ATTENTION !!!

Showing posts with label ulam. Show all posts
Showing posts with label ulam. Show all posts

Saturday, June 25, 2011

Jering Rawat Sisa Kumbahan Tekstil

(Post: Bahasa Melayu)
" Warna-warna menawan fabrik batik Malaysia kini menghiasi tubuh para supermodel di kota-kota fesyen seperti di Milan, Paris dan New York. Malah, ramai yang terpikat dengan keunikan batik keluaran Malaysia. "

Namun, tanpa disedari sisa kumbahan memproses batik mengandungi bahan pewarna dan kimia berbahaya.

Sehubungan itu, seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Habsah Alwi dan ahli kumpulan penyelidikannya mencari kaedah terbaik dan mesra alam bagi mengatasi masalah tersebut.

Lebih menarik, kumpulan penyelidik itu menggunakan jering untuk membersihkan sisa kumbahan yang terhasil daripada proses membatik.

Jering atau nama saintifiknya pithecellobium jirnga cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai salah satu ulam-ulaman pembuka selera. Namun, jering juga kurang digemari kerana baunya yang kurang menyenangkan.

Bagaimanapun, orang ramai mempunyai sebab mengapa mereka harus menyukai jering kerana ia membantu membersihkan sisa kumbahan memproses batik.

"Berdasarkan penyelidikan yang kami jalankan, jering mempunyai keupayaan untuk mengurangkan warna dalam sisa-sisa cecair kumbahan dari kilang batik."

"Tergolong dalam kelompok sayur-sayuran, jering juga mempunyai nilai-nilai perubatan yang tinggi. Bukti saintifik menunjukkan ia mampu mencegah penyakit diabetes dan hipertensi," ujar Habsah ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam.

Menurut Habsah, disebabkan semakin ramai yang kurang menggemari menikmati jering sebagai ulan-ulaman, beliau dan penyelidik lain mengambil inisiatif mengkaji kegunaan lain buah itu.

Buah dan polong jering yang mengandungi bahan aktif dan tinggi bahan biodegradasi dipercayai boleh merawat air kumbahan yang dihasilkan oleh kilang tekstil.

Justeru, ia sesuai digunakan oleh pengusaha tekstil terutama pengeluar batik kerana kilang-kilang ini menghasilkan sisa kimia yang banyak.

Perubahan sampel

"Hasil penyelidikan yang dijalankan, biji dan sabut jering dibersih dan diasingkan. Kemudian ia dilumat dan disaring untuk mendapatkan saiz homogen."

"Biji dan sabut jering dimasukkan di dalam ketuhar pada suhu antara 50 hingga 100 darjah Celcius selama 24 jam untuk proses pengeringan. Selepas itu, beberapa sampel sisa kumbahan batik dimasukkan ke dalam gelas dan ciri-ciri sampel direkodkan."

"Kemudian, biji dan sabut jering yang telah diproses turut dimasukkan ke dalam gelas-gelas tersebut," terang Habsah. Perubahan air di dalam gelas diperhatikan dari semasa ke semasa dan dibandingkan dengan sampel yang tidak dirawat.

Keputusannya mendapati sisa batik yang berwarna biru semakin pudar selepas diletakkan jering yang telah dikeringkan.

"Keadaan ini berlaku kerana bahan aktif yang terdapat dalam jering iaitu asid djenkolik dan alkoloid dipercayai memerangkap pigmen warna biru melalui mekanisma serapan."

"Elemen ferum dan kalsium juga membantu mengumpulan pigmen dan menguraikannya dengan cara pengendapan graviti."

"Pemendapan pigmen yang telah ditapis menjadikan sampel tersebut berwarna biru muda yang kemudian dirawat dengan cara mengalirkannya melalui karbon aktif untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar," jelas rakan penyelidik Habsah, Radziah Wahid.

Penemuan itu bagaimanapun memerlukan kajian lebih lanjut terhadap bahan aktif yang dapat menghilangkan warna. Namun, kajian itu juga memberi manfaat kepada komuniti desa dan Orang Asli yang mencari rezeki dengan menjual jering.

Penemuan itu turut memberi idea-idea baru dalam mencari sumber hijau lain untuk mengubati air sisa kumbahan tekstil.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 24, 2011

Baja Kompos Ladang Organik Cetdem

(Post: Bahasa Melayu)
" Setiap pagi, Neo Yee Han akan meredah kesesakan jalan raya selama 40 minit dari rumahnya di Setia Alam ke Projek Ladang Organik Cetdem di Jalan 15/19 Petaling Jaya, Selangor. "

Aktiviti harian bagi sukarelawan wanita yang umurnya menjangkau separuh abad itu bermula sekitar pukul 8 pagi. Kerja-kerjanya melibatkan aktiviti menjaga, menabur kompos dan memastikan tanaman mendapat air secukupnya serta bebas daripada serangan serangga perosak.

Yee Han akan memastikan semua kerja-kerja di ladang siap sebelum matahari berada tegak di atas kepala. Antara sayur-sayuran yang ditanam di ladangnya adalah kentang, ulam-ulaman, pokok selasih dan cili padi.

Selepas itu, dia mula menguruskan perkara-perkara lain di pusat tersebut seperti mengadakan kelas masakan Slow Food, jualan buku panduan organik dan menjual biji benih.

"Sudah tiga tahun saya menjaga tanaman organik di pusat ini secara serius sejak anak tunggal saya melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Singapura."

"Pada mulanya, memang saya tidak suka cuaca panas. Lagipun terpaksa memegang kompos dan nyamuk pula terlalu banyak," kata Yee Han yang mengambil masa hanya tiga bulan mempelajari pembuatan kompos.

Yee Han tidak pernah mempunyai sukatan yang tepat untuk membuat baja organik tersebut. Sebaliknya, dia hanya mengikut gerak hati dan pertimbangannya.

"Apabila saya buka bekas berisi kompos, jika ada rasa sedikit hangat pada tapak tangan, ia sudah siap. Rupa kompos yang terbaik adalah ia kelihatan seperti tanah dan berbau tanah biasa," ujarnya yang meminati tanaman herba.

Bagi Yee Han, menjaga tanaman organik sama seperti menjaga tanaman kaedah lain, cuma tidak menggunakan racun dan baja kimia.

"Tanaman harus sentiasa dijaga supaya tidak dijangkiti serangga perosak seperti ulat bulu, air dan cahaya matahari yang mencukupi."

"Tanah pula perlu sihat dengan menggunakan kompos yang baik. Struktur tanah pula perlu seimbang iaitu tidak terlalu melekit dan sedikit berpasir supaya ada peredaran udara," kata wanita yang lebih selesa dipanggil Puan Neo itu.

Kompos

Koordinator Projek Ladang Organik Cetdem, Tan Siew Luang, 60-an, berkata, baja kompos adalah bahan-bahan buangan yang diperam sekurang-kurangnya tiga bulan.

Asas komposisi kandungan kompos adalah tiga bahagian karbon dan satu bahagian nitrogen.

Antara bahan buangan yang digunakan ialah sampah sarap dari pasar, rumput, dedaun kering, hampas tebu, hampas kelapa, kulit pisang dan nangka.

Selain itu, penggunaan tulang haiwan seperti ikan, ayam dan najis ayam juga boleh digunakan.

Bahan-bahan tersebut perlu disusun berlapis-lapis dan diperam di dalam bekas. Dalam tempoh pemeraman itu, mikroorganisma akan memecahkan semua bahan buangan tersebut.

Hasil kompos pula bergantung kepada kerajinan seseorang, jika bahan-bahan buangan tersebut dikisar halus maka hasilnya adalah lebih baik.

Menurut Siew Luang, baja kompos mengandungi serat yang tinggi dan nitrogen yang rendah. Ia boleh digunakan pada jumlah yang banyak berbanding baja organik.

"Komposisinya pula dapat meningkatkan struktur tanah, menentang penyakit dan mengekalkan kelembapan tanah," katanya yang mendapat pendidikan mengenai tanaman organik di Jepun.

Pelopor tanaman organik di Malaysia itu sudah 26 tahun aktif menyedarkan masyarakat supaya beralih kepada tanaman organik.

Baginya, tanaman organik bukan saja tidak menggunakan bahan kimia bahkan pengamalnya tidak boleh mengambil jalan singkat.

"Dalam pembuatan baja organik, tidak boleh menggunakan sebarang mikororganisma asing bagi mempercepatkan proses penguraian tetapi kita boleh bereksperimen," kata wanita yang berasal dari Sungai Abung, Muar itu.

Bagaimanapun, eksperimen dibenarkan bagi melihat kesesuaian bahan buangan dan keadaan tanah di sesuatu tempat kerana setiap kawasan mempunyai jenis tanah yang berbeza.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, November 12, 2010

Pertandingan Landskap Herba

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika dulu, pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman cuma ditanam di tepi rumah untuk dinikmati anggota keluarga, kini ia mampu memberi pulangan. Malah, kreativiti mengindahkan laman rumah dengan tanaman itu membolehkan pemiliknya memasuki Pertandingan Landskap Herba yang diwujud berteraskan Program Bumi Hijau anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. "

Konsep Pertandingan Landskap Herba memerlukan peserta menyediakan sudut atau landskap khas di kawasan kediaman, komuniti atau institusi bagi tanaman berasaskan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, herba dan ulam.

Penanaman disesuaikan dengan ruang sedia ada serta hasil yang dituai adalah untuk keperluan sendiri serta berterusan.

Objektif utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menternak bagi mengeluarkan makanan sendiri.

Selain menjimatkan kos, ia juga mampu mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai makanan berkhasiat yang selamat dimakan.

Selain itu, pertandingan juga secara tidak langsung dapat mengindahkan persekitaran kawasan kediaman, komuniti atau institusi.

Pengarah Kanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak, berkata kewujudan kebun di laman rumah secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara suami isteri serta anggota keluarga kerana tanaman memerlukan perhatian dan penjagaan.

"Suami isteri perlu bekerjasama menjaga tanam mereka dengan menyiram dan menjaga tanaman. Secara tidak langsung, ia mengukuhkan hubungan kerana saling bergantung untuk tampil dengan landskap menarik."

"Landskap ini juga secara emosi dapat menyenangkan mata yang melihat. Apabila jiran atau orang yang lalu lalang berasa tenang dan damai melihat tanaman yang hijau dan cantik, ia menjadi satu ibadat kepada kita kerana menyenangkan hati orang lain," katanya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Kebun Dapur/ Landskap Herba peringkat negeri Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.

Pertandingan itu mengandungi tiga komponen utama iaitu bercucuk tanam, ternakan dan akuakultur. Jenis tanaman termasuk sayur-sayuran berdaun atau berbuah, ulam dan pokok herba. Selain tanaman, penternakan juga digalakkan jika sesuai dengan kawasan.

Empat kategori dipertandingkan pada tahun ini iaitu kategori individu (perumahan), komuniti (perumahan), sekolah menengah dan sekolah rendah.

Penilaian dibuat berdasarkan lima bahagian utama iaitu penjenisan tanaman, penjagaan dan kesuburan tanaman, kreativiti dan kesesuaian susun atur, keselamatan dan kebersihan serta pengetahuan mengenai tanaman.

Hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan ini di peringkat negeri ialah RM1,000 bagi johan kategori individu, RM750 bagi naib johan dan RM500 untuk tempat ketiga. Manakala RM1,500 bagi johan kategori lain, RM1,000 untuk tempat kedua dan RM700 bagi tempat ketiga.

Dalam pertandingan peringkat negeri Selangor, Sekolah Menengah Seri Tiram Jaya (SMSTJ), Tanjung Karang memenangi kategori sekolah menengah manakala Sekolah Kebangsaan Gombak Setia (SKGS) pula menjuarai kategori sekolah rendah.

Bagi kategori komuniti, Taman Sri Puteri Cheras dipilih sebagai juara dan Mohd Som Ismail dari Felda Sungai Tengi memenangi tempat pertama kategori individu.

Semua pemenang layak menyertai pertandingan peringkat kebangsaan yang sudah memulakan proses penjurian pada 18 Oktober lalu hingga 1 November ini.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, May 16, 2010

Bisnes Buah Engkabang

(Post: Bahasa Melayu)
" Kita mungkin biasa mendengar dan melihat minyak dihasilkan menggunakan buah kelapa, jagung dan kelapa sawit, namun tidak ramai yang mengetahui masih terdapat sejenis buah yang boleh diproses untuk dijadikan minyak masak. "

Buah yang dimaksudkan ialah engkabang. Mungkin ramai antara kita yang tidak pernah mendengar namanya apatah lagi melihatnya di depan mata. Ini kerana pokok engkabang banyak tumbuh di kawasan pedalaman Sarawak termasuk di sekitar Sungai Rajang.

Buah engkabang atau nama saintifiknya shorea macrophylla cukup sinonim di kalangan masyarakat yang tinggal di pedalaman Sarawak terutama kaum Iban.

Bagi masyarakat Iban, buah itu turut dikenali sebagai bilun atau buah helikopter kerana mempunyai pelepah kecil yang melindungi buahnya seolah-olah bilah kipas helikopter.

Menurut penduduk tempatan, mereka sangat terpegun apabila melihat buah engkabang gugur dari pokok kerana buahnya jatuh secara berputar bagaikan helikopter hendak mendarat.

Kosmo! difahamkan, engkabang mempunyai keunikan tersendiri kerana berbuah tiga hingga lima tahun sekali dan mengandungi khasiat sebagai agen antipenuaan.

Buahnya bukan sahaja dijadikan minyak, malah turut diproses bagi menghasilkan produk kosmetik untuk golongan wanita.

Ada juga sesetengah masyarakat di Sarawak menjadikan buah engkabang sebagai ulam kerana rasanya lebih lemak dan berbau harum sementara kayunya pula amat bernilai kerana boleh digunakan untuk membuat rumah.

Bagaimanapun, cara memproses minyak amat rumit kerana kulit buah engkabang perlu dikupas terlebih dahulu sebelum isinya dijemur untuk dikeringkan.

Menurut cara tradisional, isi engkabang yang sudah kering kemudian ditumbuk hingga halus dan diperah hingga keluar minyaknya.

Kemudian, minyak tersebut akan disimpan di dalam buluh sehingga menjadi seperti mentega sebelum digunakan untuk memasak.

Minyak yang dihasilkan daripada buah engkabang sangat sesuai digunakan untuk membuat nasi goreng kerana harumannya yang membuatkan nasi menjadi sedap.

Bagi penduduk yang bergantung hidup dengan memungut hasil hutan, ketibaan musim engkabang amat dinanti-nantikan kerana ia menjadi punca pendapatan.

Pada Februari lalu, penduduk di Song, Sarawak bagaikan berpesta menyambut kedatangan musim engkabang sehingga mereka sanggup berjalan di atas kayu-kayu terapung di sungai untuk memungut buah engkabang yang gugur sebelum dijual kepada pemborong.

Seorang tukang kebun, Selah Awi, 42, berkata, ramai orang termasuk kanak-kanak masuk ke hutan untuk mencari buah engkabang.

"Kami akan pungut buah engkabang yang gugur sebelum dibawa balik ke rumah untuk dikeringkan."

"Selepas isi engkabang kering barulah kami menjualnya kepada pemborong kerana isi yang telah dikeringkan lebih mahal harganya," kata Selah kepada Kosmo!.

Menurut lelaki itu, beliau turut menanam pokok engkabang di kebun yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

"Dulu pokok engkabang banyak tapi sekarang tinggal sedikit saja kerana ia terpaksa ditebang untuk mendapatkan kayu bagi tujuan membuat rumah," ujarnya.

Selah memberitahu, dengan bantuan isteri dan anak-anak, mereka bersama-sama membelah buah engkabang bagi mengasingkan isi dan kulitnya untuk dijemur sebelum dijual.

Beliau berkata, sekarang susah untuk mendapatkan minyak yang dihasilkan daripada buah engkabang kerana prosesnya yang rumit.

"Kalau dulu, orang kampung akan buat minyak sendiri dengan memasak biji engkabang di dalam buluh, namun sekarang tidak ada lagi, malah di kedai pun sudah tiada," kata beliau.

Bagi pemborong buah engkabang yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 56, setiap kali tibanya musim engkabang, halaman rumahnya mesti dikosongkan untuk dijadikan tempat mengumpul buah yang telah dijual oleh penduduk.

"Kadang-kadang sampai tiga tan buah yang telah kering dijual oleh penduduk sehinggakan tidak cukup tempat untuk menyimpannya," katanya yang menjadi pemborong engkabang sejak tahun 1986.

Katanya, buah engkabang yang belum kering dibeli pada harga 60 sen sekilogram, manakala isi yang telah kering dibeli pada harga antara RM1 hingga RM2.

"Walaupun saya membeli buah yang telah kering, namun ia akan terus dijemur dan dikeringkan lagi untuk mendapatkan kualiti terbaik sebelum dihantar ke Sibu.

"Buah ini kemudiannya akan dieksport ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi di sana," jelasnya.

Di saat kemeriahan penduduk memungut engkabang apabila tiba musimnya, penduduk tempatan bagaimanapun melahirkan rasa kecewa kerana banyak pokok telah ditebang oleh pembalak haram dan untuk tujuan pembangunan.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, February 18, 2009

Restoran Ikan Sungai

(Post: Bahasa Melayu)
"Obsesnya kepada ikan sungai membuatkan Jasmay membuka restoran ikan sungai yang pertama di Malaysia yang memperkenalkan masakan ikan sungai segar seperti patin, baung, temoleh tapah dan jelawat."

Terletak di Desa Melawati, Kuala Lumpur, Restoran Ikan Sungai menyediakan suasana makan-makan seperti di kampung.

"Hiasan dalaman restoran ini sengaja mewujudkan suasana seperti makan di kampung," kata Pengarah Urusan Besta Corporation Sdn. Bhd., Jasmay Shah.

"Ramai sebenarnya peminat ikan sungai. Kini mereka tidak perlu pergi jauh ke kawasan pedalaman untuk menikmati ikan sungai segar."

"Sebenarnya ikan sungai liar lebih lazat dan segar berbanding ikan yang dibela dalam sangkar," ujarnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Restoran ini menyediakan kepelbagaian makanan untuk pagi, tengah hari dan malam.

"Harga ikan mengikut harga semasa. Memang mahal sikit tetapi tidak salah berbelanja lebih untuk makanan yang lazat. Semua masakan disediakan oleh chef berpengalaman terutamanya masakan kampung," katanya.

Menu lain yang disediakan termasuk nasi lemak berlauk, rendang ayam, mi rebus dan laksa Pahang.

Sambal belacan, air asam dan sambal tempoyak bakal membuatkan deria rasa kepedasan peringkat tertinggi apabila dipadankan dengan gabungan ikan sungai sama ada dibakar, digoreng atau masakan gulai.

Alam tradisi dan kekampungan bergabung dengan ulam pegaga, petai, pucuk ubi, pucuk mengkudu membangkitkan selera. Tidak dilupakan pencuci mulut seperti tapai pulut dan bubur kacang.

Kenangan menikmati makanan kampung bermula di sini. Bau masakan dari dapur yang terletak kurang 50 meter dari meja makan begitu menjolok deria rasa.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::