ATTENTION !!!

Tuesday, May 3, 2011

GreenKit MARDI

(Post: Bahasa Melayu)
" Bercucuk tanam dalam bekas air? Pelik bukan, tetapi inilah keistimewaan GreenKit atau sistem penanaman dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri. "

Menariknya, produk rekaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) yang sesuai digunakan pemilik laman terhad seperti pangsapuri dan kondominium ini, turut mengharumkan negara apabila meraih pingat emas dalam pertandingan reka cipta di Korea Selatan.

Aktiviti berkebun kini bukan hanya menjadi minat mereka yang tinggal di kampung dan desa, malah mereka ramai yang di bandar besar serta tinggal di rumah pangsa, apartmen dan kondominium juga minat dengan aktiviti berkenaan.

Namun, beberapa kekangan seperti kekurangan kawasan tanah, kemahiran dan tiada waktu bagi tumpuan menjaga tanaman menyebabkan hasrat untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam dilupakan.

Menyedari hakikat itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) memperkenalkan satu sistem mudah dan murah dinamakan GreenKit iaitu sistem penanaman pokok di dalam takungan yang boleh membekalkan air secara sendiri tanpa perlu penyiraman yang kerap.

GreenKit terdiri daripada takungan plastik yang terbahagi kepada dua ruang yang terpisah iaitu takungan air di bahagian bawah dan takungan penanaman mengandungi medium tanaman (tanah) di bahagian atas.

Menariknya, produk yang dibangunkan Mardi ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dalam pertandingan rekacipta/inovasi di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2010 di Korea pada 2 hingga 5 Disember 2010.

Penyelidik MARDI yang membangunkan teknologi ini, Ab Kahar Sandrang berkata, prinsip dan kaedah GreenKit adalah menyerupai penanaman di kawasan tanah semula jadi, iaitu air di dalam tanah naik ke zon pengakaran dengan tindakan kapilari (saluran halus).

Katanya, lazimnya medium tanaman yang digunakan untuk GreenKit ialah peatmoss, vermiculite dan perlite, namun penggunaan tanah atau sabut kelapa bersama campuran berkenaan juga sesuai digunakan.

"Tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran berdaun dan tanaman hiasan semusim boleh ditanam terus menggunakan biji benih manakala tanaman jangka panjang seperti sayuran berbuah dan ulaman serta pokok hiasan kekal perlu menggunakan benih anak pokok."

"GreenKit boleh diletakkan di kawasan terlindung atau teduhan atau kawasan terbuka. Satu keistimewaannya, seperti tanaman dalam pasu, GreenKit mudah dipindahkan mengikut kesesuaian dan kehendak pemilik kediaman," katanya.


Green Kit juga boleh disesuaikan untuk tanaman laman ramuan atau edible garden yang mana komposisi tanaman makanan dan hiasan nisbahnya 70:30. Pengguna juga boleh menyusun GreenKit bertingkat mengikut kreativiti masing-masing.

Kapasiti air di dalam takungan berbeza mengikut saiz GreenKit. Umpamanya GreenKit bersaiz 70 sentimeter (cm) x 24 cm x 20 cm untuk penanaman sayur dan ulaman, kapasiti airnya adalah lapan liter yang mampu membekalkan air selama lima hari hingga seminggu. Bermakna setiap lima hari paras air perlu diperiksa.

Menariknya penyiraman dilakukan melalui tiub yang terletak di bahagian tepi GreenKit manakala baja diberikan sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal.

Baja cecair dicampur dalam air kerana mudah larut manakala baja tabur dalam bentuk biji ditabur di atas medium atau digaul dan dimasukkan dalam takungan air.

Kebersihan GreenKit adalah langkah utama dalam pengurusan penyakit. Keadaan persekitaran yang terlalu lembap dan kotor boleh meningkatkan kejadian serangan penyakit. Jika terdapat tanda penyakit, bahagian yang dijangkiti perlu dibuang.

Penggunaan racun kimia perlulah dielakkan, namun racun biologi atau organik sangat digalakkan penggunaannya.

Dalam pada itu, perosak utama tanaman GreenKit ialah serangga pemakan daun. Cara paling berkesan mengurangkan masalah berkenaan adalah dengan menggunakan penghalang fizikal seperti net atau kelambu tanaman. Jika berlaku serangan perosak yang amat serius, penggunaan racun organik sangat digalakkan.

Penanaman dengan GreenKit boleh menggabungkan beberapa jenis tanaman, namun disyorkan kombinasi perlukan keperluan air dan cahaya matahari yang sama. Jumlah jenis tanaman mestilah cukup untuk satu hidangan mengikut saiz bekas GreenKit yang digunakan.

Selain digunakan oleh suri rumah sesuai dengan kempen hijau yang dijalankan kerajaan, GreenKit juga sesuai dijadikan model pembelajaran untuk pelajar sekolah kerana kotak tanaman ini mudah, murah dan bebas daripada bahaya pembiakan Aedes, malah boleh ditinggalkan tanpa pengurusan yang rapi, serta sesuai untuk mereka yang sibuk serta tiada masa menyiram pokok setiap hari.

Bagi mereka yang berminat boleh hubungi MARDI di Peti Surat 12301, Pejabat Pos Utama, 50774 Kuala Lumpur atau emel kepada skahar@mardi.gov.my.

INFO Tanaman GreenKit:
~ Ulaman dan Sayur Berkayu
Pokok Gajus, Tenggek Burung, Beluntas, Peria Pantai, Limau Purut, Cekur Manis dan Daun Kari

~ Ulaman dan Sayuran Tidak Berkayu
Ulam Raja, Pudina, Pegaga, Kaduk, Kucai, Kesum, Selom, Cekur, Pandan Wangi, Kunyit dan Serai.

~ Buah-buahan
Betik, Jambu, Belimbing, Mangga, Limau Kasturi, Ciku, Kedondong dan Delima.

~ Tumbuhan Hiasan
Ati-ati, Resam Batu, Keladi, Crytandra, Globba, Homalomena dan Humilis.

Kelebihan dan Kebaikan GreenKit:
~ Mengatasi masalah penyiraman yang perlu dilakukan setiap hari

~ Biasanya GreenKit digunakan untuk pokok renek dan kini boleh digunakan untuk sederhana besar dalam bekas tanaman yang lebih besar.

~ Pokok seperti limau purut, tenggek burung, bebeuas, peria pantai, jambu batu dan kedondong juga boleh ditanam dalam Green Kit. Pertumbuhan akar dalam Greenkit terbatas menyebabkan pokok berkenaan menjadi renek namun hasil atau buah tetap sama.

~ Bagi pokok berkayu seperti tenggek burung dan gajus, pemotongan pucuk untuk ulaman dapat mengawal pembentukan saiz kanopi yang terlalu besar sebaliknya pokok menjadi renek atau saiz lebih kecil.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

1 comments:

PR Exposure May 4, 2011 at 6:34 AM  

Your blog is Full of information:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::