ATTENTION !!!

Tuesday, October 6, 2009

Rendang Tok Sri Musma

(Post: Bahasa Melayu)
"Rendang tok dikatakan berasal dari Kampung Pisang, Batu Gajah, Perak yang kemudiannya tersebar ke kebanyakan daerah di Perak. Kini, ia bukan sahaja terkenal di Perak tetapi sudah menjadi makanan tradisi yang amat popular seluruh negara."

Rendang tok merupakan hidangan Melayu tradisional yang mempunyai cita rasa dan kelazatan yang tersendiri tanpa dicampur bahan pengawet dan perasa tiruan.

Lebih unik lagi, masakan Rendang Tok ini masih disediakan menggunakan cara tradisional iaitu di atas dapur kayu.

Rahsia keenakan juadah yang pernah menjadi santapan kegemaran diraja ini adalah hasil adunan bahan bermutu dan penyediaan secara tradisional yang dikekalkan Teh Jamilah Yob Abdullah atau lebih selesa dipanggil opah, pelopor tertua rendang tok di Kampung Pasir Puteh, Ipoh, Perak.

Teh berkata, beliau sudah menjalankan perusahaan membuat rendang tok yang dikenali rendang 'Tok Sri Musma' hampir setengah abad selepas mewarisinya daripada neneknya.

"Resipi dan cara memasak rendang ini masih dikekalkan walaupun kebanyakan orang memilih menggunakan dapur gas atau rempah segera."

"Opah mendapat resipi ini daripada nenek dan mewariskannya kepada anak dan cucu sehingga mereka berjaya membuka perniagaan keluarga yang kini sudah sampai ke generasi kelima," katanya yang mempunyai 12 anak dan 37 cucu.

"Pada Ramadan, opah dan anak tak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang membuat tempahan awal untuk raya."

"Kebiasaannya, pada hari biasa, opah menyediakan antara empat hingga enam kawah untuk memasak kira-kira 240 kilogram (kg) daging lembu dengan menggunakan 180 kg santan."

"Bagaimanapun, beberapa hari sebelum raya, permintaan meningkat mendadak sehingga terpaksa menyediakan lebih 50 kawah yang dimasak dari pagi hingga selepas tengah malam," katanya.

Teh yang mempunyai anak berusia antara 27 hingga 54 tahun berganding bahu mengusahakan perniagaan itu.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan, mereka mula memasak dari 9 pagi dan sebelah petangnya mereka berniaga di pasar Ramadan sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar.

"Bagaimanapun, dua hari sebelum Syawal, kebiasaannya kami akan berjaga 24 jam berikutan permintaan rendang tok yang terlalu tinggi, bukan saja di kalangan penduduk tempatan tetapi dari beberapa negeri lain seperti Terengganu dan Pahang."

Beliau berkata, proses memasak mengambil masa antara tiga hingga empat jam menyebabkan rendang tok boleh bertahan selama seminggu.

"Rahsianya, bahan masakan semua mesti segar kerana walaupun ada sedikit saja bahan yang kurang segar, masakan ini tidak akan menjadi dan rasanya berbeza," katanya.

Anak kedua Teh, Mohd Saidi Mat Isa, 49, berkata beliau sudah 27 tahun membantu ibunya memasak rendang tok dan mempunyai empat orang anak yang semuanya membabitkan diri dalam perniagaan keluarga itu.

"Saya turut berbangga kerana keenakan dan keaslian rasa rendang tok buatan keluarga yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan sehingga mendapat peluang menyediakan hidangan untuk Sultan Perak, Sultan Azlan Shah kira-kira 15 tahun lalu," katanya.

Menurut anak kesebelas Teh, Mohd Nizam Mat Isa, 29, berkata, sebelum ini beliau bekerja sebagai operator kilang di Lahat dan hanya terlibat jika ada masa terluang, tetapi sejak tiga tahun lalu beliau terpanggil untuk membabitkan diri secara secara sepenuh masa bersama keluarganya.

Rendang tok yang diusahakan oleh keluarganya bukan sahaja mengikut amalan tradisional setiap bahan rempah dan ramuan yang dimasukkan di sukat secara tepat dan tahap kepanasan api juga diberi keutamaan bagi mengekalkan kelazatan aslinya.

"Hidangan rendang tok boleh dibeli di pasar pagi dan pasar malam di seluruh Perak setiap hari selain mengadakan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mempromosikan Rendang tok yang dihasilkan secara tradisional."

Sumber: Berita Harian Online , Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::