang lain akan dilupakan."

"Namun, ia bukan alasan untuk saya menghalang suami untuk melukis. Sebaliknya saya perlu lebih memahami segala tingkah lakunya dan secara tidak langsung berusaha memberi semangat untuknya menghasilkan lukisan-lukisan yang berkualiti," ungkap Rokiah sambil memberitahu suaminya tidak lokek untuk membawanya bercuti ke luar negara melalui duit yang diperoleh hasil jualan karya beliau.

Melukis Guna Celak

Sementara itu, anak sulung Ismail tidak ketinggalan untuk berkongsi satu peristiwa menarik mengenai papa kesayangannya itu. Peristiwa yang berlaku beberapa tahun dahulu masih segar dalam ingatannya.

"Pernah satu hari sewaktu kami sekeluarga bercuti di Melaka, kebetulan ada dianjurkan pertandingan yang bertemakan Melukis Bandaraya Bersejarah."

"Dek kerana minat, papa tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian. Tetapi kerana tiada sebarang peralatan dibawa bersama, papa bertindak kreatif apabila menggunakan celak mama untuk melukis."

"Ternyata rezeki berpihak pada papa apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua kerana keunikan dan kreativitinya dalam menyiapkan lukisan mengenai negeri Melaka itu," terang Iszuan, 28, yang merupakan tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam Fakulti Seni Halus.

Ditanya mengenai pandangannya tentang seni naif yang diceburi Ismail, Iszuan pantas menjawab dia sentiasa positif dan bersedia membantu bapanya dalam meluaskan kerjaya sebagai pelukis aliran seni naif.

"Secara peribadi saya merasakan seni naif itu sendiri tulus dan bebas untuk dihasilkan. Tidak hanya pada kanvas, tetapi juga boleh digunakan pada pelbagai media dan medium lain," demikian ucapan luhur yang lahir dari mulutnya.

Di samping itu, Iszuan yang turut memiliki darah seni yang diwarisi daripada bapanya berharap suatu hari nanti si ayah akan menjadi salah seorang pelukis yang tersenarai dalam carta pelukis terkenal di Malaysia dan menjadi kebanggaan bagi anak, cucu serta pewarisnya kelak.

"Semoga hasil karya papa bukan sahaja ada di dinding rumah kami tetapi juga di dinding rumah dan galeri di luar negara," tinggi harapan Iszuan terhadap kejayaan seni ayah yang disanjungi.

Kepada mereka yang berminat melihat karya Ismail, layari laman web facebook/ismabib atau hubungi talian 017-8830303 atau 03-42533984.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

1 comments:

Wisata Murah December 16, 2010 at 5:34 PM  

artikel dunia seni yang menawan

selamat sore sahabat.kami silaturahmi ne.syukron

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::