ATTENTION !!!

Thursday, April 29, 2010

Lampu Tidur Labu Sayong

(Post: Bahasa Melayu)
" Lampu tidur bukan setakat melimpahkan cahaya samar-samar yang membantu kita tidur nyenyak, tetapi turut dianggap antara elemen penting hiasan dalaman kamar beradu. Justeru, di samping faktor cahayanya, aspek lain seperti reka bentuk serta hiasan lampu berkenaan juga harus diambil kira agar suasana tempat berehat sekali gus beradu itu tampil lebih indah, syahdu dan romantik. "

Silap jika ada yang beranggapan lampu tidur menarik adalah yang berjenama antarabangsa. Sebaliknya, produk ini sudah lama berada di depan mata, menggunakan produk tidak asing lagi - labu sayong.

Bagi bercitarasa klasik dan ingin mengabadikan pengalaman serta kenangan indah kala berada di bandar diraja Kuala Kangsar, lampu tidur labu sayong Bidat Enterprise (BE) mungkin mampu memenuhi selera.

Malah, ketika Festival Kraf sempena Hari Kraf Kebangsaan 2010 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di Jalan Conlay, baru-baru ini, produk ini mencuri tumpuan ramai.

Diilhamkan menerusi tiga teknik kemasan penyudah iaitu semburan, saduran tembaga dan impak bergerus, pengusahanya, Mohamad Hakim Ismail, 19, berkata proses menyiapkan lampu berkenaan perlu terlebih dulu dibakar dalam suhu mencecah 950 Celsius.

"Kaedah dan langkah membuatnya tiada beza dengan proses menyediakan labu sayong kerana keduanya dibentuk menggunakan tanah liat. Tetapi, pembikinan lampu tidur perlu menjalani langkah tambahan iaitu diukir tebuk sebelum dikemaskan dengan kemasan penyudah," katanya yang selain menjual lampu tidur, turut menerima menerima tempahan labu sayong dan pelbagai aksesori rumah.

Koleksi lampu BE mengutarakan empat pilihan warna iaitu hijau, seakan kayu, merah dan keemasan di samping berbilang motif dekat dengan alam seperti corak bunga matahari, daun pucuk paku, kerawang, bunga tampal dan sebagainya.

Harga setiap lampu tidur ditetapkan berbeza bergantung saiz, bentuk serta kerumitan coraknya bermula dengan RM35 sehingga lebih RM160.

Mohamad Hakim berkata, maklum balas diterima daripada pelanggan amat menggalakkan khasnya lampu itu yang memaparkan warna menyerupai kayu dan corak kerawang.

"Saya fikir mungkin kerana rekaannya itu boleh dipadankan dengan sebarang konsep penataan, kelengkapan rumah bahkan dilihat eksklusif dipamerkan pada mana-mana ruang kediaman," katanya yang mengusahakan perniagaan berkenaan di Kampung Sayong Masjid, Kuala Kangsar dan boleh dihubungi di talian 017-5050654 bagi sebarang tempahan dan pertanyaan.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::